kredit: www.templeofcats.com |
Malam semakin gelap, Mata manusia beransur lelap.
Tepat jam 3.00 pagi,
Tok Wan menghalakan lampu suluhnya ke arah jam,
Sinarannya menerpa wajah Ijat cucunya yang sedang tidur di atas sofa.
"Tokkk..." Ijat menutup mata dengan lengannya. Merengek kerana cahaya itu mengganggu tidurnya.
"Tok nak tengok jam...tak nampak." Jawab Tok Wan ringkas.
Ya...apabila kita terjaga dan mahu melihat sesuatu di dalam gelap, kita mencari cahaya,
Apabila kita tidur dan memilih untuk selesa dalam kegelapan, kita membenci cahaya.
Gelap itu melemaskan, sangat melemaskan.
Tapi apabila kita memilih untuk menutup mata, kita tak sedar dalam kegelapan.
Sebab gelap itu sudah dipilih lebih awal, sebati dengan kegelapan luaran, selesa.
Kita gelap dalam kegelapan.
***
Sejarah mencatatkan adanya 'zaman gelap' pada sesebuah tamadun. Gelap mengikut definisi logik adalah apabila tiadanya cahaya...itulah kegelapan.
Dan kini...dunia seakan-akan begitu gelap, malah menyeramkan.
Palestin,
Syria,
Mesir,
Burma dan Arakan...
Bencana alam yang semakin rancak mengacah jiwa,
Pemahaman agama yang semakin rencam cabarannya.
Kemelut ekonomi yang semakin jauh dari jalan keluarnya,
Politik yang tak habis-habis mencipta cerita,
Dan kini...institusi keluarga dan jemaah perlu terlibat sama?
Dari sebuah negara, bandar, kampung, taman, sehingga ke dalam rumah.
Dari sebuah perundangan, sistem, ideologi, dan pelaksanaan.
Bukannya kita tak punya ilmu, kepakaran dan teknologi...tapi semuanya serba tak kena.
Terasa seakan-akan kita dihimpit dari luar ke dalam, sesak nafas dibuatnya.
Sedangkan himpitan itu adalah hasil individu-individu yang memilih untuk menghimpit,
Akhirnya benar, kita terhimpit.
Tapi jangan hairan, apabila ada yang masih selesa dalam himpitan itu.
***
Apabila deria rasa pada bahagian tubuh tidak berfungsi, kita katakan ia sudah mati.
Apabila hati kita sudah tidak punya sensitiviti yang asas buat seorang 'manusia'...apa yang sudah mati?
Hati.
Apabila baik daging itu, baiklah seluruhnya.
Apabila buruk daging itu, buruklah seluruhnya.
Jangan diperkecil soal menjaga hati, menjaga iman di hati.
Jangan rasa 'tak apa' dengan dosa murahan yang mudah dilakukan atau memang popular dalam kehidupan. Solat tak khusyuk, ilmu tidak dihormati, keluarga tidak dipeduli, mencarut, mengumpat, melampau dalam amarah, rasuah, menindas...
Dosa adalah kotoran yang menggelapkan hati.
Apabila hati gelap...gelaplah dunia ini.
Wahai...
Apakah kita sekarang sibuk mencari teori,
Gah dengan idea yang dipuja dan dipuji.
Sibuk bergayut dengan buku motivasi bantu diri,
mencari isi penting menyalahkan orang lain.
Sibuk berhujjah tentang masalah,
yang hanya menambah masalah.
Tidak menyelesaikan apa-apa.
Masalah berpunca daripada sikap kita, dan sikap adalah cerminan hati.
Apabila manusia memilih untuk menggelapkan hati,
Menjauhi soal hati...berpaling daripada membetulkan hati,
Manusia jadi selesa gelap dalam kegelapan,
Bahkan bila sinaran cahaya menerpa, dirungutnya sebagai gangguan.
Firman Allah;
"Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, (bukankah) mereka mempunyai hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau telinga dengannya mereka dapat mendengar? Maka sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati dalam dada."***
Wahai mata hati...bilakah dirimu akan terjaga, jika dunia bercahaya sekalipun tiada gunanya,
Jika kita masih membutakan diri....
Jam sudah menunjukkan pukul 5.30pagi.
"Ijat...bangun, bangun. Dah subuh ni, jom pergi surau jom." Tok Wan mengoncang perlahan tubuh Ijat.
"Aaarrhhh..hmm...baiklah Tok." Ijat menggeliat lambat.
Sekian,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya,
Assalamualaikum.
Assalam. Saya cuba tidak dalam kegelapan. Tapi kekadang terghalit. Doakan saya sentiasa dalam terang zahir dan batin.
ReplyDeleteWaalaikumsalam wrh. Terima kasih Makcik sudi bertandang ke laman ini. Merasai kegelapan adalah lumrah manusia, insyaAllah. Semoga kita sama-sama boleh menjadikan kegelapan sebagai alat mencari cahaya, bukan menutup mata.
Delete