Monday 17 February 2014

Ukhuwwah itu Tak boleh Dibeli, Ia Diberi

Bismillah, permulaan bagi setiap kebaikan.

Kadang-kadang ada kebaikan yang hakiki datang dari keburukan dan keperitan.

Terlalu banyak, atas rahmat dan rahsia Allah.

Termasuklah yang namanya "perhubungan". Dalam bahasa lainya "Ukhuwah"

Allah ta'ala menjadikannya perit agar dari keperitan itu kita menghargai kemanisan yang datang kemudian.

Allah menjadikan keresahan hati kita sebagai syarat untuk kita lebih mudah "memberi" untuk mencari ketenangan. Dan dengan pemberian yang seakan-akan belian itu, kita untung selamanya.

Pengalaman saya belajar di Maahad Taufikiah selama empat bulan telah mengajar itu semua. Tarbiyyah bersifat "dari Allah" itu benar-benar berbekas sehingga hari ini.

Rancangannya pada waktu itu adalah untuk belajar "agama" kerana ingin sambung belajar bidang agama bila besar nanti. Tapi disebabkan saya tak ada asas subjek agama, sekolah agama kerjaan tidak menerima saya di tingkatan empat. Sekolah Pakya adalah sekolah swasta, setelah melalui ujian kelayakan, saya berjaya mendaftarkan diri sebagai pelajar di sekolah ini.

Ayah dan Mak menyokong saya seakan-akan tanpa syarat. Walaupun tak pernah ada dalam keluarga kami yang pergi belajar agama seperti ini. Ayah dan Mak terlalu banyak berkorban dan menelan keperitan untuk menunaikan hajat saya. Walaupun ada diantaranya terpaksa menelan belanja dan membelakangi keinginan mereka. Dari sini saya belajar, saya bertanggungjawab untuk menjadi anak soleh kepada mereka, menyenangkan dan memenuhi hasrat mereka semampunya kerana mereka juga telah melakukannya tanpa meminta apa-apa bayaran.

Saya juga agak risau, risau andai berasa rugi satu hari nanti kerana meninggalkan aliran sains yang lebih menjamin masa depan sepertimana yang digambarkan oleh masyarakat umum. Tapi ia hanya isu kepentingan nafsi, kadang-kadang ia bukan kepentingan yang hakiki pun.

Setelah itu, saya menjalani kehidupan di sini selama empat bulan.


Namun, akhirnya saya keluar dari sekolah itu atas beberapa faktor. Saya kembali ke sekolah menengah kebangsaan dan mengambil aliran sains seperti sebelumnya. Hasrat untuk mendalami pelajaran agama seakan-akan terkandas. Tapi, insyaAllah saya akan meneruskan azam ini akan datang. Mohon doa semua untuk kelancaran urusannya nanti.

Pada peperiksaan awal bulan di sana, Allah mengizinkan saya mendapat keputusan yang agak baik. Lagipun, silibus subjek-subjek addin bagi SMRA hampir semuanya berkonsepkan hafalan. Jadi itu agak mudah bagi saya. Cuma bahasa arab saya tidak baik. Saya masih ingat hari pertama belajar dalam bahasa arab, hampir menangis dibuatnya.

Mujur ayah angkat saya seorang ustaz yang fasih dalam ilmu bahasa arab. Ustaz cukup gigih mengajar anak-anaknya sendiri apabila mereka pulang pada cuti minggu. Saya pun turut serta belajar bersama mereka. Saya sempat belajar asasnya, dan sedikit ilmu I'rab dengan Kak Bushro, anak ustaz yang juga pernah belajar di sekolah Pakya. Saya masih ingat ketika ustaz meminta kami membuat karangan berdasarkan kalimah-kalimah arab yang diberikan, ternyata karangan saya seperti karangan budak tadika. Jauh jika dibandingkan dengan karangan Kak Bushro dan Bashir.

Semoga Allah membalas segala kebaikan Ustaz dan keluarga. Selama saya berada bersama keluarga ini, terlalu banyak perkara yang saya belajar tanpa perlu melalui teks buku. Saya melaluinya melalui "tarbiyyah". Ukhuwwah ayah dan mak dengan keluarga ustaz telah terjalin lama. Semoga, ia erat dan dikurniakan rahmat bersamanya sentiasa.

Ustaz dan Ayah
Mak dan M.cik Jasirah

Kebetulan abang Ngah saya dan keluarganya menetap di Penang. Abang Ngah dan Kak Ema banyak berkorban dan menjaga keperluan saya. Terima kasih sahaja memang tidak cukup untuk membalas kebaikan mereka. Hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan atas kebaikan Abang Ngah dan keluarga.

Ketika saya menjejakkan kaki di sini setelah setahun lebih tidak berkunjung, banyak perubahan dan pemulihan telah berlaku. Sekolah ini masih kuat meneruskan perjuangan walaupun masalah dalaman dan luaran tak henti menyapa. Saya masih ingat rangkap lagu rasmi sekolah yang bermadah:

Akan kubela segala nasibmu,
Akan kupertahankan maruahmu,
Dari segala tohmahan yang datang,
Yang menghujani oh bumimu ini.

Semoga warga Taufikiah amanah dalam memikul tanggungjawab ini. Lakukanlah dengan akhlak, kerana dulu Rasulullah pernah juga ditohmah dan difitnah, tapi Rasulullah s.a.w membalasnya dengan sebaik-baik akhlak yang menutup pintu tuduhan. Bahkan membawa perubahan keatas akhlak manusia yang lainnya.

Jangan terkejut kalau sekolah pun boleh menjadi bahan politik. Saya berharap agar budaya politik di negara ini tidak mencemar kredibiliti institusi pendidikan yang asalnya bertujuan membentuk masyarakat "beradab".

Sekolah yang beroperasi seratus peratus dari tenaga rakyat adalah bukti bahawa rakyat ini adalah rakyat yang tahu berdikari, kuat dan tidak sama sekali menjadi pak turut semata-mata di tanah sendiri. Semoga institusi-institusi rakyat ini akan kekal sebagai bekal kekuatan buat masyarakat.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan misi ziarah hari itu. Setelah ziarah di teratak Ustaz Shahruddin dan keluarga, saya tiba juga di sini. Ayah dan Mak serta keluarga juga sanggup mengorbankan masa dan kerehatan untuk membawa saya ke sini. Hanya Allah dapat membalas kebaikan mereka.

Pada mulanya, saya khuatir kalau-kalau rakan di sana sudah lupa bila bertemu nanti. Tapi mereka masih seperti dulu. Saya ter"over" excited masa mula-mula sampai. Rakan-rakan datang memeluk. Semoga saya tak lupa wajah-wajah ceria mereka pada waktu itu. Saya sengaja datang secara mengejut dan secara rahsia. Bukan selalu dapat berikan "hadiah" seperti ini dalam kehidupan.




Pertinam 2014

Kakak dan kawan yang banyak membimbing diri ini.



Ketika saya masuk ke pejabat, pengetua sempat berseloroh:
"Dia tak boleh lupa dah, dia tak boleh lupa"... Benar, saya tak boleh melupakannya.

Kenangan di sekolah ini tak akan boleh dilupakan walaupun ada diantaranya berbaur keperitan, kerana pengalaman itu adalah sebahagian dari saya dan saya akan membawanya kemana saja saya pergi.






Sawah padi tempat hati ini beruzlah
Saya rapat dengan adik-adik junior masa itu. Tak tahu kenapa. Best!! Siap boleh main baling-baling bantal lagi. Selama saya tak ada lagi di sana, saya masih berhubung dengan adik-adik bila cuti. Kadang-kadang saya malu, mereka yang menelefon saya sendiri. Merekalah adik-adik yang pujuk saya bila nangis, sakat saya, teman masa makan petang, pendengar setia tazkirah percuma dan yang paling memilukan, merekalah adik-adik yang nangis bila saya pergi.


Adik-adik Dorm 12 yang baik


Surau yang menyimpan banyak kisah


Sekolah inilah yang banyak menyedarkan saya erti kehidupan. Yang mengajar saya menghargai hubungan kekeluargaan. Biasanya, budak-budak yang menetap di asrama lebih mesra dengan keluarga sebab berjauhan. (absence make hearts grow fonder). Saya cukup menghargainya.

Tak lupa kepada ustaz, dan ustazah. Ustaz Helmi, Ustaz Bahar, Ustaz Karim, Ustaz Manan, Ustaz Fakhrul, Ustaz Solehuddin, Ustaz Fauzi. Ustaz Azwadi, Ustaz Yasir, Ustaz Zakwan, Teacher, Ustazah Noriah, Ustazah Azzah, Ustazah Halimah dan Kakak-kakak Warden, Kak Yati, Kak Mai, Kak Ha, Kak Hajar serta kakak-kakak senior, rakan-rakan dan adik-adik yang banyak mendidik diri ini sehingga dapat menjadi seperti saya yang sekarang.

Semoga kesilapan dan kelemahan saya selama ini kepada warga Taufikiah dapat dimaafkan dan dilupakan. Semoga ukhuwwah kita berkekalan dan dalam perlindungan Tuhan.

Ukhuwwah yang hakiki itu tak boleh dibeli, tapi ia diberi. Kehidupan manusia semuanya berakhir. Jadi kita tahu bahawa kehidupan itu bukan untuk manusia, tapi kehidupan adalah nilai dan ibadah yang kita pelajari darinya.

Sampai di sini saja,
Assalamualaikum










No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...