Sedar tak sedar, sekarang aku lebih sensitif bila berjauhan dengan keluarga.
Kadang-kadang tak boleh nak usik sikit, terus ambil hati.
Mudah meluah rasa di hati... sejujurnya sebelum ini aku seorang yang lebih suka berahsia.
Bila orang berbuat baik di hadapanku, aku mudah tersentuh hati,
Ilmu, Adab dan kesahihan ibadah yang semakin kukuh dalam kalangan masyarakat membuka minda dan pintu hatiku. Menjadikanku lebih banyak menyoal diri, apa lagi yang perlu aku buat dan aku cari.
Semuanya ditujukan kepada hati aku. Seakan-akan sekarang, hatiku baru hendak berfungsi. Selama ini, hatiku keras, kadang-kadang lebih seronok duduk di awangan, tidak mahu mendarat pada realiti.
Di rumah ini aku tinggal bersama housemate seramai 10 orang. Berbeza latar belakang keluarga dan budaya. Aku perlu mengurus sendiri, tutur kataku, gerak amalku, pengaruh mana yang perlu aku ikuti, apa yang perlu disimpan, apa yang perlu dikongsi.
Di luar rumah pula, aku berada dalam kalangan masyarakat yang pada waktu ini masih dikira asing bagiku. Budaya mereka, bahasa mereka, adab dan pemahaman mereka memerlukan aku menjadi seorang yang lebih peka dan sensitif.
Selama ini, aku kira aku terlalu selesa dalam golonganku sahaja. Jika aku tidak setuju dengan sesiapa, mudah sahaja aku melarikan diri. Jika di rumah di Malaysia, masuk bilik dan kunci pintu adalah strategi paling mudah mengalihkan bebanan dalam diri.
Kini segalanya berbeza. Tiada lagi ibu yang mengingatkan aku agar jangan tidur lewat dan ingatkan akan berdosanya subuh gajah. Tiada lagi ayah yang akan tengokkan perbelanjaanku dan barang keperluanku.
Aku di sini bukanlah membawa diri, aku hidup bersama sahabat seangkatan. Cuma aku membawa hati, hati yang sekarang benar-benar bergantung pada pilihanku. Bagaimana aku ingin mencorakkannya.
Aku perlu lebih dewasa. Lebih prihatin dengan suasana. Lebih menjaga hati orang lain kerana aku sendiri mengetahui bahawa pada saat sebegini hati aku juga mudah terusik. Pasti rakan-rakan turut merasakan perkara yang sama.
Betapa perlunya manusia itu bertindak dengan hati, kerana hati adalah sumber kesedaran.
Manusia yang dalam hidup sehariannya tidak sedar akan perjalananya adalah manusia yang mati. Tidak melihat, mendengar mahupun memikirkan. Bak kata orang inggeris "Oblivious to the surrounding."
Kredit |
Mereka sengaja memilih untuk mematikan hati mereka daripada mempelajari apa yang Tuhan telah ajarkan pada mereka dan apa yang Tuhan telah tetapkan yang terbaik dan benar keatasnya.
Untuk menjadi muslim sekalipun, aku dan semua orang perlu memastikan dulu Hatinya beriman. Jika hatinya mati daripada memahami apa itu Iman kepada Allah dan RasulNya, maka tidaklah mampu untuknya menjadi muslim.
Aku teringat doa Nabi Yusuf lantas aku menurutinya mengadu kepada Tuhan;
Kredit |
"Ya Allah, matikanlah aku dalam keadaan Muslim dan gabungkanlah aku bersama orang-orang Solih."
(Surah Yusuf; 101)
Jika insan-insan terdahulu telah membuktikan bahawa jika ingin berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat adalah dengan hati, maka aku dan semua orang perlu lakukan yang sama.
Ya Allah, hidupkanlah hati kami dalam kehidupan yang benar.
Aamin...
Hari ini tanggal 30 Ogos, Turki meyambut Hari Kemerdekaannya.
Esok tanggal 31 Ogos, tanah airku pula meyambut Hari Kebebasannya.
Duhai hati, jika kamu mahu tahu betapa terhinanya dan susahnya dirimu dijajah kelalaian dan penipuan dunia dan fitnah yang terkandung padanya, kamu perlu hidup dan merasainya. Barulah kamu akan berusaha untuk merdeka daripadanya.
Selamat Hari Kemerdekaan buat Turki dan Malaysia!
(kata orang, entry kali ni macam cakap sorang-sorang :p)
No comments:
Post a Comment