Salam Ramadan Mubarak :) Satu nikmat yang meyakinkan kita hidup ini masih berharga.
Apa khabar semua? Semoga Ramadan ini semua orang sihat hendaknya. Di luar matahari baru mahu terbit, subuh baru mahu habis. Jam menunjukkan pukul 5.37a.m. Saya belum tidur sejak pukul 3.30 pagi tadi untuk sahur. Tak dapat tidur, kerana penulisan kali ini! (Semoga bila baca semula nanti, saya ingat perasaan teruja saya waktu ini)
Perasaan saya waktu ini seperti orang yang baru terjumpa emas. Emasnya mahu disimpan, gembiranya mahu dikongsi. Maka dengan niat berkongsi saya menulis coretan ini.
Saya seperti baru belajar kekuatan sebuah disiplin!
Hampir semua dari kita diajar tentang kebaikan disiplin sejak kecil. Namun tak semua yang kita pelajari masuk ke lubuk hati. Seperti belajar resepi berlambak-lambak, tapi buatnya tidak huhu. Transisi sebuah informasi kepada faham, dan faham kepada yakin, kemudian yakin kepada amal adalah satu perjalanan panjang.
Ada orang memerlukan seluruh umur untuk memahaminya. Ada orang membeli semua itu dengan ujian dan air mata. Ada pula orang yang dari awal sudah menemukan nilainya. Tak kiralah apapun cara dan masanya, saya hanya yakin kalau Allah sudah beri, tanda Allah mahu kita hargai. Tak kira lewat manapun kita mendapatkan satu hidayah, ia adalah sebesar sebab untuk kita bersyukur.
Dan kini, saya baru merasai lazat sebuah keyakinan. Yakin bahawa disiplin ada kunci buat dunia yang lebih baik. Dan Ramadan adalah bulan yang sesuai untuk memahamkan kita itu semua.
Kunci? Buat dunia yang lebih baik? Besar betul saya memaknakan sebuah disiplin.
Kita semua tahu bahawa disiplin adalah satu sikap yang dipupuk. Ia hanya menjadi "peribadi" bila dianuti dengan makna yang hakiki (faham sebab musabab) bukan taklidi (ikut-ikutan). Boleh jadi kita dileter, dirotan, didenda dan dimalukan untuk menjadi disiplin. Tapi itu hanya proses. Yang memilih untuk menjadi disiplin itu kita. Dan untuk memilih pertamanya kita mesti suka apa yang akan kita pilih.
Disiplin adalah satu benda yang amat membosankan dalam hidup. Banyak peraturan dan banyak keterbatasan membuatkan kita rasa tidak bebas. Tapi di balik kebosanan sebuah disiplin, ada banyak khazanah, ada banyak kebaikan yang menanti untuk siapa yang sudi membelinya. Dan siapa memilih untuk menjadi disiplin kerana keinginan sendiri, dialah orang yang paling bebas di dunia ini. Berbanding orang yang mahukan kebebasan tapi rupanya hanya menurut keinginan orang lain.
Disiplin adalah sikap orang berjaya. Kalau kita tengok orang-orang yang berjaya dalam dunia ini hampir semua memiliki disiplin yang sama. Bangun awal pagi, rancang jadual harian, membaca, amalkan diet yang sihat dan menyelesaikan kerja pada masanya. Disiplin adalah peribadi mereka. Disiplin mereka menjadikan siapa mereka hari ini. Produktif, fokus, bersedia, dan yakin diri. Bukanlah mereka ini tidak diuji seperti kita, hanya disiplin menjadikan ujian mereka dapat ditempa menjadi kekuatan diri mereka.
Dalam bulan Ramadan, ada banyak perkara yang memerlukan kita disiplin. Niatnya, sahurnya, bersederhana dalam berbuka, sedekahnya, solat terawikh dan tahajjudnya, tilawah dan tadarrusnya, semua itu meminta disiplin kita. Meminta kita merancang, memberi masa, jiwa, fikiran dan tenaga untuk ibadah harian. Dan siapa yang berjaya, Allah ganjarkan pahala berlipat kali ganda. Siapa yang lalai dan leka, bukan bermaksud mereka tidak diberikan nikmat Ramadan, tapi mereka memilih untuk mensia-siakannya.
Atau kata lain, memilih untuk tidak disiplin ibarat mensia-siakan peluang. Dan terlepas peluang lebih rugi dari sebuah kegagalan setelah berusaha. Betul tak?
Saya menulis bukanlah bermaksud saya seorang yang sudah menganuti disiplin. Tapi saya sudah mula menyukainya. Jalan masih jauh, Ramadan adalah peluang terbaik untuk kita mula mempraktiskannya :)
Selamat memanfaatkan bulan Ramadan ini sebaiknya, Moga Allah tuntun dan bantu kita dalam memperbaiki diri dan berkongsi rahmat antara sesama.
Istanbul
0611
20052018