Monday, 24 October 2016

Tulisan Jawi Utsmaniyyah, satu titik muhasabah.

Bismillah.

hayrat osmanlıca ile ilgili görsel sonucu

Pagi tadi saya menghadiri kelas mingguan Hayrat seperti biasa. Bezanya hari ini diberikan pembentangan tentang pengenalan kepada bahasa jawi Turki, ataupun dikenali dengan nama Osmanlıca (Maksud literalnya bahasa Utsmaniyyah).

Program yang disampaikan oleh ketua wanita Hayrat cawangan Fatih itu sangat informatif, membuat saya terfikir-fikir dan merenung, di mana jawi melayu dan identitinya?

Jawi Turki wujud 1000 tahun yang lalu. Ketika orang Turki Karahan memeluk Islam pada tahun 804 masihi. Seperti negara-negara yang menerima pengaruh Islam yang lain juga, mereka cuba menulis bahasa mereka dengan huruf yang digunapakai oleh agama Islam iaitu huruf arab.

        Menarik bukan? Di mana saja Islam tersebar, hampir seluruh kaum yang menerima ajaran itu cuba menukar tulisan bahasa mereka dengan huruf-huruf arab. Ia menandakan pengaruh ajaran Islam diterima baik sehingga adaptasi huruf al-Quran dijadikan pilihan. Bukan setakat itu, ia menjadi satu khazanah budaya dan seni kerana jawi ditulis bukan sekadar bersahaja, tetapi dalam cara terbaik iaitu seni khat.

        Dalam masa yang sama, kaum Turki pada waktu itu meminjam beribu kosa kata bahasa arab dan menggunakannya dalam bahasa harian dan persuratan. Menjadikan kosa kata mereka lebih kaya, apatah lagi setelah meminjam daripada bahasa yang sudah sebegitu cantik dan halus makna dan tatabahasanya. Iaitulah bahasa yang dipilih Allah, bahasa arab.

        Lebih banyak kosa kata di dalam suatu bahasa bangsa itu, lebih maju dan lebih terkehadapanlah ia. Ini kerana setiap kalimah mengandungi fungsinya yang tersendiri, memiliki erti yang membantu menyampaikan pemikiran dan menghuraikan permasalahan tepat pada makna yang dimaksudkan.

       Yang paling penting adalah, semua itu dilakukan tanpa mengubah bahasa sendiri. Tanpa perlu memadam ideniti bangsa sendiri. Tanpa perlu kehilangan asal-usul dan harga diri. Sebaliknya, kehadiran pengaruh Islam menjadikan Turki lebih kaya, lebih maju dan mulia. Kerana bahasa.

        Osmanlıca bukan sahaja kaya dengan bahasa Turki lama dan bahasa arab. Tetapi juga kaya dengan bahasa farsi. Ia adalah simbol kepada kebesaran empayar Islam-Turki yang meliputi satu pertiga dunia itu.

       Sayang sekali, Osmanlıca pernah diharamkan. Ditukar kepada huruf latin dan sebahagian besar kata pinjamannya dibuang daripada kamus mereka. Anak-anak muda Turki tidak tahu membaca tulisan jawi nenek moyang mereka. Malah Pakcik Makcik berumur 60 tahun juga buta huruf akan tulisan ibu bapa mereka sendiri. Ia adalah sebuah kehilangan yang trajis. Seperti anak yang kehilangan nasabnya. Lupa sejarah, lupa keagungan bangsanya.


       Baru-baru ini sahaja kerajaan Turki mula membenarkan pengajaran tulisan jawi utsmaniyyah diberikan di sekolah-sekolah kerana menyedari betapa banyak tinggalan manuskrip yang tidak tersentuh, tidak dikaji dan dimanfaatkan tersimpan elok dalam arkib negara. Khazanah yang terkumpul untuk tempoh 1000 tahun itu pastilah terkandung pengajaran-pengajaran yang boleh diteladani anak keturunan Turki hari ini.

        Dan disinilah timbulnya nama Yayasan Hayrat. Satu-satunya yayasan yang memelihara tulisan ini sehingga kini. Mereka dipanggil kerajaan untuk mengajarkannya kepada anak-anak Turki di universiti dan sekolah. Yang paling mengharukan adalah, mereka memeliharanya dengan niat ibadah, memelihara huruf-huruf Allah. Tanpa sedar, mereka juga memelihara satu tamadun, satu harapan kemanusiaan yang hampir pupus. Dan mereka mengajar tanpa mengambil upah. Kerana kata sister tadi, satu perkara yang diusahakan atas dasar cinta, mana mungkin mengaharapkan ganjaran dunia.

       Sambil merenung slide presentasi sister itu, saya termenung dalam, Memikir nasib jawi kita, yang sudah banyak diubah-ubah, aslinya entah mahu dicari di mana.  Sedang persuratan-persuratan yang kaya dengan rahsia lampau itu terkubur, tersimpan di maktabah-maktabah barat. Buat kegunaan mereka menggunakan kita. Sehingga kini bila disebut melayu, terasa tiada himmahnya. Kerana tidak kenal asal usul sendiri yang dulu pernah menjadi tumpuan dunia melalui bahasa.

      Lihat pada generasi baru, yang kekok berbahasa baku, malah bangga ketika bahasa inggeris lancar di lidahnya.

Wahai.. ia benar-benar satu titik muhasabah.















Monday, 3 October 2016

Hujung 2016, Memasuki persimpangan identiti.

Bismillah.

Hujung tahun ini secara rasminya saya keluar daripada madrasah Hayrat atas beberapa sebab. Dan mengambil keputusan untuk tinggal bersama rakan-rakan melayu di Yusufpaşa.

Keputusan ini bukanlah mudah, kerana setiap keputusan yang dibuat ada risikonya. Ada konsekuensi berikutnya.

Benarlah kata Salim A.Fillah, bahawa melepaskan sesuatu juga adalah kesabaran dan keberanian. Kesabaran kerana melepaskan sesuatu yang sudah lama bersama kita adalah satu perubahan, satu fasa membiasakan diri, satu ruang menilai diri yang sangat memerlukan kepada kesungguhan dan kesabaran. Adakah iman, akhlak, niat kita lebih baik, atau sama, atau lebih teruk berbanding kita ketika dulu?

Ia juga adalah satu keberanian, kerana melepaskan sesuatu juga sentiasa datang dengan ujian. Ia boleh menatijahkan kepada rasa kekurangan, ketidakcukupan. Pada waktu ini, adakah saya bersyukur? Adakah saya berdengki? Adakah juga saya patah semangat untuk terus bangkit lagi?

Saya sudah mengenali hayrat sedari umur 17 tahun. Dan siapa saja yang mengenali jemaah ini pasti akan jatuh hati pada perjuangan mereka, pada risalah-risalah yang mereka bawa. Dan yang paling penting adalah disiplin dan akhlak mereka. Yang mengajar saya dan rakan-rakan agar memandang kehidupan dengan panduan al-Quran, dengan cahaya iman.

Keluar dari madrasah Hayrat, dan hidup seperti pelajar biasa tanpa apa-apa disiplin dan peraturan yang menjaga, adalah satu ujian buat diri. Saya berada di zon yang cukup selesa dengan masa yang sangat lapang. Ruang pergaulan dan sosial saya menjadi besar, dan boleh dikatakan tidak bertapis seperti dulu.

Maka di sinilah saya perlu melihat kepada diri sendiri... siapa saya? Apakah dengan berbeza tempat dan suasana, pedoman dan pegangan ang menjadi bekal diri selama ini dibuang ketepi?

Mohon doa, penghujung 2016 benar-benar waktu menilik diri.














Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...