"Ilmu itu pintu segala adab"
Lirik lagu "Knowledge seeker" nyanyian Ahmad Bukhatir menjadi peransang setiap kali rasa macam lemah dalam perjalanan ilmu ini.
Meredah lautan ilmu, tiada pantai buat berlabuh. Maka, sesiapa yang mahu meneroka gedung ilmu tidak boleh ada kalimah "kecewa" atau "malas" dalam dadanya. Ayat pertama daripada Kitab Al-Quran menyuruh manusia untuk mencari ilmu. Ini menandakan betapa mustahaknya yang dinamakan ilmu itu sehinggakan terpilih menjadi wahyu pertama yang mengisi dada Rasulullah s.a.w.
Pendek kata langkah awal segala yang bernilai itu adalah ilmu. Tinggal manusia untuk menghargai nilai tersendiri yang ada padanya. Aristotle mangatakan, langkah awal itu adalah separuh daripada segala urusan. Ya, ilmu adalah separuh daripada segala urusan.
Beribadah tanpa ilmu, mudah ditipu nafsu, mudah diselewengkan tanpa sedar, tiada penghayatan maka tiada kesan yang boleh ditinggalkan.
Hidup tanpa ilmu, masalah tidak dapat diselesaikan, berdebat pun berdasarkan emosi dan kebiadapan, rahsia-rahsia alam tidak dapat dicungkil, pertanyaan tidak dapat dijawab, kebenaran tidak dapat ditemukan.
Awal agama adalah mengenal Allah, dan mengenal Allah tidak lain memerlukan ilmu jua. Sekali lagi keadaan ini perlu menyedarkan kita, ilmu sangat penting. Berkait rapat sesamanya, panjang sejarahnya, luas cabangnya, dan sukar untuk mendapatkannya.
Kerana menuntut ilmu itu sangat rumit dan serius, hanya mereka yang berhati-hati mampu menjalaninya tanpa putus asa. Bukan mudah untuk memastikan kesahihan ilmu yang diperoleh. Bukan mudah untuk menjaga rukun-rukunnya, bukan mudah untuk menjada disiplin-disiplinya. Maka semua itu memerlukan kepada adab, dan tidak dapat ditemukan adab kecuali pada fitrah, dan sekali lagi, fitrah hanya dapat ditemui pada sandaran Agama itu sendiri.
Maka wahai penuntut ilmu, fahamilah cabaran ini. Persiapkanlah segala yang ada untuk menempuh jalan ini dengan ilkhlas dan rendah hati. Pastikan ianya dibina atas pasak keimanan, kerana asalnya Ilmu itu daripada Tuhan. Janganlah dengan ilmu hanya bertemu kerosakan.
#Menulis hanya untuk memahamkan diri. Semoga kita semua kuat mengharung jalan ini.
~Doakan ana...SPM tak lama lagi.