Wednesday 5 March 2014

Si Peramah yang mencintai Diam.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

"Malu betul tadi, buat lawak tak menjadi. Yang jadinya kecik hati"

Kebiasaan yang berlaku buat insan yang suka berbicara.

kredit: bustergammons.blogspot
Bukan satu label yang ada buat orang yang banyak bicara, banyak.

Mulut murai

Mulut Laser

Banyak Cakap

Penceramah

Banyak lagi....tapi biarlah saya memilih kalimah yang sesuai....Peramah.

Saya sendiri orangnya banyak cakap. Dari kecik lagi. Sampai orang kata, "Qoy, Qoy ni banyak cakap lah".

Ada yang banyak cakap kerana dia seorang yang ceria,

Ada yang banyak cakap tapi isinya kosong, lawaknya sia-sia belaka,

Ada yang banyak cakap kerana menyampaikan ilmu di dada,

Ada yang banyak cakap kerana suka mengumpat mengkeji orangnya,

Ada yang banyak cakap kerana suka bertazkirah dan bercerita,

Tapi yang pasti...itulah dirinya...si peramah.

Pilihlah, mahu menjadi peramah dalam tabiat yang baik atau yang buruk. Masalahnya bukan pada buruk atau baik yang disampaikan, masalahnya adalah buruk atau baik akhlak yang menjadi pegangan.

Sejujurnya, sukar untuk istiqamah menjauhi "terbabas bicara" dalam menjadi seorang peramah walaupun bicaranya selalunya adalah tazkirah! Sehingga ada waktu kita rasakan kitalah orang yang paling memalukan dalam dunia ni kerana banyak bicara.

Kerana ada masa kita nampak kalut di mata manusia, ada masa kita rasakan gurauan kita mengusik jiwa dalam bersama. Kadang-kadang semua itu hanya andaian diri. Terlalu risaukan pandangan orang.

Sehingga ada waktunya kita cemburu kepada si Pendiam. Yang sangat kurang mendengar suaranya.

Tapi kita tak mampu melakonkan dan memaksa watak pendiam. Kerana jika ya, kita tidak menjadi diri sendiri.

Cukuplah melatih diri, berbicara yang mendatangkan kebaikan sahaja. Jawablah soalan sekadar perlunya. Jangan diraikan lawak bodoh dan gurauan sia-sia. Tahanlah diri, katakan tak tahu bila tak tahu. Jangan berbicara atas perkara dusta, perkara hina, atau seakan-akan kita tahu semua.

Teruskan berbicara. Jika dikau seorang ilmuwan berjiwa hamba, maka bicaramu adalah bicara penuh input-input berharga. Bicara seorang penyayang dan ceria akan mendatangkan mesra. Bicara memberi peringatan mengingat jiwa yang leka. Bicara bantuan meringankan beban. Bicara yang memudahkan bukan menyusahkan. Dan yang pasti, berhenti pada waktu perlu memberhentikannya. Maka jika itu ada, berbicaralah.

Jangan malu menjadi si Peramah. Bemuhasabahlah ketika di penghabisan kalimah.

Bicara itu penghubung jiwa manusia. Maka jadikan bicaramu penghubung jiwa-jiwa itu.

Banyak atau sikit, tidak perlu dijadikan kerisauan utama.
Terbabas yang biasa-biasa itu, belajarlah darinya.
Terbabas yang buruk itu, jangan ulanginya

Jangan jadikan rasa bersalah pada "terbabas bicara" menjadikan kita berhenti menyebarkan kebaikan.

Jangan jadikan "pandangan orang" sebagai kerisauan utama. Cukuplah pandangan orang menjadi bahan muhasabah. Matlamat sebenar bicara si Peramah adalah Redha Allah.

Lidah itu amanah Allah, kita yang memilih cara menggunakannya.
Sama ada kita pendiam atau peramah,
Gunakanlah ia sebagaimana yang diamanahkan.

"Berkata baik atau Diam" prinsip orang beriman!

Sekian,
Yang baik  yakinlah semuanya dari Allah,
Yang lemah mohon maaf hendaknya.
Assalamualaikum

























No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...