Poster si adik yang rajin huhu |
Semalam, genaplah 21 umur saya. Entah kenapa, semalam air mata yang tumpah sama banyak dengan senyuman yang terukir. Sendu sahaja rasa. Mungkin kerana terharu, mungkin kerana sayang, mungkin juga kerana menginsafi kejadian Tuhan buat diri.
Sudah dua minggu tak kemaskini catatan mingguan. Bukan tiada aktiviti untuk dikongsi, banyak. Hanya tidak tahu bagaimana menyusun ayat agar ianya berisi manfaat. Maka saya tundakan sehingga ke hari ini. Kiranya, posting kali ini adalah posting dua dalam satu.
Pertama sekali, saya ingin sematkan ingatan hari lahir tahun ini di sini, supaya saya dapat membacanya semula andai panjang umur tahun depan. Agar lebih jelas hitam putihnya ketika mahu bermuhasabah.
Apa yang istimewa, hari lahir kali ini disambut di bumi Anbiya'; tanah Yarmouk, Jordan. Bersama biah solehah dan nasi maqlubah yang akan saya rindui (Erk). Moga-moga keberkatan tanah ini dapat saya pinjam untuk mencari keberkatan umur sendiri.
Maceh Syahira teman |
Sempat juga menjelajah alam Tuhan; pertama kali melawat Terengganu, bersama keluarga di Bagan Lalang, meronda bersama rakan-rakan dan adik menggunakan perkhidmatan awam, dan bermusafir bersama kakak hampir separuh Malaysia! Banyak lagi kisah dan cerita yang setiap satu ada harganya tersendiri.
Bercakap tentang harga sebuah kehidupan, ianya seputar makna dan nilai; apakah yang akan kekal buat diri, apakah yang akan dijadikan bekal hidup ini. Kerana masa yang berlalu telah meninggalkan kita jauh, namun yang tinggal adalah harganya. Yang mana akan dipertanggungjawabkan bagi membuktikan kehidupan kita tidak diciptakan secara sia-sia.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda;
"Tidak akan berganjak kaki anak adam pada hari kiamat kecuali setelah ditanyakan empat perkara;
-Usianya kemana dia habiskan,
-Masa mudanya kemana dia pergunakan,
-Hartanya dari mana diperoleh dan kemana dia belanjakan.
-Ilmunya yang mana telah diamalkannya.
(Riwayat Tirmizi)
Dalam surah al-Kahfi ayat 46 Allah berfirman yang bermaksud;
"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus menerus asalah lebih banyak pahalanya disisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.
Dalam surah al-Mulk ayat 2;
"Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa Maha Pengampun."
Semua itu seperti mahu berkata; hidup kamu untuk beramal.
Maka dari situ, saya berazam menggelarkan umur 21 ini sebagai titik tolak fasa beramal.
Melihat kebelakang, saya sudah lama terlalu selesa dalam zon berkata-kata. Bait-bait indah yang ditulis selama ini tak pernah dicemari walau setitik keringat dan dibasahi setitis air mata. Sedangkan dalam agama Islam ini, ilmu tanpa amal adalah mustahil. Persaksian tanpa diikuti perbuatan adalah batil. Pemahaman yang tak mahu dibuktikan dengan ketaatan dikira sombong. Keyakinan tanpa gerak kerja dikira angan-angan.
Namun saya tahu, medan amal adalah medan yang susah. Saya pernah mencubanya beberapa kali. Ada waktu saya menangis, ada waktu saya terjatuh dalam godaan putus asa. Maka saya memohon agar menginjak ke umur 21 ini, saya dikurniakan kekuatan, direzekikan petunjuk dan bimbingan, dihujani bantuan dan keberkatan dalam setiap gerak amal. Kerana saya tahu saya tak mampu melakukannya atas kudrat sendiri.
***
Minggu kelima dan keenam seakan mempersiapkan saya untuk memahami apa itu maksud beramal.
Cuti minggu lepas saya direzekikan Allah untuk mengikuti program perkhemahan di Ajloun bersama teman-teman. Program tu mengambil tema Surah an-Nisa ayat 71 yang bermaksud;
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersiap siagalah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) secara berkelompok atau majulah bersama-sama (serentak)."
Infiru (ayat perintah) adalah ayat yang menyeru kepada perbuatan, sedang sebelumnya didahului dengan ayat خذو خزركم yang bermaksud bersiap siagalah. Bermakna, orang beriman bukanlah orang yang disuruh menerjah, menyerang dan mara ke depan tanpa mempersiapkan dirinya lebih awal.
Apa yang lebih indah, setelah ayat infiru diikuti pula ayat penguat kedua iaitu; فنفرو ثبات او انفرو جميعا (dan majulah secara berkelompok atau majulh bersama-sama).
Ketika muqaddimah kem itu K.Syuhada ada menyebut tentang manusia memang tak mampu untuk bergerak sendiri. Kita sangat berhajatkan support system dalam hidup. Sekuat manapun kita, mungkin inilah titik lemah setiap manusia. Kita diciptakan untuk hidup bersama.
Ketika explorace, kami diajar tentang asas-asas dalam amal bersama; antaranya tajarrud (dan keikhlasan), pengorbanan, meminta izin, bermesyuarat, kepercayaan, saling menasihat dan memberi motivasi. Semua itu antara komponen yang menjamin gerak kerja seorang mukmin itu tersusun dan membawa kejayaan. Apa yang saya sangat suka adalah, semuanya diikat dengan ikatan hati yang bermula dengan ikhlas. Dan semuanya yang datang selepas itu akan menjadi mudah dan membuahkan rasa kasih sayang.
Saya berdoa dan mengharapkan semua mendoakan yang sama; semoga Allah merezekikan kita semua teman-teman seperjuangan dalam hidup ini, yang menguatkan kita ketika kita lemah. Yang membetulkan kita ketika kita silap, yang mengingatkan kita ketika kita lupa, dengan penuh cinta dan kasih, dengan niat yang serupa mengikat antara hati-hati.
Aamin.
***
Minggu ini juga, saya mengikuti dinner batch Grandeur. Timbalan pengarah program itu adalah rakan serumah saya. Dan dua lagi antara ajk pentingnya. Jiran rumah bawah juga antara ajk penting yang selalu tiada di rumah.
Ada masa saya melihat mereka tertawa, da masa saya melihat mereka menangis. Ada waktu mereka keluar malam dan pulang lewat untuk menghadiri meeting di tengah musim peperiksaan. Ia benar-benar meminta kesungguhan yang besar.
Namun di sebalik itu semua, saya yakin mereka mampu kerana ukhuwwah sesama mereka sangat padu. Saling menguatkan dan memberi semangat. Saling mendoakan dan berbagi nasihat.
Ketika menghadiri dinner malam itu, di samping nasi kerabu, kek coklat, cream puff, ABC yang sedap, dan disamping persembahan-persembahan yang menghiburkan, saya ternyata lebih gembira melihat senyuman rakan-rakan yang puas melihat hasil kerja mereka pada malam itu.
***
Semalam semalam juga direzekikan untuk mengikuti satu perkongsian Fiqh Musim Sejuk anjuran PERMAI. Penyampainya adalah pensyarah yang mengajar saya Fiqh Ibadat 1 iaitu Dr Adam Qudho. Seorang Dr keluaran IIUM. Kata rakan-rakan dia sudah terbiasa dengan pelajar Malaysia. Sudah beberapa kali pelajar di sini menjemput beliau memberi pengisian.
Kata beliau semasa mahu membuka majlis; "Yang menyatukan kita pada hari ini tidak lain adalah Din (agama) ini. Jika tidak bagaimana saya tahu tentang kamu dan kamu tahu tentang saya." Beliau melantunkan banyak doa ketika di akhir majlis dan menyertakan di dalamnya doa-doa buat ibu bapa. Saya menumpang di dalamnya kerana menyedari doa dalam majlis ilmu turut diaminkan para malaikat.
Kagum dengan kesungguhan guru ini. Apabila dia mengajar, dia mengajar untuk membuang kesulitan. Dia mengajar dan mendorong pelajarnya beramal. Kerap kali dalam kelas beliau mengulang tentang rahmat Allah dibalik tiap hukum fiqah. Kerap kali dia mengingatkan bahawa memahami dengan benar dan mengamalkan sesuatu dengan benar adalah wasilah qudwah.
Syukur dikurniakan seorang guru yang dapat mengingatkan kami semua ini walaupun di bari-baris ayat yang mengajarkan hukum yang tidak bernada dan bersuara.
***
Maka dengan semua itu, menambah satu lagi angka pada umur diri moga seiring bertambahnya amal. Moga dikurniakan sahabat-sahabat yang dapat mengiring langkah buat umur-umur yang berbaki.***
Pada keluarga terutama mak ayah yang tulus mendoakan dan menyayangi diri ini, semoga Allah terus merahmati keluarga kita. Merahmati dan memberkati hidup setiap kita dan mengizinkan kita berkongsi sesama kita dan kepada manusia. Terima kasih untuk segala perngorbanan, harapan, doa dan nasihat yang tak dapat dibalas dengan sebanyak manapun harta di dunia ini.
***
Pada guru-guru di di SK USJ 2 (2003-2006), SAIDE (2003-2006) SK ALAM MEGAH DUA (2007-2008), SMK ALAM MEGAH (2009-2013), MTKH (2012), guru-guru di Universiti Istanbul dan Universiti Yarmouk, tidak dilupa kakak Naqibah dan mentor-mentor di Akif Merkezi, Terima kasih atas segala tunjuk ajar, segala qudwah hasanah dan segala ilmu yang telah dicurahkan buat diri ini. Moga Allah memberi sebaik-baik balasan buat kalian.
***
Buat teman-teman dari dalam perut mak sampai la ni (hehe), yang ingat mahupun tidak, yang dah kahwin atau belum (uhuk uhuk), moga Allah rahmati persahabatan kita. Membuang segala dendam dengki dan persengketaan antara kita. Dan mempertemukan kembali di akhirat kelak. Saya pasti akan rindukan wajah ceria dan tawa kalian :)
***
Dan ramai lagi insan-insan yang Allah hadirkan tak kira tempat dan masa yang telah menambah makna dalam hidup diri ini. Sungguh saya mengharapkan kita semua direzekikan ke SyurgaNya ^_^
***
credit |
💖💪
ReplyDelete