Tuesday, 7 February 2017

Wasilah

Bismillah.

"Kenapa Kak Mira teruskan buat benda ni? Dah lah tak dapat hadiah, susah pulak tu." saya bertanya kehairanan.

"Wasilah." Jawabnya pendek sambil menoleh sedikit kepada saya dengan mimik yang nakal.

Saya hanya tertawa kecil hari itu. Sehinggalah merasakan ianya signifikan pada hari ini.

Wasilah. Ianya signifikan.

Soalan di atas saya tujukan pada K.Mira sebab dia pada mulanya mengumpul nama orang-orang yang mahu melanggan majalah Risalah Annur bahasa Inggeris sehingga cukup 15 orang untuk mendapatkan hadiah dua jilid kitab sejarah secara percuma.

Namun akhirnya hanya 4 nama yang berjaya dikumpul. Sayang benar fikir saya kerana hajatnya tidak kesampaian dan urusan menghantar nama itupun nampak susah dan leceh. Banyak benda perlu diisi, dan dihantar. Tetapi K.Mira meneruskannya tanpa menunjukkan sesal. Sayalah yang hairan sehingga merasakan dia patut hentikan sahaja.

Jawapan "Wasilah." yang diberikannya memukul bendak perasaan ini.

Hari ini pula saya berborak dengan rakan-rakan serumah tentang penulisan. Kata saya "saya minat menulis kerana minat penulis." Kerana melalui penulisan orang kita mendapat motivasi dan penyelesaian kepada persoalan kita.

Ya... bukankah itu satu bentuk wasilah.

Tiada siapa tahu penulisan mereka yang ditulis hanya sekadar hobi itu boleh menjadi inspirasi orang lain. Boleh menyelesaikan masalah orang lain. Ilmu yang mereka kongsi boleh mengubah hidup orang lain, menemukan orang lain kepada jawapan dan bimbingan. Dan selagi ianya terus diamalkan oleh mereka yang memanfaatkannya, ganjaran terus bertambah seperti ganjaran yang mengamalkannya tanpa dikurangi sedikitpun.

Hari ini, kita mungkin antara orang yang berasa rendah diri dan tak layak melakukan kebaikan kerana rasa bersalah terhadap kekurangan dan kesilapan lalu yang ada dalam hidup kita. Sehingga akhirnya kita berasa tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan selesa di takuk lama.

Jangan begitu.. saya sendiri perlu mengingatkan diri sendiri.

Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda;

الدال على الخير كفاعله
"Orang yang menunjukkan seseorang kepada kebaikan, balasannya seperti orang yang mengerjakannya." (Riwayat Tirmizi)

Hadis ini adalah motivasi buat kita agar tidak dilemahkan oleh rasa kerdil diri dalam membuat kebaikan. Biarlah sekecil manapun kebaikan yang kita sampaikan, siapa tahu jika ianya adalah wasilah ganjarannya besar. Perubahannya besar. Manfaatnya besar.

Rasa bersalah kita tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kebaikan yang besar itu. Hari ini kita mengajak kepada kebaikan, dan memberi laluan kepada kebaikan, kita sebenarnya sedang berbuat baik kepada diri kita sendiri. Kerana semuanya akan tertulis kemas dalam kitab catatan amal. Tidak dikurangi malah sentiasa bertambah.

Menurut kajian Psikoloji juga, tubuh badan manusia perlu berbuat kebaikan untuk kesihatannya. Berbuat baik membuatkan kita berasa positif dengan diri sendiri. Dan orang yang berasa positif, sistem imunisasinya lebih kuat. Akalnya lebih cerdas. Hatinya lebih lapang.

Di akhir hari, menjadi wasilah ke arah kebaikan di dunia ini adalah wasilah untuk kebaikan diri sendiri juga. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Israa':

"Jika kamu berbuat baik, maka sesungguhnya kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri.."

Maka.. jangan berhenti menjadi wasilah. Jika semua orang melakukannya, alangkah makmur dunia ini.

We can make a different :)


















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...