Wednesday 22 January 2014

Tak Sedih bukan bermaksud Tak ada Perasaan.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Assalamualaikum semua, apa khabar?

Hari ni, saya curi sedikit masa untuk menulis tentang apa yang telah saya pelajari dalam Risalah Annur tentang Doa Nabi Ayyub yang Allah S.W.T telah rakamkan dalam Surah Al-Anbiyaa':


Kita semua maklum, bahawa Nabi Ayyub alaihissalam telah diuji oleh Allah S.W.T dengan penyakit yang sangat dahsyat. Ulat-ulat berkerumun pada luka di tubuhnya. Namun Nabi Ayyub alaihissalam tidak mengeluh lansung sehinggalah ulat-ulat itu sampai kepada lidah dan hatinya. Pada masa itu, barulah baginda berdoa kepada Allah;
"Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang engkaulah saja yang lebih mengasihani daripada segala yang mengasihani"

Bediuzzaman Said Nursi r.a telah mentafsirkan situasi ini dengan cara yang sangat indah.

Beliau mengumpamakan ulat-ulat yang memakan tubuh itu ibarat dosa-dosa yang tersembunyi dalam hati kita. Ia merosakkan kehidupan malah boleh mematikannya. Maka, jika diterbalikkan wajah dalaman kita dengan luaran, pasti penyakit kita seribu kali lebih dahsyat daripada apa yang ditanggung oleh Nabi Ayyub alaihissalam. Maka sewajarnya, doa kita kepada Allah perlu lebih mendalam seribu kali ganda berbanding Doa Nabi Ayyub alaihisslam.

Perbahasan kedua adalah tentang kesabaran dalam mengahadapi ujian musibah:

Nabi Ayyub alaihissalam bersabar sekian lamanya sehinggalah dua anggota penting bagi ibadahnya kepada Allah S.W.T terganggu iaitu;

1) Lidah dan
2) Hati.

Menurut Nouman Ali Khan, Sabar bukan sahaja bermaksud menahan diri, ia juga membawa maksud "berterusan". Maksudnya istiqamah dalam kebaikan.

Ibnu Qayyim al-Jauzi mengatakan, sabar terbahagi kepada tiga;

1) Sabar dalam melakukan ketaatan
2) Sabar dalam menjauhi kemaksiatan
3) Sabar dalam menghadapi ujian

Melalui kesabaran Nabi Ayyub alahisslam itu, jelas betapa keperitan lahiriah tidak memberi impak penderitaan kepada jiwa orang mukmin melainkan jika pengabdiannya kepada Tuhannya terancam. Sesuai dengan firman Allah yang berbunyi;
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat, mereka beroleh pahala disisi Tuhan mereka, tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak bersedih hati." (2:277) 
 Namun, apakah yang membuatkan "Keimanan" itu menjadikan mereka tidak bersedih hati??

Di sini, Bediuzzaman Said Nursi r.a telah mengulas panjang tentangnya. Namun saya hanya akan menulis ringkasannya sahaja;
  1. Kerana penderitaan yang dihadapkan itu sementara, sedangkan ganjaran atas kesabaran kita dalam mengharungi penderitaan adalah kekal abadi.
  2. Kita adalah milik Allah, harta Allah. Terpulanglah kepada Allah untuk merancang apa sahaja untuk makhluk-makhluk miliknya ini. Lagipun, Allah tidak menzalimi malah Dialah Sebaik-baik Perancang.
  3. Jika kita membalas nasib yang buruk dengan cara yang buruk, maka tidak menambah apa-apa melainkan keburukan.
  4. Dunia adalah tempat ujian sedangkan akhiratlah tempat ganjaran dan tempat bersenang-senang.

Jika seorang "Mukmin" itu benar-benar yakin atas hakikat ini, maka wajarlah dia bersabar dan bersyukur di atas musibah yang menimpanya kerana mengetahui akan nikmat disebaliknya.

Kita akan merasai sendiri nikmat itu jika kita mengamalkannya. Kerana dengan meyakininya kita lebih berbaik sangka dengan Allah, lebih dekat dan merasai kemanisan iman walaupun dalam penderitaan. 

Orang tengok kita tak sedih bila diuji, bukan bermaksud kita hebat, bukan bermaksud kita tak ada perasaan. Kesabaran itu adalah Rahmat Allah, manifestasi keimanan. Semoga ilmu yang sedikit ini dapat menerangkan kesamaran dalam jiwa kita.

Rasulullah Sallallahualaihiwasallam bersabda yang bermaksud;
"Berbaik sangka terhadap Allah termasuk sebaik-baik ibadah".

Sekian,
Yang Baik itu milik Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya,
Assalamualaikum

No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...