Wednesday, 30 November 2016

Mencari Hangat di Musim Sejuk

Bismillah.

Malam 29 Safar, bertemankan bunyi hujan gerimis dan cahaya screen telefon Samsung S2, saya menulis post kali ini.

Sebelum bulan ini menutup tirainya, terdetik rasa mahu menggenapkan post bulan November menjadi dua. Tersedar, dek penuhnya jadual masa dan kesibukan urusan yang seakan tiada hentinya itu, kekerapan menulis tidak serancak dahulu.

***

Minggu ini, Istanbul sudah menurun suhunya. Kata orang Turki "cuaca menyejuk". Sejak hari Isnin, hujan turun tidak berhenti. Suhu 8 darjah selsius sudah cukup membuatkan nafas berasap. Kucing-kucing sudah mula menjadi gebu. Burung-burung sudah tidak kelihatan hinggap di beranda rumah. Menandakan cuaca benar-benar sejuk. Dan manusia yang katanya mahkluk paling sempurna pun akhirnya turut akur dengan perubahan cuaca.

Saya mula memakai baju 3 lapis ke sekolah. Sarung tangan dan mafla juga tidak dilupakan. Awal minggu sahaja sudah demam, muntah-muntah, batuk dan selesema. Pastilah mahu beringat-ingat, tidak mahu ditimpa sakit lagi.

Sehari sahaja heater di rumah rosak, sudah resah tak tentu pasal. Mana tidaknya, tak boleh tidur jika bilik terasa seperti dalam peti sejuk.

Bermakna, haba adalah keperluan asas manusia untuk hidup. Manusia adalah makhluk yang tidak boleh hidup dalam kesejukan.

Kesejukan membuatkan manusia kurang semangat. Kurang motivasi untuk keluar dan bergerak. Kesejukan adakalanya mencengkam hingga ke tulang. Mengeringkan kulit, membuat jari-jari kebas dan sakit. Kesejukan membuat manusia tak mahu memyentuh air. Walaupun untuk tujuan kebersihan. Kesejukan membuat ramai orang jatuh sakit, athma, demam dan selsema.

Semua itu membuat manusia tidak sukakan kesejukan. Berusaha mengelaknya dengan menghangatkan diri dengan apa yang ada.

***

Kesejukan mengajar kita untuk menjadi peka dengan perubahan, buat persiapan,  jauhi berlama-lama dalam sejuk yang memudaratkan, cari hangat untuk mengelak sejuk, berwaspada dengan menjaga kesihatan diri.

Itu sejuk fizikal. Akal kita tahu apa yang perlu dibuat. Bagaimana dengan sejuk ruhani? Hati kita berfungsi tidak untuk melindunginya?

Sekarang ini saya sedang membaca buku "Purification of the heart." Karya Hamza Yusuf. Buku ini adalah buku tasawwufi yang memperkenalkan peranan hati dan juga memberitahu jenis-jenis penyakit hati dan cara mengubatinya.

Melalui buku ini saya semakin yakin bahawa semua kerusakan luaran yang kita lihat pada kehidupan kita bukan disebabkan oleh cubaan kehidupan itu sendiri, tetapi hati yang gagal berfungsi mengawal respons kita terhadap cubaan itu.

Hati adalah pusat intelektual manusia. Ia juga mengandungi neuron yang berinteraksi dengan otak. Bermakna hati juga menerima, memproses dan memberi tidak balas kepada apa yang dirasai dan diterimanya.

Ketika kita diuji dengan pergaulan yang tidak sihat, hiburan yang melalaikan kita daripada tanggungjawab, makanan yang memudaratkan, sifat buruk yang memberikan kesan buruk, mahupun kemurungan yang membuat kesihatan kita semakin terjejas, adakah kita hanya membiarkan diri kita dalam menurut situasi itu tanpa berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri daripadanya? 

Jika ya bermakna hati kita ada yang tidak kena. Tidak lagi menyedari apa yang berlaku. Tidak merasai "kesejukan" yang berbahaya kepada diri kita. Tidak memahami kesan buruk daripadanya sehingga tidak terasa untuk berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri. Malah adakalanya kita menjadi anti kepada kebaikan kerana terlalu lama dalam keburukan.

Kerana itulah ianya dipanggil penyakit hati. Kerana yang sedang sakit bukan yang nampak di luar, tetapi yang berpusat di dalam sehingga menyebabkan kerosakan di luar pula.

Mencari hangat di musim sejuk hanyalah satu peringatan buat kita, agar hati kita peka menghadapi masalah dunia sepertimana akal kita peka menghadapi musim sejuk.



Wednesday, 9 November 2016

Bila umur sudah 20

Bismillah..

Yang dahi terkeluar akulah tu.. hehe

Hari ini, tanggal masihi 9 November 2016, genaplah sudah 20 tahun umur hidupku. Bermakna sudah tiada lagi nombor satu di depan untuk selama-lamanya.

Tak sangka sudah 20, seakan semalam baru kuinjak umur 17 tahun.

Sekejap, ya.. memang dunia ini sekejap sebenarnya.

Kali ini penulisan aku hanya untuk mengenang nikmat-nikmat Tuhan, selama 20 tahun aku hidup ini. Namun tiadalah daya untuk menghitung semuanya; ketika Tuhan sudah berfirman;
Jika kamu menghitung nikmat Allah satu persatu, tiadalah mampu kamu menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Surah an-Nahl

***

Setiap tahun tanpa disedari, peribadi kita ada yang sudah berubah. Percakapan kita, ilmu kita, pegangan kita selalunya ada pembaikan. Kerana umur adalah pengalaman. Dan pengalaman banyak mengajar insan tentang kehidupan. Justeru umur yang meningkat, walaupun mengambil kudrat, tetapi selalu membantu kita menambah hikmat, buat bekalan menuju akhirat.

Umur 20 tahun ini baru aku sedar, pentingnya menjaga yang berkat-berkat. Seperti restu orang Tua, dan halal sumber makan minum. Kalau tiada itu, terasa ada kekosongan dan kemusnahan dari dalam.

Aku juga baru sedar, pentingnya memiliki teman setia. Teman yang boleh menemani perjuangan hidup. Teman yang sentiasa mengingatkan, ikhlas mencintai, dan teman buat tempat berehat jiwa ini.

Umur 20 juga mengajar aku, sudah sampai masanya untuk tidak mengikut-ikut sahaja. Tidak perlu disibukkan hal orang lain, jalan hidup orang lain. Sudah sampai masanya memikirkan apa yang mahu dibina dari hidup ini, apa yang mahu dibuat bekal dan apa yang boleh diberi. Dengan itu terbukalah masa-masa yang penuh dengan manfaat, hati yang penuh keteguhan menghadapi cabaran, dan azam yang tidak goyah walau digoncang dunia.

Umur yang bertambah ini juga menyedarkan aku, hidup semakin susah, Kekhuatiran ibu bapa sudah menjadi sebahagian kekhuatiran diri. Banyak hubungan yang perlu dijaga dan hak-hak yang perlu disantuni. Banyak jenis manusia baru mula dikenali... ternyata, kenaifan masa kanak-kanak dahulu sangat suci bersih. Lurus, tiada simpang siurnya. Namun kini, memikirkan orang banyak, ragam dan peraturan dunia yang memeningkan, hati ini tidak lagi boleh semuanya dikemudi perasaan seperti kanak-kanak.. ia juga harus dipimpin akal, dan diawasi iman. Jika tidak lemahlah dia menghdapi godaan yang banyak.

Umur ini juga, mengajar aku bahawa di akhir hari yang dihitung itu niat. Yang diingat itu budi mulia. Yang dirindu adalah kasih sayang. Maka segala urusan dunia tanpa tiga perkara itu tiadalah ada harganya. Kecuali hanya penat sementara.

Umur ini juga, aku tidak tahu satu kuasa yang boleh aku sandarkan harapan dan kelelahan ini kecuali Tuhan. MengenaliNya menjadikan seluruh hidup ini indah. Musibah juga nikmat, nikmat apatah lagi. Tak semua ujian yang besar-besar dihadapan nanti boleh aku pikul. Maka aku tahu Tuhan ada, aku melepaskan yang bukan urusanku di tanganNya.

Umur ini... makin menjadikan aku makin reti menjadi insan. Yang selama ini aku relakan menjadi permainan orang lain.

***



Buat ahli keluarga, kehadiran aku daripada kalian bukanlah satu kebetulan. Aku mensyukurinya kerana itu ketentuan terbaik Tuhan.

Hari gelap, cerah, mendung kita, adalah hari di mana Allah mahu menguji tingkah laku kita sahaja. Mahu kita jadi lebih baik. Mahu kita diampuni dan diberikan ganjaran. 

Kehadiran kalian paling banyak mencorakkan peribadi ini pada hari ini, semoga Allah memelihara keluarga ini di dunia dan di akhirat.

Segala pengorbanan, pemberian, kasih sayang dan kemaafan tidak dapat dibalas kecuali dengan doa agar Allah merezekikan kalian syurga. Semoga dengan umur yang bertambah ini, dapatlah ku beri kembali kepada keluarga.

***

Mohon doa.. semoga Allah berkati umur ini.












Monday, 24 October 2016

Tulisan Jawi Utsmaniyyah, satu titik muhasabah.

Bismillah.

hayrat osmanlıca ile ilgili görsel sonucu

Pagi tadi saya menghadiri kelas mingguan Hayrat seperti biasa. Bezanya hari ini diberikan pembentangan tentang pengenalan kepada bahasa jawi Turki, ataupun dikenali dengan nama Osmanlıca (Maksud literalnya bahasa Utsmaniyyah).

Program yang disampaikan oleh ketua wanita Hayrat cawangan Fatih itu sangat informatif, membuat saya terfikir-fikir dan merenung, di mana jawi melayu dan identitinya?

Jawi Turki wujud 1000 tahun yang lalu. Ketika orang Turki Karahan memeluk Islam pada tahun 804 masihi. Seperti negara-negara yang menerima pengaruh Islam yang lain juga, mereka cuba menulis bahasa mereka dengan huruf yang digunapakai oleh agama Islam iaitu huruf arab.

        Menarik bukan? Di mana saja Islam tersebar, hampir seluruh kaum yang menerima ajaran itu cuba menukar tulisan bahasa mereka dengan huruf-huruf arab. Ia menandakan pengaruh ajaran Islam diterima baik sehingga adaptasi huruf al-Quran dijadikan pilihan. Bukan setakat itu, ia menjadi satu khazanah budaya dan seni kerana jawi ditulis bukan sekadar bersahaja, tetapi dalam cara terbaik iaitu seni khat.

        Dalam masa yang sama, kaum Turki pada waktu itu meminjam beribu kosa kata bahasa arab dan menggunakannya dalam bahasa harian dan persuratan. Menjadikan kosa kata mereka lebih kaya, apatah lagi setelah meminjam daripada bahasa yang sudah sebegitu cantik dan halus makna dan tatabahasanya. Iaitulah bahasa yang dipilih Allah, bahasa arab.

        Lebih banyak kosa kata di dalam suatu bahasa bangsa itu, lebih maju dan lebih terkehadapanlah ia. Ini kerana setiap kalimah mengandungi fungsinya yang tersendiri, memiliki erti yang membantu menyampaikan pemikiran dan menghuraikan permasalahan tepat pada makna yang dimaksudkan.

       Yang paling penting adalah, semua itu dilakukan tanpa mengubah bahasa sendiri. Tanpa perlu memadam ideniti bangsa sendiri. Tanpa perlu kehilangan asal-usul dan harga diri. Sebaliknya, kehadiran pengaruh Islam menjadikan Turki lebih kaya, lebih maju dan mulia. Kerana bahasa.

        Osmanlıca bukan sahaja kaya dengan bahasa Turki lama dan bahasa arab. Tetapi juga kaya dengan bahasa farsi. Ia adalah simbol kepada kebesaran empayar Islam-Turki yang meliputi satu pertiga dunia itu.

       Sayang sekali, Osmanlıca pernah diharamkan. Ditukar kepada huruf latin dan sebahagian besar kata pinjamannya dibuang daripada kamus mereka. Anak-anak muda Turki tidak tahu membaca tulisan jawi nenek moyang mereka. Malah Pakcik Makcik berumur 60 tahun juga buta huruf akan tulisan ibu bapa mereka sendiri. Ia adalah sebuah kehilangan yang trajis. Seperti anak yang kehilangan nasabnya. Lupa sejarah, lupa keagungan bangsanya.


       Baru-baru ini sahaja kerajaan Turki mula membenarkan pengajaran tulisan jawi utsmaniyyah diberikan di sekolah-sekolah kerana menyedari betapa banyak tinggalan manuskrip yang tidak tersentuh, tidak dikaji dan dimanfaatkan tersimpan elok dalam arkib negara. Khazanah yang terkumpul untuk tempoh 1000 tahun itu pastilah terkandung pengajaran-pengajaran yang boleh diteladani anak keturunan Turki hari ini.

        Dan disinilah timbulnya nama Yayasan Hayrat. Satu-satunya yayasan yang memelihara tulisan ini sehingga kini. Mereka dipanggil kerajaan untuk mengajarkannya kepada anak-anak Turki di universiti dan sekolah. Yang paling mengharukan adalah, mereka memeliharanya dengan niat ibadah, memelihara huruf-huruf Allah. Tanpa sedar, mereka juga memelihara satu tamadun, satu harapan kemanusiaan yang hampir pupus. Dan mereka mengajar tanpa mengambil upah. Kerana kata sister tadi, satu perkara yang diusahakan atas dasar cinta, mana mungkin mengaharapkan ganjaran dunia.

       Sambil merenung slide presentasi sister itu, saya termenung dalam, Memikir nasib jawi kita, yang sudah banyak diubah-ubah, aslinya entah mahu dicari di mana.  Sedang persuratan-persuratan yang kaya dengan rahsia lampau itu terkubur, tersimpan di maktabah-maktabah barat. Buat kegunaan mereka menggunakan kita. Sehingga kini bila disebut melayu, terasa tiada himmahnya. Kerana tidak kenal asal usul sendiri yang dulu pernah menjadi tumpuan dunia melalui bahasa.

      Lihat pada generasi baru, yang kekok berbahasa baku, malah bangga ketika bahasa inggeris lancar di lidahnya.

Wahai.. ia benar-benar satu titik muhasabah.















Monday, 3 October 2016

Hujung 2016, Memasuki persimpangan identiti.

Bismillah.

Hujung tahun ini secara rasminya saya keluar daripada madrasah Hayrat atas beberapa sebab. Dan mengambil keputusan untuk tinggal bersama rakan-rakan melayu di Yusufpaşa.

Keputusan ini bukanlah mudah, kerana setiap keputusan yang dibuat ada risikonya. Ada konsekuensi berikutnya.

Benarlah kata Salim A.Fillah, bahawa melepaskan sesuatu juga adalah kesabaran dan keberanian. Kesabaran kerana melepaskan sesuatu yang sudah lama bersama kita adalah satu perubahan, satu fasa membiasakan diri, satu ruang menilai diri yang sangat memerlukan kepada kesungguhan dan kesabaran. Adakah iman, akhlak, niat kita lebih baik, atau sama, atau lebih teruk berbanding kita ketika dulu?

Ia juga adalah satu keberanian, kerana melepaskan sesuatu juga sentiasa datang dengan ujian. Ia boleh menatijahkan kepada rasa kekurangan, ketidakcukupan. Pada waktu ini, adakah saya bersyukur? Adakah saya berdengki? Adakah juga saya patah semangat untuk terus bangkit lagi?

Saya sudah mengenali hayrat sedari umur 17 tahun. Dan siapa saja yang mengenali jemaah ini pasti akan jatuh hati pada perjuangan mereka, pada risalah-risalah yang mereka bawa. Dan yang paling penting adalah disiplin dan akhlak mereka. Yang mengajar saya dan rakan-rakan agar memandang kehidupan dengan panduan al-Quran, dengan cahaya iman.

Keluar dari madrasah Hayrat, dan hidup seperti pelajar biasa tanpa apa-apa disiplin dan peraturan yang menjaga, adalah satu ujian buat diri. Saya berada di zon yang cukup selesa dengan masa yang sangat lapang. Ruang pergaulan dan sosial saya menjadi besar, dan boleh dikatakan tidak bertapis seperti dulu.

Maka di sinilah saya perlu melihat kepada diri sendiri... siapa saya? Apakah dengan berbeza tempat dan suasana, pedoman dan pegangan ang menjadi bekal diri selama ini dibuang ketepi?

Mohon doa, penghujung 2016 benar-benar waktu menilik diri.














Monday, 5 September 2016

Nak balik Turki ke?

Bismillah.



"Nak balik Turki ke? Tak payahlah." Itulah soalan dan nasihat yang sering diterima sepanjang cuti kali ini. Soalan penuh keprihatinan itu saya balas dengan senyuman tak bermaya, tiada jawapan serta-merta dan meyakinkan.

Semua tahu, baru-baru ini Turki masyhur dengan berita-berita yang tidak berapa menyenangkan. Kudeta, pengeboman di mana-mana, rusuhan di sempadan, dan macam-macam lagi. Bagi kita yang mendengar, mudah tenggelam dalam persepsi 'siapa pergi Turki, boleh mati!'

Okay, saya tahu itu hiperbola.

Kini, saya menghitung hari untuk kembali ke sana menyambung semester baru. Dengan rindu yang tidak habis kepada keluarga, dengan segala pancaroba di sana, ditambah pula soalan yang merisaukan sebegitu, tidak keruan hati ini dibuatnya.

Untuk sahabat pembaca, atau yang tidak membaca..(nak suruh baca jugak sebenarnya.. hehe), janganlah risau. Persatuan Pelajar Malaysia di Turki sudah berhubung dengan kedutaan Turki di Malaysia, dan kami dinasihatkan untuk percaya kepada sistem keselamatan mereka.

Ya, setelah melihat dari dekat saya yakin kawalan mereka ketat dan kerja-kerja menjaga keselamatan negara di Turki boleh dikira efisien dan tangkas.

Satu lagi, Turki dekat dengan hati kita. Kerana Turki satu-satunya negara muslim yang lantang membela kemanusiaan dan terkedepan dalam menjadi model negara muslim berjaya. Bagi saya, jika semua orang muslim tidak mahu datang ke Turki, ia akan menjejaskan sektor pelancongan mereka. Iaitu sumber kewangan terbesar negara itu. Sayu hati ini apabila mendengar pakcik Turki yang menjual karpet di Beyazit berkata pada kami "Datanglah selalu, sejak kebelakangan ini tidak ramai pelancong datang. Sukar untuk kami berniaga."

Bayangkanlah, itu bapa saya sendiri. Pasti sangat menyedihkan. Saya selalu berpesan kepada sesiapa saja yang saya jumpa "saya ada 3 tahun lagi di Turki, datanglah selagi Turki masih aman. Saya bawak jalan-jalan" sambil tersenyum.

Saya anggap kedatangan saya ke Turki kali ini adalah solidariti saya bersamanya. Saya sedar, dengan berdoa dan menyokong negara ini, ia seakan menunaikan satu tanggungjawab sosial untuk kepentingan sejagat.

Ketika dunia lain diam membisu terhadap kezaliman di dunia, Turki sering bersuara membelanya dan berada di situ memberi bantuan. Ketika demokrasi dikhianati, Turki lebih dulu mempertahankannya. Ketika pembelotan negara rancak dilakukan, Turki cuba menangkisnya. Ketika dunia lain sibuk menjatuhkan agama, Turki masih kuat meninggikannya. Ketika ummat ini masih nafsi-nafsi sifatnya, rakyat Turki tidak jemu mempromosikan persaudaraan bersama.

Lantas kalau sekarang kita menyokong negara ini, tidakkah kita menyokong satu kemajuan yang diredhai Allah? Yang selama ini kita cari di atas bumi namun tidak kelihatan? Yang paling dekat dengan mesej rahmat yang dirindukan itu?

"Nak balik Turki ke?" soalan bernada simpati itu bersuara kembali.

"Ya... sebagai tanda solidariti saya."


Doakan saya.
















Thursday, 1 September 2016

Pengalaman Driving Class Saya

Bismillah.

lesen p ile ilgili görsel sonucu

Oh ya.. sebelum terlupa Selamat Hari Merdeka buat semua rakyat Malaysia. Semoga nikmat Allah yang satu ini kita terima dengan penuh syukur dan amanah. Jika ada yang tersasar perlulah kita muhasabah.

Dah lama tak menulis, kini tinggal 2 minggu sebelum saya perlu pulang ke Turki. Sayu rasa hati, tapi sudah menjadi adat berjuang, berjauhan bukan alasan untuk putus asa.

Jadi 3 bulan yang sudah ini saya habiskan untuk apa? Tembak kepala... haha, resah dengan masa yang dibazirkan.

Alhamdulillah, rasanya cuti musim panas kali ini lebih terisi daripada cuti musim panas tahun lalu. Banyak dapat luangkan masa dengan mak ayah dan adik beradik, menziarahi keluarga, berjumpa kawan-kawan lama, menghabiskan buku-buku dan lecture dan yang bakal diceritakan juga adalah mengambil kelas memandu.

Mungkin saya di antara ratusan pelajar yang mengambil peluang mengambil lesen memandu pada cuti semester atau cuti musim panas. Kerana sepanjang kelas memandu, rakan-rakan yang saya kenali hampir semuanya belajar dan dua daripada mereka belajar di US dan Jordan.

Ya, berkenalan dengan orang baru adalah satu tip mengurangkan rasa gentar dan bosan sepanjang berada di perkarangan sekolah memandu. Ada yang sudah berkahwin, ada juga yang sudah menjadi ibu kepada ramai anak baru dapat mengambil lesen memandu. Berborak dengan mereka adalah peluang untuk membuka sedikit pandangan terhadap kehidupan dan realiti  masyarakat kita.

Menarik bukan.

Okay jangan berkerut, saya tahu pengalaman belajar praktikal tidaklah menarik seperti yang kita sangkakan. Huhu.

Saya bersyukur kerana doa untuk dikurniakan guru yang baik termakbul. Mestilah kena berdoa khusyuk-khusyuk. Iyalah, daripada mak sampailah kepada adik asyik berkongsi pengalaman buruk mereka diherdik, ditengking dan dimarah ketika belajar memandu. Saya ini lemah sikit dengan kata-kata negatif, lenjo.. haha.

Guru saya walaupun pernah menjerit sekuat-kuatnya pada saya, beliau tidak pernah mencarut, atau menghina saya. Tidak juga menggunakan kata kau aku sepanjang kelas berjalan. Cumanya kerana beliau terlalu kerap menegur dan hampir tidak pernah diam sepanjang beliau duduk di sebelah saya, saya kurang yakin diri, saya jadi panik.

Sudah hari ketiga praktis di litar, saya masih tidak tahu bagaimana menggunakan stereng!
Signal selalu tertukar.. oh, saya memang ada masalah kiri kanan sejak kecil,
Masa 3-pointer asyik terbehenti, terlebih tiga gerakan.
Masa belok tidak brek, hampir terbabas,
Mati enjin 2 kali di trafik light hijau,
Brek mengejut ketika membelok,
Tersangkut gear setiap kali mahu menukarnya...

Dan, banyak lagi.

Agaknya kalau sayalah guru kepada diri saya sendiri, mampu atau tidak saya bersabar dengan pelajar jenis ini. Tabik springgg kepada guru saya.

Sampai satu hari tu, makan tak lalu, tidur tak lena, senyum pun tak mampu sebab tak mahu memandu lagi. Takut membahayakan nyawa orang lain di jalan raya. Takut gagal, yuran memandu bukannya murah, dan flight saya ke Turki sangat hampir. Takut kecewakan harapan mak dan ayah juga.

Petang selepas saya terkena penangan jeritan cikgu itu, saya benar-benar lemah dan berduka. Direzekikan Allah untuk membaca surah at-Taghabun ayat 11-13. Maksudnya benar-benar menusuk hati, membuat empangan air mata pecah jua. Bismillah;

surah taghabun 11-13 ile ilgili görsel sonucu
credit alquranmulia.wordpress.com
Tiadalah tertimpa mana-mana musibah kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa beriman kepada Allah akan dibimbing hatinya, dan Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu.(11) Dan Taatilah Allah dan Taatilah Rasul, Maka jika kamu berpaling maka sesungguhnya tugas Rasul kami hanyalah menyampaikan keterangan. (12) Allah, tiada Ilah melainkan Dia, dan kepada Allah bertawakkal orang-orang mukmin. (13)
Seakan ayat Allah itu memberi nasihat sambil memujuk;

"Jangan khuatir, bukankah Allah yang mengizinkan semua ini, pastilah Dia ada jalan keluarnya. Dia Maha tahu, mintalah bimbinganNya jika kamu betul-betul yakin denganNya."

"Taatilah Allah dan RasulNya, jangan putus asa, jangan membenci, jangan juga berkata yang keji, kerana itu bercanggah perintah dan ajaranNya."

"Allah itu lah satu-satuNya Tuhan tempat kamu bergantung harap, janganlah lemah semangat, jangan mengundur sebelum masanya."

Sebak, teresak-esak seperti anak kecil petang itu. Dalam solat tak berhenti mengharap, bisik hati yang lemah ini "Ya Allah, selama ini segala kemampuan yang daku punya pun dariMu, maka kali ini kurniakanlah aku kemampuan untuk memandu."

Kelakar bunyinya, tapi kemanisan itu hanya dapat dirasa oleh yang sudah melalui.

Namun saya tetap macam biasa, takut, gementar melampau. Puas mak ayah pujuk, sampai mak hantar sehingga ke stesen bas pagi itu. Supaya hilang gemuruh dalam diri ini.

Anak manja sungguh.. geleng kepala.

Masa mula bawak kereta, seperti biasa sebelum gerak dah kena sound dua tiga kali, mujur masih boleh kontrol diri.

Bila guru tanya "Awak confident boleh keluar jalan raya harini?"

"InsyaAllah boleh" jawabku sambil telan airliur.

Sepanjang memandu, banyak kali juga guru saya menegur, kadang tidak ubah seperti membebel. Tak berhenti. Saya teringat pesan mak "Awak tak payah kisah apa cikgu tu cakap, fokus, tahu apa nak buat, amalkan apa yang dah dipelajari."

Betul juga kata mak, mungkin selama ni saya banyak buat silap sebab terlalu panik. Panik dan hilang fokus kerana cikgu asyik mengganggu pemanduan saya. Sedangkan perkara utama adalah kosentrasi, dan kosentrasi tidak boleh diganggu, ia membahayakan.

Maka saya pun mengambil satu jalan walaupun bunyi dia sedikit 'jahat'.. iaitu "Cakaplah apa-apa cikgu, saya taknak dengar."... Huhu, bunyi biadap bukan?

Tapi nak buat macam mana, kalau tidak sampai sudah saya tak pandai. Semuanya bergantung pada apa yang dia cakap, bila saya boleh belajar sendiri? Bila saya boleh kawal panik saya?

MasyaAllah, dengan izinNya, lama-lama saya boleh buat. Terutama bila guru tak ada di litar hampir semua saya boleh lakukan dengan tenang sambil mengingati panduan yang guru berikan. Di atas jalan raya pula bila bertukar dengan guru jenis diam seribu bahasa, ternyata saya mampu memandu dengan baik tanpa ditegur sentiasa. Bukan mahu salahkan guru, cuma saya baru mengenali diri saya sendiri.

Ya, mengenali diri.

Saya mudah paranoid, mudah terpengaruh. Dalam kehidupan seharian pun, apa-apa yang dilakukan oleh orang sekeliling sangat mempengaruhi fikiran dan perasaan saya. Sehingga sampai satu masa tanpa sedar orang lain yang memandu hidup saya, bukan diri saya sendiri. Bila jadi begitu, saya tidak mampu menggunakan akal dan perasaan yang Allah beri dengan sebaiknya. Kerana pergantungan pada yang diluar lebih banyak. Menjadikan saya sensitif, lemah dan sukar berdikari.

Poyo sangat analisa peribadi ini.. tapi tidak mengapa, kita simpan dulu, lagi 5 tahun baca balik untuk saya tersengih sorang-sorang. hehe.

Selepas itu, saya menulis satu catatan di Facebook saya;

"Belajar bawak hidup seperti belajar bawak kereta. Selagi kita tak sedar apa yang penting untuk diperhatikan dan selagi kita tak mampu tinggalkan apa yang perlu diabaikan, kita memandu dalam keadaan bahaya, malah mungkin kita runsing seorang "apalah susah sangat nak dapat lesen ni?" Huhu

#belajarmemandu

Terima kasih Allah, lulus atau tidak, apa yang lebih penting adalah menyedari ilmu kehidupan ini.

Doakan saya :)
























Saturday, 13 August 2016

Benda baik yang mudah dan susah.

Bismillah.

Dalam hidup, ada benda baik yang Allah jadikan mudah bagi kita menerimanya.
Ada juga benda baik yang Allah ciptakan halangan pula untuk kita mencapainya.

Yang mudah dan yang berhalangan tetaplah ujian, menilai diri kita.

Ketika mudah, adakah kita mengambilnya sambil lewa? Tiada syukur dan tiada makna? Tiada pula rasa mahu dihargai dan dijaga?
Apakah kerana mudah itu kita menjadi mudah juga memandang orang lain lebih rendah?
Adakah kita menganggapnya satu pemberian yang didatangkan bersama amanah?

Ketika susah, adakah kita memilih untuk menyerah?
Berfikiran negatif, dan berputus asa daripada rahmat Allah?
Adakah waktu itu kita mahu memenangkan alasan-alasan sepele dalam diri?
Adakah waktu itu bertuhankan Tuhan berasa susah sekali?

Kedua-duanya adalah satu perjuangan dalam diri.
Menilai dimanakah diarahkan hati.

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...