Tahun ini, saya beraya di Kelantan. Alhamdulillah, aman, damai seperti selalu walaupun rumah Tok Ayah tidak lagi sesejuk dahulu. Syukur dapat pulang awal, tidak terlibat dengan pengeboman di Lapangan terbang Ataturk di Istanbul itu. Inna lillah wa inna ilaihi raaji'un.
Ke mana saja saya pergi raya ini, pasti orang bertanya tentang Turki, orang risau, tidak mahu satu lagi negara Islam menjadi medan pertempuran, tempat kemanusiaan dijual dengan harga murah. Saya hanya mampu memohon "doakan Turki", mungkin itu bantuan paling diperlukan Turki waktu ini.
Sejak duduk di perantauan, beraya di tanah air sendiri mesti diselubungi kesyahduan. Kesyahduan yang saya tidak temui sebelum belajar luar negara dulu. Pagi lebaran semakin bererti, mungkin kerana mood syahdu itu memudahkan saya bertafakkur, bermuhasabah dan menghargai peluang-peluang berharga di tanah air sebelum pulang semula ke sana.
Ramadhan ini saya sering berharap agar Allah menjadikannya yang terbaik antara Ramadhan-Ramadhan yang lalu. Saya mengharapkan perubahan dalam diri sendiri. Iyalah, umur sudah menjejak 20... tidak mahu jiwa ini terperangkap dalam keusangan diri yang lama. Ianya tidak lagi selesa untuk diduduki. Untuk itu, saya cuba sedaya upaya, mengambil langkah-langkah yang ada, mengambil peluang Ramadhan membina diri yang baru. Persediaan untuk cabaran tahun hadapan!
Maha Pemurah Allah mengurniakan kita bulan Ramadhan setahun sekali. Bulan muhasabah, bulan peringatan, bulan yang memiliki segala keberkahan dan rahmat.
Tapi mengapa hanya setahun sekali? Itulah soalan maknawi yang ditanya di pagi lebaran.
Setahun ada 365 hari, adakah 30 hari itu cukup untuk merasai rahmat Allah? Ya, manusia memang begitu, kalau bab nikmat, sukar untuk dia berasa puas.
Pagi lebaran, lebih kurang pukul 8.00 pagi, Takbir mula kedengaran daripada corong suara masjid. Saya dan keluarga mula begerak ke masjid yang terletak sebelah rumah Tok Ayah itu melalui jalan belakangnya. Seperti biasa, takbir orang melayu mendayu-dayu, menginsafkan.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,
La ilaha illallah huwallah hu akbar,
Allahuakbar, Walillahilhamd.
***
"Maha Besar Allah, Maha Besar Allah, Maha Besar Allah"
"Tiada Ilah selain Allah, Maha Besar Allah"
"Maha Besar Allah, dan kepadaNyalah segala Pujian."
Bait-bait itu seakan-akan mengingatkan kita,
"Kembalikan tujuanmu pada Allah, Dialah paling Agung, Paling layak ditujukan segala tujuan. Janganlah urusan dunia menipu kamu selepas ini ketika Allah lebih besar daripada segalanya. Ibadah-ibadah kamu di bulan Ramadhan itu, teruskan berbuat untuk Allah, ikhlaskan hanya untukNya. Dialah Tuhan yang layak dicintai, ditaati, tiada Ilah melainkan Dia. Rendahkan dirimu, hari ini kamu kembali kepada fitah, kepada jiwa hamba. Di hadapanNya, kamu tidak memiliki apa-apa. Nikmat Ramadhan yang kamu perolehi, dan nikmat yang kamu dapat selama ini, adalah daripadaNya, dialah yang memberi kamu makan dan minum, dan mengizinkan pula kamu memanfaatkannya. Dialah yang memberi kamu sihat dan kuat, agar kamu berusaha dengannya. Keriangan pagi lebaran ini juga, sambutlah dia dengan kembalikan pujian padaNya, bersyukurlah kepada Dia yang mengurniakan nikmat-nikmat itu. Pujilah dia pada hari ini, yang membantu kamu mendekatiNya pada bulan Ramadhan, yang membuka hati kamu beribadah kepadaNya, yang memberi kamu baju baru, rezeki lebih bagi merayakan lebaran kali ini, kembalikanlah pujian bagi Dia, sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah."
Takbir itu menggoncangkan hati-hati ummat manusia. Takbir itu juga patut menggoncangkan hati-hati musuh-musuh islam. Kerana ia menyegarkan semula pengabdian kita pada Allah, mengembalikan kita pada persandaran kekuatan yang paling kukuh dan berkuasa. Mengembalikan saf-saf ummat islam kepada kesatuan hati, yang diasaskan oleh jiwa hamba yang telah dipupuk pada Ramadhan yang lalu.
Allah Maha bijaksana, 30 hari Ramadhan itu ibarat ujian, menguji tahap iman dan ikhlas kita padaNya dan seakan jawapan kepada penat lelah kita pada bulan Ramadhan itu dijawab pada pagi lebaran. Mungkin kerana itu dikurniakan setahun sekali. Agar dapatlah kita menyedarkan diri kita semula, bahawa kita masih di dunia, ujiannya lebih hebat di hadapan sana. Seperti mana sepatutnya kamu menjawab ujian-ujian di dalam Ramadhan, seperti tulah kamu menghadapi ujian di dunia ini.
Tahulah Dunia ini medan Ujian,
Tahulah Mengagungkan Tuhan,
Tahulah Hanya KepadaNya segala tujuan,
Tahulah Dia pemberi rezeki,
Memintalah dariNya,
Kembalikan kesyukuran.
"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya
diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk keada manusia dan penjelasan-penjelasan kepada petunjuk itu dan pembeza (antara hak dan batil), Kerana itu barangsiapa di antara kamu yang hadir di bulan itu hendaklah ia berpuasa. Dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalakannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."