"Apa maksud kasih sayang?" Soal K.Timah dalam sesi usrah kami tahun lepas.
"Ambik tahu?" Kata seorang rakan kami.
"Berikan yang terbaik." Jawab yang lain pula.
Saya sendiri tak ingat apa jawapan saya. Huhu. Dan paling penting, saya lupa jawapan K.Timah sendiri!
Tak mengapa, fokus saya kali ini bukanlah untuk mencari maksud paling tepat buat kasih sayang.
Hanya mahu mengajak kita semua melihat bahawa ada beberapa perkara dalam hidup ini tidak boleh didefinisikan dengan kata-kata. Ia adalah sebahagian seni ciptaan Tuhan, ketika kita memuji Dia dengan sifat Yang Maha Mengindahkan (Ya Badi'), kita juga merasa rendah diri sebagai hamba kerana tidak mampu mengerti sebahagian seni ciptaanNya itu.
***
Dua hari lepas saya menduduki ujian Psikoloji Agama. Satu subjek yang sangat menarik.
Antara soalannya yang saya ingat adalah soalan "Terangkan apa itu definisi operasional."
Menurut guru kami, definisi operasional adalah satu proses mengubah benda-benda abstrak kepada keadaan konkrit supaya ianya boleh diukur dan ditimbang. Ia adalah satu proses yang digunakan oleh hampir setiap lapangan ilmu sains. Antaranya adalah ilmu psikoloji.
Dalam bidang Psikoloji, kita melakukan kajian dan penelitian ke atas sikap, pemikiran, perasaan, dan pendekatan individu melalui data kejadian atau pengalaman yang dialaminya.
Sikap, pemikiran, perasaan dan pendekatan individu bukan perkara yang boleh diukur atau dilihat dengan mata kasar. Ia perlu diadaptasi dalam bentuk konkrit supaya boleh dinilai dan dijadikan pembolehubah bagi membuat konklusi yang memiliki asas yang kukuh. Pakar Psikoloji akan menggunakan pendekatan seperti kajian tinjauan (baca: Survey research) atau membuat hipotesis terhadap data yang dikumpul seperti tekanan darah dan kelajuan degupan jantung. Menerusi dapatan itulah mereka dapat dapat membuat konklusi seperti "kemarahan menyebabkan peningkatan tekanan darah." dan sebagainya.
Kembali kepada soalan kasih sayang tadi, ianya abstrak bukan? Kebanyakan jawapan yang kita berikan kepada soalan makna kasih sayang bukanlah makna yang dikandungnya sendiri, melainkan perbuatan-perbuatan yang menjadi manifestasi kasih sayang itu.
Seperti memaafkan tanpa syarat, menerima seadanya, memenuhi permintaan, melayan dengan lemah lembut dan banyak lagi.
Nah, mungkin itulah operasi definisi terhadap kasih sayang. Kita mengukur kasih sayang melalui perbuatan yang kita lakukan kerananya. Semakin banyak perbuatan yang membuktikan sayang kita, menunjukkan semakin tinggi kasih sayang yang kita miliki.
Congaknya mudah, seperti dalam hal-hal lain yang tidak dapat kita buktikan dengan kata-kata, perbuatan adalah tanda arasnya. Begitu juga orang mengaku beriman, sukar untuk kita yakini imannya jika ia tidak mahu menunaikan perintah-perintah Tuhan terhadapnya.
Mungkin, memang tiada jawapan yang tepat buat soalan K.Timah tadi. Hanya satu jawapan yang saya rasa paling dekat dengan maknanya.. iaitu;
Ukurlah kasih sayang itu :)
Sekian.
0917
Istanbul, Fatih.
06012017
No comments:
Post a Comment