Wednesday, 1 August 2018

Percaya saya atau Keldai saya.

Bismillah.



Suatu hari jiran kepada Nasrettin Hoca datang ke rumahnya. Niatnya mahu meminjam keldai milik Hoca. Dia mahu ke pasar.

"Tok, tok, tokk" Bunyi ketukan jelas kedengaran di rumah Nasrettin Hoca.

Pintu dibuka. Nasrettin Hoca memanjangkan kepalanya sambil membetulkan serban.

"Ya, ada apa datang pagi-pagi ni?" Tanya Hoca kepada jirannya.

"Saya datang untuk pinjam keldai tuan. Macam biasalah, saya perlu ke pasar beli barang-barangan dapur hari ini."

"Oh, keldai saya tak ada di rumah. Maaf ya." Jawab Nasrettin Hoca ringkas.

"Tak apalah kalau begitu. Saya minta diri dulu." Jiran itu pun mula melangkah pulang. Sedikit kehampaan.

Ketika jiran tadi melalui kawasan kandang Nasrettin Hoca, tiba-tiba kedengaran bunyi keldai Hoca meringkik dengan kuat sekali. 

"Hee-haw, hee-haw."

"Aik, tadi kata keldai tak ada." lelaki itu bermonolog.

Dia cepat-cepat kembali ke rumah Nasrettin Hoca. Kebetulan Nasrettin Hoca baru hendak keluar. Jiran Hoca berkata;

"Tuan, tadi tuan kata keldai tuan tak ada dirumah. Tapi saya dengar bunyi keldai Tuan. Bermaksud dia ada di belakang." Terangnya seperti mendesak Nasrettin Hoca menerangkan perkara sebenar.

Tak lama Nasrettin Hoca berfikir lantas dia menjawab;

"Eh kamu ni, kita dah berjiran lebih 30 tahun. Sekarang yang mana lagi awak percaya, kata saya atau kata keldai saya?"

Lelaki tadi mengangkat kening. Dia terkelu mendengar jawapan Hoca.

Nasrettin Hoca tersengih. Beliau berlalu dari situ.

***
Kisah di atas hanya selingan. Saya gemar merehatkan minda dengan kisah-kisah lucu sebegini. Lagi-lagi ketika orang sibuk mengerutkan dahi membaca berita-berita hangat di media sosial. Saling bergaduh, sibuk mempertahankan "kudusnya" pendapat masing-masing.

Meminjam sedikit sindiran kisah ini, ia mengingatkan kita jika seseorang itu tidak mahu membuat sesuatu ataupun berdegil dengan prinsipnya, dia akan berbuat apa sahaja untuk membenarkan keinginannya. Walaupun dengan bertanya soalan yang jelas tak kena logiknya seperti; "Percaya saya atau keldai saya?" Di luar sana ramai orang melakukan perkara yang sama untuk mempertahankan pendapat peribadi, walau bukti jelas menunjukkan sebaliknya.

Ya, kadang saya pun terkelu seperti jiran Hoca tadi!



Selamat mengambil pengajaran :)

1804
Shah Alam

No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...