Bismillah.
Mari kita mulakan,
Dengan seorang qudwah hasanah,
Yang dikatakan dalam surah Mumtahanah,
Sebaik-baik teladan dan uswah,
Bagi yang merindui Allah dan hari akhirah.
Dialah baginda Nabi s.a.w
Yang paling dahsyat ujiannya,
Paling getir hari-harinya,
Paling perit duka dunianya,
Paling kurang serba-serbinya,
Paling trajis hilangnya,
Namun paling banyak tersenyum,
Paling banyak menjadi harapan,
Buat sekalian manusia.
Kita justeru ummatnya,
Manusia biasa yang sangat disayanginya,
Baginda tak mampu untuk ada disisi,
Untuk memberi semangat buat kita,
Namun baginda tinggalkan rakaman hidupnya,
Cekal tabahnya,
Sabar cintanya,
Semangat kesungguhannya,
Buat membelai hati kita,
Turut memujuk rasa,
Suluhan cahaya,
Dengan segenap kasihnya.
Dunia ini dijadikan untuk menghancurkan hatimu,
Kata seorang guru yang banyak ilmu,
Agar cahaya masuk,
Di celah-celah retakannya.
Dalam gelap duka,
Berjanjilah pada diri sendiri,
Bahawa kau masih lagi mencintai cahaya,
Bahawa kau masih lagi merindui bahagia,
Agar yang gelap itu kalaupun dunia semuanya,
Terkecuali dirimu sendiri,
Kuasai apa yang ada pada hati,
Agar gelap duka tidak menentukan makna diri,
Agar sekelumit dukamu,
Tidak bermakna segala-galanya.
Hati manusia itu halnya ajaib,
Kecil kudrat tapi besar semangat,
Mampu memegang sebesar hasrat,
Yang tak tertampung selaut keringat.
Namun ketika duka melanda,
Hati yang sama jugalah,
Membuat segala laku terhenti,
Membuat akal dan cekal mati,
Menjadikan segala cita-citanya yang besar itu,
Tak bererti.
Kini kau tahu betapa bahayanya mengemudi hati,
Dialah tempat iman dan nafsumu bertarik tali,
Tempat pahala dosamu berjual beli,
Tempat hidup matimu diberi erti,
Tempat seluruh umurmu diperjudi,
Justeru syaitan suka,
Mematikan manusia...
Pertamanya dari hati.
Betapa syaitan suka,
Pada hati yang kecewa,
Lantas diajakinya putus asa,
Betapa syaitan suka,
Pada hati yang hilang percaya,
Lantas diajakinya sesat bersama.
Maka katakan pada hati,
Dukamu bukan segalanya,
Kerana betapa ramai yang putus asa,
Ditipu rasa kecewa dan duka,
Bukan kerana tak punya harapan,
Hanya kerana dia mengizinkan untuk percaya,
Dunia ini tiada cahaya.
Irbid
23:54
Mustahil manusia itu sempurna tanpa salah, tapi kita semua dijanjikan kebaikan jika membaiki diri, dan berkongsi rahmat sesama kita :)
Monday, 18 December 2017
Sunday, 10 December 2017
Post mortem kesungguhan nafar ilmu di Tanah Syam
tangga utama pelajar perempuan yang bakal dirindui |
العِلمُ صَيدٌ والكِتابةُ قَيدُهُ -- قَيِّدْ صيودكَ بالحِبالِ الواث
فَمِن الحَماقَةِ أَنْ تَصيدَ غَزالَةً -- وتَترُكها بَينَ الخَلائقِ طالِقةَ
Ilmu ibarat haiwan buruan
dan penulisan tali pengikatnya
Maka ikatlah buruanmu dengan tali yang kuat
Adalah satu kebodohan jika kamu memburu kijang
Lantas membiarkannya lepas bersama haiwan yang lain.
Bismillah.
"Antara cara kita untuk memperbaiki diri adalah menghadiri majlis ilmu. Kita tambah pengetahuan dan kita catat. Setiap catatan kita ada amanah untuk diamalkan." Pesan ringkas naqibah saya ketika kami berbicara tentang usaha membebaskan Palestina.
"Sebab itu akak takut mencatat." tersimpul senyuman pucat di wajahnya.
Dialog di atas adalah dialog beberapa hari lepas. Ketika usrah terakhir sebelum usrah wida'. Bermakna, masa saya bersama mereka semakin sikit. Tanpa sedar ini minggu ke 11 saya di bumi Allah; Irbid.
11 minggu yang berlalu ini pernah dibuka oleh satu niat; Menadah ilmu Tuhan, mencari bekal amalan, memburu jalan juang, menalar makna diri. Namun melihat semula hari-hari yang berlalu, ada sedikit sesal buat masa-masa yang tak diguna dengan kesungguhan sewajarnya.
Setiap hari pasti ada satu hikmah baru pemberian Tuhan. Namun, ada yang hilang dari ingatan. Secepat hilangnya titisan pewarna dalam larutan air. Kerana tidak disimpan dengan kalam, apatah lagi dibina dalam sebuah amal. Ianya kerugian di atas kerugian.
Berbaki lagi sebulan, pada waktu sebeginilah saya baru terhegeh-hegeh masuk kelas bahasa arab ammi, baru berdaftar untuk kelas al-Quran di Markaz Hafsah, baru betul-betul menyantuni kawan-kawan dan mempelajari akhlak mereka, baru mahu rajin bertanya dalam kelas...
Itu adalah manifestasi sebuah penyesalan. Mujur Allah bagi pada waktu yang berbaki ini. Cuba kalau tiada kesedaran lansung? Tepuk dahi.
Pagi tadi saya ke Markaz Hafsah; sebuah Markaz al-Quran Sunnah wal-Jamaah yang terkenal di bumi Jordan. Kata Naimah, tadi sebelum saya tiba ada satu pengisian dari Syeikhah, kata Naimah:
"Tadi Syeikhah pesan; yang dah belajar al-Quran kat sini, kalau balik Malaysia nanti, ajarlah orang-orang Malaysia baca al-Quran pulak. Syeikhah pun ada kata; bayangkan kalau orang biasa menghadap raja, tak kanlah dia nak mintak 5 ringgit je. Mesti digelakkan raja. Macamtu jugak kita, kita nak mintak kat Allah yang Maha Agung, mintalah ganjaran yang Agung. Dan untuk itu kita kena usaha."
Sambung Naimah lagi; "Saya kagum dengan Syeikhah-syeikhah ni, diaorg dahlah kerja tanpa mintak bayaran banyak. Macam makanan yang dia bagi ni pun tak mintak bayaran sikit pun (7 bungkus nasi arab kitaorg bawak balik okay.. huhu). Ni antara tabarruk diaorg. Kalau dia ajar al-Quran pun diaorang tak ajar untuk berkerja, tapi untuk betul-betul bawak orang pada al-Quran."
Saya mendengar dan tertunduk. Terlihat kesungguhan pada syeikhah ketika saya sampai di bangunan sederhana di dekat Bab Syimali itu. Namun ketika disapa, dia memberikan senyuman yang sungguh membahagiakan.
Orang-orang ini adalah orang-orang yang bersungguh memberi, dan pasti saja mereka ini orang yang bersungguh menuntu ilmu sebelum mereka mampu memberi.
Guru-guru di Kuliah Syariah selalu mengingatkan dalam teguran mereka terhadap sikap pelajar Syariah masa kini; "Kamu satu hari sama ada akan menjadi seorang guru, pemberi peringatan ataupun rujukan. Lihat kehidupan kamu, adakah sesuai dengan apa yang kamu belajar?"
Dalam dunia yang serba mudah dan lengkap nikmat makan pakai ini, urgensi memperbaiki kesungguhan dalam jalan menuntut ilmu sukar untuk dirasa. Sedang amanah yang bakal digalas berat. Sedang jalan yang bakal diredahi panjang. Seorang pelajar di kuliah Syariah perlu menjadi seorang yang juhudnya tinggi setinggi harga yang Allah letakkan pada ilmu ini.
Seperti raja yang menawarkan kurniaanNya yang besar-besar, hamba yang tidak bersungguh, manakan layak menerima.
Doakan saya, moga diberkati segala amal, segala ilmu, dan masa-masa yang berbaki.
Irbid
23:05
09122017
Subscribe to:
Posts (Atom)
Entri Terakhir Saya
Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...
-
Bismillah permulaan bagi segala kebaikan. kredit: www.pakistantoday.com Adil...satu benda yang sering dipertikaikan di dunia ini. Sa...
-
Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan. Semalam, berkesempatan ikut kawan-kawan pergi Seminar yang diadakan oleh MURSHID untuk pelaj...
-
Bismillah Pada 10 Mei yang lepas. saya berkesempatan mengikuti lawatan sambil belajar ke Çanakkale. Salah satu wilayahnya adalah Gelib...