"Apakah mereka yang membahagi-bahagi rahmat Tuhanmu? Kamilah yang menentukan penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat agar sebahagian mereka dapat memanfaatkan sebahagian yang lain. Dan Rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan."
(Zukhruf:32)
Hari ini saya orang yang paling lambat ikut solat jemaah.. Buat sekian kalinya. Huh.
Dan itu bermakna saya perlu bagi tazkirah pendek lepas solat!
"Ha Qayya, dapat belajar apa harini?"
"Hmm.." Saya melilau-lilaukan mata seperti biasa. Maaf Naimah ^^
"Asyik kita je." Saya cuba mengelat.
"Sebab qayya asyik lambat lah qayya kena bagi tazkirah!" jawab Naimah dengan wajah mengusik.
Saya terhibur..
Namun masih tiada idea apa yang perlu saya kongsi pada waktu itu.
Mengelat punya mengelat.. akhirnya tak jadi. Semua orang ada kerja untuk dibuat. Maka jemaah bersurai tanpa tazkirah.
Pada waktu itulah.. ilham datang. Huhu.
Orang kata... selalunya bila kita nak sesuatu itu, waktu itulah dia tak ada.
Tapi mari kita ubah ayat itu menjadi positif..
"Selalunya sesuatu itu datang, bukan pada waktu kita mahu, tapi bila kita perlu!"
Ya, dan ilham yang datang ketika jemaah bersurai itulah menjadi isi sharing post kali ini :)
Terima kasih Allah!
***
Jadi apa yang saya belajar?
"Bila kita gembirakan orang, kita sebenarnya menggembirakan diri kita sendiri."
Itulah apa yang saya belajar hari ini :)
Saya belajar erti memberi.
Sudah 4 minggu saya di sini, dan minggu keempat ditutup dengan penutup yang sangat baik. (Sebak jap.. haha);
Saya direzekikan untuk mengikuti misi bantuan musim sejuk anjuran i4s Jordan. Misi ini diberi nama "Zammilouni 4.0" yang membawa maksud "Selimutkanlah aku", sesuai dengan keperluan saudara kita di kem pelarian yang akan menyambut kedinginan musim Shita' (Sejuk).
Antara nekad yang saya semat sebelum ke Jordan adalah ingin mengutip bekal sebanyak-banyaknya untuk hadapi hari-hari mendatang. Saya berdoa agar Allah tunjukkan jalan yang patut saya wakafkan diri saya padanya untuk umur-umur yang berbaki. Saya berdoa agar dikurniakan teman-teman dan guru-guru yang baik yang dapat membimbing diri dan menunjuk jalan. (Mohon doakan saya ya ^^)
Dan hari-hari yang saya lalui di Jordan, dibayangi harapan-harapan ini.
Mungkin, ianya sudah termakbul. Dengan kehadiran mereka.
Siapakah mereka itu?
Antaranya adalah sahabat-sahabat sukarelawan misi Zammilouni kali ini. Di balik kepenatan hari ini saya banyak belajar dari mereka.
Sejak semalam lagi, ketika mengikuti sesi taklimat terakhir sebelum misi bermula esok pagi saya sudah merasa kagum dengan gerak kerja mereka.
Saya kagum, kerana di celah-celah perbincangan, ada dua tiga sahabat baru datang. Mereka lambat. Dan apabila ditanya mengapa, jawab mereka;
"Dari meeting."
MasyaAllah kan.
"Berapa banyak meeting lah diaorang ni pergi, dahlah minggu ni minggu exam." Saya mengomel seorang diri.
Apa yang lebih menarik, tiada sikit pun tanda penat di wajah mereka. Bahkan tersenyum dan terus bertenaga sepanjang mesyuarat.
Mereka makan apa? (Ahaha)
Saya yakin, manusia yang tidak mencintai apa yang dia lakukan tak akan mampu menyempurnakan kerjanya dengan baik. Sama ada hasilnya biasa-biasa, ataupun cacat dan terencat.
Bukankah kita mengingat satu kalimah hikmah ini;
"Love what you do, do what you love."
Mungkin kata kunci dalam setiap pengorbanan mereka adalah: cinta.
Ya, saya merasai cinta mereka. Dan saya jatuh cinta dengan cara mereka bekerja.
Kata pengarah program sendiri, banyak tribulasi yang mereka hadapi untuk menjayakan program ini. Tetapi senyuman ceria anak-anak Syria dan ibu bapa mereka di kem pelarian Mafraq pada hari ini telah menghilangkan segala rasa susah di hati mereka. Saya menjadi saksi, mereka pulang dengan rasa puas, di balik wajah-wajah yang terlelap dek penat dalam coster tadi.
Sebahagian rumah di kem pelarian Mafraq |
Bukan senang, mahu memberi dengan seikhlas hati buat sesuatu yang kita cinta.
Apakah yang kita cinta itu?;
Kesenangan.
Kerehatan.
Masa.
Tenaga
Harta
dan untuk memberi semua itu terikat pada satu benda yakni;
JIWA.
***
Mungkin kalau tengok siapa yang jadi sukarelawan tadi, ada yang kecil badannya, bersahaja rupanya, lemah lembut perwatakannya, namun percayalah, mereka bukan sebarang orang.
Kerana mereka telah mengorbankan jiwa.
Kerja mereka pun sudah bernama; SUKA+RELA.
Bukankah itu berkait dengan jiwa?
***
Bila bercakap pasal berkorban jiwa, ada orang berkorban jiwa untuk perkara yang sementara. Dan sayang, di akhir hari semua itu menjadi debu-debu berterbangan.
Untung jadi orang Islam, kita diwajibkan untuk berbuat segala kebaikan hanya untuk mencari Redha-Nya. Hanya dia. Dan jika sebab-sebab lain hilang di pandangan mata, Allah sentiasa ada bukan?
Kerana dalam kerja-kerja memberi, banyak tarikan-tarikan yang mudah menggelincirkan niat dan memberatkan langkah.
Ikhlas itu ibarat pelincir yang menyahkan kesan karat. Jika ia ada, banyak manapun ujian dan beban seakan tiada kesan. Kerana Redha Allah itu, ke langit sifatnya, dunia ini di bawah sering memberatkan.
Wahai.
***
Banyak yang mereka lakukan tadi, antaranya pemeriksaan kesihatan (baca; medical check-up), permainan bola beracun, bangun duduk, mewarna, dan mengaji. Ada juga sesi-sesi menarik seperti ajar cara berus gigi yang betul dan kepentingannya, ajar cara basuh tangan dan kepentingan pakai kasut.
Apa yang menarik, doktor-doktor dan ustad ustajah itu adalah pelajar-pelajar Malaysia sendiri. Belum kerja dapat gaji dah diajar memberi! Dah ada gaji moga-moga lagi banyak memberi insyaAllah :)
Kita mungkin tak dapat agak betapa pentingnya segala pemberian kita yang kecil-kecil itu.
Anak-anak itu akan membesar, dan pada setiap mereka ada harapan. Kebaikan yang kita beri hari ini disambut dengan hati yang paling besar anak-anak ini. Mereka ingat, mereka simpan dan siapa tahu.. mereka juga mahu memberi? Kerana mengingat kita!
من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها وأجر من عمل بها إلى يوم القيامة
“barangsiapa yang mencontohkan suatu sunnah (perbuatan) yang baik dalam Islam maka ia mendapat pahala sekaligus pahala orang lain yang mengamalkannya sampai hari kiamat”
Ohoi bahagianya!
Moga Allah terima amal muliamu teman-teman :)
(Ana belajar dari antum ni, kalau ana buat, antum dapat pahala.. untung jadi antum tau... haha)
***
Ya.. Saya belajar cara memberi dari mereka.
Orang selalu berfikir... bila kita memberi kita akan kekurangan.
Tapi kalau lihat semula, bila kita memberi ada seribu satu jalan syurga yang kita tempuh sebelum kita mampu memberi.
Kita mengajar diri cara mencintai.
Kita mengajar diri untuk menjadi kuat dalam berkorban.
Kita melatih diri menjadi ikhlas dalam kehidupan.
Kita menyuburkan sifat kasih mesra dalam diri insan.
Menjauhkan kita dari segala daki-daki keduniaan.
Lantas kita gembira, walaupun memberi membuat kita kekurangan.
Sebab itulah saya menyimpulkannya dalam satu rumus;
"Bila kita menggembirakan orang, kita menggembirakan diri sendiri.
***
Doakan saya teman-teman :)
Assalamualaikum
No comments:
Post a Comment