Tuesday, 19 April 2016

Pilihanraya Pertama Persatuan Pelajar Malaysia Turki.

Bismillah...

Hoho, masa aku menulis ini adalah masa-masa terakhir buat calon-calon presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Turki untuk berkempen kerana esok ahli-ahli akan mula mengundi. Grup di facebook pun masih tidak surut-surut dengan "propaganda" para calon :)

Walaupun aku bukanlah antara yang tercalon, tapi rasa berdebar tak boleh dinafikan. Bukan apa, ini adalah pilihanraya pertama kami bagi memilih pelapis baru kepimpinan MASAT/PPMT. Kepimpinan yang bakal menjaga kebajikan pelajar termasuk aku... (haha... gelak jahat, gurau je) Walaupun sebelum ini PPMT pernah dipimpin oleh dua bekas presiden, namun perlantikan mereka tidak melalui proses pilihanraya rasmi seperti yang kami alami hari ini, disebabkan pada waktu itu bilangan pelajar sangat sedikit.

Kalau rakan-rakan nak tahu, PPMT adalah persatuan yang sangat muda, umurnya baru secangkul jagung. Batch senior kami yang akan pulang tahun ini termasuklah bekas presiden merupakan batch kedua. Dan aku dan rakan-rakan yang datang pada tahun 2014 boleh dikira batch ketiga atau keempat.

Kerana umur yang muda, dan pengalaman yang sedikit, PPMT melalui banyak cabaran dalaman mahupun luaran. Kalau PEMERAM di Mesir yang sudah berumur 80 tahun itupun masih banyak dugaannya, inikan pula PPMT yang masih banyak kekurangan untuk dibaiki dan ilmu untuk dipelajari.

Credit gambar: Pembentangan Manifesto oleh calon-calon presiden.
Yang menariknya, AJK sesi lepas berjaya bertungkus-lumus menyiapkan perlembagaan persatuan. Dengan menggunakan bakat pelajar terutamanya pelajar political science. Budak hingusan macam aku ni bila dengar perlembagaan persatuan terus macam "Wow!" Tak sangka persatuan sekecil ini pun ada "akkta-akta"nya. Apa yang aku belajar, ini adalah satu usaha besar dan murni senior-senior kami yang mengorbankan masa dan tenaga, memerah fikiran bagi menghasilkan satu rangka yang bakal memudahkan hala tuju persatuan ini di masa-masa mendatang.

Duduk di Turki baru aku belajar, hidup berorganisasi itu bukan suatu yang mudah. Mujur ada abang kakak yang sudi menyedarkan aku akan hal ini. Pelajaran ini tidak diajar secara literal di sekolah-sekolah. Mungkin bukan teori, tapi kemahiran bergaul dan bekerjasama itulah yang diperlukan. Bukan mudah, apatah lagi bila sampai satu waktu wujudnya perselisihan faham, kegagalan komunikasi, terluka hati, dan bila masing-masing memiliki agenda dan ideologi tersendiri yang jika mahu didegilkan juga, akan musnahlah satu persatuan itu.

Selama aku berada di Turki, aku juga antara saksi-saksi pergolakan dalam persatuan. Kalau mahu dicerita boleh jadi aib orang terbuka, hati-hati terasa. Yang penting, pengalaman ini sepatutnya dipandang serius oleh setiap pihak. Sama ada yang menegur atau ditegur. Kerana dalam satu-satu perselisihan, sangat mustahil untuk kita buktikan hanya satu pihak sahaja bersalah. Apabila namanya persatuan, nak melakukan pembaikan tidak boleh tidak dengan penyatuan juga.

***

Kebetulan kawan yang semadrasah dengan aku dicalonkan kali ini. Aku gembira dengan pencalonannya, sejujurnya inilah satu "catalyst" yang mendewasakan seseorang, baik pemikirannya, jua peribadinya. Makin lama, aku boleh lihat kawan aku ini makin pandai duduk dalam organisasi. Kami satu usrah, walaupun kekadang ada terasa hati ataupun pergaduhan kecil antara kami, aku tak dapat nafikan, dia memiliki sifat kepimpinan yang aku tidak ada. Dan ia sangat berguna satu hari nanti jika berjaya digilap dengan cara yang betul. InsyaAllah, kawan aku ini akan berjaya dunia dan akhirat! Aamin.

***

Satu lagi yang memberi "kesan sampingan" pada diri ini pada pilihanraya kali ini adalah "manifesto" calon-calon bagi jawatan presiden. Seronok bila warna-warni bahasa, janji-jani hebat terserlah. Manifesto yang dibuat kadang-kadang boleh mencerminkan idea dan identiti pembentangnya. Kami diingatkan oleh seorang senior agar "ayat-ayat manis" musim berkempen tidak menjadikan kami terpedaya daripada menilai semula isi manifestonya. Adakah lojik? Mampukah dilaksanakan? Pengalaman kerjanya bagaimana? Semua itu perlu diperinci supaya tidak menyesal kemudian hari.

Kakak kami yang sudah berkecimpung lama dalam medium ini juga mengingatkan kami, bila risau melihatkan manifesto-manifesto besar yang dijanjikan pelajar mungkin dirasakan tidak mampu digalasnya seorang diri, di sinilah timbul persoalan bagaimana kepimpinannya berjaya menarik orang bawah bekerja bersamanya bagi menjayakan rancangan-rancangannya itu. Jika benar tidak mampu kerana tiada tenaga kerja, kita boleh melihat dari sudut postif, iaitu kegagalannya bukanlah semata-mata kegagalan individu. Dia telah menyediakan peluang, tetapi ahli gagal mengambil peluang itu.

Pendek kata, kalau mahu mengenal kepelbagaian manusia, buatlah satu pilihanraya nanti terbukalah pekung kepelbagaian itu. hoho. Semoga cita-cita PPMT yang mahu menjadi wadah persatuan, dan penggilap generasi gemilang tercapai.

Banyak lagi sebenarnya hendak diceritakan, tapi mata dah mengantuk, esok perlu bangun awal.

Doakan Kami!!
Selamat Malam.










Tuesday, 5 April 2016

Budaya Ilmu, persimpangan anak muda.

Bismillah.

Iqra' kalimah pertama yang Allah perintahkan menjadi wahyu kepada umat manusia. Iqra' adalah satu proses mentamadunkan manusia. Iqra' adalah satu peringatan dan wasilah pendidikan untuk menyedarkan umat manusia.

Di Turki, budaya ilmu sangat pesat. Terutama Istanbul. Boleh kata, hampir setiap minggu tiada satu pun universiti yang tidak menganjurkan perbahasan akademik atau konferans. Malah bertaraf antarabangsa. Mungkin kerana Turki berada di antara barat dan timur, mudah untuk mereka menjemput penyampai daripada universiti luar negara. Sudahlah Istanbul ini, negeri yang paling banyak institusi pendidikan tinggi, pengangkutan awamnya cekap... hampir saja tiada sebab untuk tidak menyibukkan diri dengannya.

Tapi itulah dilema anak muda di Istanbul, selepas berjalan mencuci mata, membeli belah, gangguan ketiga adalah majlis ilmu.

Sengaja aku pakai perkataan gangguan, sebab kalau tak pandai bahagi masa baik-baik, pergi banyak-banyak majlis ilmu pun tidak bagus.

Apa-apa benda baik kalau berlebihan pun, selalunya tidak bagus.

Kredit gambar

VISI dan MISI

Abaikan Istanbul sementara, Malaysia juga menghadapi perkara yang sama. Diskusi buku antara program ilmiah yang mendapat sambutan hangat. Peminatnya ramai. Lagi-lagi bila ia menjadi trend terutama di media sosial, siapa tak pergi dianggap ketinggalan, ataupun tidak peka dan ambil tahu hal semasa.

Jadi, anatara yang setia pergi untuk menimba ilmu, dan tidak pergi lansung itu... ada satu golongan anak muda yang tersepit di tengah-tengah.

Iaitu yang pergi sebab semua orang pergi,
Iaitu yang pergi sebab nak rasa berilmu,
Ataupun yang bingung kenapa aku dengar benda yang tak ada kaitan dengan aku...

Pendek kata,
Golongan ini, belum berjaya meletakkan niat yang benar untuk mengikutinya.

Jadi yang banyak-banyak hadir konferans itu, ada yang akan datang kosong-kosong, pulang kosong-kosong, ada pula datang sebab nak kata orang lain salah dia betul, ada pula datang semata-mata dapat tangkap gambar dan muat naik di laman sosial.

Niat yang tulus datang menadah ilmu, dan mencari jalan mengamalkannya kalau ada pun sikit sekali di sudut jiwa.

Jadi hadir majlis ilmu gagal melahirkan individu dengan mentaliti tinggi, kerana datangnnya dengan jiwa-jiwa sakit.

Bukan mahu kata "tak payah datang lagi bagus"... datanglah, meriahkanlah.

Tapi dalam masa yang sama, biarlah kita datang dengan niat yang betul, dengan kesediaan. Benda ini bukan benda yang asing pun, benda ini adalah asas si penuntut ilmu.

Kita bukanlah makhluk Allah, yang diciptakan untuk jadi pendrive, kumpul maklumat dan muntahkan bila berkepentingan.

Kita adalah makhluk yang diperintahkan dengan wahyu untuk menuntut ilmu. Mengeluarkan diri dan ummat manusia daripada gelap kepada cahaya.

Jika dengan budaya-budaya ilmu ini melahirkan orang yang saling mencaci menghina, meremehkan nilai dan kemuliaan ilmu dan adab mendapatkannya, kita perlu soal semula, apakah benar niat kita.

Kerana amalan bergantung pada niat. Manusia tak mampu hidup hanya begantung pada akal, jika ilmu yang dipelajari tidak menjadikan kita manusia, tidak membawa kita kepada jiwa hamba, maksudnya kita pergi dengan hati yang mati.

Aku menegur diri sendiri, sudahlah menjadikan budaya ilmu sebagai satu lagi "adat" ikut-ikutan (taklidi), biarlah pergi ada kesedaran, ada hadaf masa depan. (hakiki).

Bak kata guru aku, ilmu yang tidak diniatkan mencari hakikat, tidak akan mampu mebawa nilai apapun.

Wallhua'lam..












Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...