Monday 2 December 2013

Aku hanya mampu Bertanya.

Assalamualaikum sahabatku di sana. Apa khabar? Aku di sini demam selepas dua hari selsema dan pening kepala. Aku harap, surat ini tidak mengganggu dirimu di sana.

Sahabatku,
           Aku menulis surat ini hanya untuk bertanya, benarkah keadaan dirimu di sana penuh sengsara? Aku lihat di newsfeed Facebook setiap hari, pasti ada gambar-gambar tragis yang berlaku di wilayahmu. Gambar-gambar itu memberitahu aku, wilayahmu diserang musuh dari tiap penjuru. Media dunia hanya membisu malah menyalahkan dan memfitnah dirimu dan sahabat-sahabatmu. Gambar-gambar itu memberitahuku bahawa disana, dikau kekurangan pelbagai keperluan. Kanak-kanak kecil mati kelaparan. Bayi yang baru lahir terpaksa hidup dengan air basuhan beras sahaja. Musim sejuk hampir tiba, kulihat banyak poster-poster badan kemanusiaan meminta bantuan derma. Apa khabar ayahmu dan ibumu? Apakah mereka gembira? Aku bertanya kerana aku bimbang mereka juga adalah mangsa kezaliman tentera pengkhianat itu. Aku dengar, banyak rumah-rumah dirobohkan tanpa izin, sehingga ramai yang tiada lagi tempat berlindung. Apakah dirimu di sana masih punya rumah? Tempat yang dulu menjadi syurga tempat dirimu tertawa bersama keluarga?


Sahabatku,
           Adakah dirimu masih di wilayah itu? Wilayah yang menjadikan nyawa manusia seakan-akan tiada harga? Aku bertanya kerana aku mendapat fakta bahawa setiap 30 saat, seorang kanak-kanak di wilayahmu menjadi pelarian. Aku juga mendapat tahu, kem-kem pelarian tidak punya tempat yang selesa dan makanan yang cukup. Apakah dikau masih berani meneruskan kehidupan di situ? Aku bangga jika dirimu tetap disitu untuk mempertahankan wilayah dan maruahmu. Namun aku bimbang akan keselamatan dirimu. Andai dirimu tidak mahu meninggalkan tempat itu kerana Allah dan RasulNya, maka aku mengharapkan Syurga merinduimu di sana.

Kem pelarian
         Di wilayahmu, aku mendapat tahu ramai yang terkorban. Anak-anak yang sepatutnya
bermain kejar-kejar terpaksa berlari bertempiaran ketika bom-bom itu memburu mereka tidak kira tempat dan waktu. Apakah kau punya mainan atau bahan hiburan? Aku bertanya kerana aku hanya mampu menahan sebak melihat rakaman sahabat-sahabat di wilayahmu memberanikan diri bermain bola di tanah lapang walaupun serangan akan datang bila-bila masa. Apakah dikau masih bersekolah dan riang bertemu sahabat-sahabatmu di sekolah? Aku bertanya kerana aku dapat tahu bahawa di sana, sekolah-sekolah banyak dimusnahkan ketika kelas sedang berjalan. Nyawa pelajar-pelajar dan alat-alat persekolahan musnah bersama seakan-akan kedua-duanya bukan lagi nadi terhadap kemajuan negara. Aku harap dikau masih berusaha mencari ilmu walau keadaan benar-benar mengujimu kerana aku mahu lihat dikau berjaya menelaah ilmu dan menyampaikannya kepada generasimu jika umurmu panjang.

       
          Dimanakah ayah dan abang-abang kamu menunaikan solat Jumaat? Di mana tempat kamu bersolat Hari Raya pada hari kegembiraan Addin ini? Aku bertanya kerana aku melihat foto-foto masjid-masjid dan makam para Sahabat Nabi turut dihancurkan ketika ibadat sedang dilaksanakan di situ. Aku rasa bersalah atas pengkhianatan sebegitu berlaku ketika aku hanya mampu melihat dan menggeleng-geleng kepala tanda sesal.


Sahabatku,
          Musim sejuk hampir tiba di sana. Apakah rumahmu ada sistem pemanas air? Apakah dikau sekeluarga sudah punya baju sejuk? Adik kecilmu, apakah dia punya selimut untuk tidur di saat suhu sejuk menggigit di tulang yang dalam? Aku bertanya kerana aku dikhabarkan, bantuan-bantuan itu adakalanya terputus. Sedangkan ramai pula yang tiada rumah untuk berteduh lagi. Kasihan rakan-rakanmu yang kehilangan ayah, ibu, keluarga dan rumah, mereka terpaksa membawa diri dan tidur di lantai semen di kaki-kaki lima apabila malam yang dingin itu tiba. Hari ini, genap 100 hari mengingati pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata kimia yang mengambil nyawa sebahagian besar kanak-kanak secara perlahan dan begitu menyakitkan. Aku harap dikau dapat bersabar dan maafkanlah aku kerana tak mampu melakukan sesuatu yang besar untuk menghalangnya.


         Keadaan disini tidaklah seteruk keadaan disana. Di sini, kami dijamin aman. Namun kes bunuh, tembak-menembak dan rogol meningkat secara mendadak. Para pemerintah pula bermain tarik tali dengan hukum Allah dalam Al-Quran. Amalan Riba berleluasa bahkan wujud dalam pinjaman biaya pelajar. Di sini, isu perpaduan menjadi bahan mainan atau umpan sahaja. Slogan perpaduan dan perlembagaan ternyata bercanggah antara satu sama lain. Korupsi berlaku di peringkat atasan sehingga menular dalam budaya masyarakat aku. Aku bingung, disini pendidikan agama bukan lagi atas dasar akhlak, ia hanya ada pada sijil-sijil kelulusan sahaja. Pembangunan di sini berjalan di atas dasar pecah amanah dan manipulasi. Ekonomi negara dijadikan alat pengaut harta bagi orang-orang tertentu sementara menjadi punca jenayah dan kemiskinan dalam masyarakat.

         Di sini, masyarakatku sibuk dengan perdebatan-perdebatan khilaf tanpa sedikitpun berusaha mendalami ilmu asas. Di sini, media massa menjadi jin merasuk akal masyarakat dan menjadi dadah yang merosakkan akhlak dan pemahaman agama dalam keadaan ketagihan yang melampau. Di sini, pembaziran berlaku tanpa rasa bersalah malah yang cuba berjimat dan berhemat dipandang jumud dan bermasalah. Anak-anak muda di sini terlalu dimanjakan sehingga malas berusaha dan tidak tahu berdikari."Malu" sudah tercabut daripada kebanyakan pemuda dan pemudi di negara aku. Laman-laman sosial menjadi sarang fitnah dan dosa. Ilmu dijadikan bahan mengaut populariti bukan lagi alat mentamadunkan manusia. Keadaan ini menyesakkan fikiranku sementara hatiku semakin bersalah memikirkan keadaan dirimu.

         Di tempat-tempat lain, etnik muslim tidak diiktiraf. Dihalau dan dibunuh. Demonstrasi aman di Mesir menjadi tempat kudeta mencorakkan darah rakyat. Bencana alam semakin menjadi-jadi di seluruh pelosok dunia. Kegawatan ekonomi mengancam kesejahteraan dunia. Semua ini berlaku atas kerakusan tangan-tangan manusia. Dan aku berpandangan bahawa, hanya Allah sahaja tempat rujukan untuk menyelesaikan masalah ini. Maaf sekali lagi jika soalan-soalanku dan berita-beritaku mengganggu perasaanmu.

        Akhir kalam, sampaikan salamku buat ayah, ibu serta adik-beradikmu di sana. Bersabarlah sahabatku dalam memperjuangkan kebenaran ini. Kepuasan dalam perjuangan ini bukan pada kesenangan dan kemewahan, kepuasan itu hanya ada pada Redha Tuhan. Maafkan aku kerana aku hanya mampu bertanya. Aku berdoa dan berharap agar kita boleh bertemu di Syurga. Fi amanillah.

Yang benar,
   Aku.

No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...