Assalamualaikum, apa khabar?
1 Jun yang lepas, kawan-kawan saya ramai yang sudah daftar masuk universiti. Saya lambat sikit. Jadi, ramailah yang update status-status berkenaan di laman sosial masing-masing. Saya jadi tukang pemerhati.
Ada yang happy, teruja, dan ada pulak yang merungut, hentak-hentak kaki nak balik (hiperbola), tension dengan kuliah pertama tanpa pensyarah, sesi orientasi yang katanya penat tahap maksima, dan macam-macam lagi.
Saya gelarkan semua fenomena tahunan ini sebagai S.M.U..... Sindrom Masuk Universiti!
wasil.deviantart.com |
Teringat zaman sekolah menengah dulu....(bajet macam dah lama tinggalkan sekolah). Hari pertama dihantar masuk sekolah berasrama penuh masa tingkatan empat sangat dramatik. Jarang tinggalkan mak ayah. Jarang pergi kem jauh-jauh. Tiba-tiba, hari tu dihantar dengan segala baldi, baju, tilam dan bantal untuk diusung ke luar negeri. Negeri yang loghatnya sangatlah berkenan di hati...eceh.
Tambahan pula masa tu uniform sekolah yang agak berbeza dengan sekolah lain tak dibeli lagi. Dah rasa macam makhluk asing yang bertandang masa perhimpunan pagi yang pertama. Tak ada seorang pun pelajar baru yang secara asli asal orang Shah Alam. Jadi mungkin benar, saya pendatang asing. Masuk dorm baru yang memuatkan 40 orang, hanya empat orang sahaja yang sama baya, yang lain adik-adik belaka.
Hancur luluh hati ini masa bersalaman dengan Mak Ayah dan adik-beradik. Dan pecah juga empangan air mata bila kereta berlalu pergi sehinggalah bayangannya hilang dari pandangan mata. Ayah hon sebelum pergi. Mula-mula cover sebab ada orang nampak. Lepas tu sejujurnya tak ingat...hehe
Malam tu, ustaz beri ceramah utama bagi pelajar baru. Ustaz kata ustaz nampak drama sedih pelajar-pelajar baru dekat pagar sekolah....Malu sendiri masa tu.
Saya bukan pelajar sekolah agama, asas bahasa arab entah ke mana.
Saya tak reti nak buat loghat kedah, kalau buat pun orang ketawa.
Malam tu saya berendam air mata. Masa nak perkenalkan diri dalam halaqah di surau saya sebak dan tak mampu meneruskan kata. Seminggu sudah berlalu, saya masih menangis teresak-esak di belakang kantin semasa menelefon Mak di rumah. Ustaz saya nampak dan risau agaknya. Ustaz pun bertanya "Awat cheq teghiyok?"
Bukan saya tak ada kenalan baru, tapi mungkin sebab banyak dugaan. Cuma nak bagi tahu kawan-kawan betapa teruknya 'homesick' saya. Menangis banyak sangat sampai pandangan mata saya nampak berlapis-lapis. Bila periksa dekat kedai cermin mata, dia kata otot yang memegang retina saya sudah lemah. Katanya mata saya sama macam mata orang yang berumur 30 tahun. Aduh! saya baru 16 tahun waktu tu.
Pendek cerita, saya keluar jugak akhirnya dari sekolah itu dan pulang ke kampung halaman. Tapi bila dah keluar, banyak pulak sesalan yang terasa. Saya kerugian empat bulan di aliran sains. Nak kejar balik silibus pun terkapai-kapai. Saya terkilan tak dapat sambung bidang agama, perkara yang diimpi-impikan beberapa tahun sudah. Saya rasa bersalah menyusahkan mak ayah. Tebal muka Ayah semasa isi borang tukar sekolah depan pengetua. Banyak duit habis. Banyak masa terbuang.
Itulah kisah panjang yang dipendekkan. Kisah yang banyak mematangkan diri ini.
Masa tu, saya kurang bersabar. Risau banyak sangat. Terlalu pentingkan diri. Terlalu keanak-anakan.
Bila kita dah besar, semua itu harus ditinggalkan. Sebab umur yang dah meningkat memerlukan kita membuat pilihan bukan sekadar untuk diri sendiri, tapi juga untuk orang lain. Umur di mana kita secara paksarela tak boleh bergantung banyak pada orang, tetapi orang sekeliling semakin bergantung kepada kita.
Banyak lagi sebenarnya Sindrom Masuk Universiti ni. Antaranya, kemaruk cari kawan baik. Tak kurang jugak yang kemaruk cari kekasih. Tak cukup duit. Tak minat kursus yang dipilih. Gaduh dengan pensyarah. Benci kepenatan naik turun tangga dan tak air sekali sekala. Terpaksa menggadai prinsip untuk cari 'geng' dan macam-macam lagi Sindrom yang seakan memaksa kita telefon mak...hehe, ayah tak berani kot.
"Mak, abang nak tukar course lah."
"Mak, kakak nak pindah rumah."
"Mak, nak masuk universiti swasta boleh?"
Dan yang sewaktu dengannya.
Tapi, semua kerisauan itu sekali lagi hanya berkait pada emosi. Bukan halatuju.
Niat kita adalah mencari ilmu, bukan mencari kesenangan. Kesusahan dan dugaan harus ditangani dengan cara orang beriman jika kita beriman. Harga ilmu bukan harga murahan, ujian yang kita hadapi sekarang di Malaysia tidaklah sesusah pelajar-pelajar yang kekurangan di Afrika selatan sana. Tapi mereka ada yang masih rela berjalan 5 kilometer setiap hari ke sekolah. Tak ada punca air. Makan pun tak tentu hari. Jadi, siapakah kita untuk terlalu manja dengan ujian-ujian ini? Orang beriman yang menuntut ilmu bukan orang manja!
Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 122:
"Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian daripada setiap golongan mereka tidak pergi memperdalam ilmu pengetahuan tentang Addin (cara hidup) mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat beringat-ingat".Dalam ayat di atas, Allah subhanahuwata'ala menggunakan kalimah 'nafara' untuk merujuk kepada keberangkatan para mukminin ke medan perang juga merujuk kepada keberangkatan para mukminin ke medan ilmu. Justeru bekal yang ada pada orang beriman di medan perang juga adalah bekal yang perlu ada pada orang beriman di medan ilmu. Keduanya adalah mujahidin, iaitu orang-orang yang bersungguh-sungguh.
Selain daripada bekal kemahiran, bekal senjata, alat kelengkapan, bekal yang paling utama adalah ikhlas dan sabar. Ya, orang beriman adalah orang yang ikhlas dan sabar. Keikhlasan dan kesabaran yang didasarkan keyakinan kepada Allah, redha akan ketetapanNya, yakin akan jaminan dan janjiNya, percaya akan pembelaanNya dan percaya Allah tidak sesekali menzalimi hambaNya, berusaha dan bertawakkal kepadaNya, dan mengharap redha dan rahmatNya pula, semua itu akan menatijahkan seseorang tidak lagi risau dan bersedih hati. Masih boleh move on sewaktu orang lain memilih untuk berputus asa.
kredit |
Psst, bukan semua yang kita ingini baik untuk kita. Dan tak semua yang dibenci itu tidak baik untuk kita.
Allah beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Dia Maha Tahu.
Saya Pelajar, Saya Beriman...hehe, insyaAllah tema buku yang akan diusahakan nanti. Doakan ya :)
Sekian,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya,
Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment