Esok, 20 Mac 2014 insyaAllah. Keputusan rasmi SPM akan keluar.
Dalam hidup ni, perkara-perkara besar datang bersilih ganti. Dan hari esok adalah satu daripada perkara-perkara besar itu bagi kami batch 1996. Sudah menjadi lumrah, perkara besar pasti mengundang kerunsingan.
kredit: webneel.com |
Perkara-perkara besar ini bagi setiap orang berbeza rupa dan rasanya. Yang paling utama adalah perbezaan natijahnya daripada setiap peristiwa ini. Kata orang, bijaksana tidak terletak pada bijaknya manusia menyusun tindakan, tapi kebijaksanaan terletak pada kebolehan manusia untuk melihat kesan tindakan itu.
Kalau kita sedari, setiap peristiwa besar ini pasti datang dengan satu "terguran" bahawa kita sebenarnya sudah berada pada satu tahap yang berbeza. Sama ada kita sudah berubah atau kita perlu berubah untuk menghadapinya.
Cara kita berfikir, berinteraksi, berpendapat, memilih dan sebagainya sudah berbeza.
Semoga perbezaan ini kita tempuhi dengan "akal", memikirkannya dan mengambil pengajaran darinya. Supaya perbezaan yang merubah kita ini menjadi wadah membentuk "ulul albab" dalam diri. Bukan semberono melalui kehidupan yang merupakan sebuah rahmat dan hikmah pada setiap saatnya. Merugilah mereka yang melalui perubahan ini tanpa mengambil apa-apa ilmu daripadanya malah tidak menyedari bahawa perubahan itu ada!
Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 190-191:
kredit: keranakasihnabi.blogspot.com |
Menerusi ayat Allah di atas, ia seolah-olah memberi tahu pada kita bahawa perkara-perkara semulajadi di sekeliling kita sebagai sesuatu yang "besar" untuk difikirkan. Hakikatnya, berapa ramai sahaja yang sudi memikirkannya dan mengambil pelajaran daripadanya.
Mungkin kerana bagi kita, perkara-perkara "lumrah" ini kelihatan biasa-biasa saja. Adapun mereka yang memikirkan, berapa orang pula yang benar-benar dapat melihat "kebesaran" Allah Yang Maha Besar itu padanya? Kebanyakan manusia, melalui perkara-perkara besar ini dengan sia-sia.
Bagi kami batch 1996, esok merupakan perkara semacam "besar" bunyinya. Maka berfikirlah akannya, agar peristiwa-peristiwa "besar" yang lumrah di pandangan mata itu tidak sia-sia.
Apa yang perlu difikirkan?
Dua tiga orang kawan yang saya temui, fikirannya hanyalah mahu keputusan baik. Sambung belajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Kahwin dan kerja. Beli kereta mewah. Dapat gaji besar untuk sara hidup. Dan memastikan anak-anak mereka juga dapat kehidupan yang selesa. Dengan itu anak-anak juga dikerah "belajar rajin-rajin" macam mereka.
Itu sahajakah tujuan kita diciptakan di dunia ini?
Mengulangi perkara yang pernah diulang.
Sampai bila kita perlu berada dalam "life cycle" ini yang melayan manusia seperti penghasilan robot di kilang-kilang?
Sampai bilakah kita hanya menjadi "Pak turut" kepada arus dunia? Hanya ikan yang mati sahaja yang akan hanyut dalam arus sungai yang sama.
Adakah kita sudah mati?
Fikirkanlah!
Khusus kepada rakan-rakan batch 1996 yang sangat-sangat dikasihi.
Kita telah melalui perkara-perkara besar dalam hidup ini bersama-sama.
Kalau dulu, jatuh sewaktu larian merentas desa sampai terkoyak seluar dilutut adalah perkara yang besar pada kita. Daripada itu, kita belajar untuk meminimukan risiko untuk jatuh. Kita tahu mengolahkan cara berjalan, cara untuk "control macho" dan "cool" di sekolah menengah. Kita berubah dan membawa nilai daripada perubahan itu. Walaupun perkara itu sudah menjadi seakan-akan perkara "biasa" bagi setiap orang, tapi hanya orang yang "berfikir" menganggapnya sebagai peristiwa luarbiasa. Sampai sekarang kita masih boleh bangga apabila mengingatinya dan bercerita pada kawan-kawan lama akan pahit manisnya.
Begitulah dalam kehidupan dunia.
Keputusan cemerlang yang diimpikan, rumah dan kereta yang selesa, kerja yang bertaraf profesional dan gaji yang besar yang kita cita-citakan adalah perkara "besar" dan hampir semua orang mencita-citakannya. Tapi daripada perkara sebesar itu, berapa ramai yang boleh keluar menjadi lebih baik daripada kebiasaan? Berkhidmat secara sukarela untuk masyarakat? Menjadi anak yang soleh dan berbakti ketika sudah dewasa? Menjadi seorang professor, pegawai tinggi dan doktor yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia? Menjadi penyunting perubahan buat generasi yang bakal ditinggalkan? Dan berapa ramai yang mahu melakukannya dengan niat kerana Tuhan?!
Hanya mereka yang berfikir dapat melakukannya. Menjadikan sesuatu yang nampak "biasa-biasa" menjadi sebuah nilai yang sangat istimewa. Mereka yang melaluinya sekadar "lalu" sahaja, mereka tak tahu apa manfaat bagi satu-satu perkara, apatah lagi yang penting untuk diambil kira. Maka bila mereka tiba ke penghujung nyawa, tanpa sedar, kerugian itu disesali ibarat sebuah neraka.
Maka fikirkanlah sebaiknya, agar kita tahu "kebiasaan" yang semacam "besar" itu ada "nilai besar" padanya. Agar kita hidup bukan sia-sia.
Bak kata ulul albab dalam ayat tadi:
"Wahai Tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan perkara ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka"
Esok, bawalah hati kita untuk bertenang. Muhasabah segala ranjau yang telah dialui selama ini. Apa yang sudah kita kecapi? Yang pasti kita tak mahu menjadi robot yang kerjanya ada tapi jiwanya mati.
Jangan dirisaukan sangat "cemerlangkah keputusan aku?"
Kita bukannya memohon untuk hidup menjadi "terbaik" dipuji dan dipuja. Kerana itu seakan-akan membeli "nama baik" buatan manusia dengan kesusahan secara sengaja. Kita mohon pada Allah, kurniakan kita kebaikan yang datang bersama keputusan itu, dan menjauhkan kita daripada keburukan yang ada bersamanya. Agar "susah payah" yang selama ini kita lalui berhasil menemukan "kebaikan".
Bila keputusan baik, semoga kita masih mengenang budi, merendah diri.
Bila keputusan tidak menyenangkan di hati, semoga kita masih bersangka baik dengan Ilahi, masih punya akhlak yang murni.
Semua itu bukan grade di atas sijil yang boleh dikoyak-koyak. Semua itu ada pada "nilai" yang kekal buat mereka yang berfikir.
Esok, ubahlah kalimat "runsing" kepada kalimat "Fikir"
Semoga kebaikan menyertai kita semua esok. ^_^
Fi barakatillah.
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah mohon maaf hendaknya.
Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment