Ohohoho... dah lama jugak tak menulis. Teringat pesan kakak aku masa mula-mula nak buat blog 3 tahun dulu, katanya "Nak tulis blog ni kena istiqamah." Sebab dia tahu, bila dah lama-lama, boleh bosan jadinya, atau bila sibuk bekerja, tak berbagi pulak masanya.
Aku sendiri tak tahu apa yang mahu ditulis kali ini, tapi disebabkan rindu aku singgah sebentar menyapu habuk tebal, dan cuba menghalau bau hapak dek lama ditinggal.
Blog ini hampir mati!! Harapnya tidak.
Aku suka menulis, mungkin sebab aku suka penulis... sejak kecil, aku kagum dengan tokoh-tokoh dan peribadi penulis-penulis hebat di tanah air. Mata kanak-kanak aku, terlalu dangkal menilai, tapi terlalu jujur mengikuti.
Tapi lama kelamaan... aku menyedari amanah dalam sebuah penulisan.
Sudah beribu prinsip, bahkan peringatan dari hadis dan Al-Quran tentang beratnya amanah yang terkandung dalam penulisan, tak upaya aku mengumpulkan semuanya di sini.
Cumanya, semakin lama aku berasa berat, ternyata penulisan bukan sekadar medan untuk peminatnya, lama-lama boleh jadi syok sendiri. Penulisan bukan sekadar tempat mengasah bakat, apatah lagi bernafsu memburu nama... penulisan tidak lain tidak harus tertuju pada satu niat, membawa manusia kepada kebenaran, kepada Allah.
Noktah.
Setelah mula bergaul dengan ramai manusia daripada latar belakang berbeza, membaca buku berat-berat kerana terpaksa mencari ubat, melalui susah senang kehidupan yang memaksa aku mencari bekalan, penulisan banyak mempengaruhi keputusan aku hampir setiap masa. Aku terkesan dengan penulisan, bahkan diluar sana juga berjuta insan berhajatkan petunjuk dan bimbingan daripada penulisan.
Lantas, aku mempelajari bahawa penulisan sangat mampu membantu kehidupan insan. Peranannya terlalu besar dan terlalu tinggi untuk dihuraikan. Kadang kata-kata tidak mampu melantunkannya.
Kerana peranannya terlalu besarlah, aku segan segan untuk menulis. Aku risau benar jika aku menjadikan harga sebuah penulisan itu murah. Menjadikan nilai besarnya kelihatan kecil. Aku malu untuk terima sebuah beban amanah yang tak mampu aku pikul.
Post kali ini hanyalah bahan muhasabah aku, dulu aku teringin benar menjadi seorang penulis. Tapi kalau hanya kerana itu, aku kekosongan isi, aku kekosongan jiwa untuk melaksanakannya. Yang tinggal hanya keinginan, nafsu.
Aku yakin, hendak menjadi penulis kerana Allah, harus punyai sikap sabar, dan bila sampai waktunya... perlulah meletakkan komitmen setingginya untuk menyajikannya dalam keadaan terbaik. Jangan pula bila sampai waktu itu, alih alih beralasan, kedekut waktu, bahkan tamakkan harta.
Aku perlu banyak membaca.
Banyak meneroka,
Banyak fikir, dengar dan tanya,
Tapi tujuannya bukan untuk menulis. Melainkan untuk belajar.
Akan sampai satu waktu, setelah seorang pelajar itu belajar dan belajar...
Dia perlu menyampaikan, kerana jika disimpan, tak punya harga.
Semoga posting kali ini bukan bebelan kosong...
Aku mencari makna,
Daripada bahagian-bahagian kehidupan.