Thursday 17 October 2013

Memberi apa yang kita Cinta...

Assalamualaikum :)

Best Raya? Jumpa saudara-mara, dengar khutbah raya, solat raya sama-sama, sapaan mesra dan jenaka dan yang paling penting....Minum air kelapa fresh sambil karih-karih isinnya. Hep?

Bukan, yang penting adalah apa yang kita faham tentang Aidil Adha kali ini. Atau lebih tepat apa yang kita hayati dalam menunaikan Ibadah Korban padanya?

Jom Korban!
Korban atau "Tadhiyyah" telah dilakukan sejak zaman Nabi Adam lagi. Ketika anak Nabi Adam Habil dan Qabil diminta meletakkan korban mereka di puncak bukit agar dapat dinilai mana satu yang diterima di sisi Allah. Disini, korban Habil iaitu binatang ternakan yang sihat-sihat diterima Allah sementara korban Qabil iaitu hasil tanaman yang kurang baik tidak diterima Allah kerana nilai pengorbanan yang sebenar belum sampai pada maknanya. Dan....apa maknanya?

Kisah Nabi Ibrahim pula yang berkorban penuh tragis sangat menguji mereka yang mendengar khabar beritanya. Lebih mendebarkan daripada cerita "Mr Bean Holiday". Satu demi satu perkara yang dicintai oleh Nabi Ibrahim terpaksa ditinggalkan hanya kerana Allah S.W.T. Nabi Ibrahim sejak kecil berkorban kasih terhadap si ayah pengukir behala hanya kerana Allah yang Maha Esa. Baginda berkorban nyawa hanya untuk menegakkan mesej Tauhid apabila dihumban ke dalam api amarah Raja Najasyi. Nabi Ibrahim berkorban cinta meninggalkan isteri Siti Hajar bersama anaknya di tengah padang kering kontang tidak dilalui manusia. Baginda telah tua dan mengharapkan seorang anak sekian lamanya. Setelah mendapat zuriat yang dinanti-nanti, datang pula perintah korban ketika anak itu belum lagi mampu membalas jasa ayahnya. 

Segalanya berlegar pada satu tema yang sama... "mengorbankan apa yang kita cinta"

Sahabat-sahabat ana terutama yang remaja,

Kita sukakan masa main futsal, tidur, main facebook, dan macam-macam lagi. Tapi kita paksa diri korbankan semua itu seketika untuk solat dan membaca al-Quran sambil mentadabbur isinya.
Kita sukakan filem hindi, drama korea, sinetron penuh emosi dan mungkin juga ada daripada kita yang sukakan filem-filem "pornografi" yang melayan syahwat. Tapi kita menahan diri daripada semua itu semata-mata dalam rangka menjaga "iman di jiwa".
Kita sukakan makanan dan minuman sedap-sedap, tapi ada masa kita sanggup berpuasa sebulan dan adakalanya kita cuba menelan makanan sihat hanya untuk mengikut sunnah yang mulia.
Kita sukakan hiburan bersama rakan-rakan, melepak dan masa "peribadi" untuk melakukan hobi sendiri. Tapi ada waktunya, kita korbankan diri meluangkan masa bersama keluarga dan cuba membahagiakan mereka
Kita sukakan wang dan harta, tapi ada masanya kita tutup sebelah mata memberinya untuk mereka yang lebih memerlukan.
Kita sukakan hidup senang, tapi ada saat kita rela susahkan diri untuk kesenangan orang lain.
Kita sukakan nyawa dan hayat yang panjang serta masa yang lapang, tapi sampai masanya kita bersedia mengorbankannya untuk menegakkan kebenaran dan mesej Addin ini.

Ya, kita mengorbankan semua yang kita suka kononnya untuk kebaikan. Susah, sangat susah. Kerana yang dikorbankan itu adalah apa yang "kita suka". Sehingga ada diantara kita yang cuba bermain dengan kata-kata untuk memujuk diri agar kuat berkorban pada jalan ini;

"Kalau kita taat, mesti ada kebaikan untuk hidup kita. Lagipun semua yang Allah larang pasti ada kesan buruknya. Jadi tak sia-sia kalau kita berkorban....untuk kebaikan kita sendiri jugak kan?"
"Susah-susah kita cuba buat baik ni kan Allah dah janji nak bagi syurga. Siap ada bidadari lagi. So...sabarlah sikit".

Kalau begitu....kita beribadat kerana apa? Adakah kerana kepentingan dunia?
Bergelar "muslim" kepada siapa? Adakah kepada syurga?

Soalan ini bukanlah untuk menafikan atau memperlekehkan kepentingan keduanya. Namun dalam jiwa seorang hamba yang sangat-sangat cinta akan Rabbnya, segala pengorbanan tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah kerana cinta kita padaNya. Kerana mencari RedhaNya dalam hidup kita dan takut jika diri dimurkaiNya. Kepentingan dunia dan syurga bukanlah matlamat utama.

Justeru jelas, seorang hamba itu sewajarnya tidak berasa keberatan untuk berkorban apa saja yang dicintainya hanya kerana cinta kepada Allah yang Esa yang lebih Agung dari segalanya.

Kerana rahsia itu, kita berasa kagum dengan pengorbanan Nabi Ibrahim. Kita teruja mendengar kisah infaq harta Abdurrahman bin Auf dan Talhah bin Ubaidillah. Kita hairan dengan kesetiaan Abu Bakar al-Siddiq terhadap Addin ini. Kita heboh bila melihat ramai yang rela mati untuk menegakkan kebenaran yang Allah perintahkan. Kita pelik melihat orang sanggup meninggalkan jahiliyyah yang penuh keasyikan hanya untuk menikmati Addin yang nampak macam ketinggalan. Kita bingung melihat para Da'ie yang sanggup mengorbankan masa, harta dan nyawa mereka untuk menyebarkan nilai Islam ke seluruh pelosok bumi. Semua kelihatan aneh belaka.

Kerana mereka.....

Memberi apa yang mereka cinta, ketika nafsu dan naluri mereka menginginkannya.
Hanya untuk memastikan diri diredhai oleh Yang Maha Esa.
Kerana itulah puncak keyakinan dalam iman mereka.
Cinta teratas dan kelazatan nurani mereka.
Dan itulah yang dinamakan kebaikan yang sebenar-benarnya.

Lantas, mereka tidak ralat. Tidak pula ragu-ragu. Tidak pula kecewa dan malu. Untuk memberi apa yang mereka cinta. Untuk cinta yang lebih tinggi darjatnya.

Korban: menyembelih cinta dunia.

Benarlah kata-kata Allah;


"Sekali-kali, kamu tidak akan mencapai (hakikat) kebaikan sehinggalah
kamu memberi apa yang kamu suka, dan apa jua yang kamu berikan maka
Allah Maha Mengetahuinya". [Surah Al-Imran:92]

Sekian, mari teruskan berkorban.
Doakan ana,
Assalamaualaikum.









No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...