Friday, 31 August 2018

Mok Bah; Cikgu Al-Quran Kg Tebing Tinggi

Bismillah

"Assalamualaikummmmm." Pekik ibuku dari luar pagar rumah kayu bercat kelabu itu. Kali ketiga sudah ibu memanggil. Kiranya sudah "cukup syarat" untuk kami pulang.

Kami pun melangkah meninggalkan kawasan itu. Niat asalnya hanya mahu menghantar daging korban. Kebetulan tahun ini, daging korban perlu diagihkan sendiri.

Tiba-tiba jiran sebelah rumah itu menegur kami; "Mokbah ada tu di dalam. Baru dia keluar mangga pagar tadi." Katanya sambil meyakinkan kami untuk mencuba lagi.

Kali ini suara ibu dibesarkan dua kali ganda. Moga-moga tuan rumah mendengar. "Assalamualaikum Mokbahhh, Huda ni..." laungnya.

Tak lama kemudian muncul seorang wanita berumur 40'an. Tak lama beliau menjenguk kami. Terus langkahnya turun dari atas rumah untuk membuka mangga pagar

"Masuklah, maaf lah deh petang-petang memang mangga pagar ni." katanya dengan loghat Kelantan yang mesra. Wanita itu membahasakan dirinya Cik Sah, anak kepada Mok Bah.

Melangkah ke dalam, yang pertama kelihatan adalah seorang ibu tua yang boleh ku panggil nenek, beliau bersila di lantai kayu. Berkain batik, berbaju kurung sambil mengenakan tudung sarung. Melayu sungguh! Itulah Mokbah, sepupu Tok Ayah. Umurnya sudah 70'an, namun masih segar. Penglihatannya masih cerah.

Mak, Ayah, Aku, adik dan dua orang anak saudara masuk dan duduk. Benda pertama di rumah orang melayu kalau terima tetamu mestilah mahu menghidang air manis. "Toksah susoh-susoh, kami singgah meta (sebentar) jah " kata Mak.

Awalnya Ciksah dan Mokbah mahu menghidang nasi lemak. Tapi atas permintaan kami yang hendak cepat, Mokbah meminta Ciksah menghidang satu kuih yang baginya sangat istimewa. "Huda mesti ingat kuih gapo ni." kata Ciksah sambil melirik senyuman.

Kuih Ngekoh! Kuih kesukaan ibu waktu zaman kanak-kanak. Aku pun first time dengar nama kuih tu. Bermaksud itulah pertama kali aku merasa. Bukan sekadar bagi rasa, Mokbah beriya bagi kami resepi dan bagi seplastik doh kuih untuk dibawa pulang. Kuih ngekoh ni macam kuih donut, hanya dohnya basah dengan telur tanpa dicampur air. Dan rasanya manis. Sayang tak ada gambar kenangan.

Aku mula merasa mesra dengan Mokbah dan Ciksah dengan jenaka dan senyumnya. Mereka memang suka melayan tetamu. Bila ditanya tentang Tok Ayah, Mokbah membuka cerita, kata Mokbah kalau masa Tok Ayah sihat, Tok Ayah selalu datang ke rumah Mokbah untuk "memesan makanan". Haaa, rupanya Mokbah memang suka melayan tetamu.

Mokbah pun selalu melayan orang kampung. "Rumah ni kalu masok mesti ada oghe mari (makan sekali). Tapi rezeki mari sokmo (selalu) hok (yang) oghe (orang) buwi (bagi)." katanya.


Begitulah pemurahnya Mokbah dan Ciksah.Walau bukan orang berada. Walau bukan wakil rakyat kawasan. 

Kami jadi segan bertandang ke rumahnya. Makin lama ada saja yang bertambah dihidangan. Aku tak ingat siapa yang bertanya tentang timbunan al-Quran yang banyak di atas meja rumah Mokbah, dari soalan itu Mokbah membuka cerita;

"Budok-budok, tubik (keluar) dari skoloh (sekolah) mari ngaji sini. Dalam 40 orang. Mokbah ajar muqaddam. Ciksah ajar Quran besar." 

Rupanya Mokbah sudah mengajar al-Quran kepada anak-anak penduduk sekitar sejak beliau muda. Bila aku ceritakan pada Tok Ayah, Tok Ayah tersenyum, "Mokbah tu dah ngajar beribu budak ngaji. Sejak dari dio remaja. Mugo (Hanya) dio tak hafiz jah." kata Tok Ayah memuji Mokbah.

"Ada bayaran ke Mokbah ajar budak-budak?" tanya aku. Sekadar cuba menambah soalan. "Dok, sesen pun Mok Bapok tok buwi. Tapi Mokbah rasa sihat bila mengajar. Bila tak mengajar tu segho (rasa) nok demey (demam)." kata Mokbah. Mokbah juga sempat cerita, makin lama beliau ajar mengaji, makin beliau rasa tak perlu pakai spek mata. Betapa Allah mengurniakan ibu ini rezeki dari wajah yang tidak beliau sangka.


"Nanti saya balik boleh kerja part-time dengan Mokbah" kata aku mengusiknya dua hari kemudian, ketika beliau bertandang ke rumah Tok Ayah.

Semasa hendak pulang, sempat Mokbah "menggali" tabungnya. Mengeluarkan empat keping duit kertas berwarna biru cair. Dihulurkannya kepada dua anak saudara aku. Dua keping seorang.

S.E.G.A.N... segan dengan kepemurahan yang tidak dikira-kira itu. Sederhana, namun cukup untuk menjadi didikan jiwa yang jarang-jarang disapa ini.

Mok Bah, tak dikenal orang, tak berharta banyak. Namun dia jelas bahagia dengan memberi dari apa yang mahu dikongsinya. Ya Allah, terus bahagiakan dia! Aamin.

Ramai lagi Mokbah di luar sana, moga dapat bertemu di sela-sela perjalanan hidup ini :)

1618
31082018
Shah Alam









Saturday, 18 August 2018

Bandung; Tempat bermain lagikan dikenang,inikan pula tempat terseliuh

Bismillah.

Hari ke lima di Indonesia, kami berlapan tiba di Bandung dengan menaiki kereta api. Kelas eksekutif yang kami naiki kali ini lebih selesa berbanding kelas ekonomi yang kami naiki di Jakarta (Boleh buat research). Namun ternyata tidur di kelas ekonomi di Jakarta lagi nyenyak dari tidur kami di kelas eksekutif malam itu. Rezeki kata orang, nikmat kadang-kadang tak terhitung pada benda.


Bandung lebih sejuk dari bandar lain. Mungkin kerana rupa buminya yang berbukit bukau. Mungkin anda mahu membawa baju lebih tebal untuk berjalan-jalan di Bandung.

Di Bandung, banyak tempat menarik. Hanya ada beberapa tempat tidak ada rezeki untuk kami lawat. Mengapa? Saya kongsikan buat 'pedoman' kawan-kawan. Mana tahu bermanfaat;

1) Driver baru dan kereta kecil;

Kami memesan driver dari yogyes.com. Namun sayang, mereka memberi kereta yang tidak muat untuk kami berlapan beserta bagasi yang besar-besar. Kereta Avanza yang diberi membuatkan driver terpaksa membuat dua kali trip untuk membawa kami ke hotel. Sudah habis banyak masa di situ. Seharian kami travel berhimpit seperti tin sardin. Masih bersyukur boleh muat! hehe

Saya sempat menyapa driver yang membawa saya dan teman-teman. Orangnya muda. Kata beliau "Saya bukan orang Bandung. Baru sebulan tinggal di Bandung. Saya orang Banjar. Jadi tidak biasa sama jalan-jalan di sini." Kalau driver tak kenal jalan, apatah lagi kami! Driver baru ini sering bertanyakan kami jalan, meminta buka Google Map kerana beliau tiada credit internet dan beberapa kali sesat. Itulah antara sebab utama kami kehilangan banyak masa di atas jalan dan tidak berapa lancar perjalanan di Bandung.

Hari kedua kami meminta driver baru dan kereta baru setelah rakan kami menerangkan segala yang tak kena pada hari pertama. Alhamdulillah esok kami dijemput dengan sebuah van yang besar, dan pemandunya Mas Endang seorang yang bekerja sebagai pemandu di Bandung lebih 20 tahun!

2) Macet

Macet Bandung di waktu rush hour seperti Jakarta. Kami terperangkap dalam macet beberapa kali. Dan paling lama ketika di traffic light di waktu ada perarakan Asian Games huhu. Setelah tiga kali lampu berubah warna baru kami boleh berjalan.

3) Malam awal

Indonesia malamnya awal. Pukul 5 ptg begitu sudah maghrib. Sewaktu kami ke Kawah Putih, banyak masa dihabiskan bergambar disitu (Mohon jangan duduk lama-lama di Kawah Putih, katanya tidak sihat sebab Sulfur yang dihidu berbahaya). Jadi kami kesuntukan masa ke ladang strawberi. Hanya sempat membeli di tepi jalan. Namun kami sempat ke Ladang teh. Mengambil gambar sepuas-puasnya berlatarbelakang pemandangan yang cantik dan menenangkan. Alhamdulillah.

                           



****
Di Bandung kami melawat Farmhouse, Rumah Mode, Kawah Putih, Ladang Teh dan membeli belah baju di Cihampelas Walk. Semua tempat yang diziarahi menarik dan disyorkan pergi jika kawan-kawan singgah ke Bandung. Hanya kami terlepas peluang ke Pantai Timang, Tangkuban Perahu dan Pasar Terapung di Lembang kerana kesuntukan masa dan cuaca yang tak mengizinkan.




****
Di Bandung jugalah saya terseliuh. Pada waktu itu kami sudah mahu pulang ke Jakarta. Mas Endang menghantar kami ke Stesen Bas Cempaka Putih. Ketika sibuk mencari topi yang hilang, lutut saya terpusing dan berbunyi 'pap!' Sedap bunyinya, sesedap rasanya.

Alhamdulillahh masih boleh berjalan dipapah kawan-kawan. Ada dua tiga orang Indonesia mampir untuk membantu dan mengurut. (hanya dinasihatkan untuk berhati-hati, jangan mudah percaya orang lagi-lagi kalau sendirian. Ibu yang membantu saya dipukau di stesen bas dan kehilangan lebih 300.000Rp).

Waktu itu saya rasa sangat dekat dengan orang Indonesia. Ramai orang mahu membantu dan ramai juga yang memberi nasihat. Ada yang suruh tuam air suam, ada juga yang suruh letak ais batu. Haha, mana-manalah. Yang pasti waktu itu saya terharu dengan semua orang-orang di sekeliling. Terasa benar bahawa kita ini serumpun dan bersaudara. Maafkan saya 'berdrama' di tempat kalian (Smiley sengih berpeluh dahi). Nikmat bersaudara adalah nikmat yang paling besar setelah iman :)

Kaki memanjat

Sewaktu saya menulis ini, kaki saya masih belum sembuh sepenuhnya. Pesan saya berhati-hatilah ketika travel. Kaki itu anugerah Allah yang cukup besar untuk tidak dijaga dengan baik. Doakan saya sembuh sepenuhnya!

Oh ya, dalam bahasa Indonesia mereka menggunakan kalimah "bermain" untuk kata kerja berjalan-jalan melancong. Kadang-kadang mereka sebut "Saya sering bermain-main di sini." Bermaksud; "Saya selalu merewang di sini." Apa lagi saya pun memuatkan maksud itu dan kisah saya dalam peribahasa melayu yang berbunyi;

"Tempat bermain lagikan dikenang, inikan pula tempat terseliuh!" Haha

Sampai ketemu lagi Bandung ^^

tagar rasmi trip kami berlapan
#kızlarberwısata












Friday, 17 August 2018

5 Tempat menarik di Jogjakarta

Bismillah.

Lebih kurang jam 7 pagi kami tiba di stesen Lempoyangan Jogjakarta, stesennya tidak sesibuk stesen kereta api Pasar Senen Jakarta. Ada deretan gerai yang menjual makanan, rakan kami tak lepaskan peluang membeli sarapan sebelum kami mulakan perjalanan.

Kami dijemput oleh pemandu kereta yang bernama Mas Piyan. (recommended driver he is). Dia membawa kami dengan menaiki kereta Suzuki Luxury berwarna putih. Muat kami berlapan walaupun sedikit sesak.

1) Candi Borobudur dan Prambanan.

Hari pertama kami dibawa ke Candi Borobudur. Candi agama Budha yang dipelihara dibawah jagaan UNESCO. Di sini kami membeli tiket Candi Borobudur dan Candi Prambanan sekali dengan harga lebih kurang RM 100. Lupakan hasrat membeli tiket lokal yang berharga 40 000Rp, kerana mereka akan periksa kad pengenalan atau passport anda.

Dua jam kami habiskan masa di Borobudur, memanjat, bergambar dan menikmati pemandangan. Tak rugi panjat sampai atas. Jogja nampak cantik sekali dari puncak Candi Borobudur! Kami turun waktu azan Zohor berkumandang. Satu perasaan unik mendengar azan ketika saya berada di rumah ibadat agama Buddha.


2) Candi Prambanan

Kami ke Candi Prambanan hari kedua. Candi ini Candi agama Hindu. Rekabentuknya saja sudah berbeza dari Candi Borobudur. Apatah lagi isinya.

Seronok dapat melihat sendiri sembahan agama Hindu. Antara berhala-berhala sembahan mereka yang sempat saya lihat adalah Ganesha, Nandi, Vishnu, Brahman dan Siva. Menarik! Ini pertama kali saya menjejakkan kaki di rumah ibadat orang Hindu setelah bertahun-tahun berkawan dengan teman-teman India-hindu di Malaysia.



3) Waroeng Spesial Sambal

Restoran SS adalah restoran yang menyajikan 21 jenis sambal dengan pelbagai lauk pilihan. Tinggal pilih! Kepedasan sambal terserlah bukan sahaja pada rasanya tapi pada password "superpedas" untuk wifi percuma yang disediakan. Lazatnya sampai kami lupa untuk ambil gambar makanan kami! huhu. Cubalah pasti tak rugi.

4) Muzium Vredeburg



Muzium Vredeburg adalah muzium yang menceritakan babak sebelum dan selepas kemerdekaan Indonesia. Ala-ala muzium tentera di Turki. Cerita di dalammnya menarik dan menyuntik semangat patriotisme. Ibarat satu lorong masa yang menceritakan sisi-sisi penting yang menyumbang kepada kemerdekaan dan kemajuan Republik Indonesia.



anak-anak sekolah sedang buat lawatan sambil belajar

5) Punthuk Setumbu


Punthuk Setumbu terkenal dengan pemandangan sunset. Anda perlu memanjat sehingga ke puncak. Mencabar. Saya teringat pengalaman memanjat Petra di Jordan, seperti itulah gamaknya mendaki puncak Punthuk Setumbu. Tetapi pemandangannya yang cantik membuatkan hilang segala rasa lelah. Bersyukur sangat sampai hajat melihat pemadangan sawah bukit yang menghijau. Sungguh menenangkan.




Ada banyak lagi tempat-tempat menarik Joga seperti jalan Malioboro (Tempat shopping baju batik Indonesia), Gereja Ayam, Istana Taman Sari, masjid bawah tanah dan Istana Keraton. Hanya tak sempat untuk saya ceritakan satu-satunya di sini. Semuanya cantik dan berbaloi untuk diziarahi.




Yang sangat saya hargai di Jogja adalah ketenangannya di samping orang-orangnnya yang sangat berbudi, sopan santun dan keras kerja. Tak dilupa makanan seperti nasi kucing di Angkringan, Bakpia  25 dan Wingko yang sedap! 






Semoga bermanfaat.












Thursday, 16 August 2018

5 perkara menarik di Jakarta

Bismillah.

Dua hari lepas, saya baru usai menjelajah bumi Indonesia. Antara tempat yang paling lama diziarahi adalah Jakarta. Penat berjalan, biarlah bermanfaat ya dak? Jadi mari kita kongsi lima perkara menarik yang saya temui di Jakarta. Semoga bermanfaat!

1) Grab dan Gojek motorsikal.

Kalau di Malaysia kita biasa dengan Grab kereta, di Indonesia mereka ada Grab motorsikal. Paling jelas kelihatan di Jakarta. Pemandu Grab memakai uniform tertulis tulisan Grab. Kata Supir yang menjemput kami di Lapangan Terbang Soeharto-Hatta hari pertama, ada juga Grab pemandu wanita. Hanya sedikit sukar didapati.


Gojek pula lebih kurang fungsinya dengan Grab. Hanya Gojek ada fungsi-fungsinya yang lain seperti memesan makanan, mencuci rumah, mengurut dan lain-lain. Kata rakan kami Gojek membawa maksud 'membawa penumpang'. Gojek juga seperti Grab uniformnya. Hanya lebih hijau. Kami juga pernah menggunakan khidmat Gojek untuk memesan mie Acheh ketika di Ancol, Jakarta. Waktu itu sudah malam. Kami pula sudah kepenatan dan hotel jauh dari tempat makan. Khidmat Gojek sangat praktikal dan boleh dimanfaatkan oleh wisatawan seperti kita

                            



2) Transjakarta; Pengurang Macet Jakarta.

Jakarta adalah negeri yang padat penduduknya. Ikutkan kesesakan lalu lintas di bandar seperti Jakarta, dinasihatkan supaya memilih airport di bandar lain selain Jakarta untuk terbang ke Indonesia atau pulang ke Malaysia. Jika mahu memilih Jakarta juga, sediakanlah masa dalam 5 jam untuk perjalanan ke lapangan terbang sahaja agar anda tak menghadapi masalah terlepas flight atau terlambat ke tempat destinasi.

Antara pengaman macet di Jakarta adalah pengangkutan awam seperti Transjakarta. Bas awam ini hanya mengenakan cas 3500 Rp untuk jalan sehala ke mana-mana destinasi pun. Lebih menarik, di dalam bas ini ada attendance bas yang dipanggil 'kenek'. Tugasnya tempat rujukan penumpang untuk bertanya destinasi, memastikan ada tempat duduk untuk golongan yang memerlukan dan mengamankan suasana bas untuk kelancaran perjalanan. Bagus kan?

                               

                                                      
                                   
                                 

Transjakarta memiliki laluan bas yang khusus untuk mengelak macet di bandar. Jadi menaiki bas boleh membawa anda lebih laju jika kena masanya. Naiklah bas Transjakarta, kurangkan Macet :)

3) Parkir bercas.

Di mana-mana saja anda parkir di Indonesia, tidak kiralah Jakarta atau selainnya, semuanya dikenakan cas bermula dengan 2000Rp. Cas akan bertambah mengikut masa. Walaupun tempat parkir seperti tidak rasmi. Tapi pasti ada orang ynag ditugaskan untuk mengutip bayarannya. Kata Mas Piyan yang membawa kami di Jogja; 'Jika tidak dibayar, tidak enak."

Jika anda pengguna setia Grab atau apa jua kenderaan, pastikan duit kecil untuk parkir anda sediakan awal.

4) Gramedia; Syurga buku.

Penggemar buku pasti tak akan melepaskan peluang ke Gramedia. Satu toko buku di Jakarta yang menghimpunkan buku-buku lokal dan internasional yang terkenal. Harganya hampir separuh dari harga pasaran Malaysia. Di sini selain buku, ada cafe dan jualan barang-barang lain seperti hadiah, pakaian dan lain-lain. Jika datang ke Jakarta, masukkan tempat ini dalam senarai destinasi anda.



5) Nasi Padang.

                           

Berdekatan dengan Gramedia, ada restoran Masakan Padang yang sangat unik. Di kedai ini lauk-lauk akan dihidangkan di hadapan kita. Tinggal kita memilih lauk-lauk yang kita ingini. Lauk-lauk asli Padang ini rasanya memuaskan. Harganya juga lebih tinggi berbanding makan di gerai-gerai biasa. Sesuai dengan keunikan kedai ini.

Sekian, bertemu di post seterusnya insyaAllah.












Wednesday, 1 August 2018

Percaya saya atau Keldai saya.

Bismillah.



Suatu hari jiran kepada Nasrettin Hoca datang ke rumahnya. Niatnya mahu meminjam keldai milik Hoca. Dia mahu ke pasar.

"Tok, tok, tokk" Bunyi ketukan jelas kedengaran di rumah Nasrettin Hoca.

Pintu dibuka. Nasrettin Hoca memanjangkan kepalanya sambil membetulkan serban.

"Ya, ada apa datang pagi-pagi ni?" Tanya Hoca kepada jirannya.

"Saya datang untuk pinjam keldai tuan. Macam biasalah, saya perlu ke pasar beli barang-barangan dapur hari ini."

"Oh, keldai saya tak ada di rumah. Maaf ya." Jawab Nasrettin Hoca ringkas.

"Tak apalah kalau begitu. Saya minta diri dulu." Jiran itu pun mula melangkah pulang. Sedikit kehampaan.

Ketika jiran tadi melalui kawasan kandang Nasrettin Hoca, tiba-tiba kedengaran bunyi keldai Hoca meringkik dengan kuat sekali. 

"Hee-haw, hee-haw."

"Aik, tadi kata keldai tak ada." lelaki itu bermonolog.

Dia cepat-cepat kembali ke rumah Nasrettin Hoca. Kebetulan Nasrettin Hoca baru hendak keluar. Jiran Hoca berkata;

"Tuan, tadi tuan kata keldai tuan tak ada dirumah. Tapi saya dengar bunyi keldai Tuan. Bermaksud dia ada di belakang." Terangnya seperti mendesak Nasrettin Hoca menerangkan perkara sebenar.

Tak lama Nasrettin Hoca berfikir lantas dia menjawab;

"Eh kamu ni, kita dah berjiran lebih 30 tahun. Sekarang yang mana lagi awak percaya, kata saya atau kata keldai saya?"

Lelaki tadi mengangkat kening. Dia terkelu mendengar jawapan Hoca.

Nasrettin Hoca tersengih. Beliau berlalu dari situ.

***
Kisah di atas hanya selingan. Saya gemar merehatkan minda dengan kisah-kisah lucu sebegini. Lagi-lagi ketika orang sibuk mengerutkan dahi membaca berita-berita hangat di media sosial. Saling bergaduh, sibuk mempertahankan "kudusnya" pendapat masing-masing.

Meminjam sedikit sindiran kisah ini, ia mengingatkan kita jika seseorang itu tidak mahu membuat sesuatu ataupun berdegil dengan prinsipnya, dia akan berbuat apa sahaja untuk membenarkan keinginannya. Walaupun dengan bertanya soalan yang jelas tak kena logiknya seperti; "Percaya saya atau keldai saya?" Di luar sana ramai orang melakukan perkara yang sama untuk mempertahankan pendapat peribadi, walau bukti jelas menunjukkan sebaliknya.

Ya, kadang saya pun terkelu seperti jiran Hoca tadi!



Selamat mengambil pengajaran :)

1804
Shah Alam

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...