Friday, 1 January 2016

Make it simple.

Bismillah...

Today marks the last day of my final exam for the first semester. Alhamdulillah, at last... hehe

So again I get the chance to write something after being inactive for one month.

Just know I've taken my dinner with turkish friends in our house. There was etli borek (pastry with minced meat in it.), tomato soup, with bulgur pilav. While eating we was busy talking about the event that we are planning for next monday. Which is "exchange gift"... :) Maybe it will be the most suitable programme before 7 from us have to leave the house for good. Seems their 3 months intensive course here has nearly come to its end.

Among us, there was sister Jehide. She recommanded us to give ideas on what kind of gift can we buy for each other soon. Actually, each of everyone of us have our own friend's name that we will be buying gift to. And the name should be kept secret. Perhaps by telling ours likes and dislike will help the programme to be more succesful.

So we start the session from the first person until the last one. One of us said that she will accept anything as gift but she will be glad if she will not be given personal ornaments. She is not used to it... so do I.. hehe

Once she said that, sister Jehide gave us such a profound advice that I've never heard from anyone before. She told in this way; "In daily life, we should not put specific limit to our own likes except what we find in our deen (religion). Because such kind of comprehension will results in difficulties to get along with peoples around. And at the same time discourage us to try new things in life. For you young people, sometime there must be phenomenal things that your soul looking forward to try.. just dont be too hard to yourself."

Yes... it is true... by being simple in our life, we are helping others too. We will able to open our door for people to come into our life... we should welcoming people, not making them run away. Islam teach us to be friendly with people no matter how different we are in character. We are the nation who stand strong with brotherhood, and become weak when we dont hold tight to it.

It is such a small thing, but the effects is so significant in todays life.
If only we can be more sensitive about it.


*Because of my english is still weak, this post is open for any critics or correction for my language improvement :)




Tuesday, 24 November 2015

Keluhan "Orang Agama"

Bismillah.

Saya yakin penulisan kali ini sangat tak kena dengan apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Ketika dunia sedang meratap terhadap masalah-masalah besar, penulisan ini nampaknya sangat tidak penting untuk diendahkan.

Hehe... lagipun ada ke yang baca blog ini (malu sendiri)

Abaikan.

Mungkin rakan-rakan pembaca (kalau ada ^_^) tidak mengenali diri ini. Mungkin sebagai asas penulisan ini, saya perlu beritahu siapa saya (err... perlu ke?) Saya adalah pelajar tahun pertama fakulti teoloji Islam di Universiti Istanbul di Turki. Dulunya sebelum ke sini, saya tidak pernah mendapat pendidikan silibus agama yang sempurna dari mana-mana institusi pendidikan. Saya adalah 'budak sains' yang dipupuk minatnya terhadap agama dari kecil. Adik beradik saya ada yang pernah ke sekolah agama, tapi setakat ini tiada seorang pun dari anak Mak Ayah yang sambung bidang agama di peringkat sarjana kecuali saya. Kira bidan terjun lah ni... bahaya sungguh.


Segala puji bagi Allah yang medorong kita semua untuk berminat mempelajari agama ini. Walaupun boleh tahan nakal masa kecik dulu. Pengaruh orang-orang sekeliling sangat memberi kesan pada diri ini. Terima kasih :)

Maka... cukuplah sekadar itu pengenalannya.

Itu je ke?

Hehe... nak baca lagi ke?

Okay, lets get to the point.


Setelah secara rasmi bergelar "pelajar agama" atau lebih spesifik "orang agama" jiwa ini semakin berat dari hari ke sehari. Kelazatan hari-hari dahulu ketika jiwa baru bermanja-manja menadah ilmu agama semakin hari semakin kayu atau seakan hilang makna.

Kenapa begitu? Jika kalian ada jawapan, tolong bagi tahu saya.

Adakah yang mengalami perkara ini hanya saya seorang? Mungkin orang lain pun melaluinya.

Pendek kata, penulisan kali ini mengkhusukan perasaan "orang agama".

Err... geli betul pakai kalimah 'orang agama'... Macam baik sangat je kata orang... hehe. Tapi sila peka, ada beza antara "orang agama" dan "orang beragama".

Kalau rakan-rakan pembaca lihat realiti institusi agama, peranan orang agama, ataupun peribadi orang-orang yang lahir daripada kelompok ini, adakah rakan-rakan boleh beri jaminan kepada saya, jika ada orang yang mahu berubah dan jiwanya mencari-cari agama, mereka akan temui mesej agama Islam melalui 'orang-orang agama' ini?

Jangan salah faham, saya bukan mahu menghina para ulamak dan asatizah, apatah lagi merendahkan usaha mereka.

Tetapi (terpaksa guna perkataan tapi), sehingga kini saya masih merasa kelompongan yang besar pada pengaruh golongan ini dalam memberi pemahaman dan pendidikan agama dalam masyarakat. Ramai, tetapi mengapa saya merasakan jumlah yang benar-benar tulus membawa tanggungjawab ini sangat sedikit.

Adakah harapan saya terlalu besar? Ya, saya adalah antara orang-orang yang dulunya meletakkan harapan  dan kepercayaan yang sangat besar terhadap orang-orang agama. Kerana bagi saya, merekalah orang yang paling dekat dengan pemahaman Islam, mereka belajar tentang Islam yang mungkin ramai orang tak punya kesempatan untuk menuntut ilmu seperti mereka. Bagi saya, merekalah yang paling sepatutnya memaparkan imej Islam melalui peribadi mereka kerana mereka sering diperingatkan dan didedahkan dengan ayat-ayat Allah dan kalam Rasulullah sallallahualaihiwasallam. Bagi saya, orang yang paling bersemangat memperbaiki huru-hara dan permasalahan masyarakat adalah mereka-mereka ini kerana Islam adalah penyelesaian sepanjang zaman dan mereka mendalami ilmu-ilmu agama islam secara mendalam. Bagi saya, kerja mereka mulia, jika mereka rosak, masyarakat akan rosak. Mereka ibarat mata rantai agama ini, menerangkan apa itu Islam yang sebenar kepada ummat.

Sekarang nampak kan... betapa tanggungjawab orang agama ini sangat berat.

Dulu, saya berada di luar. Bolehlah saya kata macam-macam, membuat kritikan dengan lantang.
Tapi sekarang, saya adalah sebahagian dari mereka. Secara 'Oficial'. Dan di medan ini saya mengaku, tugas ini bukan calang-calang orang boleh memikulnya. Tidak sedikit yang gagal. tidak sedikit yang putus asa dan tidak sikit pula yang tidak menyedari kepentingannya.

Betulkah saya pilih bidang ini? Tak percaya... :(

Berat Ya Allah.. mungkin keluhan ini saja yang boleh meringankan rasa.

Kadang-kadang ada segelintir orang agama yang kecewa dengan pandangan masyarakat yang menganggap mereka ini malaikat. Kadang saya juga merasakannya. Rasa tertekan dek bebanan yang berat ketika menyedari diri tak kuat. Kalau boleh orang agama ini maksum, tak sepatutnya buat dosa.

Tapi saya faham, mengapa mereka mengaharap sebegitu. Kerana dunia setiap masa, atau masa kini sangat dahagakan sosok-sosok seperti itu. Dan bila ditanya dari mana boleh dicari, kepada orang-orang agamalah akan ditunding jari... wahai, ujian sungguh.

Walaupun berat, saya rasa ia boleh dijadikan motivasi buat diri. Bukan alasan untuk terus bergelumang dalam kelalaian.

Mengapa saya katakan begitu, kerana tiada jalan keluar lain melainkan menyempurnakan tugas ini selagi nyawa dikandung badan.

Orang agama tidak sepatutnya sibuk berlumba, siapa lebih banyak hafal hadis, siapa lagi banyak mengarang kitab... orang agama tugasnya dilapangan. Kalau bukan dilapangan, mereka pasti di awanan, terbang bersama ayat-ayat syurga tak menjejak tanah (tak sedar diri maksudnya).

Orang agama perlu sedar mengapa mereka memilih jalan ini, apa peranan mereka di bidang ini.

Orang agama perlu berkorban, berjiwa ummatik. Sepatutnya fikirannya hanya mahu berjual beli dengan Allah. Kalaulah seorang Raja mahu beli harta kita dengan bayaran berjuta kali ganda, adakah kita masih mahu jualkan ilmu, harta, masa, dan kelebihan kepada dunia yang sementara, yang tidak mampu menjanjikan apa-apa harga.

Orang agama perlu kuat semangat, janji Allah itu benar, siapa yang membantu agamaNya, akan dibantu olehNya. Orang agama sepatutnya ingat selalu, kekuatan, hidayah, dan jiwa-jiwa manusia adalah milik Allah, tugas kita hanya berusaha, yang lain serahkan pada Allah... jika tidak bebanan terasa lebih berat.

Orang agama perlu rendah diri... Kadang-kadang diuji dengan pujian, perlu rendah diri. Diuji dengan makian juga perlu rendah diri. Akhirnya kita ni hamba dia juga, hamba yang dulunya tak ada apa-apa.

Orang agama perlu..... banyak lagilah. Tak tertulis rasanya.

Cukuplah orang agama itu jujur dengan dirinya sendiri. Jujur dengan Allah dalam memikul tugas ini.

Dan akhirnya semua keperluan itu tertuju kepada saya sendiri.... wahai.


Sudahlah, berhenti mengeluh.
Berangkatlah dalam keadaan susah dan senang!

Doakan kami :)
Agar tidak mengeluh lagi.

Salam sayang,
Assaalamualaikum.





















Saturday, 21 November 2015

Iman

Bismillah.

Alhamdulillah atas nikmat iman ini.

Kita tak akan tahu betapa besar nikmatnya, jika kita tidak cuba hidup dengannya.
Sebab manusia hanya mengenal nilai sesuatu, bila dia bekerja keras mendapatkan sesuatu itu.

Tanpa iman,

Kita akan kehilangan,
Kerana iman yang benar fungsinya memimpin jalan.

Kita akan disibukkan dengan persoalan dan jiwa melawan Tuhan,
Jika iman tidak menyinari kehidupan.

Kita akan lebih rela memilih jalan hiburan memabukkan,
Demi lari daripada rasa bersalah meninggalkan keimanan.
Atau kerana tak larat mengharungi hidup tanpa iman.

Kita sukar mencipta kebaikan di celah-celah kerosakan,
Kerana kebaikan itu sifat ahli syurga,
Dan benih syurga di dunia ini adalah iman.

Kita akan menemui kesengsaraan tiada penghujung,
Kematian sebagai perpisahan abadi,
Malapetaka sebagai punca duka dan tangisan,
Dan dunia hanyalah tempat menakutkan penuh permusuhan,
Kerana tanpa iman,
Tak akan kau nampak hikmah dan tarbiah Tuhan,
Tak akan kau temui kekuatan dan bimbingan,
Tak akan kau yakin adanya pertolongan,
Tak akan kau temui nilai kehidupan,
Tak akan kau temui lojika penciptaan,
Yang ada di sekelilingmu.
Seakan azab dalam jiwa menyesakkan,
Kerana benih pohon neraka itu,
Adalah keingkaran pada kebenaran,
Adalah kekafiran dan kesombongan.

Tanpa iman... Kelemahanmu menjadi sebab kedukaan.
Tanpa iman... Menjadi sebab penyesalan.

Kau lihat saja di dalam Al-Quran,
Di mana kau temui kalimah iman,
Di dalam hadis baginda,
Iman sepertinya kehidupan di syurga.

Sekali lagi,
Kau tidak akan memahaminya,
Jika tidak hidup dengannya.

Nukilan ilham daripada kalimah kedua, Risalah Annur.


Sunday, 15 November 2015

Pasca Exam Mid Sem.

Bismillah.

Masa saya menulis ini, baru lepas habis exam mid sem. Merangkap exam pertama saya sebagai mahasiswa di Turki.

Hehe... so, teringin jugalah nak berkongsi bagaimana pengalaman dan susana peperiksaan disini.

Peperiksaan kami semua dalam bahasa Turki. Satu sahaja bahagian yang menggunakan bahasa arab penuh. iaitu kertas Sejarah Tafsir. Peperiksaan kali ini ada dua jenis, satu "test" objektif, dan "kalsik" subjektif.

Alhamdulillah, walaupun banyak dugaan dan ujian yang datang, habis jualah minggu ujian ini. Rasa macam dah tertanggung dah sebenarnya mula-mula tu, sampai rasa "Betul ke pilihan aku sambung belajar agama kat sini?"

Manusia memang macam tu, masa diuji... lajulah mulut dia. Bila dah lepas, lupa.

Bila tengokkan kawan-kawan Turki belajar sampai sanggup stay up sehingga pukul 4 pagi, kamilah yang rasa terancam. Keluar saja dari dewan ujian, terus dibincangkan masa itu juga. Stress dibuatnya, haha. Satu lagi, student-student melayu selalu dianggap bijak dan boleh buat, anggapan mereka terhadap kami pun tak kurang membuat sebahagian daripada kami tertekan. Tak mahu kalau-kalau gagal, perlu ulang semula tahun depan. Itulah yang menghantui fikiran kami semua.

Pendek kata, ada beberapa perkara yang aku belajar daripada peperiksaan di Turki ini;

-Mengajar kita mensucikan kepercayaan kepada Allah. Sebab ada masa, kita terlupa untuk bergantung dan percaya pada kekuasaanNya setelah sekian lama merasakan bahawa semuanya berlaku dengan kudrat sendiri. Yang mana seringkali membuat kita kecewa dan putus asa.

-Mengajar kita tahu kemampuan diri. Ketika cara student Turki belajar membuat kami rasa terancam, kami perlu sedar bahawa kemampuan dan cara masing-masing berbeza antara satu dengan yang lain. Dan semua orang perlu berhenti daripada membandingkan diri dengan yang lain, ada masa kita perlu terima "ini cara saya."

-Belajar berkat dalam pelajaran. Di Malaysia, kita selalu di ajar menjaga berkat. Hormat ibu bapa, guru, jujur ketika ujian, jaga solat, baca al-Quran dan bertawakkal. Di bumi orang, tak ada siapa nak ingatkan kita tentang perkara-perkara sebegini. Kadang-kadang kita tak nampak pun perkara ini di sekeliling kita. Mak selalu pesan "Jangan belajar saja, kalau mati tiba-tiba, pahala ibadah tak ada."

- Belajar menerima apa yang ada. Ada masanya, tak sanggup terima kenyataan gagal dalam ujian. Tak mahu ulang semula kertas. Lagi-lagi setelah usaha separuh mati. Untuk mengelak daripada kecewa berlebihan, nak tak nak perlu terima rezeki yang Allah bagi itulah terbaik. Banyak hikmahnya, hanya kita perlu bersangka baik padaNya.

-Rendah hati, ikhlaskan semua untuk Allah. Hendak belajar ilmu Allah, perlu rendah diri. Kerana ilmu milik Allah semuanya. Belajarlah macam manapun, kalau tak ada rezeki boleh lupa semua masa exam. Doa selalu, mohon agar Allah bantu.

-Fokus belajar bukan untuk exam. Sebab exam bukanlah penilaian yang sebenarnya. Penilaian sebenar adalah kefahaman dan kemahiran menggunakan ilmu yang ada. Dan semua itu perlukan masa yang banyak. Kita bukan genius, perlu beri masa kepada diri sendiri.

-Bersyukur. Ada satu benda yang kita tak ada, tapi banyak lagi benda yang Allah beri. janganlah sesuatu yang sukar kita dapat, membuat kita lupa bersyukur.

Duhai exam... kau memang mengajar kami menjadi "hamba".

Selamat belajar menjadi Hamba Allah,
Tak kira bila,
Walau di mana.

Salam sayang,
Salam juang :)

Wassalam.
















Monday, 19 October 2015

Bukan mahu menjadi Ahli Politik.

Bismillah,

Apa khabar semua?

Saja mahu berkongsi, minggu ini berduyun-duyun (hiperbola) orang-orang politik dari Malaysia datang ke Turki, tak pasti sama ada datang sebagai pemerhati politik (memandangkan Turki akan mengadakan pilihanraya buat kali kedua 1 November ini) atau untuk tujuan lain seperti lawatan politik atau perundingan dasar. Apapun, yang mendapat tempiasnya adalah kami pelajar-pelajar Malaysia di sini. Dari Parti Kerajaan sehinggalah Parti Pembangkang, ada saja jemputan sesi dialog untuk kami hadiri. Malangnya disebabkan kelas saya kebanyakannya kelas petang, maka banyak yang tidak dapat saya hadiri. Semalam alhamdulillah, berkesempatan menghadiri sesi dialog dengan Presiden Parti Pembangkang Dr Wan Azizah dan anak beliau Kak Izzah (panggilan mesra).


Penulisan kali ini bukanlah berniat membawa mana-mana isu politik untuk dikupaskan, apatah lagi mempengaruhi rakan pembaca kepada idea mana-mana parti. Bukan juga mahu menjadi ahli politik celup... hehe.  Cumanya mahu berkongsi rasa risau dan gusar kepada keadaan atau permasalahan yang berlaku di sekeliling kita. Dari kerisauan itu, mahu juga kiranya kita sama-sama melihat ke dalam diri, apa yang silap sebenarnya... pada diri sendiri.

Berdialog bersama 2 tokoh ahli politik wanita ini membuka minda saya dan rakan-rakan kepada satu isu yang sebenarnya tidaklah jauh mana dengan kehidupan mahasiswa. Iaitu isu kepedulian.

Selama ini, kesibukan saya dan kawan-kawan dengan alam pengajian terasa sangatlah berat sepertinya tiada siapa yang menanggung kerisauan yang lebih berat dari kami. Tapi setelah mendengar sendiri daripada mereka yang berada dalam gelanggang parlimen, iaitu mereka yang membawa tanggungjawab membawa suara rakyat supaya didengari pemerintah, tanggungjawab, komitmen, dan pengorbanan mereka jauh lebih besar dan berat.

Bayangkan, Dr Wan Azizah (beliau meminta kami memanggilnya Aunty Azizah sahaja) datang ke Istanbul untuk menghadiri mesyuarat bersama wakil-wakil NGO Islam dari serata dunia pada awal paginya dan harus terbang semula ke Malaysia pada sebelah malamya kerana sidang Parlimen akan berlansung hari pada Isnin bersama beberapa laporan dan kertas kerja yang harus diselesaikan. Sebentar sahaja kami dapat meluangkan masa bersamanya, dia harus bergegas ke lapangan terbang dan sesi dialog diteruskan bersama anaknya. Malam itu juga kami tidak boleh meluangkan masa yang banyak bersama Kak Izzah disebabkan beliau pula harus ke Geneva keesokan harinya untuk urusan yang lain.

Itu baru sisi kesibukan, belum lagi kalau nak dikira dugaan yang mereka terpaksa hadapi dari luar dan dalam. Dengan segala arus ujian yang menolak mereka ke belakang, mereka tetap berdiri mempertahankan perjuangan mereka. Abaikan title "politikus" yang mereka bawa. Ada di kalangan kita bersikap skeptis terhadap mereka, dan ada pula yang alergi mendengar kalimah politik. Cuba fokuskan sahaja bahawa mereka itu manusia, tambahan pula wanita. Kalau kita sayangkan negara, kalau kita risaukan kesejahteraan negara kita, masyarakat dan generasi akan datang, adakah kita sanggup untuk berkorban seperti mereka? Mungkin ada antara kita mudah menghukum kesilapan mereka, tapi tak ramai sanggup bersinsing lengan mencemar diri ke dalam lumpur politik demi nasib ummat.

Penulisan ini saya tujukan khas kepada pemuda yang sangat mudah mengeluh bila sesekali diuji. Pemuda yang masih mencari tujuan hidupnya, dulunya dia budak kecil yang dari sekolah rendah mak ayah dan guru-guru ajar bila besar nanti biar jadi orang berguna, pada keluarga, ummat dan negara. Budak kecil yang kininya baru belajar macam mana hidup dengan manusia. Yang baru belajar menyibukkan diri dengan 'kerja-kerja' orang besar. Yang baru belajar penatnya berfikir untuk orang lain. Yang baru belajar menegakkan haq itu sangat sukar pada zaman yang semacam ini. Yang juga menyedari siapa sangatlah diri ini yang dalam dirinya ada beribu kelemahan, juga ada "peperangan" yang tak dilihat orang, yang kadang-kadang dia bersedih kerana kalah teruk dalam peperangan itu.

Saya dan teman seperjuangan yang rakan-rakan pembaca lihat di dalam gambar tersebut adalah anak muda yang saya maksudkan. 

Sebagai muslim, kita membawa tangungjawab khalifah. Menyubur Rahmat Allah pada bumi. Dan sebagai mahasiswa, yang perlu diingatkan bahawa kami perlu menyumbang balik kepada masyarakat yang tanpa mereka tiadalah orang yang akan bayar cukai kepada kerajaan, untuk membina universiti dan kemudahan belajar untuk kami.

Sekurang-kurangnya dengan 2 sebab itu, tidak menjadikan kesibukan alam pengajian mengasingkan kami dari menyedari keperitan yang ditelan rakyat nun jauh di sana, yang mengharapkan kami yang kononnya akan belgelar 'ilmuwan' ini, mewakili impian mereka memperbaiki keadaan negara. 

Suka saya mengakhiri penulisan ini dengan da pemuda al-Kahfi:


Semoga Allah membantu kita semua.
Aamin














Sunday, 20 September 2015

Pandai Menyusun Warna


                                                  

Bismillah...

Gambar ihsan; www.theonlyquran.com
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali, Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu disisi Allah adalah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."

Benarlah kalam Allah yang Maha Agung....

Hela nafas.... lepas.

Coretan kali ini bukanlah berniat untuk mentafsir ayat Allah ini, hanya mahu mengambil inti sebagai bekal diri. Kebetulan baru-baru ini di Malaysia heboh isu cemuhan ke atas bangsa cina. Yang sepertinya menyempurnakan perjalanan jauh "perkauman" yang berakar panjang dalam sejarah insaniah, akhirnya sampai kepada kita...

'Perkauman' boleh jadi satu kalimah yang terlalu besar dan terlalu bersifat akademik untuk dihuraikan, maka, siapalah diri ini untuk mengulas isunya.

Tapi perkauman tidak jauh kaitannya dengan masalah yang lebih kecil skalanya yang kita hadapai sehari-hari.

Dan masalah-masalah itu saya arahkan kepada kehidupan mahasiswa, terutama yang menuntut diluar negara. Di luar negara, cabarannya kalau boleh saya katakan tidak semudah ketika berada di tanah air. Kerana pelajar kita termasuk dalam kumpulan minoriti, di negara yang majoritinya berbangsa, berbahasa, berbudaya, bahkan mungkin beragama lain daripada kita. Ditambah lagi ketiadaan ibu bapa dan keluarga di sisi, dan dikelilingi pula oleh jemaah-jemaah, parti politik, dan segala namanya persatuan yang menunggu-nunggu peluang menarik perlajar-pelajar ini menerima fikrah mereka... yang akhirya menjadikan pelajar-pelajar diuji luar dan dalam.

Perezaan latar belakang dan sejarah
Perbezaan pendapat dan pendirian,
Perbezaan norma kehidupan,
Perbezaan karakter,
Perbezaan budaya,
Dan banyak lagi....

Yang kalau tidak dapat diselesaikan dengan betul, berkeras kepala merasakan diri lebih utama dan pegangan diri lebih mulia, mulalah kelompok kecil ini berbunyi bising,

Pertelingkahan,
Pemulauan,
Mengutuk sesama sendiri,
Tidak bertegur sapa,
Tak boleh duduk semeja
Bermasam muka.... and so on.

Secara peribadi, masalah-masalah ini, inputnya lebih kurang sama dengan input yang menyebabkan masalah perkauman. Cumanya prosesnya yang berbeza, dan tidaklah serumit itu.

Yang sama adalah, kegagalan memproses input menghasilkan output yang bermasalah.
Ya... kita kegagalan semasa fasa proses.

Dalam Surah al-Hujurat ayat 13, Allah menyatakan perbezaan sebagai input, saling mengenali sebagi proses, dan Allah menyatakan output yang diingininya adalah Taqwa.

Dalam mengurus warna-warni yang ada, kita selalu mahukan ianya menurut kita. Sehingga kita lupa kehendak Allah melalui ujian ini adalah mahu melihat siapa benar-benar bertaqwa.

Kalau masing-masing merasakan diri lebih mulia, mari kita betulkan semula. Kemuliaan bukan milik sesiapa, kemuliaan adalah milik Allah semuanya, Dan Allah mengatakan yang paling mulia antara kamu disisiNya adalah yang paling bertaqwa.

...

Jika sebut taqwa pasti semua tahu makna dan caranya... (kalau tak tahu boleh cari sendiri... hehe)

Ketika kita tidak sehaluan, bukanlah maksudnya kita memutuskan terus hubungan. Cukuplah bila kita tidak mencapai kata sama, kita saling menghormati pendapat masing-masing, menjaga hak yang lebih utama.

Ketika cara dan peribadi yang berbeza mengundang jauh hati dan terluka, sabar, memaafkan, dan ambil masa memahami "mengapa dia begitu" adalah lebih mulia daripada berkata aku-tak-suka-dia-lebih-baik-duduk-sorang-sorang. Kadang akhlak yang kita tidak suka itu tidak dia sedari, mungkin selama ini tidak pernah dia pelajari, mungkin orang-orang yang terdekat menerima dia sebegitu... jadi kita perlukan waktu belajar tentang dia, dan mungkin kita juga boleh mengajar dia.

Bagaimana terukpun apa yang telah diperlakukan kepada kita... Jangan pernah menghina, jangan pernah mebuat konklusi mudah 'yang salah dia'.

Kerana jika kita menghina,
Kita rasa diri lebih mulia,
Mungkin di mata Allah, dia jauh lebih ikhlas, lebih tinggi martabatnya,
Tanpa sedar,
Kita menolak kebenaran yang diperkatakan mereka...
Itu sombong namanya,
Kita tak tahu,
Mungkin yang lebih memerlukan contoh yang baik itu dia bukannya kita.
Jika kita menghina mereka,
Mungkin kita telah menutup pintu perdamaian yang kuncinya di tangan kita.

Saya tahu bukan mudah... terutama bila yang terluka, yang menanggung derita adalah pihak kita.

Tapi orang bertaqwa, dia bertindak bukan kerana diri... Tapi kerana Allah ta'ala.
Orang bertaqwa, mencintai Allah lebih daripada dunia,
Orang bertaqwa, berlaku adil walaupun dizalimi,
Orang bertaqwa, mencintai kasih sayang daripada membenci,
Orang bertaqwa, tahu bersimpati,
Orang bertaqwa, sabar dan baik budi,
Orang bertaqwa, menahan diri daripada perbuatan yang keji.
Orang bertaqwa itu mulia, walau semacam mengalah di mata manusia.

Kalau perangainnya sangat mengkusutkan kepala,
Fikir sajalah begini,
Manusia itu,
Matanya terlalu kecil menilai.
Penilaiannya terhasil daripada sejauh mana dia membaca, melalui, dan mengamati,
Mungkin bersama kita... bermulalah pengamatan baru,
Mungkin bersama kita... tersembunyi apa yang dia perlu,
Mungkin dari kita... ada yang boleh melengkapi dirinya...
Mungkin dia masih muda, baru menimba pengalaman,
Dia perlukan bimbingan bukan kemarahan,
Mungkin dikaulah orang pertama,
Yang dapat merubah dirinya,
Hanya saja kalau kita dapat bertahan,
Mengambil tempat yang lebih mulia,
Mengambil cara orang bertaqwa.

Perbezaan yang kita ada...
Adalah seperti warna,
Memerlukan kita pandai menyusunnya,
Agar cantik gambarannya.

















Tuesday, 1 September 2015

Cara Membaca Buku Untuk Pemula

Bismillah




Coretan kali ini akan ditulis seakan nota kaki... hehe, sebab memang ambil dari nota kecil pun.

Cuti 2 bulan ini Allah rezekikan aku belajar sedikit teknik membaca. Mungkin boleh menjadi panduan kepada kawan-kawan terutama untuk orang-orang yang baru dapat semangat nak membaca;

1) Jika kita mahu fokus satu tajuk, kita mesti ada beribu-ribu bahan bacaan berkenaan tajuk itu sahaja.

-Kadang-kadang orang-orang yang semangat membaca ini suka beli banyak jenis genre, tapi tak tersusun. Hanya kerana semangat nak tahu, semua buku dibaca tapi sukar untuk mendapatkan gambaran penuh daripada pembacaannya kerana fakta yang ada berterabur. Hasilnya mungkin akan melahirkan orang yang tahu banyak, tapi tidak dapat menjadi rujukan orang.

2) Jika kita rasa kesan seusatu isu yang berlaku sekarang itu penting untuk kita dalam masa 20 tahun akan datang, mulailah mengumpul dan membaca bahan-bahan berkaitan dengan isu itu.

-Kerana orang seperti ini sukar dicari, kebanyakan masyarakat hanya membaca dalam jangka masa pendek kerana viral. Tanpa memikirkan keperluan ia menjadi rujukan semula pada masa mendatang.

3) Baca kata-kata aluan dan prakata buku yang dibaca.

-Pada prakata dan kata-kata aluan penulis, kita boleh membaca di mana kecenderungan penulis, tema yang hendak disampaikan, juga cara membaca buku tersebut secara efektif yang kadang-kadang ditulis oleh penulis (kerana cara membaca setiap buku berbeza mengikut cara penulis menulisnya). Adakalanya, kita juga boleh mendapat tahu rujukan utama penulis dan boleh pula mendapat data-data penting tentang bahan kajian yang kita cari melaluinya.

4) Highlight kan tempat penting sebagai rujukan.

-Memudahkan kita mengingat, dan memberi bantuan kita fokus kepada perkara yang menarik perhatian kita.













Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...