Satu hari di dalam kelas bahasa Turki, guru aku duduk di sebelah rakan kami di penjuru belakang kelas belah kiri. Tanpa disedari, buku "Islam and Love" karangan Abdullah Nasih Ulwan yang sedang dibaca oleh rakan kami itu menarik perhatiannya.
Lantas dia berkongsi cerita. Katanya;
Jika ada seseorang yang datang kepada Sheikh Sufi untuk meminta diterima menjadi salah seorang daripada pelajarnya, maka sebelum itu akan ditanya padanya satu soalan: "Pernahkah kamu mencintai sesuatu atau seseorang sebelum ini?"
"Jika tidak..." sambungnya. "Maka pergilah mencintai sesuatu dahulu, barulah kemudian kamu boleh diterima menjadi anak murid saya. Kerana hanya dengan cara itu, barulah kamu tahu bagaimana untuk mencintai, dan bagaimana kamu nanti akhirnya kamu boleh mencintai Allah."
***
Pernahkah kita jatuh cinta kepada seseorang? Sehingga hati kita terpaut padanya hampir setiap masa?
Terfikir-fikir, teringat-ingat. Apabila bercakap, tak sah kalau tak tersebut namanya, tak sah kalau tak bercerita tentangnya... pernahkah? Kadang boleh jadi, setiap tempat yang kita pergi, kita mengharap terserempak dengan dia, menjaga penampilan seakan-akan dia nampak kita, seakan-akan semua tempat yang kita pergi, dia ada. Boleh jadi, setiap malam termimpikan dia, setiap hari kita sibuk mengkaji tentang dirinya.. kalau secara lisan orang-orang lebih berpengalaman, mereka kata itu "Mabuk Cinta".
Aku belajar bahawa cinta adalah perasan yang tak ada siapa boleh takrifkan. Mungkin kerana itu ia sesuai digandingkan dengan kalimah "mabuk". Kerana orang mabuk, kehilangan kemampuan untuk menyusun kata, hati dan fikiran mereka melayang dalam dunia yang tak ada siapa boleh memahaminya kecuali dirinya sendiri.
Persoalan utama adalah, mengapa sampai begitu sekali perasaan ini mempengaruhi diri?
Mungkin kerana,
Sebahagian orang menyukai perwatakannya,
Sebahagian pula tertarik pada rupa luaran,
Sebahagian lagi terikat dengan sifat baik dan keprihatinan,
Sebahagian mengkagumi kemampuan memahami dan belas kasihan,
Sebahagian lagi memandang pada mesranya hubungan kekeluargaan,
Dan seterusnya...
Kita tertarik, terikat dengan sifat-sifat itu sehingga yang paling indah di mata kita adalah dia.
Jika begitu sekali penangan "suka" kita pada "kesukaan-kesukaan" kita yang ada pada dia yang kita cintai, maka sebenarnya tanpa sedar, segala kemuliaan, kelebihan, keindahan, dan sifat rahmat dan belas kasihan itu ada pada Allah Subhanahu Wata'la. Bahkan berkali kali ganda lebih besar, Bahkan dariNyalah datang perasaan "suka" itu.
Mungkin kita tak perasan, sehingga kita benar-benar melihat Allah, menyedari akan adanya sifat-sifat Allah yang tampak dalam kehidupan kita, sehingga kita besarkan ingatan kita padaNya, sehingga cinta itu mengecilkan cinta-cinta yang lainnya.
Aku pernah terbaca kisah seorang wali Allah yang nampak seperti seorang kurang siuman berjalan sekan tanpa arah di padang pasir. Bila orang-orang yang melalui jalan itu bertanya arah tujuannya, dijawabnya;
"Aku datang dari kekasihku, menuju kekasihku."
Jawapannya seperti orang tak waras bukan?
Maksud aku pada penulisan kali ini bukanlah menggalakkan seseorang itu mencintai sesuatu sehingga semacam hilang rasional dan pertimbangan, maksud aku di sini adalah ingin membawa kita semua menilai semula, sejauh mana kita benar dalam melafaz cinta kita kepada Allah? Sejauh mana ia mengikat hati kita kepadaNya?
Jika tidak mampu lagi merasakannya... pergilah, mencintai sesuatu agar kamu tahu.
Mungkin inilah dia salah satu jalan seorang penuntut ilmu yang mahu belajar cara mencintai Tuhannya.
Yang baik semuanya dari Allah,
Yang lemah dari kelemahan diri ini,
Mohon maaf segala kekuragan,
Mohon ditegur jika boleh ditambah baikkan,
Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment