Saturday, 30 August 2014

Aku Perlu Lakukan Yang Sama.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

                                            

Sedar tak sedar, sekarang aku lebih sensitif bila berjauhan dengan keluarga.

Kadang-kadang tak boleh nak usik sikit, terus ambil hati.

Mudah meluah rasa di hati... sejujurnya sebelum ini aku seorang yang lebih suka berahsia.

Bila orang berbuat baik di hadapanku, aku mudah tersentuh hati,

Ilmu, Adab dan kesahihan ibadah yang semakin kukuh dalam kalangan masyarakat membuka minda dan pintu hatiku. Menjadikanku lebih banyak menyoal diri, apa lagi yang perlu aku buat dan aku cari.

Semuanya ditujukan kepada hati aku. Seakan-akan sekarang, hatiku baru hendak berfungsi. Selama ini, hatiku keras, kadang-kadang lebih seronok duduk di awangan, tidak mahu mendarat pada realiti.

Di rumah ini aku tinggal bersama housemate seramai 10 orang. Berbeza latar belakang keluarga dan budaya. Aku perlu mengurus sendiri, tutur kataku, gerak amalku, pengaruh mana yang perlu aku ikuti, apa yang perlu disimpan, apa yang perlu dikongsi.

Di luar rumah pula, aku berada dalam kalangan masyarakat yang pada waktu ini masih dikira asing bagiku. Budaya mereka, bahasa mereka, adab dan pemahaman mereka memerlukan aku menjadi seorang yang lebih peka dan sensitif.

Selama ini, aku kira aku terlalu selesa dalam golonganku sahaja. Jika aku tidak setuju dengan sesiapa, mudah sahaja aku melarikan diri. Jika di rumah di Malaysia, masuk bilik dan kunci pintu adalah strategi paling mudah mengalihkan bebanan dalam diri.

Kini segalanya berbeza. Tiada lagi ibu yang mengingatkan aku agar jangan tidur lewat dan ingatkan akan berdosanya subuh gajah. Tiada lagi ayah yang akan tengokkan perbelanjaanku dan barang keperluanku.

Aku di sini bukanlah membawa diri, aku hidup bersama sahabat seangkatan. Cuma aku membawa hati, hati yang sekarang benar-benar bergantung pada pilihanku. Bagaimana aku ingin mencorakkannya.

Aku perlu lebih dewasa. Lebih prihatin dengan suasana. Lebih menjaga hati orang lain kerana aku sendiri mengetahui bahawa pada saat sebegini hati aku juga mudah terusik. Pasti rakan-rakan turut merasakan perkara yang sama.

Betapa perlunya manusia itu bertindak dengan hati, kerana hati adalah sumber kesedaran.

Manusia yang dalam hidup sehariannya tidak sedar akan perjalananya adalah manusia yang mati. Tidak melihat, mendengar mahupun memikirkan. Bak kata orang inggeris "Oblivious to the surrounding."

Kredit
Sedangkan dalam Al-Quran, melihat, mendengar dan memikirkan sering menjadi sebab kejayaan orang beriman dan menjadi punca terhinanya orang-orang yang degil lagi mendustakan.

Mereka sengaja memilih untuk mematikan hati mereka daripada mempelajari apa yang Tuhan telah ajarkan pada mereka dan apa yang Tuhan telah tetapkan yang terbaik dan benar keatasnya.

Untuk menjadi muslim sekalipun, aku dan semua orang perlu memastikan dulu Hatinya beriman. Jika hatinya mati daripada memahami apa itu Iman kepada Allah dan RasulNya, maka tidaklah mampu untuknya menjadi muslim.

Aku teringat doa Nabi Yusuf lantas aku menurutinya mengadu kepada Tuhan;

Kredit


"Ya Allah, matikanlah aku dalam keadaan Muslim dan gabungkanlah aku bersama orang-orang Solih." 

(Surah Yusuf; 101)

Jika insan-insan terdahulu telah membuktikan bahawa jika ingin berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat adalah dengan hati, maka aku dan semua orang perlu lakukan yang sama.

Ya Allah, hidupkanlah hati kami dalam kehidupan yang benar.
Aamin...

Hari ini tanggal 30 Ogos, Turki meyambut Hari Kemerdekaannya.
Esok tanggal 31 Ogos, tanah airku pula meyambut Hari Kebebasannya.

Duhai hati, jika kamu mahu tahu betapa terhinanya dan susahnya dirimu dijajah kelalaian dan penipuan dunia dan fitnah yang terkandung padanya, kamu perlu hidup dan merasainya. Barulah kamu akan berusaha untuk merdeka daripadanya.

Selamat Hari Kemerdekaan buat Turki dan Malaysia!

(kata orang, entry kali ni macam cakap sorang-sorang :p)













Monday, 18 August 2014

Bunga Budi.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Azan subuh berkumandang. Saya mengangkat air wudhuk dan terus menunaikan solat. Seusai solat, hajat untuk tidur semula dibatalkan memandangkan sebentar lagi akan bermusafir jauh.

Kebetulah, adunan doh pizza semalam masih berbaki di dapur. Saya ghalit menolong senior membikin donut sehingga tak sedar waktu dah lambat. Rancangnya dengan kawan-kawan hendak bertolak dari rumah pukul 7.15 pagi. Tapi akhirnya bertolak pukul 7.50 pagi.

Bila dah lambat, tiket seabus ke Bursa juga lambat. Kak Long sempat menarik baju saya di dalam bas, membisikkan sedikit nasihat.

"Kita kena tepati masa, tepati janji."


Tiket kami bertanda pukul 11.00 pagi waktu bertolak. Jadi kami punya hampir 3 jam sementara menunggu waktunya. "Kita ada dekat 3 jam ni, kita pergi masjid sana nak tak?"

Sebuah masjid lama kelihatan berdekatan dengan kami. Dengan pantas kami melangkah menuju ke masjid itu kerana awan kelihatan semakin gelap dan berat.

                                               

Ada pengalaman kelakar di situ... abaikan. hehe.

Setelah puas berehat dan mengambil gambar "selfie" kami mengambil keputusan untuk pulang ke kaunter tiket tadi. Alang-alang ternampak gerai "Kahvaltı ekmek" (roti sarapan), rakan-rakan singgah sebentar untuk membeli.

Pakcik Adnan, empunya gerai itu.

Kami disambut dengan senyuman ramah. Rakan kami berntanya padanya:

"Kaç lira?" (Berapa harga?)
"Beş lira." (Lima lira)

Rakan saya pun dengan ringkas berkata:

"Üç." (Tiga... sebenarnya kawan saya nak order tiga roti sarapan tu)

Pakcik tu ingat rakan saya sedang menawar harga. Lantas dia pun berkata dengan senyuman yang saya kira penuh ikhlas:

"Dört lira." (Empat lira)

Saya yang melihat dari jauh pun dah rasa semacam. " Ada ke, beli roti pun nak tawar-menawar?" Bisik hati kecil yang hairan.

Bila saya tanya pada rakan saya "Eh tadi, awak bargain harga ke?"

"Takdelah, kitaorang nak tiga roti tu, bukan tiga lira."

Allah, Allah... saya tak hairan dia turunkan harga, tapi saya hairan dia boleh senyum dan melayan kami dengan sangat mesra seperti anak sendiri sedangkan kami ni dikira warga asing yang tak dapat berbahasa dengan baik.


Setelah lama menunggu, akhirnya kami dapat naik seabus buat pertama kalinya ke Bursa. Baru saya tahu apa itu mabuk laut. Sekarang bolehlah saya tabik pada nelayan dan orang yang kerja offshore. Hebat!

                                 

Di Bursa, kami naik bas untuk sampai ke Çelik Palas. Esma Abla mengambil kami di perhentian bas.

Di rumahnya yang sederhana, kami semua dapat merasai kehangatan ukhuwwah mereka.

Baru pertama kali jumpa,
Bukan orang Turki,
Tak pernah ada rekod baik... rekod tak baik mungkin ada...
Hehe, tapi keluarganya menyambut kami jauh lebih mesra daripada menyambut anak perantauan pulang ke kampung.

Lebih sayu apabila Esma Abla memberitahu kami:

"I tell my mother about you, you are in Turkey without mother and father. She cried. And when you came here, she started to cry again."

Kami dijamu dengan makanan tradisi Turki dan manisan yang sungguh lazat. Mungkin kerana merek tahu nasi adalah makanan harian kami, nasi seperti nasi ayam dihidang dengan banyak di atas meja. Nak makan banyak pun tak terlarat. 

Ketika kami makan dengan penuh selera mungkin kerana penat agaknya, ibu Esma Abla menitiskan air mata di hadapan kami. 


Wahai, Allah saja yang tahu mengapa kami sebak waktu itu.

Setelah makan, kami dibawa berjalan-jalan di Bursa. Ziarah pejabat Hayrat, Ulu Camii, Masuk bazar besarnya, Ziarah makam Osman Gazi dan keluarganya dan melihat pemandangan Bursa dari atas bukit. Indahnya.


Saya tahu kakak yang membawa kami itu juga keletihan. Dari pagi sampai lewat malam menghitungkan kami. Kami tak meminta, tapi dia memberi. Tanpa berat hati dan keluh kesah di wajahnya sedikitpun, dia melayan kami.

Sebelum berpisah, saya berkata padanya;
"I want thank you so much and I would like to say sorry for troubling you."

"You are not troubling us. We are the one who should thank you because you came here." Jawapannya mengharukan.

Kami pulang dengan bas yang juga diuruskan olehnya. Bas kami lewat. 11.00 malam baru sampai di terminal. Subuh baru kami sampai di rumah.

Saya membuka telefon setelah mengecasnya, saya terima mesej dari Esma Abla;


***

Kisah hari ini tak penting pun, tak ada kaitan dengan dunia Islam, negara, atau keselamatan nyawa dan akal.

Cuma, ia berkaitan dengan hati budi.

Hati budi yang dapat mencorakkan bumi ini, menjadi tempat yang lebih indah untuk hidup bersama. Seperti bunga-bunga yang mengindahkan taman-taman. Budi mengindahkan taman hati insan.



Bukalah matamu wahai hati,
Renungilah kebaikan mereka ini,
Qudwah itulah hikmah,
Siapa yang menemuinya,
Sangat perlu mengambilnya.

Sekian,
Yang baik semuanya dari Allah,
Yang lemah maafkan saya hendaknya,
Assalamualaikum.








Saturday, 9 August 2014

Bertahap-tahaplah.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.



Sekarang dah nak masuk minggu ketiga saya belajar bahasa di Language Centre Universiti Istanbul. Persiapan bahasa selama setahun antara syarat menyambung ijazah sarjana muda di universiti di Turki. Alhamdulillah, saya baru sahaja mendapat tawaran ke Fakulti Ilahiyat di Istanbul Universiti setelah melalui peperiksaan kelayakan. Kemudahan yang Allah beri ini mengundang pertanyaan dan kerisauan kalau-kalau ia datang bertujuan, ada padanya ujian.

Doakan saya dan rakan-rakan seperjuangan, agar sentiasa tetap di jalan yang diredhai Tuhan.

Belajar bahasa, bukan senang hendak faham di fasa permulaan ini. Konfius dengan susunan dan tatabahasa bahasa ibunda kita. Sukar untuk membiasakan struktur ayat dan penggunaan kata.

Tapi dah namanya anak muda... atau lebih tepat manusia. Susah betul hendak bersabar. Kalau boleh, bahasa tu hendak dikuasai dalam masa sehari saja. Mulalah, hendak rasa stress, rendah diri melampau, menghina diri tak tentu arah bila rakan-rakan lain nampak semacam mendahului kita.

Itu normal.

Hendak cepat itu memang fitrah insan.


Tapi, sifat itu adalah medium Tuhan menguji manusia. "Suffering Tarbiyyah" adalah cara terbaik mengukur siapa yang benar-benar beriman, dan sebagai manifesto bagaimana kesan iman mengendali kehidupan manusia.


Bersabarlah, hidup ini jika kita renungi hampir semuanya dijadikan bertahap-tahap untuk sempurna. Kejadian alam, kejadian diri, pengurusan masyarakat juga berahap-tahap. Agar semuanya tersusun, yang penting tidak dipandang enteng, yang kurang penting tidak diabaikan.

Cuba pula lihat pada benda yang tidak bertahap? Rumah yang runtuh tidak bertahap runtuhnya. Turun bukit yang curam lebih cepat daripada mendaki puncak untuk melihat keindahan. Turun bukit, sukar untuk berhenti, terlajak laju boleh menempah mati.

"Sesungguhnya, akan kamu jalani peringkat demi peringkat dalam kehidupan."


"Maka mengapa kamu tidak mahu beriman?"

Menapaklah dengan tertib, kerana kesabaran juga asas penting keimanan. Kita sendiri tahu bahawa tidak tertib adalah kurang sopan. 

Bersabarlah. agar batu-batan yang baru diperoleh dapat dibina dengan cermat. Agar nanti binaan kukuh dan kuat. Kadang-kadang nak cepat menjadikan kita lebih lambat. 

Berasabarlah, agar biji benih yang ditanam sempat menjadi matang. Jangan hendak dituai cepat, nanti rasa buahnya kelat.

Orang dulu-dulu pernah menyindiri sifat tergesa-gesa.
Mereka berkata:

"Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."

Rugikan?

Doakan kami di perantauan,
Semoga berjaya membawa kejayaan.

Sekian,
Yang baik dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya.
Assalamualaikum.






















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...