Monday, 19 October 2015

Bukan mahu menjadi Ahli Politik.

Bismillah,

Apa khabar semua?

Saja mahu berkongsi, minggu ini berduyun-duyun (hiperbola) orang-orang politik dari Malaysia datang ke Turki, tak pasti sama ada datang sebagai pemerhati politik (memandangkan Turki akan mengadakan pilihanraya buat kali kedua 1 November ini) atau untuk tujuan lain seperti lawatan politik atau perundingan dasar. Apapun, yang mendapat tempiasnya adalah kami pelajar-pelajar Malaysia di sini. Dari Parti Kerajaan sehinggalah Parti Pembangkang, ada saja jemputan sesi dialog untuk kami hadiri. Malangnya disebabkan kelas saya kebanyakannya kelas petang, maka banyak yang tidak dapat saya hadiri. Semalam alhamdulillah, berkesempatan menghadiri sesi dialog dengan Presiden Parti Pembangkang Dr Wan Azizah dan anak beliau Kak Izzah (panggilan mesra).


Penulisan kali ini bukanlah berniat membawa mana-mana isu politik untuk dikupaskan, apatah lagi mempengaruhi rakan pembaca kepada idea mana-mana parti. Bukan juga mahu menjadi ahli politik celup... hehe.  Cumanya mahu berkongsi rasa risau dan gusar kepada keadaan atau permasalahan yang berlaku di sekeliling kita. Dari kerisauan itu, mahu juga kiranya kita sama-sama melihat ke dalam diri, apa yang silap sebenarnya... pada diri sendiri.

Berdialog bersama 2 tokoh ahli politik wanita ini membuka minda saya dan rakan-rakan kepada satu isu yang sebenarnya tidaklah jauh mana dengan kehidupan mahasiswa. Iaitu isu kepedulian.

Selama ini, kesibukan saya dan kawan-kawan dengan alam pengajian terasa sangatlah berat sepertinya tiada siapa yang menanggung kerisauan yang lebih berat dari kami. Tapi setelah mendengar sendiri daripada mereka yang berada dalam gelanggang parlimen, iaitu mereka yang membawa tanggungjawab membawa suara rakyat supaya didengari pemerintah, tanggungjawab, komitmen, dan pengorbanan mereka jauh lebih besar dan berat.

Bayangkan, Dr Wan Azizah (beliau meminta kami memanggilnya Aunty Azizah sahaja) datang ke Istanbul untuk menghadiri mesyuarat bersama wakil-wakil NGO Islam dari serata dunia pada awal paginya dan harus terbang semula ke Malaysia pada sebelah malamya kerana sidang Parlimen akan berlansung hari pada Isnin bersama beberapa laporan dan kertas kerja yang harus diselesaikan. Sebentar sahaja kami dapat meluangkan masa bersamanya, dia harus bergegas ke lapangan terbang dan sesi dialog diteruskan bersama anaknya. Malam itu juga kami tidak boleh meluangkan masa yang banyak bersama Kak Izzah disebabkan beliau pula harus ke Geneva keesokan harinya untuk urusan yang lain.

Itu baru sisi kesibukan, belum lagi kalau nak dikira dugaan yang mereka terpaksa hadapi dari luar dan dalam. Dengan segala arus ujian yang menolak mereka ke belakang, mereka tetap berdiri mempertahankan perjuangan mereka. Abaikan title "politikus" yang mereka bawa. Ada di kalangan kita bersikap skeptis terhadap mereka, dan ada pula yang alergi mendengar kalimah politik. Cuba fokuskan sahaja bahawa mereka itu manusia, tambahan pula wanita. Kalau kita sayangkan negara, kalau kita risaukan kesejahteraan negara kita, masyarakat dan generasi akan datang, adakah kita sanggup untuk berkorban seperti mereka? Mungkin ada antara kita mudah menghukum kesilapan mereka, tapi tak ramai sanggup bersinsing lengan mencemar diri ke dalam lumpur politik demi nasib ummat.

Penulisan ini saya tujukan khas kepada pemuda yang sangat mudah mengeluh bila sesekali diuji. Pemuda yang masih mencari tujuan hidupnya, dulunya dia budak kecil yang dari sekolah rendah mak ayah dan guru-guru ajar bila besar nanti biar jadi orang berguna, pada keluarga, ummat dan negara. Budak kecil yang kininya baru belajar macam mana hidup dengan manusia. Yang baru belajar menyibukkan diri dengan 'kerja-kerja' orang besar. Yang baru belajar penatnya berfikir untuk orang lain. Yang baru belajar menegakkan haq itu sangat sukar pada zaman yang semacam ini. Yang juga menyedari siapa sangatlah diri ini yang dalam dirinya ada beribu kelemahan, juga ada "peperangan" yang tak dilihat orang, yang kadang-kadang dia bersedih kerana kalah teruk dalam peperangan itu.

Saya dan teman seperjuangan yang rakan-rakan pembaca lihat di dalam gambar tersebut adalah anak muda yang saya maksudkan. 

Sebagai muslim, kita membawa tangungjawab khalifah. Menyubur Rahmat Allah pada bumi. Dan sebagai mahasiswa, yang perlu diingatkan bahawa kami perlu menyumbang balik kepada masyarakat yang tanpa mereka tiadalah orang yang akan bayar cukai kepada kerajaan, untuk membina universiti dan kemudahan belajar untuk kami.

Sekurang-kurangnya dengan 2 sebab itu, tidak menjadikan kesibukan alam pengajian mengasingkan kami dari menyedari keperitan yang ditelan rakyat nun jauh di sana, yang mengharapkan kami yang kononnya akan belgelar 'ilmuwan' ini, mewakili impian mereka memperbaiki keadaan negara. 

Suka saya mengakhiri penulisan ini dengan da pemuda al-Kahfi:


Semoga Allah membantu kita semua.
Aamin














No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...