Monday, 2 October 2017

Ruh Ansoriy

Bismillah.

"Akak, kalau saya bayar 90JD sebulan boleh?"

"90 JD, banyak tu."

"Sebenarnya kitaorang satu rumah dah bincang, kalau awak bayar 30JD untuk makan dan bil air api dah cukup. Kitaorang decide awak tak payah bayar untuk sewa. Sebab awak masuk ni pun tak pengaruh apa-apa."

Saya terdiam. 30JD=RM180 sebulan. Murah sangat tu.

Saya tak mampu menolak, tapi saya malu untuk menerima.

Iyalah, sudahlah datang entah dari mana, bukan kenalan, bukan saudara. Diberi segala keperluan dan layanan baik. Kemudian bayar itu sahaja?

"Terima kasih banyak." Itu saja yang saya mampu ucap dengan senyuman terharu.

"Tapi bulan ni saya nak bayar 30JD." Walaupun h.anya 15 hari.

"Eh, tak payahlah. Akak datang lewat ni pun tak bayar apa-apa."

"Takpelah, boleh rumah guna nanti." Saya tersenyum kecil.

***
Mungkin ini kali pertama saya duduk di tempat yang digelar Rumah Islam. Baru lima hari saya di sini, ini kali pertama saya rasa benar ketenangannya.

Ada orang kejut subuh.

Tunggu sehingga solat jemaah.

Imam yang paling suka volunteer adalah seorang bakal doktor,

Makmumnya pelajar syariah.

Lepas solat baca mathurat.

Lepas mathurat baca hadis dan huraian.

Ada saja yang baca al-Quran setiap sebelum solat.

Lepas solat Isyak baca al-Mulk.

Lepas al-Mulk ada tazkirah pendek.

Keperluan selalu ditanya.

Bantuan sering dipelawa.

Makan dalam dulang yang sama.

Makanan pula banyak diwaqafkan mereka

***

Kalau mereka gelarkan ini rumah Islam, mungkin saya boleh menjadi saksinya.

Ini baru lima hari dan ada banyak lagi hari-hari mendatang, saya tidak sabar untuk menempuhnya untuk mempelajari banyak lagi dari akhlak mereka. Walaupun saya yakin kelemahan ada dan boleh ditemui, saya harap saya tidak akan mahu mencari. Semoga saya melihat kekurangan diri lebih dulu dan diberi hidayah membaikinya. Semoga saya melihat kebaikan yang ada dengan qalbu dan didorong untuk mensyukurinya.

Saya tertanya-tanya, bagaimana mereka melakukannya?

Dari manakah sumbernya?


Image result for al hasyr 9


Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung. (Hasyr:9)

Bukankah Allah s.w.t memuji kaum Ansor akan pengorbanan mereka terhadap muhajrin? Ianya direkodkan dalam al-Quran. Mereka dipersaudarakan atas nama iman. Mereka memberi dengan rasa cinta yang terbit dari iman.

Moga tautan ini ikhlas untukNya, dikuatkan dengan didikanNya, berterusan dalam lindunganNya.

Aamin.































Sunday, 1 October 2017

Bersandar pada Dia.

Bismillah.

Dunia ini penuh dengan kejutan. Masa depannya sentiasa bertanda soal, walau bagaimapun manusia berusaha, sebanyak manapun duit dan harta, kunci masa depan tak akan berada di tangannya.

Itulah antara wajah kefakiran manusia.

Ketika memutuskan untuk ke Jordan, saya sangat merasakannya. Menyedari betapa fakirnya diri ini untuk menentu masa depan.

Esok bagaimana?

Macam mana nak beli tiket kapal terbang sedangkan tak ada kad kredit?

Nak pergi lapangan terbang pagi-pagi buta seorang diri selamatkah?

Transit macam mana? Ini pertama kali saya transit!

Rakan-rakan di sana bagaimana?

Rumah okay ke? Katanya selalu tak cukup air di Jordan.

Sekolah bagaimana? Katanya subjek terlalu banyak dan susah.

Dan banyak lagi.

Terlalu banyak persoalan bermain dalam kepada ini sehingga hari-hari terakhir di Turki saya jatuh sakit. Demam dan sakit sendi

Hanya teringat pesan-pesan yang terselit dalam Risalah Annur Kalimah Pertama;

"Bismillah adalah kekuatan yang sangat besar dan tidak pernah luak, ia adalah berkah yang banyak dan tidak akan habis."

"Ya! Sesungguhnya kalimah suci Bismillah umpama khazanah besar yang tidak akan pernah berkurangan isinya kerana dengan kalimah inilah kedaifanmu itu akan bergantung kepada rahmat yang maha luas bahkan terlebih luas daripada alam ini dan dengannya juga, kefakiranmu akan bergantung kepada kuasa yang amat hebat yang mentadbir kewujudan ini bermula daripada atom sehinggalah kepada cakerawala. Sehingga akhirnya, kedaifan dan kefakiranmu itu akan menjadi syafaat di sisi al-Qadirul Rahim, Pemilik bagi segala kemuliaan."


"Sesungguhnya yang bergerak dan yang diam, yang berpagi dan berpetang, yang mengungkapkan kalimah Bismillah adalah seumpama orang yang terlibat dalam ketenteraan. Ia berurusan atas nama negara dan tidak gentar kepada sesiapapun. Ia berucap atas nama undang-undang dan negara, maka terlaksanalah segala urusannya dan tetaplah pendiriannya dalam menghadapi semua perkara. Kita telah menyebut pada permulaan tadi bahawa semua makhluk ini berzikir dengan bahasanya yang tersendiri iaitu dengan menyebut kalimah Bismillah ...Adakah ini benar?"


Sangatlah benar apa yang diungkapkan. Banyak perkara dalam hidup ini kita memang bukan untuk kita menanggungnya. Banyak keperluan dalam hidup ini tidak mampu untuk disandarkan pada kudrat manusia yang rapuh itu. Melainkan untuk mengingat kembali Dia. Tuhan yang Maha Kuasa, yang Mampu melakukan segalanya.

Wahai diri,

Tuhanmu, bukan hanya Maha Kuasa. Dia juga Maha Penyayang. Mengapa kau penatkan diri mencari kudrat dan kasih dari dirimu yang fakir itu?

Dalam buku Lapis-Lapis Keberkahan karya Salim A.Fillah, beliau mengingatkan kita uslub dan adab para Nabi Allah seperti Nabi Musa dan Nabi Yunus ketika mereka meminta pada TuhanNya;

"Ya Rabbi (Rabb-ku), aku terhadap apa yang engkau kurniakan dari kebaikan adalah hamba yang fakir."

"Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim."

Kata Salim A.Fillah, kita mempelajari keberkahan dari mereka. Kedua Nabi itu telah diberikan kurnia yang melimpah, Rahmah yang mencurah tanpa menyenaraikan secara rinci apa yang mereka mahu dan perlu. Apatah lagi dengan ayat memerintah Tuhan. Dengan jiwa penuh rendah, mengaku kelemahan diri dan mengiktiraf Nama-nama mulia Tuhan, mereka berharap. Berharap dengan penuh yakin bahawa Tuhan yang dipuja itu lebih baik kurniaNya, ilmuNya lebih baik dari apa yang hamba akan pinta.

Mata saya menjadi layu, kening ini terasa berat dengan beban-beban dunia. Apa yang dikongsikan Salim A.Fillah dalam kitabnya terasa sangat membasah di jiwa. Saya sangat perlukannya. Maka diri ini cuba meniru-niru dalam doa, walaupun mungkin jiwa masih jauh untuk mengejar mereka.

"Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Hamba terhadap pemberianmu yang baik-baik adalah sangat memerlukan lagi fakir."

Saya tidak tahu apakah doa itu sudah terjawab atau tidak. Tapi apa yang rasai dan alami pada hari-hari seterusnya, terasa benar akan kepemurahannya.

Saya terjaga pukul 3.00pagi pada hari saya akan bertolak ke Jordan. Dua jam lebih awal dari jam loceng saya. Saya membaca mesej yang baru masuk dari seorang kakak. Katanya kalau saya bertolak lepas subuh untuk menaiki bas ke lapangan terbang, saya kemungkinan besar akan terlepas penerbangan. Beliau risau. Katanya, naiklah teksi. Ia lebih baik.

Saya menerima sahaja walaupun saya tahu menaiki teksi pagi-pagi buta seorang diri adalah risiko. Dengan duit cash yang hanya tinggal 155TL di dalam poket, saya redahi sunyi pagi itu dengan memohon kebaikanNya.

"Saya mahu ke Sabiha Gokce airport. Berapa tambang ke sana?"

"200TL" Kata Pakcik berumur separuh abad itu.

"Tapi saya hanya ada 155TL"

"Itu sahaja? Betul ni?" beliau seperti berat hati mahu menerima.

"Betul, Pakcik boleh check."

"Baiklah, masuk."

Saya lega. "Semoga Allah meredhai Pakcik."

Saya naik tanpa banyak kata. Lama kelamaan dia mula bersuara. Bertanya saya dari mana, mahu ke mana, untuk apa dan banyak lagi. Akhir sekali dia berkata;

"Saya ada dua orang anak perempuan seperti kamu. Mereka pun tinggal jauh. Kalau bukan kerana saya melihat kamu seperti anak saya, saya tak akan terima kamu. Sebab memang tidak ada orang terima penumpang untuk ke Sabiha dengan bayaran kurang dari 200."

Sayu saya mendengar kata-katanya. Terasa seperti ayah sedang berada di sisi. Beliau memecut supaya saya tidak kelewatan. Malah menunggu sehingga saya masuk ke pintu airport sambil melambai tangan dan tersenyum. Beliau mendoakan saya agar dipeliharaNya ketika kami mahu berpisah.

Tuhan, Dikau Maha Kaya. Masih ada ramai lagi orang-orang seperti ini yang dikau temukan buat kami.

Saya tiba ternyata 3 jam lebih awal dari waktu berlepas. Dan ia adalah waktu yang sangat selesa.

Lega saya surut seketika. Namun apabila memikirkan bagaimana saya akan ke Yarmouk setibanya di Amman, saya semakin khuatir. Lebih-lebih lagi apabila mendapati telefon tidak membaca internet airport, saya pula tersilap menukar wang di airport sehingga rugi beberapa dinar, ditambah pula dengan kaunter pembelian visa yang tidak bergerak setelah hampir sejam menunggu. Saya semakin buntu.

"Malezya?" tanya polis itu dari jauh.

Saya mengangguk.

"Mari ke sini."

Saya melepasi beberapa orang untuk ke kaunter visa. Ternyata saya melepasinya dengan cepat sekali tanpa membayar apa-apa. Apabila ditanya mengapa, beliau menjawab;

"Sekarang ada satu undang-undang baru yang memberi pelepasan visa 30 hari kepada pemegang passport Malaysia. Awak tak perlu membayar apa-apa."

Saya semakin sebak. Tuhan benar-benar Maha Pemurah.

Saya pergi mengambil bagasi dan menunaikan solat. Belum sempat memberitahu ibu dan ayah saya sudah sampai, ada orang memanggil nama saya;

"Ruqayya ya?"

Saya menoleh ke belakang. Ternyata beliau adalah Makcik Melor. Beliau dan suami datang mengambil saya di airport. Baru saya tahu bahawa rakan saya telah menukar rancangannya dengan Makcik. Makcik kebetulan akan ke Yarmouk esok, jadi beliau mengambil saya dan menumpangkan di rumahnya satu malam. Rakan saya tidak perlu susah-susah turun ke Amman hanya untuk menjemput saya.



Bersama Pakcik Makcik dan anaknya, saya berasa seperti berada di sisi keluarga sendiri. Banyak saya belajar dari nasihat dan cerita mereka. Dapat jumpa merawat rasa rindu kepada adik dan anak saudara ketika melayan anak bongsu mereka. Makcik masakkan masakan-masakan melayu. Membuat saya rasa seperti di rumah sendiri.


Keesokan harinya saya dihantar sehingga sampai ke pintu rumah. Disambut rakan-rakan dengan manis senyuman. Semua mereka tanyakan; almari, katil. bakul, hanger.... semuanya ada. Dan roommate saya Kiera sangat baik orangnya. Sudahlah dibelanjanya macam-macam, diberi hadiah dan diberi tunjuk ajar sehingga ke bandar Yarmouk.



Malam pertama kebetulan ada program mabit. Dapatlah berkenalan rakan-rakan Jordan dari pelbagai negeri. Mu'tah dan Amman. Hebat-hebat belaka mereka. Ketika bercermin dengan mereka, saya semakin yakin bahawa kebaikan sentiasa ada yang lebih tinggi darinya. Kami bertaaruf, dan saya mendapat bunga! Terima kasih Nadiah :)


Kami solat satu saf, makan satu dulang, tidur satu lantai, semua itu memberi banyak ruang untuk kami saling mengenali. Bersama rakan-rakan tidak terasa asing dan baru. Saya dan mereka mengulang ayat yang sama;

"Saya rasa macam pernah nampak awak sebelum ni."

Esoknya kami dibawa beraktiviti di Universiti Yarmouk. Tahulah saya di mana universiti saya terletak. Sambil pulang saya cuba menghafal jalan. Alhamdulillah. Banyak benar perkara baru saya dapat belajar. Hari dirasakan cukup berkat.

Persatuan perlajar di sini juga sangat proaktif. Wakil Majlis Mahasiswa Yarmouk dan Keselamatan dan penempatan Permai pada hari pertama lagi sudah menghubungi saya malah datang ke rumah untuk melihat apa yang mereka boleh bantu. Walaupun banyak lagi yang belum selesai, keprihatinan mereka membuat beban terasa lebih ringan.

Mendapat semua nikmat bertali arus itu membuat diri ini berkaca pada kepermurahanNya. Betapa segala kerisauan kecil saya terhadap hal-hal dunia, adalah terlalu mudah bagiNya.

Saya termenung panjang. Lantas mencoret ayat ini pada catatan di buku nota;
Ucaplah alhamdulillah bukan kerana gembira atas nikmat. Kerana boleh jadi ia terpalit cinta dunia. Ucaplah alhamdulillah kerana keinsafan penuh sedar akan kemuliaan dan kepemurahan Tuhan, serta insafi kelemahan dan kefakiran diri sendiri.
Ia seiring nasihat yang terselit dalam kisah dua sahabat di dalam surah al-Kahfi ketika mereka berkata;



Cita-cita besar tak terjangkau mata. Keinginan kita banyak tak tercapai tangan. Namun kefakiran kita tak pernah luput. Kelemahan pula makin bertambah. Di akhir hari, bersandar pada Dia adalah sebaik-sebaik harapan.

Doakan saya :)







Wednesday, 27 September 2017

Episod pertama Musafir Tanah Syam (Jordan)

Bismillah.

Round icon. Download flag icon of Jordan at PNG format

"Panah yang tidak meninggalkan busur, manakan mengena sasaran."

Masih tidak pasti, adakah diri ini panah, ataukah diri ini sasaran :) Ketika memposisikan diri sebagai panah, saya takut meninggalkan busur . Jika saya sasaran, maka saya takutkan panah yang akan mengena saya!

Ya, saya akan mengikuti program pertukaran pelajar ke Jordan. Salah satu tanah Syam yang diberkati.

Dan ianya mengundang ragu yang besar dalam diri ini. Saya sudah lama duduk di dalam busur (Turki), membuat saya selesa dengan sistem pembelajaran di sini. Namun saya sedar kekurangan bahasa arab yang sedikit sebanyak melumpuhkan kemahiran saya menuntut ilmu di bidang agama, mungkin sudah sampai masa saya keluar dari zon selesa, memperbaiki diri untuk mencapai sebaik-baik tujuan. Ujian yang bakal mensasarkan diri ini harus saya gagahi, dalam usaha menyempurna makna diri.

Kini saya menilik diri... apa tujuannya saya belajar? Sehingga perlu memaksa diri menghadap segala susah payah ini. Kalaulah di akhir hari saya gagal, adakah semua yang saya tempuh ini hanya sia-sia?

Bukan senang sertai program pertukaran pelajar. Tidak seperti yang saya sangka.

Birokrasi untuk berdaftar sahaja sudah bikin hati susah, belum lagi dikira urusan sesampai di sana nanti. 

Sebelum terlambat, saya perlu benar-benar sabatkan hati, apakah betul perkara yang saya buat ini?

Allah Maha Tahu, Saya diajar berusaha kemudian bertawakkal kepadaNya.

Tanah Syam yang mulia itu sudah lama memanggil, saya yang kerdil lagi hina ini baru mahu menyahut. Di sanalah makam sahabat-sahabat yang mulia bersemadi, tanah barakah yang tersebut dalam al-Quran dan hadis. Moga-moga dengan sampai di sana, bolehlah mencicip sedikit barakahnya, meminjam sedikit rahmatnya buat perbekalan hari-hari mendatang.

Saya berdoa dan memohon orang ramai mendoakan, agar perjalanan ilmu ini diberkati. Semoga juga, hati ini diikhlaskan untukNya, agar tidak terbabas niat, segalanya tidak menjadi debu berterbangan di akhirat nanti.

Wahai Tanah Syam,
Terimalah kedatanganku,
Walau langkah ini lemah,
Semangat ini layu,
Ku harap di sana ada sinar,
Yang terselit dalam kalamNya,
Ku harap di sana tiada onar,
Yang menjauhkan dariNya.

Wahai Tanah Syam,
Rahmat Tuhan terlalu besar,
Sedang hati ini terlalu kecil,
Tak ku tahu apa yang perlu ku pinta,
Moga Tuhanmu Yang Maha Kaya,
Maha Penyayang dan Maha Bijaksana,
Mengurniakan yang baik-baik,
Sungguh diri ini,
Fakir lagi hina,
Akan rahmat kasihNya.

Wahai Tanah Syam,
Jalan ilmu itu susah,
Moga di sana dibekali tabah,
Moga niat Ibadah,
Selamat dijaga,
Sampai padaNya.

Wahai Tanah Syam,
Ku datang dengan harapan besar,
Dengan cinta yang membugar,
Dengan bunga kasih yang mekar,
Moga dapat ku semai cinta kasihnya,
Moga dapat ku tuai rahmat kurniaNya.

Doakan saya, semoga Allah terima dan memberi Taufiq hidayahNya.
















Sunday, 17 September 2017

Tribute Insiden kebakaran Pusat Tahfiz

Selalu dan selalu,
Satu perit musibah,
Lebih bermakna,
Dari beribu ayat hikmah.
Insiden malam itu,
Membekas di setiap kalbu,
Pasti bukan kebetulan,
Jadikannya perbekalan.
Mati 25 nyawa,
Menghidup berjuta jiwa,
Adalah keberkatan,
sebuah kematian.
Namun mati satu peribadi,
Tega membakar penghafaz ayat suci,
Adalah teguran,
Peri pentingnya keperibadian.
Selamatkanlah satu nyawa,
Agar selamat satu kemanusiaan,
Ingatlah di balik tiap nyawa,
Selamat bersama keperibadian.
Di akhir hari,
Kita berkongsi satu tubuh,
Yang pergi kita tangisi,
Terus kita kenangi,
Yang sakit kita rawati,
Masih kita sayangi.

Sunday, 6 August 2017

Kau tak perlu dicintai.

Bismillah.

Kau tak perlu dicintai,
Bila mahu menjadi baik,
Bila mahu berbuat baik,
Agar benci tak menghalang langkah,
Agar ikhlas menepis mehnah,
Menyebar kebaikan di seluruh bumi,
Walau dibenci,
Tetapkan harum mewangi.

Kau tak perlu dicintai,
Bila mahu tegakkan kebenaran,
Bila mahu membangun kesedaran,
Berapa ramai pejuang yang mati ditali gantung,
Orang benci risalah yang dijunjung,
Tapi kalau Tuhan berkati,
Suaramu akan didengar nanti,
Kitabmu akan diburu dicari,
Walau telah lama kau mati.

Kau tak perlu dicintai,
Dengan yakin itu bukan matlamat,
Itu bukan garis penamat,
Bukan itu makna hayat,
Yang dengan tulus kau semat.

Tapi dalam kau tidak dicintai,
Kau tetap perlu mencintai,
Kerana kerjamu memberi,
Kau ambil dari ilahi.

Shah Alam,
08.45




Tuesday, 25 July 2017

Manusia, si kosong yang nilainya bukan di bumi

Bismillah

                             when everyone is trying to be something be nothing ile ilgili görsel sonucu

Satu hari dalam kelas Fiqh, guru kami Ustaz Necmettin bertanya satu soalan yang sangat menarik.

"Kita semua tahu bahawa solat tujuannya mencegah kemungkaran. Tetapi kalau ada orang yang berkata 'Hati saya baik, jadi buat apa saya solat.' apakah jawapan kamu?"

Kami terdiam.

Ustaz menulis kalimah نصر besar-besar di atas papan putih. Lantas beliau bertanya;

"Ini kalimah NA-SO-RO, yang membawa maksud 'Menolong.'. Apakah dengan bentuk kalimah yang sama saya boleh katakan ianya membawa maksud lain seperti membaca dan melukis?"

"Tidak bukan?"

"Begitu juga ibadah, ibadah ada dua jenis. Satu ibadah yang pada tujuannya, kedua pada bentuknya."

"Dan pada bentuk inilah yang tidak boleh berubah. Kerana diambil dari wahyu. Jadi ianya perlu dilaksanakan kerana telah tetap kewajipannya pada perbuatan sedemikian. Logik yang sama boleh kita pakai pada persoalan-persoalan sama untuk ibadah-ibadah lain"

***

Jawapan Ustaz sangat membantu saya. Bukan hanya memahami Fiqh, tetapi memahami diri sendiri.

Banyak benda yang Allah ciptakan, ada rupa tetapnya. Dan rupa itu membawa nilainya tersendiri yang tidak lagi dapat diubah-ubah. Istimewa, dan itulah yang membawa makna kewujudannya di bumi.

Kita sebagai manusia pula, memang sudah tetap rupa seorang manusia. Tiada siapa akan datang entah dari mana dan mengatakan kita haiwan bukan? Kerana rupa kita rupa manusia. Bukan haiwan.

Sifat tubuh badan kita menjadikan kita dikenali sebagai makhluk bernama manusia.

***
Itu sifat zahir. Bagaimana pula dengan sifat batin. Sifat-sifat batin yang membuat kita kenal bahawa kita ini sebenarnya hanya manusia?

Dalam al-Quran, banyak benar Allah memberitahu kita tentang sifat-sifat asal manusia.

Antaranya adalah sifat Faqir, tidak memiliki apa-apa; Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 15 yang bermaksud;

"Wahai manusia, sesungguhnya kamu adalah Faqir dihadapan Allah, sedangkan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."

Manusia, sifatnya Faqir di hadapan Allah. Kosong. Tiada apa-apa.

Siapapun datang entah dari mana dan mengatakan dia kaya, tidak akan mengubah statusnya di hadapan Allah. Faqir adalah sifat batin yang mengenalkan kita bahawa kita manusia.

Tapi dalam hidup ini, kita adakalanya terlupa sifat batin itu.

Dalam arus dunia yang saling mengejar harta dan kekayaan, nama dan pangkat, anak-anak serta pencapaian, kita jadi terlupa semua itu bukan milik kita. Kita lupa di hadapan Allah kita tiada apa-apa.

Kita kosong, tapi orang-orang memanggil kita dengan nama satu, dua, tiga dan seterusnya.

Kita kosong, tapi kita merasa kita bernilai satu, dua, tiga dan seterusnya.

Kita kosong, tapi terlupa 'kekosongan' kita.

Lantas kita terus menjadi lupa diri. Lupa siapa sebenarnya manusia itu. Sifat asal dirinya itu.

Dari situ, ada yang membangga diri, ada yang memandang rendah orang lain, ada yang sombong tak boleh ditegur, ada yang merasa hina direndah, ada yang merasa lemah disergah, ada yang merasa sedih dipijak, ada yang rasa bongkak diangkat ke puncak.

Sedang... asal manusia itu semuanya Faqir.. di hadapan Allah.

***

Kita meletakkan nilai kita di bumi. Lantas rosaklah segala budi pekerti. Semakin jauh merasa bertuhan.

Mungkin kerana itu juga, manusia berperangai dan berfikir seakan akhirat itu tidak ada.

***

Sesekali mengingat diri Faqir,  jiwa merasa lega tika dipandang rendah. Tika dipandang tinggi pula, diri boleh berasa biasa sahaja.

Tika dipandang rendah, dia tahu asal dirinya. Kalaupun tidak berhak, asal dirinya membuat dia berasa itulah hak. Lantas dia boleh bersabar, malah mengukir senyuman puas.

Tika dipandang tinggi, dia tahu itu bukan asal diri. Kepada Tuhanlah dia memuji. Kepada manusia pula dia merendah diri. Jiwanya subur menyayangi. Kerana merasa tiada beza antara manusia.

Jiwa akhirnya merdeka.

***

"Ahh, fikiran konservatif. Bila mahu maju kalau berfikir sebegini!" Tempelak seseorang.

Tuhan mengajar muslim, kalau berbuat berbuat biar yang terbaik. Kalau hidup biar memberi manfaat. Dan banyak lagi perintah Tuhan, yang suruh insan menjadi orang maju dan berjaya di dunia.

Tapi asal niat adalah taatkan Dia.

Sifat Faqir tetap sama..

***

Dalam surah yang sama ayat 10 Allah berfirman;
"Barangsiapa menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah lah kemuliaan itu semuanya. KepadaNyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal soleh dinaikkanNya. Dan orang-orang yang merencanakan kejahatan baginya azab yang keras. Dan rencana mereka akan hancur."

***

Mungkin betul kata orang, Siapa yang mengenal diri, akan mengenal Tuhannya.

Di akhir hari, diri ini menghembuas nafas lega, mengetahui manusia, si kosong yang nilainya bukan di bumi.

Selamat mencari Redha ahli langit :)













Monday, 24 July 2017

Kehidupan auto-mode; sejauh mana hidup menjadikan kita hidup?

auto mode ile ilgili görsel sonucu

Bismillah

Bis-mil-lah

Dengan nama Allah.

Berapa ramai yang membaca kalimah Bismillah yang saya letakkan di penjuru atas belah kiri pada setiap post dengan menghayati maknanya? Berapa ramai yang membacanya sambil memohon keberkatan? Berapa ramai juga yang membaca dengan laju selaju gerak anak mata untuk hanya menghabiskan pembacaan?

Mungkin saya juga, kerap kali menjadi golongan ketiga.

Dunia serba laju menjadikan kita tidak sempat berfikir dengan akal. Apatah lagi untuk turun menyantuni hati.

Bukan menyuruh menjadi lambat, tapi agar laju tidak membuat kita keciciran.

Kata orang laju-laju mahu ke mana?

***

Minggu lepas saya menunaikan solat di Masjid Putra di Putrajaya. Pertama kali menjejakkan kaki di sana setelah hampir 15 tahun walaupun kedai Mak tidak jauh darinya.

Lama benar, sampai saya tak ingatpun bagaimana rupa dalamnya.

Apatah lagi cara solat imam-imamnya! Aha, ini sangat melebih.

Kebetulan sampai di sana pada waktu asar, maka ayah memberi peluang saya dan tetamu dari Acheh menunaikan solat di dalamnya.

Setelah azan habis dikumandangkan, saya sabar menunggu walaupun sedikit lama kerana mahukan keberkatan solat jemaah di masjid.

Maka saya angkat takbir sejurus Imam menyebut "AllahuAkbar.."

L.A.M.A...Ya, solat hari itu terasa lebih lama berbanding biasa. Mungkin kerana masjid itu merupakan tarikan pelancong, jadi imam menunaikan solat lebih lama berbanding biasa. Bacaannya pasti lebih sempurna, meraikan jemaah yang entah dari mana, bersolat bagaimana.

Saya pula terbiasa solat di masjid Turki yang lajunya kadangkala ibarat patukan burung itu. Sudah terbiasa juga melihat rakan-rakan di kuliah bangun dan terus meninggalkan surau seusai bagi salam. 4 rakaat solat mereka sama dengan kelajuan 2 rakaat kita. Itu realiti di sana, pastilah kita berbeza.

Namun solat di Masjid Putra pada hari itu terasa lambat benar. Bacaan saya telah habis, dan imam baru habis beberapa minit kemudian.

Walaupun cuba sedaya upaya menjaga rukun berjemaah iaitu mengikut imam, saya terbabas pada tasyahhud akhir! Fikiran saya pastinya sudah ke lain pada waktu itu, dan saya memberi salam betul-betul setelah saya habiskan bacaan tasyahhud akhir saya.

Memusingkan kepala ke arah kanan sambil mengucap As-sa-la-mu-a-lai-kum wa-rah-ma-tullah, saya terpaku seketika.

"Argh, imam belum memberi salam! Solat tidak sahh."

Saya sendiri, jujur tidak sedar bahawa saya sedang memberi salam, apatah lagi mahu memahami salam yang diberi.

Semuanya diluar kawalan. Saya dalam auto-mode!

***

Hidup memang begitu mungkin.

Teringat pesan cikgu kelas memandu kami. Memandu kereta sendiri ada tiga fasa. Fasa pertama fasa belajar. Semua langkah dibuat dengan kesedaran mengikut teori. Kedua separa mahir. Kita boleh memandu tanpa perlu diingatkan. Fasa ketiga adalah fasa mahir. Pada waktu ini kita sudah power memandu kereta. Tak perlu berfikir pun, semua sudah tersimpan di dalam minda bawah sedar.

Kalau untuk seseorang yang solatnya lima kali sehari.. tak mustahil untuk "se-mahir" itu.

***

Tidak dinafikan, dalam kehidupan harian banyak perkara memerlukan kita mahir untuk menjimatkan masa. Kita tidak perlu berfikir panjang untuk membuat keputusan atau membuat persediaan. Namun banyak juga kisah orang yang kemalangan di jalan raya kerana terlalu laju, terlebih mahir.

Mahir bermaksud cepat, cekap, terlatih dan lancar dalam melakukan sesuatu perkara. Namun dalam definisi itu tiada kalimah berhati-hati.

Bukankah Taqwa itu maksudnya berhati-hati?

***

Kemahiran adakalanya membuatkan kita tak ubah seperti robot. Semuanya sudah di-sistemkan. Semuanya dibawah sedar.

Kita hidup dalam auto-mode. Hidup yang tidak dikawal oleh diri sendiri. Kawalan jauh sudah tersisip dalam otak si mahir.

Lantas apa definisi hidup buat sesuatu yang tidak lagi dikawal oleh akal dan hati dan sedar?

Mati?

Bukan, kita belum mati. Tapi kita terlupa. Kita mengingat hal-hal lain dalam kehidupan yang serba laju ini. Too much distraction! Adakalanya auto-mode itu sendiri tanda kita sudah hilang khusyuk.

Selama mana kita terlupa, kita tidak hidupi kehidupan ini dengan jiwa dan akal yang hidup. Maka kehidupan kita lumpuh makna. Kosong nilai.

Kerana yang menilaikan amal adalah al-Fahmu yang terletak pada akal, dan Ikhlas yang terletak pada hati.

Buat seorang yang yakin pada Allah dan Rasulnya pada hati, dan cuba memahami arahannya dengan akal, pasti kita tidak mahu amal-amal kita seakan kosong iman, kosong pengertian.

Selepas sebulan meninggalkan tarbiah Ramadhan.. semoga ibadah kita tidak menjadi kosong-kosong.

Senyum :)























Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...