Ramadhan Kareem, Allahu Akram.
Maha Pemurah Allah, memperlihatkan kepemurahannya pada bulan ini. Rugilah wahai diri jika tidak mencari, mengumpul, menagih dan meminta rahmatnya. Ibarat mereka yang ditawarkan emas, membiarkannya sahaja.
Semasa majlis pembukaan Akif Merkezi beberapa bulan lalu, kami menerima tetamu istimewa iaitu Ustazah Maznah Daud untuk menyampaikan tazkirah persiapan Ramadhan yang bakal tiba.
Kini pejam celik sudah 12 hari kita berpuasa. Hampir separuh bulan yang mulia ini.
Rezeki... Itulah cara sepatunya kita memandang bulan ini. Rezeki yang perlu disyukuri. Sudah dua tiga berita kematian sampai ke telinga. Ada yang Allah tarik nyawanya, tidak dapat meneruskan peluang mengumpul pahala berganda pada bulan ini.
Pada pelancaran Akif Merkezi, saya antara orang yang ke hulu ke hilir sehingga tidak berkesempatan menedengar tazkirah yang diberi. Namun sempat mencuri dengar sedikit kalam berharga semasa mengendap mahu mengambil gambar. Huhu.
Kata Ustazah lebih kurang begini; "Ramadan memberitahu kita kemampuan sebenar kita dalam beribadah. Kalau kita boleh solat 8 ke 20 rakaat dalam bulan Ramadan, di luar Ramadan itulah kemampuan kita."
Iya, Ramadan menjadikan kita kuat. Dan menyediakan kita kuat untuk bulan-bulan seterusnya.
Di Turki, bangun sahur pukul 2.30 pagi, berpuasa 17 jam sehari, berterawih sehingga jam 11 malam menjadi rutin harian kami. Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk melakukan semua ini.
Allah lah Maha pemurah memberikan kurniaNya. Semoga kurniaan itu terus ada buat bulan-bulan seterusnya.
Kita mampu melakukannya andaikata ianya kerana Allah. Kerana dalam bulan Ramadan, kita diajar melakukannya kerana Allah.
Bulan Ramadan benar-benar bulan pengingat. Mengingatkan kita bahawa rezeki datang dari Allah, mengingatkan kita hakikat hamba, mengingatkan kita kapasiti ibadah kita yang sebenarnya. Semoga sama-sama kita dapat meraih taqwa yang dijanjikan buat mereka yang berusaha itu.
Aamin.
No comments:
Post a Comment