Tuesday, 25 July 2017

Manusia, si kosong yang nilainya bukan di bumi

Bismillah

                             when everyone is trying to be something be nothing ile ilgili görsel sonucu

Satu hari dalam kelas Fiqh, guru kami Ustaz Necmettin bertanya satu soalan yang sangat menarik.

"Kita semua tahu bahawa solat tujuannya mencegah kemungkaran. Tetapi kalau ada orang yang berkata 'Hati saya baik, jadi buat apa saya solat.' apakah jawapan kamu?"

Kami terdiam.

Ustaz menulis kalimah نصر besar-besar di atas papan putih. Lantas beliau bertanya;

"Ini kalimah NA-SO-RO, yang membawa maksud 'Menolong.'. Apakah dengan bentuk kalimah yang sama saya boleh katakan ianya membawa maksud lain seperti membaca dan melukis?"

"Tidak bukan?"

"Begitu juga ibadah, ibadah ada dua jenis. Satu ibadah yang pada tujuannya, kedua pada bentuknya."

"Dan pada bentuk inilah yang tidak boleh berubah. Kerana diambil dari wahyu. Jadi ianya perlu dilaksanakan kerana telah tetap kewajipannya pada perbuatan sedemikian. Logik yang sama boleh kita pakai pada persoalan-persoalan sama untuk ibadah-ibadah lain"

***

Jawapan Ustaz sangat membantu saya. Bukan hanya memahami Fiqh, tetapi memahami diri sendiri.

Banyak benda yang Allah ciptakan, ada rupa tetapnya. Dan rupa itu membawa nilainya tersendiri yang tidak lagi dapat diubah-ubah. Istimewa, dan itulah yang membawa makna kewujudannya di bumi.

Kita sebagai manusia pula, memang sudah tetap rupa seorang manusia. Tiada siapa akan datang entah dari mana dan mengatakan kita haiwan bukan? Kerana rupa kita rupa manusia. Bukan haiwan.

Sifat tubuh badan kita menjadikan kita dikenali sebagai makhluk bernama manusia.

***
Itu sifat zahir. Bagaimana pula dengan sifat batin. Sifat-sifat batin yang membuat kita kenal bahawa kita ini sebenarnya hanya manusia?

Dalam al-Quran, banyak benar Allah memberitahu kita tentang sifat-sifat asal manusia.

Antaranya adalah sifat Faqir, tidak memiliki apa-apa; Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 15 yang bermaksud;

"Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah Faqir dihadapan Allah, sedangkan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

Manusia, sifatnya Faqir di hadapan Allah. Kosong. Tiada apa-apa.

Siapapun datang entah dari mana dan mengatakan dia kaya, tidak akan mengubah statusnya di hadapan Allah. Faqir adalah sifat batin yang mengenalkan kita bahawa kita manusia.

Tapi dalam hidup ini, kita adakalanya terlupa sifat batin itu.

Dalam arus dunia yang saling mengejar harta dan kekayaan, nama dan pangkat, anak-anak serta pencapaian, kita jadi terlupa semua itu bukan milik kita. Kita lupa di hadapan Allah kita tiada apa-apa.

Kita kosong, tapi orang-orang memanggil kita dengan nama satu, dua, tiga dan seterusnya.

Kita kosong, tapi kita merasa kita bernilai satu, dua, tiga dan seterusnya.

Kita kosong, tapi terlupa 'kekosongan' kita.

Lantas kita terus menjadi lupa diri. Lupa siapa sebenarnya manusia itu. Sifat asal dirinya itu.

Dari situ, ada yang membangga diri, ada yang memandang rendah orang lain, ada yang sombong tak boleh ditegur, ada yang merasa hina direndah, ada yang merasa lemah disergah, ada yang merasa sedih dipijak, ada yang rasa bongkak diangkat ke puncak.

Sedang... asal manusia itu semuanya Faqir.. di hadapan Allah.

***

Kita meletakkan nilai kita di bumi. Lantas rosaklah segala budi pekerti. Semakin jauh merasa bertuhan.

Mungkin kerana itu juga, manusia berperangai dan berfikir seakan akhirat itu tidak ada.

***

Sesekali mengingat diri Faqir,  jiwa merasa lega tika dipandang rendah. Tika dipandang tinggi pula, diri boleh berasa biasa sahaja.

Tika dipandang rendah, dia tahu asal dirinya. Kalaupun tidak berhak, asal dirinya membuat dia berasa itulah hak. Lantas dia boleh bersabar, malah mengukir senyuman puas.

Tika dipandang tinggi, dia tahu itu bukan asal diri. Kepada Tuhanlah dia memuji. Kepada manusia pula dia merendah diri. Jiwanya subur menyayangi. Kerana merasa tiada beza antara manusia.

Jiwa akhirnya merdeka.

***

"Ahh, fikiran konservatif. Bila mahu maju kalau berfikir sebegini!" Tempelak seseorang.

Tuhan mengajar muslim, kalau berbuat berbuat biar yang terbaik. Kalau hidup biar memberi manfaat. Dan banyak lagi perintah Tuhan, yang suruh insan menjadi orang maju dan berjaya di dunia.

Tapi asal niat adalah taatkan Dia.

Sifat Faqir tetap sama..

***

Dalam surah yang sama ayat 10 Allah berfirman;
"Barangsiapa menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah lah kemuliaan itu semuanya. KepadaNyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh dinaikkanNya. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan baginya azab yang keras. Dan rencana mereka akan hancur."

***

Mungkin betul kata orang, Siapa yang mengenal diri, akan mengenal Tuhannya.

Di akhir hari, diri ini menghembuas nafas lega, mengetahui manusia, si kosong yang nilainya bukan di bumi.

Selamat mencari Redha ahli langit :)













No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...