Wednesday, 27 September 2017

Episod pertama Musafir Tanah Syam (Jordan)

Bismillah.

Round icon. Download flag icon of Jordan at PNG format

"Panah yang tidak meninggalkan busur, manakan mengena sasaran."

Masih tidak pasti, adakah diri ini panah, ataukah diri ini sasaran :) Ketika memposisikan diri sebagai panah, saya takut meninggalkan busur . Jika saya sasaran, maka saya takutkan panah yang akan mengena saya!

Ya, saya akan mengikuti program pertukaran pelajar ke Jordan. Salah satu tanah Syam yang diberkati.

Dan ianya mengundang ragu yang besar dalam diri ini. Saya sudah lama duduk di dalam busur (Turki), membuat saya selesa dengan sistem pembelajaran di sini. Namun saya sedar kekurangan bahasa arab yang sedikit sebanyak melumpuhkan kemahiran saya menuntut ilmu di bidang agama, mungkin sudah sampai masa saya keluar dari zon selesa, memperbaiki diri untuk mencapai sebaik-baik tujuan. Ujian yang bakal mensasarkan diri ini harus saya gagahi, dalam usaha menyempurna makna diri.

Kini saya menilik diri... apa tujuannya saya belajar? Sehingga perlu memaksa diri menghadap segala susah payah ini. Kalaulah di akhir hari saya gagal, adakah semua yang saya tempuh ini hanya sia-sia?

Bukan senang sertai program pertukaran pelajar. Tidak seperti yang saya sangka.

Birokrasi untuk berdaftar sahaja sudah bikin hati susah, belum lagi dikira urusan sesampai di sana nanti. 

Sebelum terlambat, saya perlu benar-benar sabatkan hati, apakah betul perkara yang saya buat ini?

Allah Maha Tahu, Saya diajar berusaha kemudian bertawakkal kepadaNya.

Tanah Syam yang mulia itu sudah lama memanggil, saya yang kerdil lagi hina ini baru mahu menyahut. Di sanalah makam sahabat-sahabat yang mulia bersemadi, tanah barakah yang tersebut dalam al-Quran dan hadis. Moga-moga dengan sampai di sana, bolehlah mencicip sedikit barakahnya, meminjam sedikit rahmatnya buat perbekalan hari-hari mendatang.

Saya berdoa dan memohon orang ramai mendoakan, agar perjalanan ilmu ini diberkati. Semoga juga, hati ini diikhlaskan untukNya, agar tidak terbabas niat, segalanya tidak menjadi debu berterbangan di akhirat nanti.

Wahai Tanah Syam,
Terimalah kedatanganku,
Walau langkah ini lemah,
Semangat ini layu,
Ku harap di sana ada sinar,
Yang terselit dalam kalamNya,
Ku harap di sana tiada onar,
Yang menjauhkan dariNya.

Wahai Tanah Syam,
Rahmat Tuhan terlalu besar,
Sedang hati ini terlalu kecil,
Tak ku tahu apa yang perlu ku pinta,
Moga Tuhanmu Yang Maha Kaya,
Maha Penyayang dan Maha Bijaksana,
Mengurniakan yang baik-baik,
Sungguh diri ini,
Fakir lagi hina,
Akan rahmat kasihNya.

Wahai Tanah Syam,
Jalan ilmu itu susah,
Moga di sana dibekali tabah,
Moga niat Ibadah,
Selamat dijaga,
Sampai padaNya.

Wahai Tanah Syam,
Ku datang dengan harapan besar,
Dengan cinta yang membugar,
Dengan bunga kasih yang mekar,
Moga dapat ku semai cinta kasihnya,
Moga dapat ku tuai rahmat kurniaNya.

Doakan saya, semoga Allah terima dan memberi Taufiq hidayahNya.
















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...