Wednesday, 30 November 2016

Mencari Hangat di Musim Sejuk

Bismillah.

Malam 29 Safar, bertemankan bunyi hujan gerimis dan cahaya screen telefon Samsung S2, saya menulis post kali ini.

Sebelum bulan ini menutup tirainya, terdetik rasa mahu menggenapkan post bulan November menjadi dua. Tersedar, dek penuhnya jadual masa dan kesibukan urusan yang seakan tiada hentinya itu, kekerapan menulis tidak serancak dahulu.

***

Minggu ini, Istanbul sudah menurun suhunya. Kata orang Turki "cuaca menyejuk". Sejak hari Isnin, hujan turun tidak berhenti. Suhu 8 darjah selsius sudah cukup membuatkan nafas berasap. Kucing-kucing sudah mula menjadi gebu. Burung-burung sudah tidak kelihatan hinggap di beranda rumah. Menandakan cuaca benar-benar sejuk. Dan manusia yang katanya mahkluk paling sempurna pun akhirnya turut akur dengan perubahan cuaca.

Saya mula memakai baju 3 lapis ke sekolah. Sarung tangan dan mafla juga tidak dilupakan. Awal minggu sahaja sudah demam, muntah-muntah, batuk dan selesema. Pastilah mahu beringat-ingat, tidak mahu ditimpa sakit lagi.

Sehari sahaja heater di rumah rosak, sudah resah tak tentu pasal. Mana tidaknya, tak boleh tidur jika bilik terasa seperti dalam peti sejuk.

Bermakna, haba adalah keperluan asas manusia untuk hidup. Manusia adalah makhluk yang tidak boleh hidup dalam kesejukan.

Kesejukan membuatkan manusia kurang semangat. Kurang motivasi untuk keluar dan bergerak. Kesejukan adakalanya mencengkam hingga ke tulang. Mengeringkan kulit, membuat jari-jari kebas dan sakit. Kesejukan membuat manusia tak mahu memyentuh air. Walaupun untuk tujuan kebersihan. Kesejukan membuat ramai orang jatuh sakit, athma, demam dan selsema.

Semua itu membuat manusia tidak sukakan kesejukan. Berusaha mengelaknya dengan menghangatkan diri dengan apa yang ada.

***

Kesejukan mengajar kita untuk menjadi peka dengan perubahan, buat persiapan,  jauhi berlama-lama dalam sejuk yang memudaratkan, cari hangat untuk mengelak sejuk, berwaspada dengan menjaga kesihatan diri.

Itu sejuk fizikal. Akal kita tahu apa yang perlu dibuat. Bagaimana dengan sejuk ruhani? Hati kita berfungsi tidak untuk melindunginya?

Sekarang ini saya sedang membaca buku "Purification of the heart." Karya Hamza Yusuf. Buku ini adalah buku tasawwufi yang memperkenalkan peranan hati dan juga memberitahu jenis-jenis penyakit hati dan cara mengubatinya.

Melalui buku ini saya semakin yakin bahawa semua kerusakan luaran yang kita lihat pada kehidupan kita bukan disebabkan oleh cubaan kehidupan itu sendiri, tetapi hati yang gagal berfungsi mengawal respons kita terhadap cubaan itu.

Hati adalah pusat intelektual manusia. Ia juga mengandungi neuron yang berinteraksi dengan otak. Bermakna hati juga menerima, memproses dan memberi tidak balas kepada apa yang dirasai dan diterimanya.

Ketika kita diuji dengan pergaulan yang tidak sihat, hiburan yang melalaikan kita daripada tanggungjawab, makanan yang memudaratkan, sifat buruk yang memberikan kesan buruk, mahupun kemurungan yang membuat kesihatan kita semakin terjejas, adakah kita hanya membiarkan diri kita dalam menurut situasi itu tanpa berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri daripadanya? 

Jika ya bermakna hati kita ada yang tidak kena. Tidak lagi menyedari apa yang berlaku. Tidak merasai "kesejukan" yang berbahaya kepada diri kita. Tidak memahami kesan buruk daripadanya sehingga tidak terasa untuk berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri. Malah adakalanya kita menjadi anti kepada kebaikan kerana terlalu lama dalam keburukan.

Kerana itulah ianya dipanggil penyakit hati. Kerana yang sedang sakit bukan yang nampak di luar, tetapi yang berpusat di dalam sehingga menyebabkan kerosakan di luar pula.

Mencari hangat di musim sejuk hanyalah satu peringatan buat kita, agar hati kita peka menghadapi masalah dunia sepertimana akal kita peka menghadapi musim sejuk.



No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...