Tuesday, 27 June 2017

Lebaran dan mesej Lillahilhamd

Bismillah.


Sebelum bermula, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Ketika jari jemari ini menaip teks, jam menunjukkan lagi 5 minit menuju 12 malam. Bertemankan cahaya screen telefon dan bunyi cengkerik di luar rumah bapa saudara, mungkin posting kali ini akan lebih sayu bunyinya. hehe.

***
Setiap pagi raya, berasa gembira seakan sudah menjadi budaya. Kita dibentuk oleh suasana tanpa sedar. Iklan di televisyen, lagu-lagu raya dan makanan raya membuat pagi raya kita meriah, serba serbi, dan serba warna warni. Sehingga ada kalanya  gembira kita tidak berasal dari dalam diri, banyaknya dari sebab luar yang diada-adakan. Kegembiraan pagi raya bukan lagi kegembiraan sebenar kita.

Berbumbungkan atap masjid, ketika bahu berselisih dengan bahu warga kampung sambil khusyuk mendengar khutbah raya, Imam biasa akan mengingatkan kita nikmat sebenar hari raya ini. 

Lebaran adalah nikmat kurniaan Allah buat orang beriman, meraikan kejayaan kembali kepada fitrah. Kembali mengenal diri.

Dengan laungan takbir pagi, kita mengagung-agungkan Dia. Kita memuji-muji Dia. Tanda kita mengaku kita hamba, tanfa kita bersyukur pada Dia.

Lebaran adalah waktu manusia sedar fitrah kehambaannya, dan hakikat ketuhanan Allah atas dirinya.

Lillahil-hamd.

Pada Allah sahajalah segala pujian.

Al-Hamd, bukanlah hanya bermaksud pujian. Ia adalah pujian yang diberi dan diucap walaupun ketika tidak diberikan apa-apa. Ia adalah pujian yang diucap kerana sifat terpuji itu ada pada pemiliknya.

Ada orang memuji kerana diberi nikmat, ada yang memuji setelah dibantu dan disenangi.

Lain pula di hadapan Allah, al-Hamd kita bukan kerana apa yang telah diberikanNya, atau ditunjukkanNya pada kita, namun semata-mata mengiktiraf sifat-sifat mulia Allah, mengiktiraf bahawa segala pujian itu milik Allah sahaja. Dan kita pada waktu mengucapkannya, mengakui kefakiran diri, menyedari diri hanya hamba yang hina

Pada lebaran kali ini, mesej al-Hamd benar-benar menampar diri.

Pada hari raya pertama sahaja, sudah ada orang kampung yang meninggal dunia di pagi raya. Menyedarkan saya kehidupan kita bukan di tangan kita. Nikmat hari raya itu bukan dalam kudrat kita. Tapi semata-mata dari kepemurahan Allah.

Alhamdulillah.

Pada hari raya kedua, kami menziarahi seorang keluarga yang menderita penyakit barah tahap 4. Kanser sudah merebak ke bahagian otak menyebabkan beliau lumpuh sebelah. Pada ziarah kami tahun lepas beliau masih mampu berjalan dan berinteraksi dengan kami. Namun hari ini, beliau tidak dapat mengecam lagi wajah kami. Pandangannya kaku, lidahnya kelu.

Ketika beliau cuba memusingkan tangan kirinya, saya terfikir, sebenarnya asal kita adalah tidak mampu. Kudrat selama ini Allah pinjamkan. Ada hari Dia boleh menariknya kembali. Ketika kita beraya dengan penuh gembira, bertemu sanak saudara, kita boleh terlupa nikmat kita sihat dan berkudrat pada hari itu datang dari Dia.

Alhamdulillah.

Ketika kita pakai baju baru, makan makanan sedap dengan penuh selera, ada orang-orang yang Allah uji dengan kekurangan. Usahkan baju dan makan, air bersih pun susah untuk didapati. Allah merezekikan kita pada hari ini mungkin ada bahagiannya untuk yang lain. Sedang yang membahagi-bahagikan rezeki itu Allah, kita asalnya fakir dan Dia menghendaki rezeki lebih untuk kita. Semoga kurniaan lebihan tidak membuat kita lupa dan leka.

Alhamdulillah.

Pada hari ini hati kita masih dibuka untuk sujud padaNya. Masih dikurniakan rasa tenang menyebut namaNya, rasa rindu sujud padaNya dan rasa ingin mencari bimbingan dariNya.. semua itu adalah hidayah Allah yang jika bukan dengan hidayah dari Allah, kita pasti tidak mampu menemuinya sendiri.

Alhamdulillah.

Mengenangkan semua itu dan banyak lagi, hati ini semakin memaknai Ramadan, semakin memaknai datangnya Syawal. Dalam takbir penuh syahdu, jiwa ini makin tenang dan yakin bila memahami al-Hamd itu hanya milik Dia.



Thursday, 8 June 2017

Ramadan, muhasabah kapasiti ibadah.

 Bismillah


Ramadhan Kareem, Allahu Akram.

Maha Pemurah Allah, memperlihatkan kepemurahannya pada bulan ini. Rugilah wahai diri jika tidak mencari, mengumpul, menagih dan meminta rahmatnya. Ibarat mereka yang ditawarkan emas, membiarkannya sahaja.

Semasa majlis pembukaan Akif Merkezi beberapa bulan lalu, kami menerima tetamu istimewa iaitu Ustazah Maznah Daud untuk menyampaikan tazkirah persiapan Ramadhan yang bakal tiba.

Kini pejam celik sudah 12 hari kita berpuasa. Hampir separuh bulan yang mulia ini.

Rezeki... Itulah cara sepatunya kita memandang bulan ini. Rezeki yang perlu disyukuri. Sudah dua tiga berita kematian sampai ke telinga. Ada yang Allah tarik nyawanya, tidak dapat meneruskan peluang mengumpul pahala berganda pada bulan ini.

Pada pelancaran Akif Merkezi, saya antara orang yang ke hulu ke hilir sehingga tidak berkesempatan menedengar tazkirah yang diberi. Namun sempat mencuri dengar sedikit kalam berharga semasa mengendap mahu mengambil gambar. Huhu.

Kata Ustazah lebih kurang begini; "Ramadan memberitahu kita kemampuan sebenar kita dalam beribadah. Kalau kita boleh solat 8 ke 20 rakaat dalam bulan Ramadan, di luar Ramadan itulah kemampuan kita."

Iya, Ramadan menjadikan kita kuat. Dan menyediakan kita kuat untuk bulan-bulan seterusnya.

Di Turki, bangun sahur pukul 2.30 pagi, berpuasa 17 jam sehari, berterawih sehingga jam 11 malam menjadi rutin harian kami. Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk melakukan semua ini. 

Allah lah Maha pemurah memberikan kurniaNya. Semoga kurniaan itu terus ada buat bulan-bulan seterusnya.

Kita mampu melakukannya andaikata ianya kerana Allah. Kerana dalam bulan Ramadan, kita diajar melakukannya kerana Allah.

Bulan Ramadan benar-benar bulan pengingat. Mengingatkan kita bahawa rezeki datang dari Allah, mengingatkan kita hakikat hamba, mengingatkan kita kapasiti ibadah kita yang sebenarnya. Semoga sama-sama kita dapat meraih taqwa yang dijanjikan buat mereka yang berusaha itu.

Aamin.






















Trip Çanakkale Bahagian 3

Bismillah


Seterusnya kami bergerak menuju ke Çanakkale Şehitler Abidesi. Satu kawasan yang menjadi mercutanda Çanakkale. Di sini terdapat ribuan batu nisan dengan 20 nama pada setiap satunya. Disini hanyalah simbol kepada makam-makam syuhada yang mana sebahagian mereka tidak ditemui jenazahnya, ada yang tenggelam dan hilang.


Apa yang menarik, disini terdapat juga rekod tentera perang Çanakkale selain bangsa Turki yang menyertai pasukan Uthmaniyah. Ini menguatkan lagi keyakinan bahawa ummat Islam pada waktu itu adalah ummat yang bersatu.


Monumen dalam gambar di atas adalah gambaran bagaimana komutan dan tentera mengawasi kawasan perang dalam parit yang dibina. Parit adalah antara teknik utama yang digunakan tentera Uthmaniyah dalam perang ini.



Di sini jugalah rakaman iklan 100 tahun mengenang perang Çanakkale diambil dan iklan tersebut disertai presiden Turki iaitu Recep Tayyip Erdoğan. Dalam video ini memberi sedikit gambaran bagaimana suasana peperangan pada waktu itu.


Di atas adalah ucapan masyhur Mustafa Kamal Ataturk terhadap tentera-tentera bersekutu. Tentera-tentera mereka yang terkorban dan disemadikan disini dianggap sebagai anak sendiri yang turut terkoban dalam peperangan ini. 


Di belakang saya adalah tugu syuhada perang Çanakkale yang dari jauh sudah kelihatan. Di hadapan saya pula adalah kata-kata emas Mehmet Akif Ersoy yang menulis Syair Çanakkale. Syair ini antara menggambarkan kemenangan dan perjuangan tentera uthmaniyah pada waktu itu. Ia ditulis setelah Mehmet Akif mendapatkan berita kemanangan peperangan ini. Yang ianya ditulis dengan penuh rasa syukur dan gembira.


"Siapakah yang bakal menggali kubur yang tidak akan sempit buatmu? 
Jika ku katakan "marilah ku abadikan dikau dalam sejarah" tidak akan dapat dimuatkan dalamnya dek kebesaran nilaimu."

"Wahai syahid anak kepada syahid jangan kau pinta kubur dariku,
Rasulullah dengan dakapannya menunggu dirimu."















Trip Çanakkale Bahagian 2.


Kami tiba di kubu Rumeli Mecediye. Satu kubu yang cukup kuat tidak dapat ditembusi oleh tentera musuh. Kubu ini menghadap laut marmara. Disinilah tentera-tentera Uthmaniyah berhasil menenggelamkan kapal-kapal perang tentera bersekutu. Kata Dr Hafidzi, sejarah ini menjadi tanda ummat İslam memiliki sejarah yang hebat. Umat İslam pada waktu ini mampu membina kubu dengan struktur yang kukuh. "Çanakkale geçilmez" atau "Çanakkale tidak akan dapat ditembusi"adalah slogan yang mengingatkan fakta ini.

Kata Dr. Hafidzi lagi, pandanglah sejarah ini sebagai sejarah kita. Sejarah umat İslam. Bukan hanya terbatas pada sejarah negara bangsa. Di Makasar pada tahun-tahun yang sama, ketika umat İslam melawan Belanda, mereka membina kubu yang mana struktur binaan dan kekukuhannya sama dengan apa yang kami lihat di Rümeli Mecediye Tabyası. Ini menjadi bukti bahawa hubungan akrab antara Uthmaniyah dan alam nusantara pada waktu itu wujud. Kita sebenarnya memiliki kekuatan untuk berada setanding dengan bangsa-bangsa lain dalam teknoloji dan lain-lain bidang. Menyalahi apa yang dimomokkan orang selama ini.


Dalam gambar ini, di belakang kami merupakan meriam yang digunakan untuk menenggelamkan kapal-kapal tentera musuh. Meriam ini menggunakan teknoloji "railway" bagi memindahkannya dengan mudah. Peluru meriam yang seberat 215 kilo dikatakan diangkat oleh seorang tentera bernama Hoca Said. Kehebatan Hoca Said adalah satu keajaiban yang dikatakan ihsan dari Allah. Kehebatannya dimonumenkan menjadi pembakar semangat generasi seterusnya.


Di bawah pohon rendang kami berkumpul sambil mendengar sedikit pengisian dari Dr. Hafidzi. Beliau sekali lagi mendorong kami untuk mebaca dan mengambil pengajaran dalam sejarah perang. Melihat dan mencontohi kehebatan orang-orang terdahulu. Bukan untuk menggalakkan peperangan. Tapi untuk membuat persiapan yang lebih utama. Dr menyebut satu mutiara kata dari Umar al-Khattab;

"Kami mengajar anak kami berenang sebelum mengajar mereka menulis."

Kata-kata Umar r.a bukanlah untuk menafikan kepentingan belajar.  Namun untuk mempersiapkan apa yang utama. Jika anak tersebut tidak pandai menulis akan ada yang pandai menulis untuknya. Namun jika dia tidak pandai berenang, tiada siapa yang boleh berenang untuknya.

Sambung beliau lagi, jika dahulu peperangannya adalah perang senjata, kini peperangan kita adalah peperangan budaya dan pemikiran. Beliau menasihatkan kami untuk menjadi pakar dalam bidang masing-masing buat menyelamatkan dan mempertahankan nasib umat. 


Dr. Hafidzi menyentuh tentang ketangkasan dan peranan wanita. Katanya membina ketangkasan pada hari ini cukup penting, tidak terbatas pada laki-laki sahaja. Contohnya di Acheh, kubu İnongbali dibina oleh kaum wanita. Admiral Acheh pada tahun 1886 iaitu Laksamana Malahayati adalah seorang wanita. Maahad Baitul Makdis yang didirikan Uthmaniyah di Acheh adalah untuk perajurit-perjurit wanita. Bukanlah bermaksud semua wanita perlu menjadi tentera, namun jika ada yang berkebolehan perlulah kita galakkan untuk ke depan.

















Thursday, 1 June 2017

Trip Çanakkale bersama Dr. Hafidzi

Bismillah

Pada 10 Mei yang lepas. saya berkesempatan mengikuti lawatan sambil belajar ke Çanakkale. Salah satu wilayahnya adalah Gelibolu atau nama inggerisnya Galipoli. Satu tempat yang penting dalam sejarah perang dunia pertama. Apa yang unik bagi lawatan kali ini adalah ianya turut membawa seorang tokoh penting yang terkenal dalam kajian sejarah di Malaysia iaitulah Dr. Hafidzi.

Rombongan yang berjumlah 30 orang itu bertolak awal pagi sejurus selepas menunaikan solat subuh. Cuaca sangat baik dan perjalanan juga lancar. Dari pejabat Jejak Uthmaniyah bersamaan Markaz Akif perjalanan mengambil masa kurang lebih 4 jam untuk sampai ke Çanakkale.

Ketika langit masih gelap dan matahari belum menampakkan diri, kami membelah jalanraya istanbul sambil mendengar penerangan awal tentang Çanakkale oleh Dr Hafidzi. Beliau memulakan taklimat dengan ayat al-Quran dan hadis yang mengingatkan kami agar memasang niat untuk mengambil ibrah dari perjalanan hari itu. Katanya, kupasan sejarah yang akan dibuat sepanjang perjalanan kami pada hari itu adalah kupasan sejarah dari sudut yang berbeza. Di mana beliau akan mengaitkan bagaimana keadaan Turki pada waktu itu dengan kesannya terhadap umat İslam seluruh dunia.

Perang Çanakkale ataupun terkenal dengann nama The Gallipoli campaign dan The battle of Dardenelles adalah antara peristiwa terbesar dalam sejarah perang dunia pertama. Perang yang berterusan selama setahun ini adalah cubaan negara-negara bersekutu untuk menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyah dengan cuba memasuki İstanbul melalui Çanakkale. Namun cubaan ini gagal apabila tentera Uthmaniyah berjaya menenggelamkan 16 kapal British dan Perancis bersama 8 kapal selam mereka. Tentera negara bersekutu yang sebahagian besarnya terdiri daripada tentera Australia dan New Zealand mencatatkan korban nyawa sebanyak hampir 250 00 orang. Kerana itu setiap tahun akan ada rombongan daripada New Zealand dan Austalia ke Gallipoli untuk menziarahi kubur tentera mereka yang terkorban. Korban tentera Uthmaniyah juga tidak kurang jumlahnya.



Kami meneruskan perjalanan selepas dua kali berhenti. Semakin matahari naik, pemandangan semakin cantik. Di kiri dan kanan jalan terbentang pemandangan indah ladang-ladang pohon yang berbeza dan kampung-kampung Turki. Ralit melihat keindahan alam, kami tidak sangka kami sudah menghampiri Çanakkale. Siapa sangka tanah Çanakkale yang subur itu satu masa dulu menjadi saksi pengorbanan tentera-tentera muslim dalam mempertahankan Khilafah Uthmaniyah di penghujung hayatnya.


Bas yang kami naiki semakin perlahan. Menandakan kami telah sampai pada destinasi pertama kami. Akbaş Şehitliği. Tanah perkuburan para syuhada yang meninggal dunia di hospital Akbaş, antara hospital utama semasa perang Çanakkale.


Sebelum masuk, Dr Hafidzi sempat mengingatkan kami agar cuba menjiwai sejarah yang kami lihat pada hari itu seakan kami hidup di dalamnya. Beliau menceritakan bagaimana umat İslam pada perang dunia pertama saling menunggu khabar berita dengan cemas. Setiap kali rombongan dari mana-mana negeri umat İslam seperti Acheh sampai ke Mekah, soalan pertama yang ditanya oleh warga di sana adalah "Sudahkah kamu tenggelamkan kapal-kapal Belanda?" Pada zaman itu, walaupun ummat Islam duduk berjauhan antara satu sama lain, mereka tetap mengambil tahu perkembangan ummat dan mengikutinya dari dekat.
Ummat Islam itu ibarat tubuh yang satu, jika satu bahagian sakit, bahagian lain tidak dapat berehat kerananya. (Mafhum Hadis)
Mungkin dengan menjiwai perasaan ummat Islam pada waktu itu, kita dapat mengingat semula semangat persaudaraan yang dibawa dalam hadis di atas. Hari ini kita di sebahagian negara ummat Islam makan kenyang dan tidur lena. Sementara hati kita tidak benar-benar terpanggil untuk mengangkat kezaliman dan kesengsaraan yang dihadapi saudara seagama kita di penjuru bumi yang lain.


Saya melemparkan pemandangan seluas kawasan itu. Hati ini menjadi hiba. Dengan langkah yang perlahan saya melalui lorong-lorong makam yang tersusun rapi itu. Sambil cuba membaca nama dan tahun para perajurit perang yang syahid. Ternyata kebanyakannya muda-muda belaka. Di batu nisan tertulis tahun lahir dan mati. Ramai yang berumur sekitar 20 dan 30'an. Di batu nisan juga tertulis asal bandar mereka. Mereka datang dari bandar-bandar berlainan. Jauh dari kampung halaman. 

Pada hari ini wajar benar anak muda banyakkan syukur dan berusaha sehabis daya memajukan negara. Dalam suasana aman, manusia boleh bercita-cita tinggi, menimba ilmu dan mencari rezeki. Sementara para syuhada yang muda ini, mereka memendam semua harapan dunia, menahan segala keinginan rasa, terpisah dari keluarga untuk berjuang membela negara. Yang mana mengakhiri hidup mereka. 
"Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, sebenarnya merek itu hidup di sisi tuhannya mendapat rezeki." 
(Ali İmran 3;169) 

Selepas Akbaş Şehitliği, kami bergerak menuju Rumeli Mecediye Tabyası. Antara kubu utama tentera Khilafah Uthmaniyah dalam menangkis serangan-serangan negara bersekutu. Dalam perjalanan menuju ke sana, di sebelah kiri jalan terbentang pemandangan laut marmara. Laut yang menyaksikan kapal tentera-tentera negara bersekutu mara bagi menyerang tembok-tembok pertahanan Khilafah.


Sebelum sampai ke situ, kami berhenti seketika di Kilitbahir Kalesi, satu kubu pertahanan yang dibina oleh Sultan Fatih pada tahun 1452. Disini saya sempat turun merasa air laut marmara. Air yang nyaman lagi jernih tidak memberi sedikit tanda pun ianya pernah menjadi medan tempur satu masa dahulu.




Bersambung pada posting seterusnya...






















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...