Err....telan air liur mendengarnya.
Ya, berasa diri mulia. Bolehkah? atau lebih tepat, "Layakkah?"
Merasakan diri mulia biasanya berlaku kerana adanya "environmental factor" yang membinanya.
Ahli Ibadah berasa diri mulia kerana ibadahnya,
Ilmuwan berasa mulia kerana ilmunya,
Hartawan berasa mulia kerana hartanya,
Agamawan berasa mulia kerana agamanya.
Bolehkah berasa diri mulia? Fikirkanlah, berapa banyak kefasadan yang telah dilakukan oleh tangan-tangan pemerintah yang zalim kerana berasa diri mulia? Berapa banyak kaum2 yang dibinasakan kerana berasa diri mulia? Lihatlah pengakhiran orang-orang seperti Kamal Ataturk, Firaun, Haman, Qarun serta pengikut-pengikutnya pada zaman ini. Apakah yang dijanjikan kepada Iblis setelah merasakan dirinya "Ana khairun minhu"?
Sifat ini jelas banyak kesan negatifnya daripada baik. Kerana sifat ini bertentangan dengan fitrah manusia. Orang yang berasa diri mulia adalah mereka yang sombong. Menolak kebenaran dan menghina orang lain. Sukar untuk mengaku kesilapan apatah lagi membaikinya. Bangga melakukan kemaksiatan malah menzalimi orang yang menentangnya. Mereka sukar berterima kasih dan bertolak ansur. Cara mereka berjalan dan duduk, bergaul dan menyapa juga berbeza dengan orang biasa. Hujjah mereka wajib diterima, sementara pendangan orang lain semuanya tidak relevan baginya. Mereka tidak gemar mendengar tetapi suka didengari. Kurang memuji orang lain tetapi gemar dipuji dan memuji diri sendiri. Bahkan, banyak terbukti dalam sejarah, runtuhnya sesebuah tamadun adalah hasil tangan orang-orang yang berasakan diri mulia. Hakikatnya, mereka jauh daripada kebenaran, mengambil sesuatu yang bukan milik mereka.
Banyak ayat Al-Quran dan hadith yang memberitahu kita buruknya merasa diri mulia.
Tapi, apakah sebab utama yang menyebabkan "berasa diri mulia" itu buruk bagi kita? Ini kerana asas daripada berasa diri mulia adalah zalim. Iaitu meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Maka, apakah tempat sebenar yang paling baik untuk manusia bagi memastikan hidupnya sejahtera?
Tempat sebenar untuk meletakkan diri kita dan jiwa kita adalah pada tempat seorang Hamba. Allah berfirman dalam Surah ad-Dzariyyat ayat 56:
"Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu".
Beribadah adalah "pengabdian" iaitu "menghambakan diri" kepada Tuan empunya diri. Hamba dalam kata lain dikenali sebagai "Harta". Jadi yang bergelar hamba ini adalah mereka yang dimiliki, bukan memiliki. Mereka yang menurut perintah bukan yang memerintah. Mereka yang dinaungi bukan menaungi. Mereka yang diberi perlindungan bukan yang melindungi dan mereka adalah yang menerima upah bukan yang memberi upah.
Mustahil bagi seorang "Hamba" berasa diri dia mulia apabila dia tahu dan sedar bahawa segala yang dia miliki adalah pinjaman yang dipinjamkan padanya. Lebih menempelak apabila kita tahu bahawa ibadah yang kita lakukan itu juga adalah pemberian yang datang dari Izin Allah. Hakikatnya, kita tak punya apa-apa untuk dihadapkan kepada Allah. Kita hanya mengharapkan belas rahmatNya dalam segala kemampuan kita untuk menjalani tiap detik hidup ini. Apabila kesedaran ini mantap, kita akan rasa bersalah untuk mendabik dada memuji diri. Kita akan mengembalikan segala pujian yang kita terima kepada Allah SWT dan menjadi manusia yang bersyukur.
Selesai Bab Hamba, apa lagi "Tempat" yang menyelamatkan manusia daripada penyakit hati "berasa diri mulia"?
Mudah. Caranya adalah melihat kepada Asal usul kita. Apabila kita membenarkan asal usul kita, kita telah membenarkan hakikat diri kita yang sebenarnya. Iaitu, seorang makhluk yang hina. Allah sering mengulang-ulang dalam Al-Quran tentang proses kejadian manusia. Iaitu daripada asal kejadian Nabi Adam, tanah kemudian keturunannya iaitu air mani yang hina. (Rujuk Surah Al-Mukminun ayat 12-14). Pengulangan ini bertujuan memberi penegasan bahawa menyedari asal usul diri adalah penting bagi manusia. Supaya manusia sentiasa sedar akan "realiti" dirinya yang lemah dan hidup bergantung kepada yang lain. Supaya dia juga sentiasa sedar akan Kebesaran dan Keagungan Allah dalam penciptaanNya.
Ini adalah alat supaya manusia tidak "kufur" dan agar manusia "bersyukur". Apakah maksud kufur? "Kufur" adalah "menutup sesuatu" atau "menimbus".
Kenapa saya kaitkan dengan "Kufur"?
Ya, lihat kisah Iblis. Iblis ditakdirkan ke neraka bukan kerana dia tidak tahu atau tidak beriman kepada Allah, tetapi kerana dia "menutup"(kufur) perintah Allah untuk sujud memuliakan Nabi Adam dengan alasan "Aku lebih baik dari dia". Iblis Kufur kerana tidak sedar akan asal usul dia yakni hanya makhluk yang Allah ciptakan sebagai "Hamba". Justeru, kertidaksedaran inilah menjadi sebab utama Iblis terputus dari Rahmat Allah. Kufur inilah ditakuti menjadi risiko dalam membiarkan diri "berasa diri mulia".
Kita boleh lihat tentang "isu berasa diri mulia" dalam realiti masyarakat hari ini apabila, si anak mengherdik ibu bapanya, tentera kerjaan membunuh dan memperkosa rakyat-rakyat tanpa belas kasihan, orang yang memperjuangkan kebenaran dipenjara dan dihinakan oleh mereka yang bersa diri mulia. Banyak kepincangan dalam kehidupan dalam bersama-sama. Maka, sikap ini perlu dibasmi dalam diri masyarakat. Dan tidak ada jalan pintas untuk melaksanakannya melainkan harus bermula dengan kesedaran peribadi yang tinggi.
Larangan untuk berasa diri mulia bukanlah bermaksud kita perlu menghina diri sendiri, cuma larangan itu adalah untuk menyelamatkan kita daripada kehidupan yang lebih menghinakan.
Menyedari bahawa kita ini hamba bukanlah bermaksud kita hanya perlu melakukan ibadah-ibadah khusus sahaja sehingga membiarkan urusan dunia terbengkalai. Taklif khalifah di muka bumi juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang Hamba.
Menginsafi asal usul pula bukanlah bermakna kita tidak boleh memiliki keyakinan diri, tetapi jadikan ia alat untuk "sedar diri" dalam membina keyakinan.
Kesimpulannya, siapapun kita jadikan hidup ini pada landasan yang benar dan pada asas-asas fitrah. Kerana hidup yang bertentangan dengan prinsip itu pasti penuh dengan resah gelisah. Kembalikanlah kemuliaan yang kita peroleh kepada yang Maha Mulia, dan ingatlah bahawa kemuliaan yang kita dapat adalah dengan izinNya jua.
Renungkanlah firman Allah dalam Surah Al-Fatir ayat 10 yang bermaksud:
"Barangsiapa menghendaki kemuliaan, Maka bagi Allah lah semua kemuliaan itu"
Umar al-Khattab radiallahu anhu pernah berkata;
"Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, maka sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kita"
Sekian sahaja,
Yang Baik dari Allah semuanya,
Yang lemah, maafkanlah saya,
Assalamualaikum warahmatullah.