Selepas tamat press statement oleh pihak penganjur, bas-bas mula bergerak meninggalkan medan yenikapi.
Sepanjang perjalanan, saya sempat berkenalan dengan ramai kenalan dari negara yang berbeza-beza. Yang duduk di baris sebelah saya dan selebihnya di belakang semuanya merupakan pelajar-pelajar Turki yang ditanggung kerajaan Turki. Kadriyye dari Jibuti, Yuni dari Acheh, Amina dari Bosnia dan Fatma dari Mesir.
Dalam bas kami juga ada delegasi dari Bosnia antaranya dari Puan Zemira dari Solidarnost Association, Puan Safeeyah Mosa dari Spritual Chord, Puan Dima seorang warga Suriah yang merupakan peguam dan wakil pembangkan kerajaan Syria serta Puan Müzeyyen yang merupakan orang kuat konvoi ini.
Dan tidak dilupa Zeyneb dan Jamile yang merupakan ajk yang menjaga kami sepanjang tiga hari perjalanan.
Duduk di tepi tingkap bersebelahan dengan pintu tengah menjadikan saya duduk betul-betul di tengah semua penumpang. Melihat mereka di depan, kiri dan belakang membuat diri terasa kerdil. Mereka semua datang dari pelbagai latar belakang dengan niat yang besar. Sedang saya masih tercari-cari niat sendiri.
Dari awal perjalanan, orang yang paling sibuk adalah Puan Safeeyah. Sebelum bas bergerak lagi dia sudah mula membuat liputan dengan rakaman suara dan video untuk perutusan media di negaranya. MasyaAllah, ibu ini menggunakan segala kesempatan untuk menyampaikan mesej solidariti di negaranya. Kerap kali beliau mengulang dalam rakaman videonya; "Saya hanya seorang yang ada di sini, tetapi saya mewakili suara-suara wanita-wanita di negara saya untuk wanita Suriah. Seakan-akan mereka juga berada di sini.
Amina pula, seorang pelajar yang bertutur dalam empat bahasa secara fasih. Bahasa Bosnia, Turki, Arap dan Inggeris. Beliau juga antara yang menjadi penterjemah buat delegasi Bosnia. Malah antara yang sibuk membuat update di media sosial tentang perjalanan program. Dialah yang mengingatkan kami untuk menjadikan konvoi ini viral di media sosial. Agar mendapat sokongan ramai. Lebih ramai yang tahu dan menyokong, lebih dekatlah konvoi ini dalam mencapai objektifnya.
Apa objektif Konvoi Kesedaran ini?
Antara yang utama adalah menyedarkan dunia tetang realiti berpuluh ribu wanita dan kanak-kanak yang dizalimi dan diseksa oleh rejim Syria sejak 7 tahun lalu. Sehingga kini angka wanita yang dipenjara, diperkosa, diseksa bahkan dibunuh secara kejam terus meingkat. Sayangnya selama ini khabar mereka tidak kedengaran. Nasib mereka tidak dipertahankan oleh masyarakat dunia. Isu ini seakan dibisukan oleh semua.
Dengan mengumpulkan wanita-wanita dari pelbagai latar belakang dari 55 buah negara, objektif ini diharap tersebar luas ke pelusuk dunia. Sesuai dengan hari wanita yang berlansung pada 8 Mac, konvoi ini diharap dapat menyatukan suara-suara wanita dunia untuk turut sama mempertahankan hak-hak wanita-wanita yang berada di Suriah.
Bas bergerak perlahan semasa menuju Kocaeli dari Istanbul. Trafik Istanbul hari itu padat. Sambil merenung ke luar tingkap, saya mendengar Amina mengetuai doa safar yang merupakan sunnah masyhur baginda S.A.W. Maka kedua tangan diangkan untuk mengaminkannya;
سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى ، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا السَّفَرَ ، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالأَهْلِ
“Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan dan ketaqwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redhai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindunganMu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga sekembalinya kami.”
No comments:
Post a Comment