Friday 31 January 2014

Berdakwah di Facebook yang Meresahkan Jiwa.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Assalamualaikum, Apa khabar kawan-kawan? Semoga dalam rahmat Allah hendaknya.

Hari ni, ada buka Facebook? Twitter? Instagram? Blog? dan .... sudah buka Al-Quran?

Itu hanya soalan selingan....

Soalan di atas ada berbaur dakwah bukan? Ya, ada.
Bagi seorang muslim, apabila kita mengucap syahadatain, automatik kita adalah pendakwah.

Paling ringan yang kita boleh buat pun, akhlak kita adalah dakwah.
Mengiklankan Islam yang kita anuti.

Bagi mereka yang mendapat hidayah melalui jalan dakwah, pasti dia begitu semangat untuk melaksanakannya kepada orang lain. Tak kurang juga gerak kerja dakwah yang dilakukan melalui tarbiyah dalam gerakan-gerakan Islam yang banyak di Malaysia ini.

Sehinggalah dakwah menembusi kaca TV, media cetak dan industri muzik. MasyaAllah, semoga semua itu dapat menghidupkan kesedaran beragama dalam jiwa masyarakat.

Sejak kebelakangan ini, saya pun tak tahu bila. Peranan dakwah di Facebook sangat meriah. Bahkan saya sendiri pernah bersemangat melakukannya.

Teringat saya input ustaz Hasrizal di laman sesawangnya, perkembangan ilmu dan akhlak di media sosial tidak selari. Berdakwah di Facebook ibarat memberi orang kelaparan mee segera, pada mulanya dianggap berbakti, tetapi lama-kelamaan boleh membunuh.

Saya runsing

Kredit
Saya sendiri minat berdakwah di Facebook,

Saya cukup teruja, sehinggalah terasa sesuatu yang tidak kena.
Saya berdakwah, tapi akhlak saya jarang saya baiki,
Saya berdakwah, tapi kesahihan ilmu itu jarang saya selidiki,
Saya berdakwah, tapi cukup sekadar copy paste dari ustaz dan murabbi,
Saya berdakwah, sampai masa saya terasa tak mencukupi.

Sehingga, saya rasa sesak dada,
Sehingga, saya lebih suka menyindir dalam dakwah saya,
Sehingga, saya jarang membaca kitab dan berguru dengan yang lebih utama,
Sehingga, saya suka tangguh-tangguhkan kerja,
Sehingga saya tak buat apa-apa.

Itu saya, mungkin anda berbeza.

Intropeksi diri adalah jalan terbaik merungkai kekusutan ini. seakan-akan dakwah itu tidak lagi menyenangkan hati saya. Yang ada hanya tergesa-gesa, tidak tertib malah adakalanya tidak beradab.

Saya tumpukan akal kepada rasional yang sepatutnya.

Perkara pertama yang saya boleh fikirkan waktu itu adalah, saya terlalu banyak update status dakwah tanpa memikirkan waktu yang sesuai dan had penerimaan orang lain. Peribahasa cina ada berkata, jika seseorang itu meminta nasihat, berilah sedikit dahulu. Ibarat memberi air pada orang yang haus, jika diberi sedikit, dia akan datang kepadamu untuk meminta lagi. Jika engkau memberi banyak sekaligus, maka dia tidak perlu lagi kembali kepadamu. Bahkan, ada kisah tentang sahabat Nabi sallallahualaihiwasallam yang merungut mengapa seorang sahabat ini hanya mengajar agama tiga kali seminggu. Jawabnya; supaya mereka tidak jemu.

Ustaz Hasrizal pernah berkongsi dalam bukunya; "Rukun Istiqamah adalah tidak melampau."

Apa-apa yang melampau pasti ada kesan negatifnya, maka ajarlah diri untuk berpada-pada.

Keduanya adalah ilmu.

Dakwah itu menyeru, jika kita seru tapi kita sendiri antara tahu tak tahu, itu ajak-ajak ayam namanya.

Seorang Da'ie harus memegang prinsip menghormati disiplin ilmu dan tekun mempelajarinya secara mendalam agar bila kita menyampaikan, kita menyampaikan dengan pemahaman. Bila ditanyakan soalan, kita dapat menjawab dengan pemahaman juga. Bukan hanya taklid buta dan copy paste merata-rata.

Seorang Da'ie bertanggungjawab mengajak manusia memahami agama, namun jika seorang da'ie itu sendiri ilmunya lebih kurang saja tentang agama, bagaimana rupa hasil dakwahnya?

Ketiga adalah Pengurusan masa.

Kebanyakan pendakwah Facebook menghabiskan banyak masa merenung monitor bagi menyusun ayat dakwah di statusnya. Lama, malah menghabiskan masa begitu saja. Sehingga masa untuk urusan yang lebih utama menjadi gadaian, bertangguh menjadi pakaian, dan yang tinggal nanti adalah penyesalan.

Kadang-kadang masa untuk beramal dengan apa yang disampaikan pun tidak kesampaian. Sedangkan Allah mengkritik mereka yang tidak melakukan apa yang mereka katakan dalam surah al-Hasyr. Kerana hakikat ilmu yang disampaikan bergantung pada dua perkara; ilmu dan amal.

Keempatnya adalah Menjaga hati,

Perkara yang kerap menjadikan kita resah adalah dosa. Jika kita berdakwah namun hanya menambah keresahan, maka muhasabahlah semula di mana silap kita.

Jika berdakwah di Facebook tidak lagi disandarkan pada keikhlasan, maka yang tinggal hanya kepura-puraan dan gilakan perhatian.

Jika berdakwah di Facebook kerana ingin mengatakan saya benar salahnya dia, maka yang tinggal hanyalah kalimah kesat, perdebatan yang tak punya jalan penyelesaian, dan keangkuhan dalam mengambil pendirian.

Jika berdakwah di Facebook tidak menjaga hati orang lain terutama non muslim, yang akan tinggal hanyalah saki baki fitnah yang akan berleluasa.

Kelimanya adalah Amal dengan ilmu yang ada,

Antara keseronokan mendapat ilmu yang baik adalah kita suka jika dapat berkongsi kepada yang lain. Itu memang kebiasaannya. Bahkan saya juga melaluinya. Namun, jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran.

Seelok-eloknya kita berusaha mengamalkan sehingga kita menikmati kebaikannya dan agar tersemat dalam akhlak kita sebagai persediaan menyampaikannya kepada orang lain.

Saya tidak maksudkan kita perlu menunggu sempurna baru nak berdakwah, kalau tidak akan sikitlah para pendakwah. Cuma yang ingin ditekankan adalah kejujuran kita dengan diri sendiri. Kita tidak mahu hanya berkata tapi kita sendiri sebaliknya. Kita juga tidak ingin kata-kata kita tidak selari dengan amalan dan akhlak kita. Seorang Da'ie wajar runsing apabila kelalaian melanda diri, dan antara perkara yang lalai itu adalah ketidakseimbangan antara dakwah dan akhlak.

Jika manusia hanya sibuk berdakwah tetapi tidak bergerak di atas dakwah itu, maka matlamat dakwah tak akan dapat dicapai. Jika kita berdakwah agar Aqsa, Syria dan Mesir dibebaskan tanpa melakukan apa-apa, yang tinggal hanyalah semakin banyak angka kematian dan semakin rakus para pelaku zalim meratah saudara kita dengan kepuasan.  Mudah saja kesannya, semua akan menjadi indah khabar dari rupa, mundur tidak berdaya. Sedangkan Islam tidak begitu ajarannya!!

Keenamnya adalah awasilah ketagihan,

Ketagih berdakwah itu tak  mengapa jika caranya betul. Tetapi ketagih melayan laman sosial itu menjadi kerunsingan. Jika seorang Da'ie menghabiskan masa lima jam keatas di laman sosial atau internet tanpa ada keperluan mendesak, itu telah menandakan bahawa dia telah mendapat satu sindrom iaitu "internet addiction" yang membawa kesan buruk yang lebih banyak dari kesan baiknya.

kredit; www.ariefasha.com

Ketujuh, menyedari makna hikmah.

Di zaman yang hampir semuanya selesa dan mudah, adakalanya mempengaruhi kita untuk memudahkan sesuatu yang sebenarnya rumit dan susah hanya untuk berasa selesa. Memanggil masyarakat untuk menghayati dan memahami Islam pada hal-hal yang kritikal diubahsuai menjadi sesuatu yang ringan dan adakalanya mengada-ngada.

Berhikmah itu bukan bermaksud 'selesa', 'lembut' dan 'mudah'.
Hikmah adalah Kebijaksanaan dalam menyampaikan sesuatu secara berkesan. Memudahkan proses pemahaman bukan menjadikan pemahaman itu diambil mudah.

Kegagalan fungsi 'hikmah' melarikan fokus masyarakat daripada kekuatan dan mesej sebenar yang sebenarnya terkandung dalam dakwah itu. Lebih parah lagi, apabila masyarakat ibarat kehilangan pedoman pada waktu-waktu yang tidak selesa dan tidak mudah disebabkan semua pedoman itu sudah dijadikan bahan untuk melayani keselesaan dan kemudahan.

Hikmah adalah Kreatif yang difikirkan caranya dengan Kritis. Tidak menggadaikan salah satunya apatah lagi prinsip kebenaran itu sendiri.

***

Jadi, terungkailah kekusutan saya. Dan kini saya masih bertatih mengamalkannya.
Bukan meninggalkan terus, cuma memperlahankan momentum yang ada.
Supaya saya sempat berfikir sebelum terus melanggar sesiapa.
Takut nanti tiada impak kebaikan, yang tinggal hanya kecederaan.

Mungkin itu sahaja yang saya boleh kongsikan,
Cuma ingin sekali saya ingatkan para da'ie, berikrarlah!
Kita adalah ummat amal bukan ummat yang cakap-cakap kosong sahaja.

Da'ie itu ibarat semut-semut yang rajin bekerja,
Membina sarang yang kukuh melindungi ummatnya,
Maka berdakwahlah seperti dakwah Rasulullah sallallahualaihiwasallam,
Membimbing bukan melalaikan,
Memajukan bukan memundurkan.

Doakan saya...

Sekian sahaja,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang salah saya mohon maaf hendaknya,
Assalamualaikum.




1 comment:

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...