Sunday, 29 May 2016

Lupa...

Bismillah...

Gambar hiasan

Pagi itu Ahmad mundar mandir di perkarangan rumah. Segala tempat digeledahnya. Ahmad sudah lambat, dia ada temujanji penting hari ini. Dan kunci keretanya masih tidak ditemui! "Arghh, mana ni?".

Masa genting sebeginilah Ahmad mula susah hati, dan akhirnya bertukar menjadi stress dan marah-marah. Mulalah dia bersangka-sangka, kalau-kalau ahli rumah ada salah meletakkan kunci keretanya. Habis semua orang dimarah, muka Ahmad masam, suara Ahmad tinggi, orang jadi takut pada Ahmad.

Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Waktu itu, ada seorang budak lelaki, bersongkok hitam, bersamping hijau, berbaju melayu putih kain cotton tiba di rumah Ahmad. Anak yang berumur 11 tahun itu namanya Khairul bin Ahmad. Anak lelaki sulung Ahmad. Dia baru pulang dari Sekolah Agama. Tiba saja Khairul di muka pintu rumah, melihatkan bapanya ke hulu ke hilir tidak keruan, Khairul bertanya sambil membongkokkan badan mencabut kasut sekolahnya "Abah cari apa?"

"Abah cari kunci kereta, Abah dah lambat sangat ni! Sudahlah trafik sesak waktu macam ni" Jawapan Ahmad tidak ubah seperti orang panas baran. Takut Khairul dibuatnya.

"Err..Abah, yang ditangan abah tu apa?" suara Khairul perlahan.

Ahmad terdiam, raut wajahnya seperti kerang busuk. Senyum pun tidak, Masam pun tidak. Ahmad malu sendiri, rupanya kunci yang dicari itu ditangannya selama ini, dia sahaja yang tak sedar.

"Terima kasih." sepatah saja jawapan Ahmad kemudian terus berlalu dari situ.

***

Itulah Ahmad, mungkin kita juga pernah menjadi Ahmad. Atau tidak kurang juga menjadi "mangsa" keterlupaan Ahmad.

Dalam hidup ini kadang benda kita dah tahu, dah nampak, dah rasa pun... tapi sebab tidak sedar, atau sebab lupa, tahu, nampak dan rasa itu tidak membantu kita.

Paling teruk jika kita lupa pada waktu-waktu yang sangat genting. Kita jadi tak tentu arah. Kita boleh marah-marah.

Waktu itu, kesian pada yang kena marah... Kena sabar banyak-banyak.

Waktu itu juga.. kita perlukan Khairul, orang yang mengambil tahu, bertanya, melihat, dan paling penting membantu menyedarkan balik apa yang tidak disedari orang yang sedang dalam kelupaan itu.

Khairul dalam kisah ini adalah "pemberi ingat". Kalau tidak ada Khairul, mungkin malam itu Ahmad akan bertindak di luar jangkaan. Temujanji penting Ahmad mungkin lansung dibatalkan.

Dalam hidup ini, manusia senang lupa... yang lupa mesti bertenang, kadang yang tidak membantu kita bukan sikap lupa, tapi sikap kita yang tidak bertenang. Sikap cepat membuat konklusi. Sikap cepat menyalahkan orang. Sikap tidak mahu melihat ke dalam diri.

Dalam hidup ini, kita perlukan pemberi peringatan... Yang ikhlas mahu membantu. Yang prihatin. Yang memerhati dahulu sebelum turut marah-marah. Yang merendah hati mengingatkan bukan mahu mentertawakan.

Dan di akhir hari, yang lupa harus menghargai yang mengingatkan. Rajin-rajinkan diri "meminta" tolong pada orang. Kadang orang tak tolong bukan sebab tak mahu, tapi sebab takut nak mendekat, siapalah tidak takut orang marah-marah. Yang mengingatkan pula jangan mengusik, orang perlu bantuan bukan ejekan kita.

~~~

Kita hidup dalam masyarakat yang cepat betul melenting bila ada sesuatu yang tidak kena. Sabar sekejap, kadang cepat sangat mengikut rasa, buat masalah lebih sukar untuk diselesaikan. Kita hidup dalam masyarakat yang suka mengejek sesama sendiri, lupa agaknya kalau diuji benda yang sama, kita pun perlu orang yang diejek tadi membantu kita.










Saturday, 28 May 2016

Doa dan adat Orang Turki.

Bismillah..

Dah lama tak menulis, maaf sibuk dengan segala macam jadual. Hari ini baru habis exam final, alhamdulillah. Doakan supaya saya istiqamah menulis.

Doa dan adat orang Turki... tajuk kali ini bukan mahu bercerita tentang bagaimana orang Turki berdoa, tapi mahu berkongsi satu budaya sapaan orang Turki yang penuh dengan doa.

***

Pagi itu, sambil menggosok-gosok mata menunggu giliran bilik air, ada seorang kakak Turki juga mampir untuk menunggu giliran.. pastilah selepas saya! Hehe. Kalimah pertama yang diucap olehnya "Hayırlı Sabahlar." maksudnya.. "Semoga pagi kamu dipenuhi kebaikan". Setiap pagi, hampir saja setiap kali bertemu dengan sesiapa sahaja, itulah doa yang akan diucapkan oleh mereka.

Selepas solat dan menelaah bacaan, akan tiba masa sarapan. Dalam pukul 8.30 pagi setiap hari. Kami biasanya akan bersedia menunggu juadah di meja makan yang kami panggil "sofra" atau bahasa melayunya safrah. Ketika mahu memulakan suapan pertama biasanya rakan yang memasak pada hari itu akan berkata pada kami "Afiyet Olsun" Maksudnya "Semoga makanan itu afiah (berkhasiat) buat kamu." Ucapan itu disambut senyuman dan dibalas doa pula ;"Ellerinize Sağlık." Maksudnya "Semoga Allah mengurniakan kesihatan kepada kedua tangan kamu." Selalunya doa inilah yang akan diucap di kedai-kedai makan dan ketika menjamah makanan yang disediakan tuan rumah kepada tetamu-tetamunya.

Kemudian saya bersiap-siap, mula melangkah keluar rumah untuk ke sekolah. Semasa sedang mengenakan kasut, sesiapa sahaja yang menghantar saya sampai ke pintu akan berkata "Iyi dersler" Maksudnya "Selamat belajar." Jika keluar itu untuk tujuan musafir akan dikatanya pula "İyi yolculuklar". Yang bermaksud "Semoga perjalanan awak baik-baik saja."

Kalau singgah membeli roti di tepi jalan itu orang Turki akan berkata kepada penjaja roti "Kolay Gelsin." Yang bermaksud "Semoga dimudahkan urusan.". Selepas jual beli Pakcik penjaja roti akan berkata pada pembeli "Allah bereket versin." "Semoga Allah memberkati pembelian kamu." Bukan sahaja di kedai-kedai roti, di mana-mana sahaja kita terserempak dengan orang sedang berkerja, doa "Kolay gelsin" itulah yang akan diucapkan. Baik untuk memulakan perbualan atau sekadar sapaan mesra. Kalau singgah membeli pakaian atau hadiah, peniaga akan mengucapkan pada si pembeli "Güle-güle Kullan" "Selamat Mengguna." dan akan disambut dengan ucapan terima kasih orang Turki "Teşekkürler."

Semasa berurusan dengan orang di talian, kalau waktu itu masih siang akan diucapkan "İyi günler" atau dalam bahasa inggerisnya "Good evening." Dan jika petang "İyi akşamşar."

Di sekolah, kalau musim peperiksaan tiba, akan kedengaran doa-doa seperti:
"Allah Yardımcın olsun" "Semoga Allah membantu kamu"
"Allah kolaylık versin" "Semoga Allah memberi kemudahan pada kamu."
"Allah muvaffak etsin" "Semoga Allah membantu urusanmu"
"Allah zihnini açıklığı versin" "Semoga Allah membuka kemampuan berfikir."
Dan banyak lagi.

Kalau orang baru bertunang, kepadanya diucapkan "Allah utandırmasın." Maksudnya lebih kurang "Semoga Allah menjayakannya." Kalau yang berkahwin juga begitu, kadangkala "Hayırlı Olsun" juga diucapkan. Maksudnya "Semoga dikurniakan kebaikan (atas perkahwinan ini)."

Setiap hari di surau sekolah, ada saja kedengaran doa-doa untuk orang-orang yang baru sudah sembahyang "Allah kabul etsin" yang bermaksud "Semoga Allah menerima ibadah kamu."

Yang lucunya jika orang Turki marah, untuk tidak berkata yang bukan-bukan akan diucapnya "Allah hidayet versin." "Semoga Allah memberinya hidayah" Atau "Allah cezanı vermesin" "Semoga Allah tidak memberinya balasan buruk." Kadangkala diucap "Allah Affetsin" "Semoga Allah mengampunkan". Hehe... kadang saya ketika marah pun terikut juga budaya ini.

Bila malam berlabuh dan mata pun mahu berehat, kami biasa mengucapkan sesama sendiri "İyi geceler, Allah rahatlık versin." "Selamat Malam, Semoga Allah bersikan kerehatan."

***

Begitulah orang Turki, doa yang ringkas itu sudah menjadi adat mereka. Mungkin lebih kurang dengan ucapan harian orang Arab. Mungkin berasal dari doa yang diajar Nabi. Apa-apa pun budaya baik ini semoga berterusan sepanjang zaman. Semoga dihayati dan diamalkan dengan sedar agar mendapat pahala ibadah, di samping terus menyebar rahmah.

Sekian saja kali ini,
Doakan kami :)












Tuesday, 19 April 2016

Pilihanraya Pertama Persatuan Pelajar Malaysia Turki.

Bismillah...

Hoho, masa aku menulis ini adalah masa-masa terakhir buat calon-calon presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Turki untuk berkempen kerana esok ahli-ahli akan mula mengundi. Grup di facebook pun masih tidak surut-surut dengan "propaganda" para calon :)

Walaupun aku bukanlah antara yang tercalon, tapi rasa berdebar tak boleh dinafikan. Bukan apa, ini adalah pilihanraya pertama kami bagi memilih pelapis baru kepimpinan MASAT/PPMT. Kepimpinan yang bakal menjaga kebajikan pelajar termasuk aku... (haha... gelak jahat, gurau je) Walaupun sebelum ini PPMT pernah dipimpin oleh dua bekas presiden, namun perlantikan mereka tidak melalui proses pilihanraya rasmi seperti yang kami alami hari ini, disebabkan pada waktu itu bilangan pelajar sangat sedikit.

Kalau rakan-rakan nak tahu, PPMT adalah persatuan yang sangat muda, umurnya baru secangkul jagung. Batch senior kami yang akan pulang tahun ini termasuklah bekas presiden merupakan batch kedua. Dan aku dan rakan-rakan yang datang pada tahun 2014 boleh dikira batch ketiga atau keempat.

Kerana umur yang muda, dan pengalaman yang sedikit, PPMT melalui banyak cabaran dalaman mahupun luaran. Kalau PEMERAM di Mesir yang sudah berumur 80 tahun itupun masih banyak dugaannya, inikan pula PPMT yang masih banyak kekurangan untuk dibaiki dan ilmu untuk dipelajari.

Credit gambar: Pembentangan Manifesto oleh calon-calon presiden.
Yang menariknya, AJK sesi lepas berjaya bertungkus-lumus menyiapkan perlembagaan persatuan. Dengan menggunakan bakat pelajar terutamanya pelajar political science. Budak hingusan macam aku ni bila dengar perlembagaan persatuan terus macam "Wow!" Tak sangka persatuan sekecil ini pun ada "akkta-akta"nya. Apa yang aku belajar, ini adalah satu usaha besar dan murni senior-senior kami yang mengorbankan masa dan tenaga, memerah fikiran bagi menghasilkan satu rangka yang bakal memudahkan hala tuju persatuan ini di masa-masa mendatang.

Duduk di Turki baru aku belajar, hidup berorganisasi itu bukan suatu yang mudah. Mujur ada abang kakak yang sudi menyedarkan aku akan hal ini. Pelajaran ini tidak diajar secara literal di sekolah-sekolah. Mungkin bukan teori, tapi kemahiran bergaul dan bekerjasama itulah yang diperlukan. Bukan mudah, apatah lagi bila sampai satu waktu wujudnya perselisihan faham, kegagalan komunikasi, terluka hati, dan bila masing-masing memiliki agenda dan ideologi tersendiri yang jika mahu didegilkan juga, akan musnahlah satu persatuan itu.

Selama aku berada di Turki, aku juga antara saksi-saksi pergolakan dalam persatuan. Kalau mahu dicerita boleh jadi aib orang terbuka, hati-hati terasa. Yang penting, pengalaman ini sepatutnya dipandang serius oleh setiap pihak. Sama ada yang menegur atau ditegur. Kerana dalam satu-satu perselisihan, sangat mustahil untuk kita buktikan hanya satu pihak sahaja bersalah. Apabila namanya persatuan, nak melakukan pembaikan tidak boleh tidak dengan penyatuan juga.

***

Kebetulan kawan yang semadrasah dengan aku dicalonkan kali ini. Aku gembira dengan pencalonannya, sejujurnya inilah satu "catalyst" yang mendewasakan seseorang, baik pemikirannya, jua peribadinya. Makin lama, aku boleh lihat kawan aku ini makin pandai duduk dalam organisasi. Kami satu usrah, walaupun kekadang ada terasa hati ataupun pergaduhan kecil antara kami, aku tak dapat nafikan, dia memiliki sifat kepimpinan yang aku tidak ada. Dan ia sangat berguna satu hari nanti jika berjaya digilap dengan cara yang betul. InsyaAllah, kawan aku ini akan berjaya dunia dan akhirat! Aamin.

***

Satu lagi yang memberi "kesan sampingan" pada diri ini pada pilihanraya kali ini adalah "manifesto" calon-calon bagi jawatan presiden. Seronok bila warna-warni bahasa, janji-jani hebat terserlah. Manifesto yang dibuat kadang-kadang boleh mencerminkan idea dan identiti pembentangnya. Kami diingatkan oleh seorang senior agar "ayat-ayat manis" musim berkempen tidak menjadikan kami terpedaya daripada menilai semula isi manifestonya. Adakah lojik? Mampukah dilaksanakan? Pengalaman kerjanya bagaimana? Semua itu perlu diperinci supaya tidak menyesal kemudian hari.

Kakak kami yang sudah berkecimpung lama dalam medium ini juga mengingatkan kami, bila risau melihatkan manifesto-manifesto besar yang dijanjikan pelajar mungkin dirasakan tidak mampu digalasnya seorang diri, di sinilah timbul persoalan bagaimana kepimpinannya berjaya menarik orang bawah bekerja bersamanya bagi menjayakan rancangan-rancangannya itu. Jika benar tidak mampu kerana tiada tenaga kerja, kita boleh melihat dari sudut postif, iaitu kegagalannya bukanlah semata-mata kegagalan individu. Dia telah menyediakan peluang, tetapi ahli gagal mengambil peluang itu.

Pendek kata, kalau mahu mengenal kepelbagaian manusia, buatlah satu pilihanraya nanti terbukalah pekung kepelbagaian itu. hoho. Semoga cita-cita PPMT yang mahu menjadi wadah persatuan, dan penggilap generasi gemilang tercapai.

Banyak lagi sebenarnya hendak diceritakan, tapi mata dah mengantuk, esok perlu bangun awal.

Doakan Kami!!
Selamat Malam.










Tuesday, 5 April 2016

Budaya Ilmu, persimpangan anak muda.

Bismillah.

Iqra' kalimah pertama yang Allah perintahkan menjadi wahyu kepada umat manusia. Iqra' adalah satu proses mentamadunkan manusia. Iqra' adalah satu peringatan dan wasilah pendidikan untuk menyedarkan umat manusia.

Di Turki, budaya ilmu sangat pesat. Terutama Istanbul. Boleh kata, hampir setiap minggu tiada satu pun universiti yang tidak menganjurkan perbahasan akademik atau konferans. Malah bertaraf antarabangsa. Mungkin kerana Turki berada di antara barat dan timur, mudah untuk mereka menjemput penyampai daripada universiti luar negara. Sudahlah Istanbul ini, negeri yang paling banyak institusi pendidikan tinggi, pengangkutan awamnya cekap... hampir saja tiada sebab untuk tidak menyibukkan diri dengannya.

Tapi itulah dilema anak muda di Istanbul, selepas berjalan mencuci mata, membeli belah, gangguan ketiga adalah majlis ilmu.

Sengaja aku pakai perkataan gangguan, sebab kalau tak pandai bahagi masa baik-baik, pergi banyak-banyak majlis ilmu pun tidak bagus.

Apa-apa benda baik kalau berlebihan pun, selalunya tidak bagus.

Kredit gambar

VISI dan MISI

Abaikan Istanbul sementara, Malaysia juga menghadapi perkara yang sama. Diskusi buku antara program ilmiah yang mendapat sambutan hangat. Peminatnya ramai. Lagi-lagi bila ia menjadi trend terutama di media sosial, siapa tak pergi dianggap ketinggalan, ataupun tidak peka dan ambil tahu hal semasa.

Jadi, anatara yang setia pergi untuk menimba ilmu, dan tidak pergi lansung itu... ada satu golongan anak muda yang tersepit di tengah-tengah.

Iaitu yang pergi sebab semua orang pergi,
Iaitu yang pergi sebab nak rasa berilmu,
Ataupun yang bingung kenapa aku dengar benda yang tak ada kaitan dengan aku...

Pendek kata,
Golongan ini, belum berjaya meletakkan niat yang benar untuk mengikutinya.

Jadi yang banyak-banyak hadir konferans itu, ada yang akan datang kosong-kosong, pulang kosong-kosong, ada pula datang sebab nak kata orang lain salah dia betul, ada pula datang semata-mata dapat tangkap gambar dan muat naik di laman sosial.

Niat yang tulus datang menadah ilmu, dan mencari jalan mengamalkannya kalau ada pun sikit sekali di sudut jiwa.

Jadi hadir majlis ilmu gagal melahirkan individu dengan mentaliti tinggi, kerana datangnnya dengan jiwa-jiwa sakit.

Bukan mahu kata "tak payah datang lagi bagus"... datanglah, meriahkanlah.

Tapi dalam masa yang sama, biarlah kita datang dengan niat yang betul, dengan kesediaan. Benda ini bukan benda yang asing pun, benda ini adalah asas si penuntut ilmu.

Kita bukanlah makhluk Allah, yang diciptakan untuk jadi pendrive, kumpul maklumat dan muntahkan bila berkepentingan.

Kita adalah makhluk yang diperintahkan dengan wahyu untuk menuntut ilmu. Mengeluarkan diri dan ummat manusia daripada gelap kepada cahaya.

Jika dengan budaya-budaya ilmu ini melahirkan orang yang saling mencaci menghina, meremehkan nilai dan kemuliaan ilmu dan adab mendapatkannya, kita perlu soal semula, apakah benar niat kita.

Kerana amalan bergantung pada niat. Manusia tak mampu hidup hanya begantung pada akal, jika ilmu yang dipelajari tidak menjadikan kita manusia, tidak membawa kita kepada jiwa hamba, maksudnya kita pergi dengan hati yang mati.

Aku menegur diri sendiri, sudahlah menjadikan budaya ilmu sebagai satu lagi "adat" ikut-ikutan (taklidi), biarlah pergi ada kesedaran, ada hadaf masa depan. (hakiki).

Bak kata guru aku, ilmu yang tidak diniatkan mencari hakikat, tidak akan mampu mebawa nilai apapun.

Wallhua'lam..












Tuesday, 15 March 2016

Rasa bersalah...

Bismillah.

Malam ini,
aku bebantalkan bantal putih,
Mengalasi akal yang kelam.
Katil yang empuk,
Menyenyakkan hati yang keras,
Damai dan kesunyian,
Yang meneman hati penuh kerisauan.

TMI diharamkan,
Bom di Turki kian menjadi,
Teriakan tahanan Guantanamo,
Menyiksa batin ini.

Wajah anak-anak Syria mengemis,
Di sekitar jalan-jalan Fatih,
Membuat jiwaku letih,
Mengapa masih ada yang tersisih?

Sebutlah segala masalah ummat,
Seakan tiada penamat
Yang terasa bersalah dan berat,
Adalah aku yang tidak berbuat,
Malah tidak mengerah keringat,
Adakah aku juga terlibat,
Menjual maruah ummat?
Adakah aku si pengkhianat?
Yang tidak reti bertaubat?

Risau hati ini tidak akan hilang,
Selagi tidak mampu turut berjuang.

Rasa bersalah tidak akan terhapus,
Selagi berdiam diri tidak dikambus.


Wednesday, 2 March 2016

Apa Sumbangan Terakhir Kamu?

Bismillah...

Oho... tajuk kat atas tu adalah soalan seorang kakak kepada kami sabtu lepas. Termenung dibuatnya..

Antara malu nak cakap, atau tak tahu...

Kakak yang memiliki pandangan mata yang teduh dan senyuman keibuan itu adalah bekas pelajar psikologi di Australia. So jangan terkejut kalau rasa macam dia pandai main suasana... hehe

K.Afrah menunjukkan kami gambar-gambar orang2 yang dikenang sumbangannya di pelosok dunia. Antaranya termasuklah William Scannel. Seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang berminat mempelajari bahasa arab dan menyampaikan mesej keamanan kepada kanak-kanak Syria melalui projek poskad yang dimulakannya.

Dan kembali semula kepada soalan tadi... apa sumbangan kita?

Kadang-kadang kita ada banyak sumbangan, tapi disebabkan benda tu terlalu biasa buat menjadikan kita tidak sedar, ianya boleh menjadi salah satu sumbangan. Kita jadi tidak berniat, lantas nilainya kosong. Kita tidak memikirkannya, ia menjadi unconcious act yang tidak dikawal oleh akal apatah lagi hati.

Contoh semasa ke sekolah, senyum pada orang sekeliling adalah sumbangan. Berpakaian rapi dan menjaga keselesaan orang lain adalah sumbangan. Basuh tangan supaya bakteria tidak terkena orang lain adalah sumbangan, belajar dan mengajarkan pada orang lain adalah sumbangan... cumanya ia bergantung pada niat.

Jika muslim berniat kerana Allah, ia lantas menjadi wasilah untuknya mendekati Allah. Inilah yang disebutkan dalam al-Quran di mana mereka yang berbuat baik sebenarnya berbuat baik pada dirinya sendiri.

Niat bergantung pada akal iaitu pemikiran kita apabila mahu melakukan sesuatu. Kita muslim digalakkan berfikir, menuntut ilmu, berinformasi agar semua yang kita buat adalah objective oriented. Tahu sebab musabab satu perlakuan. Tahu hikmah tindakan. Jika satu amalan baik kita fikirkan untuk tujuan baik yang banyak... maka kita akan nampak sumbangan yang banyak. Kita akan lebih sensitif dan  bersemangat untuk menyumbang.

Yang kedua adalag bergantung pada hati. Iaitu perasaan. Kalau kita menggunakan perasaan suka, simpati, bermotivasi, dan sebagainya dalam satu-satu pekerjaan, ia akan membentuk cara berbuat dan bertindak dalam sedar.

Orang yang bertindak hanya pakai akal contohnya "saya kira duit sebab nak bajet masa nak berbeli nanti" ibarat robot... semasa dia berbeli, dia tidak menggunakan hatinya untuk mensyukuri rezeki Allah, berbuat baik, memberi salam kepada para pelanggan, tidak terfikir mahu menambah apa yang Allah redha semasa dia membeli belah. Seperti robot, berkerja dengan sistem dan tidak lebih daripada itu.

Orang yang bertindak hanya pakai hati pula akan terlebih emosional. Suka sahaja tapi tak tahu kenapa. Kadang bila sedih, ilmu yang dia ada tidak dapat mengawal kesedihan dia. Ilmu yang dia ada menjadi tidak berguna ketika emosi lebih dipentingkan contohnya ketika marah, mahupun gembira. Jadi tindak tanduknya tak terkawal... itu yang menjadi masalah manusia yang terlalu stress... ilmu agama seperti percaya pada bantuan Allah tidak lagi mampu membantu dirinya.

Dan kakak itu tanya semula kepada kami.. lepas usrah ada tak apa-apa perubahan?  Atau hanya pakai akal. Banyak ilmu tapi tak pakai. Tak "rasa" kesannya.

Dalam quran mukmin itu ibarat pohon yang baik, dari benih yang baik, mengeluarkan buah yang baik seizin Allah pada setiap musim. Mengkagumkan penanamnya. Proses menanam dan membaja adalah proses tarbiah. Dan sepatutnya hasilnya buah yang manis, serta manfaat yang banyak. Kerana akarnya kuat, dan tumbuh sihat.

Konklusinya... sumbangan kita banyak, sepatutnya banyak. Kerana tarbiah yang kita lalui selama ini bukan untuk akal sahaja, bukan juga untuk hati sahaja... tapi dalam amal yang disertai kedua-duanya. Barulah nampak dimana sumbangannya.

Wallahualam

Monday, 29 February 2016

Bila aku Memahami Tarbiah?

Bismillah.

Mungkin post ni sesuai untuk mereka yang mengikut usrah. Mereka yang mungkin hanya garu kepala bila naqib/naqibah tanya:

"Sejak bila join tarbiah?"
"Kenapa datang usrah?"
"Apa itu tarbiah?"

Haha... soalan-soalan inilah yang juga sering meninggalkan jawapan aku kosong dari isinya. Atau kata lain, aku sendiri tak yakin jawapan aku tu betul atau tidak.

Tarbiah... semua orang boleh pergi search apa maksud dia di google. Sangat mudah... iaitu proses pendidikan, pembentukan peribadi.

Tapi setiap orang ada definisi mereka tersendiri terhadap tarbiah. Berdasarkan apa yang telah mereka lalui dalam hidup.

Kalau aku katakan tarbiah aku start masa aku 9 tahun. Maksudnya aku faham yang umur itu aku start melalui proses merubah diri aku dari diri aku yang lama. Ada sesuatu yang berlaku menjadi kayu ukur yang melahirkan takrifan itu.

Dan kawan2 juga pasti ada kisah kawan2 sendiri :)

Hari ini pertama kali aku rasa aku faham apa itu tarbiah.

Hehe... ini semua sebab daurah yang kak Afra dan K.Timah sampaikan. Allah bagi, alhamdulillah.

K.Timah pernah kata yang isinya lebih kurang;

"ingat tak zaman awal2 perkembangan islam dulu, ada berapa orang je yang sokong Nabi? Hanya beberapa sahaja, tapi kesan daripada beberapa orang nilah sampai boleh menguasai sepertiga dunia. Siapa mereka ni? Siapa mereka yang memilih untuk mendapatkan tarbiah rasulullah ni?  Kalau kita tengok mereka ni orang2 yang baik sejak dari zaman jahiliah, mereka rasa ada something problem dengan masyarakat mereka. Mereka hendak pembaharuan, dahagakan penyelesaian. Dan bila Islam datang, merek teruja nak tahu, dan bila mereka temukan apa yang mereka cari selama ini mereka bersungguh-sungguh menyampaikannya."

Ya... adakah kita seperti mereka?

Adakah kita juga merasa ada something wrong dengan masyarakat kita?

Adakah kita pergi menuntut tarbiah untuk mencari penyelesaian? Untuk merubah keadaan?

Kita perlu tahu tarbiah tujuannya bukan sekadar menambah ilmu. Tarbiah hanya wujud bila ilmu diaplikasi. Ilmu hanya letak di akal... tapi mukmin sebenar bertindak menggunakan akal dan hati. Iaitu mengetahui KENAPA di balik tiap sesuatu... Kenapa kita menuntut ilmu? Kenapa pula kita nak sampaikan?

Kita perlu tahu tarbiah ini membaiki kualiti diri. Dan adalah seperti pokok yang tumbuh. Dari benih, membesar menunjang ke langit dengan akar yang kukuh. Memberi buah dan manfaat kepada yang lain. Bukan hanya kekal pada diri sendiri.

Tarbiah adalah satu proses yang berekembang, satu yang nampak hasilnya pada gerak kerja. Kalau tidak ia bukan lagi proses pendidikan, ia tidak lebih daripada proses mengajar yang terbatas hanya di pengetahuan.

Tarbiah bak kata Anis matta adalah proses mencetak ulang manusia. Menyampaikan mereka kepada fitrah.

Pendidikan diri sepatutnya melahirkan insan yang lain. Insan yang objective oriented. Apa2 sahaja dalam hidup dia, harus ada kesedaran terhadap apa yang dilakukan, bukan mengikut sahaja. harus ada niat yang menjadi wasilah dia kepada Allah. Walaupun hanya pada berjalan kaki atau cara makan... semuanya menjadi medium dia mengingati Allah. Medium dia Berzikrullah.

Banyak lagi...

Hehe.. penulisan ini tak tersusun. Kalau berkesampatan mahu dikongsi ayat-ayat al-Quran tentang tarbiah. Supaya kita lebih memahami cara untuk mendalami makna yang sebenarnya.

Tarbiah membuatkan aku mahu menyampaikan nikmatnya pada yang lain. Ia ibarat ubat buat ummat yang sedang tenat.

Wallahualam.


Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...