Saturday, 28 October 2017

Minggu ke-4; Belajar Memberi

Bismillah

"Apakah mereka yang membahagi-bahagi rahmat Tuhanmu? Kamilah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat agar sebahagian mereka dapat memanfaatkan sebahagian yang lain. Dan Rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan."
(Zukhruf:32) 


Hari ini saya orang yang paling lambat ikut solat jemaah.. Buat sekian kalinya. Huh.

Dan itu bermakna saya perlu bagi tazkirah pendek lepas solat!

"Ha Qayya, dapat belajar apa harini?"

"Hmm.." Saya melilau-lilaukan mata seperti biasa. Maaf Naimah ^^

"Asyik kita je." Saya cuba mengelat.

"Sebab qayya asyik lambat lah qayya kena bagi tazkirah!" jawab Naimah dengan wajah mengusik.

Saya terhibur..

Namun masih tiada idea apa yang perlu saya kongsi pada waktu itu.

Mengelat punya mengelat.. akhirnya tak jadi. Semua orang ada kerja untuk dibuat. Maka jemaah bersurai tanpa tazkirah.

Pada waktu itulah.. ilham datang. Huhu.

Orang kata... selalunya bila kita nak sesuatu itu, waktu itulah dia tak ada.

Tapi mari kita ubah ayat itu menjadi positif..

"Selalunya sesuatu itu datang, bukan pada waktu kita mahu, tapi bila kita perlu!"

Ya, dan ilham yang datang ketika jemaah bersurai itulah menjadi isi sharing post kali ini :)

Terima kasih Allah!

***

Jadi apa yang saya belajar?

"Bila kita gembirakan orang, kita sebenarnya menggembirakan diri kita sendiri."

Itulah apa yang saya belajar hari ini :)

Saya belajar erti memberi.

Sudah 4 minggu saya di sini, dan minggu keempat ditutup dengan penutup yang sangat baik. (Sebak jap.. haha);

Saya direzekikan untuk mengikuti misi bantuan musim sejuk anjuran i4s Jordan. Misi ini diberi nama "Zammilouni 4.0" yang membawa maksud "Selimutkanlah aku", sesuai dengan keperluan saudara kita di kem pelarian yang akan menyambut kedinginan musim Shita' (Sejuk).

No automatic alt text available.

Antara nekad yang saya semat sebelum ke Jordan adalah ingin mengutip bekal sebanyak-banyaknya untuk hadapi hari-hari mendatang. Saya berdoa agar Allah tunjukkan jalan yang patut saya wakafkan diri saya padanya untuk umur-umur yang berbaki. Saya berdoa agar dikurniakan teman-teman dan guru-guru yang baik yang dapat membimbing diri dan menunjuk jalan. (Mohon doakan saya ya ^^)

Dan hari-hari yang saya lalui di Jordan, dibayangi harapan-harapan ini.

Mungkin, ianya sudah termakbul. Dengan kehadiran mereka.

Siapakah mereka itu?

Antaranya adalah sahabat-sahabat sukarelawan misi Zammilouni kali ini. Di balik kepenatan hari ini saya banyak belajar dari mereka.

Sejak semalam lagi, ketika mengikuti sesi taklimat terakhir sebelum misi bermula esok pagi saya sudah merasa kagum dengan gerak kerja mereka.

Saya kagum, kerana di celah-celah perbincangan, ada dua tiga sahabat baru datang. Mereka lambat. Dan apabila ditanya mengapa, jawab mereka;

"Dari meeting."

MasyaAllah kan.

"Berapa banyak meeting lah diaorang ni pergi, dahlah minggu ni minggu exam." Saya mengomel seorang diri.

Apa yang lebih menarik, tiada sikit pun tanda penat di wajah mereka. Bahkan tersenyum dan terus bertenaga sepanjang mesyuarat.

Mereka makan apa? (Ahaha)

Saya yakin, manusia yang tidak mencintai apa yang dia lakukan tak akan mampu menyempurnakan kerjanya dengan baik. Sama ada hasilnya biasa-biasa, ataupun cacat dan terencat.

Bukankah kita mengingat satu kalimah hikmah ini;
"Love what you do, do what you love."

Mungkin kata kunci dalam setiap pengorbanan mereka adalah: cinta.

Ya, saya merasai cinta mereka. Dan saya jatuh cinta dengan cara mereka bekerja.

Kata pengarah program sendiri, banyak tribulasi yang mereka hadapi untuk menjayakan program ini. Tetapi senyuman ceria anak-anak Syria dan ibu bapa mereka di kem pelarian Mafraq pada hari ini telah menghilangkan segala rasa susah di hati mereka. Saya menjadi saksi, mereka pulang dengan rasa puas, di balik wajah-wajah yang terlelap dek penat dalam coster tadi.

Sebahagian rumah di kem pelarian Mafraq

Bukan senang, mahu memberi dengan seikhlas hati buat sesuatu yang kita cinta.

Apakah yang kita cinta itu?;

Kesenangan.

Kerehatan.

Masa.

Tenaga

Harta

dan untuk memberi semua itu terikat pada satu benda yakni;

JIWA.

***

Mungkin kalau tengok siapa yang jadi sukarelawan tadi, ada yang kecil badannya, bersahaja rupanya, lemah lembut perwatakannya, namun percayalah, mereka bukan sebarang orang.

Kerana mereka telah mengorbankan jiwa.

Kerja mereka pun sudah bernama; SUKA+RELA.

Bukankah itu berkait dengan jiwa?

***

Bila bercakap pasal berkorban jiwa, ada orang berkorban jiwa untuk perkara yang sementara. Dan sayang, di akhir hari semua itu menjadi debu-debu berterbangan.

Untung jadi orang Islam, kita diwajibkan untuk berbuat segala kebaikan hanya untuk mencari Redha-Nya. Hanya dia. Dan jika sebab-sebab lain hilang di pandangan mata, Allah sentiasa ada bukan?

Kerana dalam kerja-kerja memberi, banyak tarikan-tarikan yang mudah menggelincirkan niat dan memberatkan langkah.

Ikhlas itu ibarat pelincir yang menyahkan kesan karat. Jika ia ada, banyak manapun ujian dan beban seakan tiada kesan. Kerana Redha Allah itu, ke langit sifatnya, dunia ini di bawah sering memberatkan.

Wahai.

***

Banyak yang mereka lakukan tadi, antaranya pemeriksaan kesihatan (baca; medical check-up), permainan bola beracun, bangun duduk, mewarna, dan mengaji. Ada juga sesi-sesi menarik seperti ajar cara berus gigi yang betul dan kepentingannya, ajar cara basuh tangan dan kepentingan pakai kasut.


Apa yang menarik, doktor-doktor dan ustad ustajah itu adalah pelajar-pelajar Malaysia sendiri. Belum kerja dapat gaji dah diajar memberi! Dah ada gaji moga-moga lagi banyak memberi insyaAllah :)

Kita mungkin tak dapat agak betapa pentingnya segala pemberian kita yang kecil-kecil itu.


Anak-anak itu akan membesar, dan pada setiap mereka ada harapan. Kebaikan yang kita beri hari ini disambut dengan hati yang paling besar anak-anak ini. Mereka ingat, mereka simpan dan siapa tahu.. mereka juga mahu memberi? Kerana mengingat kita!



من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها وأجر من عمل بها إلى يوم القيامة

barangsiapa yang mencontohkan suatu sunnah (perbuatan) yang baik dalam Islam maka ia mendapat pahala sekaligus pahala orang lain yang mengamalkannya sampai hari kiamat

Ohoi bahagianya!

Moga Allah terima amal muliamu teman-teman :)

(Ana belajar dari antum ni, kalau ana buat, antum dapat pahala.. untung jadi antum tau... haha)

***



Ya.. Saya belajar cara memberi dari mereka.

Orang selalu berfikir... bila kita memberi kita akan kekurangan.

Tapi kalau lihat semula, bila kita memberi ada seribu satu jalan syurga yang kita tempuh sebelum kita mampu memberi.

Kita mengajar diri cara mencintai.

Kita mengajar diri untuk menjadi kuat dalam berkorban.

Kita melatih diri menjadi ikhlas dalam kehidupan.

Kita menyuburkan sifat kasih mesra dalam diri insan.

Menjauhkan kita dari segala daki-daki keduniaan.

Lantas kita gembira, walaupun memberi membuat kita kekurangan.

Sebab itulah saya menyimpulkannya dalam satu rumus;

"Bila kita menggembirakan orang, kita menggembirakan diri sendiri.

***

                               

Doakan saya teman-teman :)

Assalamualaikum












Saturday, 21 October 2017

Catatan Minggu Ketiga.

Bismillah



"It is not how good you are, it is how good you want to be."

Minggu ketiga sudahpun berlalu, menandakan hampir sebulan saya di sini. Alhamdulillah banyak nikmat yang diperoleh minggu ini. Nikmat sihat, nikmat cukup makan pakai, nikmat rakan-rakan baik dan banyak lagi nikmat yang tak dapat dihitung.

Pada minggu ini juga saya dan rakan-rakan mula sibuk dalam dunia sendiri. Kerana minggu ini minggu peperiksaan pertama bermula. Tapi dalam kesibukan itu, ada rakan-rakan serumah yang sibuk bermesyuarat dan mengurus majlis. Namun mereka tampak sangat biasa sahaja. Kagum!

Semangat kawan-kawan saya jadikan cermin diri. Tiada waktu saya melihat mereka seperti bermalasan, murung mahupun kerisauan. Sedangkan dalam kepala otak mereka banyak benda untuk diselesaikan. 

Saya teringat kata-kata guru saya;

"Bukan benda itu yang susah, tapi nafsu kitalah yang merasakannya susah."

Ya, nafsu kita sukakan zon selesa. Nafsu kita suka bersenang-senang. Sedang jalan menuju syurga itu tidak sama seperti apa yang nafsu inginkan.

Antara yang bertambah susah minggu ini selain peperiksaan adalah dua assigment dalam bahasa arab. Mujur boleh rujuk buku. Dan rezeki di celah cabaran itu adalah, saya mendapat dua kenalan arab yang baru nama mereka Rania dan Ruba. Mereka berdua yang susah payah terangkan saya tentang assignment ini. 

***

Bahasa arab saya semakin baik, hanya sangat lambat. Berkat nasihat kakak minggu lepas saya cuba beranikan diri membuat kawan. Allah bukakan jalan untuk saya pandai mencari idea berbual dengan teman-teman arab. Bermula dari meminta akaun facebook dan insta, saya melihat gambar-gambarnya. Dan dari situ saya mula bertanya;

"Afnan, awak dah berkahwin?"

"Oh tidak, saya bertunang."

"MasyaAllah, bila nikah?"
"Cuti musim panas ini." Jawabnya sambil tersenyum.

Saya pernah terbaca dalam sebuah buku tentang membina hubungan sesama manusia (tak ingat tajuknya), antara cara mulakan persahabatan adalah melihat apa yang sama atau perkara yang menjadi 'concern' seseorang itu. Kemudian memulakan perbualan dengannya.

Ternyata cara itu berkesan! Alhamdulillah.

Saya juga meminta rakan arab di kelas mengajar tiga kalimah bahasa arab ammi setiap kali kelas. Wajahnya teruja untuk berkongsi. Dia gembira, apatah lagi saya. huhu.

***

Hari Selasa saya diajak kawan ke Carefour. Saya pernah terbaca dalam satu artikel buku bahasa Turki, tentang tip yang baik bagi tetamu baru di tempat baru, katanya; "Jangan pernah tolak pelawaan/ajakan orang" Sebab bukan selalu orang nak ajak kita. Jadi walaupun baru balik sekolah, saya setuju saja untuk mengikut. Bila lagi nak kenal Jordan kalau bukan sekarang, ia adalah peluang! Maka kami bergerak dengan menaiki teksi, dan itu juga kali pertama saya menaiki teksi mereka.

Di Carefour saya melihat sisi baru Irbid. Pusat membeli belah itu tidak besar mana, tapi cantik dan mewah! Yang paling menarik, ada dijual serai, rambutan, manggis dan air laici! Mana nak jumpa kalau di Turki. Di sini juga ada Turkish Village. Tempat yang menjual barang-barangan Turki. Saya singgah ke Turkish Bazaar untuk membeli lokum buat kawan-kawan merasa. Ternyata tuan kedainya orang Istanbul! Kami berbual, tampak keterujaan di wajahnya, di wajah saya juga.. mungkin :D




Di sini saya dapat keluarkan duit. Hanya tersilap mengeluarkan duit di ATM Jordan Kuwait Bank, cas perkhidmatannya 3JD. Mahal dua dinar dari ATM di sebelah kirirnya; tempat rakan saya keluarkan duitnya.

***

Hujung minggu pula, direzekikan untuk ikuti Liqo' dengan kedatangan hampir penuh. Liqo' kali ini lebih meriah semeriah makanan-makanan di atas meja ^_^ Dalam liqo kali ini kami menumpang berkat dari kisah seorang sahabat bernama Sa'ad bin Muadz. Seorang sahabat yang besar sumbangannya dalam mengajak orang kepada Islam ketika beliau baru sahaja bergelar muslim selama 6 tahun sehingga kewafatannya. Menghitung umur dan amal diri, kami meminjam semangat sahabat yang berasal dari Madinah ini.

Selepas Liqo', saya dan kawan-kawan menuju ke Dewan Solah Petra untuk menghadiri Malam Amal Permai. Itu adalah pengalaman pertama saya mengikuti program makan malam. Mujur rakan serumah beria meminjamkan baju dinner beliau tanpa saya pinta. Terima kasih bibi!



Malam itu meriah. Semeriah dewan yang cantik itu. Ada game, persembahan, cabutan bertuah dan sesi bidaan yang cukup mengkagumkan. Dengan semangat beramal, bidaan sebuah lukisan khat bermula dari harga 5JD dibeli dengan 73JD. Hebat kan? "Meremang bulu roma saya.. " bak kata MC.

Malam itu semua orang pulang dengan kepenatan. Tapi bahagia dan puas. Terima kasih pada kawan-kawan yang telah menjayakan program malam itu antaranya housemate; bibi dan umi. Semoga dapat jawab exam dengan baik!

Jazakumullahukhair kerana menjadi qudwah hasanah, saya meminjam sedikit semangat kalian untuk melangkah di hari-hari mendatang.

Moga Allah berkati masa-masa yang berbaki di Jordan.

Doakan saya! Assalamualaikum.






















Friday, 13 October 2017

Coretan minggu kedua.

Bismillah.

Alhamdulillah wa Natubu ilaih.


Setiap satu jalan,
Akan ada satu cerita,
Setiap satu perasaan,
Buka jalan-jalan manusia,
Berperasaanlah yang baik-baik,
Agar jalan yang dilalui,
Menulis cerita yang enak..
Untuk dibaca.

Cepat sungguh masa berlalu. Sudah dua minggu bernafas di bandar Irbid ini. Semoga Allah berkati waktu-waktu yang berbaki.

Minggu kedua adalah fasa saya berkenalan dengan Yarmouk, berkenalan dengan ahlinya, makanannya, jalan-jalannya.

Taarruf adalah satu proses penting dalam hidup. Medium manusia memahami cara dunia ini bekerja. Dengan siapapun anda bertaarruf, walaupun dengan bumi yang tidak bersuara seperti Jordan ini, ia tetap merupakan proses sepanjang hayat. Dan saya, baru mahu memulakannya.

Minggu kedua inilah pertama kali melihat dan merasa hujan. Segar rasanya. Petanda akan masuk musim sejuk. Suhu pun mula menurun berbading minggu lepas. Awan kerap kali mendung. Saya sudah mula berpakaian tebal ke sekolah. Menyambut satu lagi ayat Allah yang menukar-nukar musim buat manusia.

Dalam kedinginan itu, jiwa saya kehangatan. Berdebar menempuh hari-hari baru di sekolah. Syukur, saya makin dapat menangkap apa yang guru ajarkan dan dapat memahami teks dalam kitab dengan baik. Hanya masih tidak mampu bercakap.

Betullah, belajar agama dalam bahasa arab lebih masuk ke jiwa. Tak tahu sebab apa, tapi Allah menjadikan lebih senang faham dan ingat apabila belajar dengan bahasa ini. Lagipun, bahasa inilah bahasa sejarah yang menjadi batu bata tertubuhnya ilmu agama. Mungkin itu yang menyebabkan belajar ilmu ini dengan bahasa arab terasa lebih lazat. Seperti kita makan ikan patin masak tempoyak, lebih enak kalau makan di Temerloh bukan? Tempat asal usulnya. Walaupun makan di tempat lain resepinya sama :)

Minggu ini jugalah saya dapat menghadiri satu dauroh yang disampaikan oleh seorang Sheikh di rumah seorang akhwat di sini. Beberapa kali Sheikh menerangkan tentang kepentingan belajar bahasa arab. Kata beliau;

"Tidak cukupkah bahasa ini sebagai bahasa syurga, bahasa para Nabi, bahasa agama untuk menjadikan kita bersungguh-sungguh mempelajarinya?"

Beliau meminta kami menghafal satu rumus penting untuk hidup ini;

"Jika kamu tahu sesuatu, maka beramallah."

"Jika kamu tidak beramal dengan apa yang kamu tahu, maka kefahaman kamu belum benar."

Oh.. rasa ditampar banyak kali. Saya rasa anda juga merasakannya. T_T

Bercerita tentang bahasa arab, banyak kenangan memalukan dan menyedihkan di sekolah. Mungkin buang banyak masa kalau mahu diceritakan. Malu kerana beberapa kali saya tidak dapat bertutur dengan betul dihadapan rakan arab dan guru-guru. Malah tidak dapat fahami jawapan dan soalan mereka. Sedih kerana rasa gagal setiap kali melakukannya.

Mujur Allah berikan saya peluang berkenalan dengan seorang kakak di sini. Dan dialah Naqibah baru saya. Katanya apabila saya tanyakan bagaimana dia boleh pandai bahasa arab;

"Akak tak pernah ada basic bahasa arab pun. Akak belajar kat pasar."

Huyoo.. belajar kat pasar je? Getus hati kecil saya.

Mungkin kerana dia adalah seorang pelajar pergigian, dia perlu gigih menguasai bahasa pasar, bahasa komunikasi harian orang di sini. Dia juga menceritakan bagaimana dia makin pandai bahasa arab fusha dengan mula membaca tafsir-tafsir dari kitab-kitabnya.

"You can do it, when you put your mind into it."

"Buat KPI, bulan first ni kena ada satu kawan baik arab." Katanya sambil menepuk bahu saya. Saya tertunduk sambil tersenyum pucat.

Dalam diam saya mengkagumi semangatnya. Sesama kami pun dia sering ingatkan agar kami menyantuni orang dengan ikhlas dan baik. Bukan saja orang melayu, tapi orang arab di sekolah dan di jalanan! Ternyata dia tidak bercakap kosong...

Semasa dalam perjalanan pulang, beliau berhenti di tempat seorang pakcik berusia yang menjual anak patung terpakai di atas lantai di tepi jalan. Beliau menanyakan khabar dan menyampaikan salam kepada keluarga pakcik itu dengan bahasa arab Ammiyah. Pakcik itu tampak gembira, dan saling betanya khabar dengannya pula. Di akhir pertemuan, pakcik tadi mengangkat tangan dan mendoakan kami semua sempena ujian yang bakal bermula minggu depan.

Itu juga dakwah, tanpa sedikitpun taujihat, tanpa sebaris pun ayat nasihat.

Luluh hati saya. Menilik sifat rahmat yang masih kurang dalam diri. Menghitung lemahnya pemahaman saya terhadap dakwah yang sebenarnya tidak mengenal siapa. Semua orang berhak mencicip rahmat agama ini.

Semasa mahu menghadiri usrah pula, rakan yang meneman saya belanja satu aiskrim ketika saya baru sampai. Sedangkan waktu itu orang yang berjual baru mahu memberikan bakinya, dia  dengan selamba;

"Takpa, saya nak satu lagi." Sambil menolak baki tersebut.

Itu okay lagi, ketika dalam perjalanan, dua orang anak kecil menahan kami berdua. Dan meminta rakan saya belanja mereka di kedai berdekatan. Saya sejujurnya sering rasa tidak selesa dengan anak-anak yang meminta ini. Kerana dimomokkan mereka ini mengambil kesempatan, anak-anak sindiket dan sebagainya. Hampir saja meminta rakan saya itu meninggalkan mereka, tetapi dia berhenti dan masuk ke kedai tadi. Dia membeli apa yang anak-anak itu mahu. Bukan sahaja untuk dua anak itu, malah untuk adik-beradiknya sekali. Rupanya rakan saya ini antara sukarelawan dalam program-program kemanusiaan, dan anak-anak tadi adalah anak-anak keluarga Syria yang sudah dikenalinya.

"Ya Allah.. ampunkan saya."

***

Seperti saya sebut tadi, taarruf saya bukan hanya dengan orang-orang dan menghafal jalan-jalan, malah juga makanan-makanan!

Alhamdulillah ada rakan-rakan yang rajin melayan. Mereka selalu sahaja mempelawa saya ke mana-mana, mengajak berjalan ke tempat baru, dan memperkenalkan dengan makanan-makanan. Menjadi tetamu, kita segan untuk banyak meminta. Dan bertemu tuan rumah seperti mereka adalah rahmat :)

Antara makanan yang saya cuba minggu ini adalah Mansof, satu makanan Jordan yang istimewa yang katanya selalu dimakan pada hari Jumaat, hujung minggu di sini. Mansof ibarat nasi minyak yang dimakan bersama ayam panggang dan kuah yogurt, Sedap tapi hidangan yang terlalu besar membuatkan saya terlalu kenyang, Satu pinggan boleh makan 3 orang.


Satu lagi keistimewaan Jordan adalah ais krim nya yang MasyaAllah! Enak!



Sebatang dua scoop harganya 0.75 JD. Sama dengan RM4.5 satu. Dan kali ini roommate saya belanja. Huhu, segan betul asyik jadi penerima. Aiskrim di sini banyak perisa, dan perisanya asli betul. Kalau buah, memang rasa buahnya. Kalau perisa coklat memang akan rasa coklat yang dipecah-pecahkan di dalamnya. 

Mintak maaf kalau buat semua terliur :)) Nak suruh datang Jordan sebenarnya.

Dan ketiga adalah makanan di restoran Hadramaut. Saya tidak ingat nama makanannya tapi sangat sedap dan tidak terlalu berempah. Dimakan bersama roti hanya di atas meja berlapik plastik! Unik! Dan teh susunya serupa betul dengan teh tarik kita. Memang di sini tak ada istilah rindu Teh tarik mamak. Apa yang penting ramai sungguh orang melayu malam itu. Malam hujung minggu tempat komuniti Malaysia bertemu.




Sewaktu saya menulis ini, azan maghrib sudah berkumandang. Waktu menunjukkan pukul 6.13 petang. Ternyata waktu solat semakin awal. Dan saya juga perlu berhenti dulu di sini ^^

Mohon doakan yang baik-baik, terutama untuk bahasa arab saya :) Moga Allah tunjukkan jalan terbaik yang perlu saya tempuh, untuk gunakan umur yang berbaki pada jalannya.

Terima kasih sudi membaca, semoga bermanfaat :)

Assalamualaikum.
















Friday, 6 October 2017

Minggu pertama di Yarmouk

Bismillah.


Rasa teruja Tuhan bekali manusia buat meredah rasa takutnya,
Rasa cinta Tuhan bekali manusia buat melawan norma dunia,
Rasa hamba Tuhan bekali manusia buat menyedari pemberian itu dariNya.
Pejam celik pejam celik sudah seminggu saya di bumi Allah bernama Jordan ini. Alhamdulillah ala kulli hal. Setiap hari baru adalah peluang untuk saya membaiki diri dan belajar perkara baru. Setiap hari adalah rezeki buat kita menambah nilai diri.

Begitulah fahaman yang cuba dipegang untuk menguatkan diri meredahi minggu pertama di sini. Tidak mudah, namun tidaklah susah kerana bantuan rakan-rakan. Terasa seperti ada malaikat yang Tuhan hantar membantu diri yang tercampak seorang ini.

Semasa pendaftaran kelas (Tasjil Madah), wakil MMY yang membantu saya turun naik pejabat sehingga siap proses memilih subjek dan mencari kelas. Terima kasih buat adik Nu'man dan Wardati, kagum benar dengan kegigihan mereka. Tak lupa rakan-rakan rumah yang 9 orang; K.Hana, K.Aqilah, K.Atiqah, Farah, Rabiatul Adawiyyah, Naimah, Yumni, Ummi dan roommate Syakirah, Allah yujzikum khairal jaza'.

Untuk urusan mendapatkan Iqamah (permit tinggal) pula, Universiti Yarmouk membantu semuanya. Dari fotostat passport, bawa ke balai polis, mendaftar dan menghantar semula ke sekolah. Mungkin kerana sudah biasa menguruskan pelajar pertukaran, mereka sudah ada sistem yang kemas dan tersusun.

Saya sempat berkenalan dengan pelajar-pelajar pertukaran dari negara-negara lain yang ikut membuat Iqamah; Dana dari Korea, Serayya dari Sepanyol, Tony dan Nioumi dari German dan lagi dua orang rakan yang tak sempat saya sapa. Mujur mereka semua fasih berbahasa inggeris, kami berbual sepanjang di balai polis kerana telefon bimbit tidak boleh dibawa masuk! Difahamkan pelajar pertukaran tidak boleh dapatkan visa pelajar yang bertempoh 6 bulan, maka kami diberi iqamah selama 2 bulan. Pada bulan Disember, kami akan dipanggil semula untuk ke Amman untuk memanjangkan Iqamah.

Itu kisah Iqamah, bagaimana pula dengan kelas-kelas?

Pembantu dekan memberikan saya surat penyata yang memberitahu bahawa saya adalah pelajar pertukaran dari Istanbul. Kata beliau surat ini perlu difotostat dan diberikan pada setiap guru ketika mula masuk ke kelas.

Kelas pertama yang saya ikuti adalah kelas Hadhir A'lam Islami, gurunya Dr. Walid bercakap bahasa arab Ammi di dalam kelas. Namun setelah saya berikan surat tersebut, beliau mula berbahasa arab fusha sehingga kelas tamat. Syukur dan terharu. Jika tidak, pastilah saya tidak dapat memahami sedikitpun dari apa yang diajar. Seronok mendengar dia mengajar, ketika dia bercerita tentang Umar r.a dan Abu Bakar r.a, kerap kali dia sebak dan ayatnya hampir terhenti. Sangat menyentuh hati saya dan rakan-rakan lain.

Esoknya, saya menghadiri 5 kelas. dari pukul 9 pagi sehingga pukul 3 petang. Bermula dengaan kelas Fiqh Ibadat dari Dr. Adam Qudho, saya berpindah ke kelas-kelas lain seperti Tilawah dengan Dr. Huwaida, kelas Fiqh Ahwal Syakhsiyyah dengan Dr Yufus Asy-Syarifain, kelas Madkhol ila Tasyri' Islamiy dari Dr. Firas dan akhir sekali Adyan Firoq bersama Dr. Samirah Tohir.

Semua sekali, ada 6 subjek yang saya ambil buat semester ini. Jumlah yang sangat banyak untuk seorang pelajar arab. Apatah lagi pelajar melayu. Saya tiada pilihan kerana itu sahaja cara untuk menjadikan jumlah credit hour dan ects sama.

Mujur ada kawan-kawan yang pernah mengambil subjek yang saya ambil. Ada yang meminjamkan buku-buku dan nota-nota mereka, ada yang memberitahu untuk ikut serta study group, dan ada yang sekelas dengan saya. Semuanya seperti dimudahkan, saya perlu kuat semangat untuk mensyukurinya.

Minggu ini juga saya sempat berkenalan dengan beberapa kawan arab. Mujur sekali, mereka bercakap fusha dengan saya. Mereka adalah Aslam, Imtina', Raghaf dan A'laa. Juga pelajar Thailand yang bernama Asriyah.

Walaupun fusha, saya masih tergagap-gagap. Apabila mereka bertanya, saya perlukan masa yang lama menyusun jawapan atau jika terburu-buru, saya akan terus menjawab "La adri." Pernah satu masa saya digelakkan satu kelas kerana tidak menjawab dengan baik soalan guru. Malu dan rasa lemah semangat seketika. Namun tidak mengapa, kata K.Mira Shuib;

"Biasa lah tu baru mula. The beginning is always the hardest. InsyaAllah awak boleh buat. Jangan risau." Sambil menghantar dua emoticon muscle tanda saya perlu kuat.

Ketika saya mengadu kepada Esma abla (kakak di Turki) tentang bahasa arab saya yang lemah, katanya;

"Kan untuk itu juga awak pergi sana?"

Benar, saya datang untuk memperbaiki bahasa arab. Saya ada lagi 4 bulan dan itu adalah masa yang lama untuk menguasai satu bahasa. Moga saya direzekikan untuk membaikinya.

Dulu saya pernah berangan untuk menjadikan posting di blog ini dalam 4 bahasa; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Turki dan Bahasa Arab. Biiznillah, saya harapkan ianya menjadi kenyataan satu hari nanti.

Doakan saya :)

"Semua perkara dihitung pada pengakhirannya."

"Ya Allah, jadikan sebaik-sebaik umur, umur akhirku. Jadikanlah sebaik-baik amal, amal penutupku. Jadikanlah sebaik-baik hari, hari aku bertemu denganMu." Aamin yrab.





























Monday, 2 October 2017

Ruh Ansoriy

Bismillah.

"Akak, kalau saya bayar 90JD sebulan boleh?"

"90 JD, banyak tu."

"Sebenarnya kitaorang satu rumah dah bincang, kalau awak bayar 30JD untuk makan dan bil air api dah cukup. Kitaorang decide awak tak payah bayar untuk sewa. Sebab awak masuk ni pun tak pengaruh apa-apa."

Saya terdiam. 30JD=RM180 sebulan. Murah sangat tu.

Saya tak mampu menolak, tapi saya malu untuk menerima.

Iyalah, sudahlah datang entah dari mana, bukan kenalan, bukan saudara. Diberi segala keperluan dan layanan baik. Kemudian bayar itu sahaja?

"Terima kasih banyak." Itu saja yang saya mampu ucap dengan senyuman terharu.

"Tapi bulan ni saya nak bayar 30JD." Walaupun h.anya 15 hari.

"Eh, tak payahlah. Akak datang lewat ni pun tak bayar apa-apa."

"Takpelah, boleh rumah guna nanti." Saya tersenyum kecil.

***
Mungkin ini kali pertama saya duduk di tempat yang digelar Rumah Islam. Baru lima hari saya di sini, ini kali pertama saya rasa benar ketenangannya.

Ada orang kejut subuh.

Tunggu sehingga solat jemaah.

Imam yang paling suka volunteer adalah seorang bakal doktor,

Makmumnya pelajar syariah.

Lepas solat baca mathurat.

Lepas mathurat baca hadis dan huraian.

Ada saja yang baca al-Quran setiap sebelum solat.

Lepas solat Isyak baca al-Mulk.

Lepas al-Mulk ada tazkirah pendek.

Keperluan selalu ditanya.

Bantuan sering dipelawa.

Makan dalam dulang yang sama.

Makanan pula banyak diwaqafkan mereka

***

Kalau mereka gelarkan ini rumah Islam, mungkin saya boleh menjadi saksinya.

Ini baru lima hari dan ada banyak lagi hari-hari mendatang, saya tidak sabar untuk menempuhnya untuk mempelajari banyak lagi dari akhlak mereka. Walaupun saya yakin kelemahan ada dan boleh ditemui, saya harap saya tidak akan mahu mencari. Semoga saya melihat kekurangan diri lebih dulu dan diberi hidayah membaikinya. Semoga saya melihat kebaikan yang ada dengan qalbu dan didorong untuk mensyukurinya.

Saya tertanya-tanya, bagaimana mereka melakukannya?

Dari manakah sumbernya?


Image result for al hasyr 9


Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung. (Hasyr:9)

Bukankah Allah s.w.t memuji kaum Ansor akan pengorbanan mereka terhadap muhajrin? Ianya direkodkan dalam al-Quran. Mereka dipersaudarakan atas nama iman. Mereka memberi dengan rasa cinta yang terbit dari iman.

Moga tautan ini ikhlas untukNya, dikuatkan dengan didikanNya, berterusan dalam lindunganNya.

Aamin.































Sunday, 1 October 2017

Bersandar pada Dia.

Bismillah.

Dunia ini penuh dengan kejutan. Masa depannya sentiasa bertanda soal, walau bagaimapun manusia berusaha, sebanyak manapun duit dan harta, kunci masa depan tak akan berada di tangannya.

Itulah antara wajah kefakiran manusia.

Ketika memutuskan untuk ke Jordan, saya sangat merasakannya. Menyedari betapa fakirnya diri ini untuk menentu masa depan.

Esok bagaimana?

Macam mana nak beli tiket kapal terbang sedangkan tak ada kad kredit?

Nak pergi lapangan terbang pagi-pagi buta seorang diri selamatkah?

Transit macam mana? Ini pertama kali saya transit!

Rakan-rakan di sana bagaimana?

Rumah okay ke? Katanya selalu tak cukup air di Jordan.

Sekolah bagaimana? Katanya subjek terlalu banyak dan susah.

Dan banyak lagi.

Terlalu banyak persoalan bermain dalam kepada ini sehingga hari-hari terakhir di Turki saya jatuh sakit. Demam dan sakit sendi

Hanya teringat pesan-pesan yang terselit dalam Risalah Annur Kalimah Pertama;

"Bismillah adalah kekuatan yang sangat besar dan tidak pernah luak, ia adalah berkah yang banyak dan tidak akan habis."

"Ya! Sesungguhnya kalimah suci Bismillah umpama khazanah besar yang tidak akan pernah berkurangan isinya kerana dengan kalimah inilah kedaifanmu itu akan bergantung kepada rahmat yang maha luas bahkan terlebih luas daripada alam ini dan dengannya juga, kefakiranmu akan bergantung kepada kuasa yang amat hebat yang mentadbir kewujudan ini bermula daripada atom sehinggalah kepada cakerawala. Sehingga akhirnya, kedaifan dan kefakiranmu itu akan menjadi syafaat di sisi al-Qadirul Rahim, Pemilik bagi segala kemuliaan."


"Sesungguhnya yang bergerak dan yang diam, yang berpagi dan berpetang, yang mengungkapkan kalimah Bismillah adalah seumpama orang yang terlibat dalam ketenteraan. Ia berurusan atas nama negara dan tidak gentar kepada sesiapapun. Ia berucap atas nama undang-undang dan negara, maka terlaksanalah segala urusannya dan tetaplah pendiriannya dalam menghadapi semua perkara. Kita telah menyebut pada permulaan tadi bahawa semua makhluk ini berzikir dengan bahasanya yang tersendiri iaitu dengan menyebut kalimah Bismillah ...Adakah ini benar?"


Sangatlah benar apa yang diungkapkan. Banyak perkara dalam hidup ini kita memang bukan untuk kita menanggungnya. Banyak keperluan dalam hidup ini tidak mampu untuk disandarkan pada kudrat manusia yang rapuh itu. Melainkan untuk mengingat kembali Dia. Tuhan yang Maha Kuasa, yang Mampu melakukan segalanya.

Wahai diri,

Tuhanmu, bukan hanya Maha Kuasa. Dia juga Maha Penyayang. Mengapa kau penatkan diri mencari kudrat dan kasih dari dirimu yang fakir itu?

Dalam buku Lapis-Lapis Keberkahan karya Salim A.Fillah, beliau mengingatkan kita uslub dan adab para Nabi Allah seperti Nabi Musa dan Nabi Yunus ketika mereka meminta pada TuhanNya;

"Ya Rabbi (Rabb-ku), aku terhadap apa yang engkau kurniakan dari kebaikan adalah hamba yang fakir."

"Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim."

Kata Salim A.Fillah, kita mempelajari keberkahan dari mereka. Kedua Nabi itu telah diberikan kurnia yang melimpah, Rahmah yang mencurah tanpa menyenaraikan secara rinci apa yang mereka mahu dan perlu. Apatah lagi dengan ayat memerintah Tuhan. Dengan jiwa penuh rendah, mengaku kelemahan diri dan mengiktiraf Nama-nama mulia Tuhan, mereka berharap. Berharap dengan penuh yakin bahawa Tuhan yang dipuja itu lebih baik kurniaNya, ilmuNya lebih baik dari apa yang hamba akan pinta.

Mata saya menjadi layu, kening ini terasa berat dengan beban-beban dunia. Apa yang dikongsikan Salim A.Fillah dalam kitabnya terasa sangat membasah di jiwa. Saya sangat perlukannya. Maka diri ini cuba meniru-niru dalam doa, walaupun mungkin jiwa masih jauh untuk mengejar mereka.

"Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Hamba terhadap pemberianmu yang baik-baik adalah sangat memerlukan lagi fakir."

Saya tidak tahu apakah doa itu sudah terjawab atau tidak. Tapi apa yang rasai dan alami pada hari-hari seterusnya, terasa benar akan kepemurahannya.

Saya terjaga pukul 3.00pagi pada hari saya akan bertolak ke Jordan. Dua jam lebih awal dari jam loceng saya. Saya membaca mesej yang baru masuk dari seorang kakak. Katanya kalau saya bertolak lepas subuh untuk menaiki bas ke lapangan terbang, saya kemungkinan besar akan terlepas penerbangan. Beliau risau. Katanya, naiklah teksi. Ia lebih baik.

Saya menerima sahaja walaupun saya tahu menaiki teksi pagi-pagi buta seorang diri adalah risiko. Dengan duit cash yang hanya tinggal 155TL di dalam poket, saya redahi sunyi pagi itu dengan memohon kebaikanNya.

"Saya mahu ke Sabiha Gokce airport. Berapa tambang ke sana?"

"200TL" Kata Pakcik berumur separuh abad itu.

"Tapi saya hanya ada 155TL"

"Itu sahaja? Betul ni?" beliau seperti berat hati mahu menerima.

"Betul, Pakcik boleh check."

"Baiklah, masuk."

Saya lega. "Semoga Allah meredhai Pakcik."

Saya naik tanpa banyak kata. Lama kelamaan dia mula bersuara. Bertanya saya dari mana, mahu ke mana, untuk apa dan banyak lagi. Akhir sekali dia berkata;

"Saya ada dua orang anak perempuan seperti kamu. Mereka pun tinggal jauh. Kalau bukan kerana saya melihat kamu seperti anak saya, saya tak akan terima kamu. Sebab memang tidak ada orang terima penumpang untuk ke Sabiha dengan bayaran kurang dari 200."

Sayu saya mendengar kata-katanya. Terasa seperti ayah sedang berada di sisi. Beliau memecut supaya saya tidak kelewatan. Malah menunggu sehingga saya masuk ke pintu airport sambil melambai tangan dan tersenyum. Beliau mendoakan saya agar dipeliharaNya ketika kami mahu berpisah.

Tuhan, Dikau Maha Kaya. Masih ada ramai lagi orang-orang seperti ini yang dikau temukan buat kami.

Saya tiba ternyata 3 jam lebih awal dari waktu berlepas. Dan ia adalah waktu yang sangat selesa.

Lega saya surut seketika. Namun apabila memikirkan bagaimana saya akan ke Yarmouk setibanya di Amman, saya semakin khuatir. Lebih-lebih lagi apabila mendapati telefon tidak membaca internet airport, saya pula tersilap menukar wang di airport sehingga rugi beberapa dinar, ditambah pula dengan kaunter pembelian visa yang tidak bergerak setelah hampir sejam menunggu. Saya semakin buntu.

"Malezya?" tanya polis itu dari jauh.

Saya mengangguk.

"Mari ke sini."

Saya melepasi beberapa orang untuk ke kaunter visa. Ternyata saya melepasinya dengan cepat sekali tanpa membayar apa-apa. Apabila ditanya mengapa, beliau menjawab;

"Sekarang ada satu undang-undang baru yang memberi pelepasan visa 30 hari kepada pemegang passport Malaysia. Awak tak perlu membayar apa-apa."

Saya semakin sebak. Tuhan benar-benar Maha Pemurah.

Saya pergi mengambil bagasi dan menunaikan solat. Belum sempat memberitahu ibu dan ayah saya sudah sampai, ada orang memanggil nama saya;

"Ruqayya ya?"

Saya menoleh ke belakang. Ternyata beliau adalah Makcik Melor. Beliau dan suami datang mengambil saya di airport. Baru saya tahu bahawa rakan saya telah menukar rancangannya dengan Makcik. Makcik kebetulan akan ke Yarmouk esok, jadi beliau mengambil saya dan menumpangkan di rumahnya satu malam. Rakan saya tidak perlu susah-susah turun ke Amman hanya untuk menjemput saya.



Bersama Pakcik Makcik dan anaknya, saya berasa seperti berada di sisi keluarga sendiri. Banyak saya belajar dari nasihat dan cerita mereka. Dapat jumpa merawat rasa rindu kepada adik dan anak saudara ketika melayan anak bongsu mereka. Makcik masakkan masakan-masakan melayu. Membuat saya rasa seperti di rumah sendiri.


Keesokan harinya saya dihantar sehingga sampai ke pintu rumah. Disambut rakan-rakan dengan manis senyuman. Semua mereka tanyakan; almari, katil. bakul, hanger.... semuanya ada. Dan roommate saya Kiera sangat baik orangnya. Sudahlah dibelanjanya macam-macam, diberi hadiah dan diberi tunjuk ajar sehingga ke bandar Yarmouk.



Malam pertama kebetulan ada program mabit. Dapatlah berkenalan rakan-rakan Jordan dari pelbagai negeri. Mu'tah dan Amman. Hebat-hebat belaka mereka. Ketika bercermin dengan mereka, saya semakin yakin bahawa kebaikan sentiasa ada yang lebih tinggi darinya. Kami bertaaruf, dan saya mendapat bunga! Terima kasih Nadiah :)


Kami solat satu saf, makan satu dulang, tidur satu lantai, semua itu memberi banyak ruang untuk kami saling mengenali. Bersama rakan-rakan tidak terasa asing dan baru. Saya dan mereka mengulang ayat yang sama;

"Saya rasa macam pernah nampak awak sebelum ni."

Esoknya kami dibawa beraktiviti di Universiti Yarmouk. Tahulah saya di mana universiti saya terletak. Sambil pulang saya cuba menghafal jalan. Alhamdulillah. Banyak benar perkara baru saya dapat belajar. Hari dirasakan cukup berkat.

Persatuan perlajar di sini juga sangat proaktif. Wakil Majlis Mahasiswa Yarmouk dan Keselamatan dan penempatan Permai pada hari pertama lagi sudah menghubungi saya malah datang ke rumah untuk melihat apa yang mereka boleh bantu. Walaupun banyak lagi yang belum selesai, keprihatinan mereka membuat beban terasa lebih ringan.

Mendapat semua nikmat bertali arus itu membuat diri ini berkaca pada kepermurahanNya. Betapa segala kerisauan kecil saya terhadap hal-hal dunia, adalah terlalu mudah bagiNya.

Saya termenung panjang. Lantas mencoret ayat ini pada catatan di buku nota;
Ucaplah alhamdulillah bukan kerana gembira atas nikmat. Kerana boleh jadi ia terpalit cinta dunia. Ucaplah alhamdulillah kerana keinsafan penuh sedar akan kemuliaan dan kepemurahan Tuhan, serta insafi kelemahan dan kefakiran diri sendiri.
Ia seiring nasihat yang terselit dalam kisah dua sahabat di dalam surah al-Kahfi ketika mereka berkata;



Cita-cita besar tak terjangkau mata. Keinginan kita banyak tak tercapai tangan. Namun kefakiran kita tak pernah luput. Kelemahan pula makin bertambah. Di akhir hari, bersandar pada Dia adalah sebaik-sebaik harapan.

Doakan saya :)







Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...