Saturday, 11 February 2017

Gua Kahfi Turki, satu muhasabah diri.

Bismillah.

Kami menuju ke bandar Seljuk, Izmir menaiki tren TCDD daripada stesen Basmane dan turun di stesen Seljuk dengan tambang sehala hanya 6tl.



Sepanjang perjalanan saya cuba menghabiskan mendengar  video lecture Nouman Ali Khan yang bertajuk Tafseer of Surah Al Kahf yang kebetulan sudah di download. Ianya bukan kebetulan sebenarnya, kerana sebentar lagi saya dan rakan-rakan akan mengembara ke tempat-tempat yang sangat dekat dengan isi kandungan surah al-Kahfi ini. Iaitu Efesus, Maryamana, dan Gua kahfi Turki (Yedi Uyuyanlar Mağarası).

Sesampainya kami di Stesen Kereta api Seljuk, kami ditegur oleh dua orang lelaki. Beliau menawarkan kami menaiki taksinya ke tempat-tempat yang saya katakan di atas tadi dengan harga 120tl. Kebetulan kami waktu itu berempat, maka kami bersetuju untuk berkongsi tambang kerana tiada cara lain yang lebih sesuai buat kami ketika itu.


Tempat pertama menjadi singgahan kami adalah Maryamana evi. Di pintu masuknya kami ditahan askar dan mereka meminta passport untuk diperiksa. (Nasihat saya selama berada di Turki jangan lupa membawa passport ke mana-mana.) Sejak kebelakangan ini kawalan keselamatan di Turki semakin ketat.

Saya tidak sempat mengkaji banyak tentang tempat ini. Maka saya tidak dapat berkongsi apa-apa. Hanya kerana ianya sebuah gereja dan menjadi antara tempat penganut agama Kristian ini menunaikan haji mereka, saya meninggalkan satu persoalan untuk pembaca dan saya...



"Siapakah Maryam ibu Nabi İsa? Apakah yang Allah sebutkan tentang beliau di dalam al-Quran? Mengapa beliau istimewa dalam agama İslam sehingga satu surah dalam al-Quran dinamakan dengan namanya? Apakah persamaan dan perbezaan pandangan kita dengan orang Kristian pada hari ini tentang ibu Nabi İsa? Apa pengajarannya?"

Soalan-soalan itu saya jadikan homework peribadi. Kerana dalam hati yang paling dalam saya yakin, tanpa memahami siapakah insan yang Allah muliakan ini, kita belum dapat memahami agama kita sebaiknya.

Seterusnya kami ke bandar Efesus. Satu bandar Kerajaan Rom yang musnah kerana gempa bumi. Bandar Rom ini dikatakan mula dibina 6000 tahun sebelum masihi.


Berjalan di celah-celah runtuhan bangunan yang dahulunya gah itu membuatkan saya teringat pada ayat Allah dalam surah Ghafir ayat 86 yang bemaksud:
"Maka apakah mereka tidak berjalan di bumi, lalu mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka, mereka itu lebih banyak dan lebih hebat kekuatannya serta lebih banyak peninggalan-peninggalan peradaban mereka di bumi. Namun apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka."
Bandar yang hebat seperti itu, lengkap dengan perpustakaan, rumah teater, parlimen  dan kawasan perumahan itu sangat mengkagumkan. Saya tidak dapat bayangkan sejauh mana pencapaian mereka terhadap kemajuan ilmu dan pembangunan material. Pendek kata, mereka sudah ada semua. Namun sayang, mereka menyembah berhala, mengagungkan tokoh-tokoh, sibuk dengan falsafah yang tidak menemukan mereka kepada hakikat penciptaan mereka. Akhir sekali ianya dimusnahkan sekelip mata.

                                     

Semua itu seakan mengingatkan kita bahawa asal usul kita, tujuan hidup kita tidak sepatutnya terbatas di dunia ini. Segala yang anak adam capai pada hari ini, memberitahu kita bahawa kemampuan yang diberikan padanya ada tujuan yang lebih utama daripada dunia. Jika tidak samalah nasib kita seperti kaum yang dimusnahkan ini. Semuanya tinggal sisa yang diratapi.

Setelah keluar dari Efesus kami dibawa ke Gua kahfi. Tempatnya tidak terjaga, berada di atas bukit. Perlu panjat sedikit setelah melihat papan tandanya. Tempatnya seperti rumah kecil. Berdindingkan batu-bata merah.

                   

Sepanjang berada di situ, saya mengingat kembali point-point Ustaz Nouman di dalam videonya. Antaranya adalah signifikannya amal anak muda yang berlindung di gua kahfi itu sehingga Allah memilih untuk merakamkannya dalam kitabNya.

Allah menggunakan kalimah 'fityan' merujuk kepada kepemudaan mereka. Kepemudaan adalah satu umur di mana manusia sering leka. Mudah dipengaruhi nafsu keinginan yang berada di kemuncaknya. Mahu bersuka ria dan mudah mengikut jalan-jalan manusia. Namun anak muda yang Allah sebutkan ini berjaya menjaga pendirian mereka yang Haq itu walaupun segala nikmat dan musibah yang mereka hadapi.

Seperkara lagi, dalam dialog mereka dalam surah al-Kahfi, mereka saling mengingatkan dan membantu sesama sendiri dalam jalan kebenaran. Mereka berkumpulan. Ya, ini bermakna bagi seorang anak muda, bergerak dalam kumpulan yang saling membantu adalah sumber kekuatan.

Dan doa mereka di dalam gua itu menyedarkan kita, dalam zaman di mana fitnah materialist dan dajjal ini berleluasa, adakalanya berada di dalam gua boleh menjadi pelindung utama. Sambil berdoa: Ya Allah kurniakanlah dari sisiMu Rahmat, dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami. Dalam perjuangan kita memburu kebenaran dan hakikat di muka bumi ini, dengan sifat manusia yang lemah, kita tidak boleh lari dari memohon pertolongan Allah, dan memohon petunjuknya. Tiada siapa yang tahu jalan mana yang merupakan jalan kejayaan. Usaha mana yang diredhai Tuhan. Dan kejayaan itu sendiri bukan daripada kita, melainkan kurniaanNya. Siapa sangka, hanya berada di dalam gua dan ditidurkan beberapa tahun lamanya merupakan jalan yang Allah pilihkan buat mereka?

Anak muda yang hari ini kerap merasakan segalanya dicapai dengan daya kemampuan sendiri adakalanya harus berhenti mengingatkan diri, bahawa yang memberi, dan mengizinkan sesuatu itu adalah Tuhan, anak muda perlu kembali kepadaNya.

Musafir negeri buah limau, musafir muhasabah.






















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...