Sunday, 30 September 2018

Takut berjumpa pensyarah? Masalah kita sama!

Bismillah.

Dulu sebelum masuk universiti, saya selalu terfikir pensyarah adalah orang yang sangat peramah seperti guru saya di kelas bahasa. Namun dari awal guru di kelas bahasa sudah mengingatkan;

"Pensyarah di universiti tidak mengajar seperti kami. Cara mereka berbeza."

belajar kelas bahasa beginilah

Setelah mengikuti kuliah, terbukti benarlah apa yang dikata. Pensyarah tidak dapat fokus kepada pelajar satu persatu seperti di dalam kelas bahasa. Suasana kelas tidak mengizinkan  walaupun mungkin pensyarah teringin sangat berbuat demikian.

Bayangkan dengan bilangan pelajar seratus orang lebih dan silibusnya tiga buah buku untuk satu semester, mengajar dengan pendekatan one-to-one pastilah mustahil.

Jujur, saya rindu zaman belajar di kelas bahasa. Hoca (baca: hoja, maksudnya cikgu) berinteraksi dengan kami seperti abang dan ayah sendiri. Tapi hidup begitulah, makin besar kena pandai bawak diri. Sampai bila kan nak dididik macam anak tadika?

So here we go, Welcome to reality!

Masuk universiti, semuanya asing. Meja kerusinya. Rakan kelasnya. Dan pastilah guru-gurunya. Saya seperti majoriti pelajar yang lain lebih selesa mendengar sahaja di dalam kelas. Bila pensyarah tanya, pastilah saya bukan orang pertama yang akan jawab. Pakat tunduk seperti anak soleh-solehah (hehe). Bila habis kelas, kadang kita keluar dulu sebelum pensyarah. Tak pernah terfikir untuk ke meja pensyarah, apatah lagi bertanya. Segan!

Tak tahulah apa masalah sebenarnya, adakah kerana saya ini introvert? (Memang). Atau kerana takut pensyarah ingat nama kemudian target dalam kelas? (Pastilah tidak haha)

Mungkin kawan-kawan yang sedang membaca ada masalah yang sama seperti saya. Tapi dalam masa yang sama, teringin betul nak mendekati guru. Kadang cemburu dan hairan dengan rakan-rakan yang dengan selamba menyapa guru dengan penuh rasa percaya diri (baca: confident).

"Hebatnya diaorang ni.." kita menyimpan monolog dalam hati.

Dan di tahun terakhir, saya mula merasakan ada benda yang tidak kena. "Sampai bila nak jadi macam ni?" "Rugi kot tak manfaatkan kehadiran cikgu-cikgu sepenuhnya, kata nak buat master tapi jumpa cikgu pun malu." Saya membebel dengan diri sendiri dengan penyesalan yang makin lama makin jelas di depan mata.

***

Maka mulalah saya bertanya di sana sini, bagaimana mengatasi perasaan takut yang teramat sangat ini.

Alhamdulillah, saya terjumpa video Ustaz Syaari Abd Rahman || Tadabbur Surah Al-Kahfi Kisah Musa Dan Hiddir. Video ini sangat informatif! Ustaz berkongsi tentang ibrah yang boleh kita pelajari dari perjalanan Nabi Musa mencari Nabi Khidir. Menarik apabila ustaz ceritakan mengapa Allah secara spesifik menyebut babak Nabi Musa bersama seorang pemuda yang berjalan jauh untuk mencari Nabi Khidir.

Saya pun awalnya tak perasan babak ni. Tapi setiap babak dalam al-Quran itu signifikan, pasti ada pengajaran untuk kita. Kata Ustaz Syaari, pemuda (فتى) yang mengikuti Nabi Musa ini adalah anak muridnya. Seakan mahu memberitahu kita, jika mahu menjadi pelajar yang cemerlang, harus banyakkan masa bersama guru. Kata Ustaz, lain keadaannya bila belajar dalam kelas dan belajar dengan guru di luar kelas. Lain isinya bila kita belajar dengan guru sambil bermusafir dengannya atau ketika menziarahi rumahnya. Lagi banyak kita luangkan masa bersama guru, lagi banyak kita boleh belajar dari akhlaknya, kesungguhannya dan budi pekertinya.

Betul sangat kata ustaz, saya pernah melihat sendiri bagaimana pensyarah yang mukanya serius dalam kelas bertukar seperti seorang ibu penyayang apabila saya bertanya kepadanya di luar kelas. Kawan-kawan boleh cuba!

Selalu orang kata pelajar yang selalu mendekati pensyarah ini kaki bodek. Tapi tak semua. Mungkin kita boleh ubah cara kita pandang dengan berniat nak dekati pensyarah untuk belajar dari dia  secara lebih lagi; akhlaknya, peribadinya dan ilmunya. Mana tahu niat menimba ilmu itu berkat :)

***

Saya juga pernah bertanya kepada Aiman Azlan dalam sesi soal jawab yang beliau buat dalam story instagram beliau, saya bertanya soalan ini;

"How to approach lecturer in class when you want to get engage but do not have question to ask?"

Aiman Azlan memberi jawapan yang sangat membuka mata saya (Terima kasih!):

"Just say 'Salam' and ask about your lecturer's day. Also give feedback about the class experience. Be creative. Your lecturer is a human being too :)"

Mungkin selama ini, saya memandang pensyarah hanya sebagai (maaf kalau kasar) robot yang mengajar. Kerjanya sama sahaja, masuk kelas, mengajar dan keluar. Mungkin saya terlupa pensyarah juga manusia. Ada perasaan untuk disantuni. Seorang kakak pernah beritahu saya ketika saya bertanyakannya tentang hal ini katanya; "Kebanyakan pensyarah ini, lagi kita tanya lagi dia gembira nak tolong. Dia rasa dihargai."

Haah kan, pensyarah juga seperti kita. Suka rasa dihargai. Suka rasa dipandang penting dalam hidup seseorang. Kalau setiap kali habis kelas kita terus keluar, agaknya bila boleh kita bagitahu guru yang kita hargai dia?

"Be creative." Tak semestinya tanya soalan yang kita tak tahu. Mungkin kita boleh bertanya pendapatnya dalam satu-satu masalah. Boleh tanya tentang buku atau pengalaman belajar. Paling tidak bertanya khabar, jarang kita buat kan?

***

Mungkin ada kawan-kawan yang sedang membaca sekarang ini, sama spesis dengan saya. Sejenis introvert yang tak berani bertentang mata dengan orang baru. Yang selalu kena panic attack setiap kali nak tanya soalan depan khalayak ramai. Selalu ada masalah gementar bila nak bercakap dengan lain jantina. (Haha... the struggle is real).

Pernah satu hari saya merayu ayah doakan supaya senang saya cari pensyarah untuk menjadi supervisor final year project saya (satu kertas kerja yang wajib dibuat oleh semua pelajar tahun akhir). Saya luahkan pada ayah bagaimana segannya perasaan saya ketika ditemu ramah dalam bilik pensyarah lelaki yang saya harap sudi jadi supervisor saya. Habis gagap dibuatnya. Tak tahu macam mana nak sorok rasa segan. (Jangan salah faham, pensyarah saya itu baya-baya ayah juga, bapa anak dua 😂).

Saya masih ingat pesan ayah, dan saya pegang sampai hari ini;
"It is just your psychology barrier, you have to overcome it. Buat biasa je. You will get used to it."

Yup kata Dale Carneige "Our thought make us who we are."

Semuanya bergantung cara kita berfikir. Anggap saja pensyarah itu seperti ibu ayah kita. Mereka tak makan orang!

***

Untuk pelajar yang nak sambung master seperti saya (Mohon doanya, ada rezeki.. ada ^^) kemahiran komunikasi dengan kakitangan universiti adalah penting! (Baca: crucial)

Hampir semua benda memerlukan kita berjumpa pensyarah, bertanya dan terus bertanya. Pada fasa inilah, tak semua benda kita boleh tahu sendiri.

Saya pernah bertanya kakak saya kak Naheed (dia kini sedang menyiapkan tesis master, doakan ya) tentang realiti alam pengajian postgraduate. Dan saya katakan padanya saya ada masalah berjumpa pensyarah.

"Qayya rasa qayya boleh baca sendiri kalau qayya tak faham, sebab tu qayya rasa tak perlu tanya lecturer."

Jawapan Kak Naheed lebih kurang begini:

"Doing master is about giving back to the society. It repeat the learning journey. Qayya bayangkan pensyarah qayya pernah lalui semua yang qayya lalui (pengalaman belajar) Kalau qayya jadi pensyarah qayya lebih suka pelajar qayya refer to qayya ataupun buat sendiri-sendiri?"

Mestilah rujuk pensyarah! Sebab pensyarah dah lalui semua yang kita perlu lalui. Dia lebih tahu selok beloknya :)

***

Mungkin rakan-rakan yang sedang membaca ada persoalan-persoalan lain yang berlum terjawab. Teruskan mencari jawapannya. Saya harap sangat anda berjaya :)

Pesan kakak Naqibah saya, apa-apa pun kerja kita kena ada the BIG WHY untuk dorong kita mendapatkan apa yang kita ingini. Niat kena besar. Macam niat bangun solat malam (haha, susah betul).

Jom usaha bersama saya, kita cuba dekati pensyarah-pensyarah yang kita kasihi. Memang susah mula-mula ni. Saya pun masih rasa susah dan nervous. Tapi usahanya tak rugi insyaAllah. Ilmu mereka banyak. Lagi banyak kita cari, lagi banyak kita dapatkan.

Saya tinggalkan kawan-kawan dengan satu peribahasa arab ini, moga menjadi motivasi;

"Bi qadri ma tata3anna, tanâlu mâ tatamanna"

Sejauh mana kita berusaha, sejauh itulah kita kan capai apa yang kita impikan.


Saling mendoakan :)
2328
29092018
Yusufpaşa, İstanbul
















Tuesday, 25 September 2018

Aku hanya mahu bahagia

Bismillah.

Nak bahagia sangat kan, nah makan haha

"Depends on qayya lah nak apa?" kata Kak Naheed sewaktu berborak denganku mengenai masa depan. Pasti saja, tak lepas dari menyentuh soal perkahwinan.

Kiranya posting kali ini adalah 'wasilah escapism' aku dari memikirkan hal-hal itu. Haha, boleh ke?

"Qayya nak jadi bahagia. Tak kisahlah jadi apapun." Jawab aku mahu meringkaskan bicara.

Termasuklah dalam soal kahwin atau tak. Bahagia itu taruhan (Ekstrem mungkin  😂🙈).

***

Aku masih ingat dalam kelas Falsafah Akhlak Islam, ketika guru kami Dr Mustakim membahaskan tujuan akhlak (perbuatan manusia yang disandarkan oleh peribadi) dalam Islam, beliau menceritakan bahawa falsafah akhlak Aristotle menyebut bahawa:

"Semua seni dan kajian, semua tindakan dan pilihan manusia bertujuan meraih KEBAIKAN."

Dan kebaikan menurutnya ada dua. Satu yang MUTLAK (yang merupakan tujuan utama) dan yang TIDAK MUTLAK (yang menjadi wasilah untuk mencapai tujuan utama.)

"BAHAGIA" menurut falsafah akhlak Aristotle adalah kebaikan mutlak itu. Kerana apabila manusia bahagia, dia tidak merasakan perlu mencari tujuan lain. "Habis limit" kata orang kita. Atau kebahagiaan bukan alat untuk mencapai tujuan yang lebih tinggi. Ada ke orang kata "Saya nak bahagia sebab saya nak kaya."? Patutnya "Saya nak kaya sebab nak bahagia." Kan?

Ayat mudahnya:

"Bahagia adalah tujuan utama yang ditagih manusia"

Merasakannya tidak bercanggah dengan Islam, ramailah cendekiawan Islam bersetuju dengan pendapat Aristotle dan mensyarahkannya di dalam kitab-kitab teori akhlak mereka Termasuklah nama-nama besar seperti Imam Gazali dan Imam Farabi.

"Fair enough." kita bermonolog. Tetapi kalau betullah bahagia itu kebaikan mutlak, apakah jawapan kita apabila orang bertanya; "Bahagia itu apa?"

Haha, susah bukan? Tersepitlah kita dengan menggaru-garu kepala. Ambil kertas dan takrifkan maksud bahagia bagi kalian, mana tahu ianya akan membuat kalian tersenyum?

Kata Imam Gazali ketika mentakrifkan makna bahagia;

"Bahagia adalah tujuan terakhir yang mahu diraih oleh semua manusia dari dulu hingga kini. Dan tujuan itu hanya dapat dicapai dengan ilmu dan amal."

Dari takrif di atas, bahagia yang digambarkan sebagai kegembiraan abadi, tiadanya rasa susah dan duka selama-lamanya, perasaan lapang yang tak akan hilang itu, menurut fahaman Imam Gazali hanya boleh dicapai di akhirat kelak.

Kerana tiadalah bahagia yang benar-benar bahagia itu di dunia. Kerana dunia ada banyak cacat cela dan tak kekal selama-lamanya.

Jadi, kalau aku sebagai manusia biasa menyatakan "aku hanya mahu bahagia" dalam segala tindakan dan pilihan aku di dunia ini, valid ke?

Satu je kot kalau boleh menjadikannya valid. Apa dia?

"Dengan mencari redha Allah."

Kebaikan padanya tak akan ada yang lebih tinggi.
Kebaikan yang tak ada keduanya.
Kebaikan yang tak menjadi alat untuk mencari kebaikan lain,
Kebaikan yang boleh diraih dari dunia :)

Cliche sangat ni. Haha. Tapi itulah dia yang dapat dipelajari dari tinta mereka.

Aku menulis baris di atas dengan nafas panjang. Penat fikir nak jadi apa, lagi-lagi bila dah sampai tahun akhir pengajian (doakan ya). Last-last "Aku hanya mahu bahagia." Full stop.

Tapi full stop full stop pun tak mudahlah pastinya. Kita semua mencari :) Asal terus melangkah dan tak putus asa. Asal tahu jalan pulang bila dah tersasar. Asal tak menunduk pada yang tak patut, jalan terus. Moga capai tujuan akhirnya.

"Sesungguhnya Allah redha terhadap kalian tiga perkara dan membenci dari kalian tiga perkara; Allah swt meredhai kalian agar beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa pun; berpegang kuat dengan agama Allah swt semuanya (bersatu) dan tidak bercerai-berai; serta agar menasihati orang yang Allah telah jadikan sebagai penguasa bagi kalian. (Dan Allah) membenci kalian dari mengatakan (setiap apa yang) dikatakan (kepada kalian), banyak bertanya, dan membuang-buang harta.” 
(HR Muslim, Malik & Ahmad)

Saling mendoakan yuk ^^

2142
Yusufpaşa, İstanbul

(Pst: posting ni agak ilmiah, kalau salah tolong tegur ya hehe. Tq!)













Friday, 31 August 2018

Mok Bah; Cikgu Al-Quran Kg Tebing Tinggi

Bismillah

"Assalamualaikummmmm." Pekik ibuku dari luar pagar rumah kayu bercat kelabu itu. Kali ketiga sudah ibu memanggil. Kiranya sudah "cukup syarat" untuk kami pulang.

Kami pun melangkah meninggalkan kawasan itu. Niat asalnya hanya mahu menghantar daging korban. Kebetulan tahun ini, daging korban perlu diagihkan sendiri.

Tiba-tiba jiran sebelah rumah itu menegur kami; "Mokbah ada tu di dalam. Baru dia keluar mangga pagar tadi." Katanya sambil meyakinkan kami untuk mencuba lagi.

Kali ini suara ibu dibesarkan dua kali ganda. Moga-moga tuan rumah mendengar. "Assalamualaikum Mokbahhh, Huda ni..." laungnya.

Tak lama kemudian muncul seorang wanita berumur 40'an. Tak lama beliau menjenguk kami. Terus langkahnya turun dari atas rumah untuk membuka mangga pagar

"Masuklah, maaf lah deh petang-petang memang mangga pagar ni." katanya dengan loghat Kelantan yang mesra. Wanita itu membahasakan dirinya Cik Sah, anak kepada Mok Bah.

Melangkah ke dalam, yang pertama kelihatan adalah seorang ibu tua yang boleh ku panggil nenek, beliau bersila di lantai kayu. Berkain batik, berbaju kurung sambil mengenakan tudung sarung. Melayu sungguh! Itulah Mokbah, sepupu Tok Ayah. Umurnya sudah 70'an, namun masih segar. Penglihatannya masih cerah.

Mak, Ayah, Aku, adik dan dua orang anak saudara masuk dan duduk. Benda pertama di rumah orang melayu kalau terima tetamu mestilah mahu menghidang air manis. "Toksah susoh-susoh, kami singgah meta (sebentar) jah " kata Mak.

Awalnya Ciksah dan Mokbah mahu menghidang nasi lemak. Tapi atas permintaan kami yang hendak cepat, Mokbah meminta Ciksah menghidang satu kuih yang baginya sangat istimewa. "Huda mesti ingat kuih gapo ni." kata Ciksah sambil melirik senyuman.

Kuih Ngekoh! Kuih kesukaan ibu waktu zaman kanak-kanak. Aku pun first time dengar nama kuih tu. Bermaksud itulah pertama kali aku merasa. Bukan sekadar bagi rasa, Mokbah beriya bagi kami resepi dan bagi seplastik doh kuih untuk dibawa pulang. Kuih ngekoh ni macam kuih donut, hanya dohnya basah dengan telur tanpa dicampur air. Dan rasanya manis. Sayang tak ada gambar kenangan.

Aku mula merasa mesra dengan Mokbah dan Ciksah dengan jenaka dan senyumnya. Mereka memang suka melayan tetamu. Bila ditanya tentang Tok Ayah, Mokbah membuka cerita, kata Mokbah kalau masa Tok Ayah sihat, Tok Ayah selalu datang ke rumah Mokbah untuk "memesan makanan". Haaa, rupanya Mokbah memang suka melayan tetamu.

Mokbah pun selalu melayan orang kampung. "Rumah ni kalu masok mesti ada oghe mari (makan sekali). Tapi rezeki mari sokmo (selalu) hok (yang) oghe (orang) buwi (bagi)." katanya.


Begitulah pemurahnya Mokbah dan Ciksah.Walau bukan orang berada. Walau bukan wakil rakyat kawasan. 

Kami jadi segan bertandang ke rumahnya. Makin lama ada saja yang bertambah dihidangan. Aku tak ingat siapa yang bertanya tentang timbunan al-Quran yang banyak di atas meja rumah Mokbah, dari soalan itu Mokbah membuka cerita;

"Budok-budok, tubik (keluar) dari skoloh (sekolah) mari ngaji sini. Dalam 40 orang. Mokbah ajar muqaddam. Ciksah ajar Quran besar." 

Rupanya Mokbah sudah mengajar al-Quran kepada anak-anak penduduk sekitar sejak beliau muda. Bila aku ceritakan pada Tok Ayah, Tok Ayah tersenyum, "Mokbah tu dah ngajar beribu budak ngaji. Sejak dari dio remaja. Mugo (Hanya) dio tak hafiz jah." kata Tok Ayah memuji Mokbah.

"Ada bayaran ke Mokbah ajar budak-budak?" tanya aku. Sekadar cuba menambah soalan. "Dok, sesen pun Mok Bapok tok buwi. Tapi Mokbah rasa sihat bila mengajar. Bila tak mengajar tu segho (rasa) nok demey (demam)." kata Mokbah. Mokbah juga sempat cerita, makin lama beliau ajar mengaji, makin beliau rasa tak perlu pakai spek mata. Betapa Allah mengurniakan ibu ini rezeki dari wajah yang tidak beliau sangka.


"Nanti saya balik boleh kerja part-time dengan Mokbah" kata aku mengusiknya dua hari kemudian, ketika beliau bertandang ke rumah Tok Ayah.

Semasa hendak pulang, sempat Mokbah "menggali" tabungnya. Mengeluarkan empat keping duit kertas berwarna biru cair. Dihulurkannya kepada dua anak saudara aku. Dua keping seorang.

S.E.G.A.N... segan dengan kepemurahan yang tidak dikira-kira itu. Sederhana, namun cukup untuk menjadi didikan jiwa yang jarang-jarang disapa ini.

Mok Bah, tak dikenal orang, tak berharta banyak. Namun dia jelas bahagia dengan memberi dari apa yang mahu dikongsinya. Ya Allah, terus bahagiakan dia! Aamin.

Ramai lagi Mokbah di luar sana, moga dapat bertemu di sela-sela perjalanan hidup ini :)

1618
31082018
Shah Alam









Saturday, 18 August 2018

Bandung; Tempat bermain lagikan dikenang,inikan pula tempat terseliuh

Bismillah.

Hari ke lima di Indonesia, kami berlapan tiba di Bandung dengan menaiki kereta api. Kelas eksekutif yang kami naiki kali ini lebih selesa berbanding kelas ekonomi yang kami naiki di Jakarta (Boleh buat research). Namun ternyata tidur di kelas ekonomi di Jakarta lagi nyenyak dari tidur kami di kelas eksekutif malam itu. Rezeki kata orang, nikmat kadang-kadang tak terhitung pada benda.


Bandung lebih sejuk dari bandar lain. Mungkin kerana rupa buminya yang berbukit bukau. Mungkin anda mahu membawa baju lebih tebal untuk berjalan-jalan di Bandung.

Di Bandung, banyak tempat menarik. Hanya ada beberapa tempat tidak ada rezeki untuk kami lawat. Mengapa? Saya kongsikan buat 'pedoman' kawan-kawan. Mana tahu bermanfaat;

1) Driver baru dan kereta kecil;

Kami memesan driver dari yogyes.com. Namun sayang, mereka memberi kereta yang tidak muat untuk kami berlapan beserta bagasi yang besar-besar. Kereta Avanza yang diberi membuatkan driver terpaksa membuat dua kali trip untuk membawa kami ke hotel. Sudah habis banyak masa di situ. Seharian kami travel berhimpit seperti tin sardin. Masih bersyukur boleh muat! hehe

Saya sempat menyapa driver yang membawa saya dan teman-teman. Orangnya muda. Kata beliau "Saya bukan orang Bandung. Baru sebulan tinggal di Bandung. Saya orang Banjar. Jadi tidak biasa sama jalan-jalan di sini." Kalau driver tak kenal jalan, apatah lagi kami! Driver baru ini sering bertanyakan kami jalan, meminta buka Google Map kerana beliau tiada credit internet dan beberapa kali sesat. Itulah antara sebab utama kami kehilangan banyak masa di atas jalan dan tidak berapa lancar perjalanan di Bandung.

Hari kedua kami meminta driver baru dan kereta baru setelah rakan kami menerangkan segala yang tak kena pada hari pertama. Alhamdulillah esok kami dijemput dengan sebuah van yang besar, dan pemandunya Mas Endang seorang yang bekerja sebagai pemandu di Bandung lebih 20 tahun!

2) Macet

Macet Bandung di waktu rush hour seperti Jakarta. Kami terperangkap dalam macet beberapa kali. Dan paling lama ketika di traffic light di waktu ada perarakan Asian Games huhu. Setelah tiga kali lampu berubah warna baru kami boleh berjalan.

3) Malam awal

Indonesia malamnya awal. Pukul 5 ptg begitu sudah maghrib. Sewaktu kami ke Kawah Putih, banyak masa dihabiskan bergambar disitu (Mohon jangan duduk lama-lama di Kawah Putih, katanya tidak sihat sebab Sulfur yang dihidu berbahaya). Jadi kami kesuntukan masa ke ladang strawberi. Hanya sempat membeli di tepi jalan. Namun kami sempat ke Ladang teh. Mengambil gambar sepuas-puasnya berlatarbelakang pemandangan yang cantik dan menenangkan. Alhamdulillah.

                           



****
Di Bandung kami melawat Farmhouse, Rumah Mode, Kawah Putih, Ladang Teh dan membeli belah baju di Cihampelas Walk. Semua tempat yang diziarahi menarik dan disyorkan pergi jika kawan-kawan singgah ke Bandung. Hanya kami terlepas peluang ke Pantai Timang, Tangkuban Perahu dan Pasar Terapung di Lembang kerana kesuntukan masa dan cuaca yang tak mengizinkan.




****
Di Bandung jugalah saya terseliuh. Pada waktu itu kami sudah mahu pulang ke Jakarta. Mas Endang menghantar kami ke Stesen Bas Cempaka Putih. Ketika sibuk mencari topi yang hilang, lutut saya terpusing dan berbunyi 'pap!' Sedap bunyinya, sesedap rasanya.

Alhamdulillahh masih boleh berjalan dipapah kawan-kawan. Ada dua tiga orang Indonesia mampir untuk membantu dan mengurut. (hanya dinasihatkan untuk berhati-hati, jangan mudah percaya orang lagi-lagi kalau sendirian. Ibu yang membantu saya dipukau di stesen bas dan kehilangan lebih 300.000Rp).

Waktu itu saya rasa sangat dekat dengan orang Indonesia. Ramai orang mahu membantu dan ramai juga yang memberi nasihat. Ada yang suruh tuam air suam, ada juga yang suruh letak ais batu. Haha, mana-manalah. Yang pasti waktu itu saya terharu dengan semua orang-orang di sekeliling. Terasa benar bahawa kita ini serumpun dan bersaudara. Maafkan saya 'berdrama' di tempat kalian (Smiley sengih berpeluh dahi). Nikmat bersaudara adalah nikmat yang paling besar setelah iman :)

Kaki memanjat

Sewaktu saya menulis ini, kaki saya masih belum sembuh sepenuhnya. Pesan saya berhati-hatilah ketika travel. Kaki itu anugerah Allah yang cukup besar untuk tidak dijaga dengan baik. Doakan saya sembuh sepenuhnya!

Oh ya, dalam bahasa Indonesia mereka menggunakan kalimah "bermain" untuk kata kerja berjalan-jalan melancong. Kadang-kadang mereka sebut "Saya sering bermain-main di sini." Bermaksud; "Saya selalu merewang di sini." Apa lagi saya pun memuatkan maksud itu dan kisah saya dalam peribahasa melayu yang berbunyi;

"Tempat bermain lagikan dikenang, inikan pula tempat terseliuh!" Haha

Sampai ketemu lagi Bandung ^^

tagar rasmi trip kami berlapan
#kızlarberwısata












Friday, 17 August 2018

5 Tempat menarik di Jogjakarta

Bismillah.

Lebih kurang jam 7 pagi kami tiba di stesen Lempoyangan Jogjakarta, stesennya tidak sesibuk stesen kereta api Pasar Senen Jakarta. Ada deretan gerai yang menjual makanan, rakan kami tak lepaskan peluang membeli sarapan sebelum kami mulakan perjalanan.

Kami dijemput oleh pemandu kereta yang bernama Mas Piyan. (recommended driver he is). Dia membawa kami dengan menaiki kereta Suzuki Luxury berwarna putih. Muat kami berlapan walaupun sedikit sesak.

1) Candi Borobudur dan Prambanan.

Hari pertama kami dibawa ke Candi Borobudur. Candi agama Budha yang dipelihara dibawah jagaan UNESCO. Di sini kami membeli tiket Candi Borobudur dan Candi Prambanan sekali dengan harga lebih kurang RM 100. Lupakan hasrat membeli tiket lokal yang berharga 40 000Rp, kerana mereka akan periksa kad pengenalan atau passport anda.

Dua jam kami habiskan masa di Borobudur, memanjat, bergambar dan menikmati pemandangan. Tak rugi panjat sampai atas. Jogja nampak cantik sekali dari puncak Candi Borobudur! Kami turun waktu azan Zohor berkumandang. Satu perasaan unik mendengar azan ketika saya berada di rumah ibadat agama Buddha.


2) Candi Prambanan

Kami ke Candi Prambanan hari kedua. Candi ini Candi agama Hindu. Rekabentuknya saja sudah berbeza dari Candi Borobudur. Apatah lagi isinya.

Seronok dapat melihat sendiri sembahan agama Hindu. Antara berhala-berhala sembahan mereka yang sempat saya lihat adalah Ganesha, Nandi, Vishnu, Brahman dan Siva. Menarik! Ini pertama kali saya menjejakkan kaki di rumah ibadat orang Hindu setelah bertahun-tahun berkawan dengan teman-teman India-hindu di Malaysia.



3) Waroeng Spesial Sambal

Restoran SS adalah restoran yang menyajikan 21 jenis sambal dengan pelbagai lauk pilihan. Tinggal pilih! Kepedasan sambal terserlah bukan sahaja pada rasanya tapi pada password "superpedas" untuk wifi percuma yang disediakan. Lazatnya sampai kami lupa untuk ambil gambar makanan kami! huhu. Cubalah pasti tak rugi.

4) Muzium Vredeburg



Muzium Vredeburg adalah muzium yang menceritakan babak sebelum dan selepas kemerdekaan Indonesia. Ala-ala muzium tentera di Turki. Cerita di dalammnya menarik dan menyuntik semangat patriotisme. Ibarat satu lorong masa yang menceritakan sisi-sisi penting yang menyumbang kepada kemerdekaan dan kemajuan Republik Indonesia.



anak-anak sekolah sedang buat lawatan sambil belajar

5) Punthuk Setumbu


Punthuk Setumbu terkenal dengan pemandangan sunset. Anda perlu memanjat sehingga ke puncak. Mencabar. Saya teringat pengalaman memanjat Petra di Jordan, seperti itulah gamaknya mendaki puncak Punthuk Setumbu. Tetapi pemandangannya yang cantik membuatkan hilang segala rasa lelah. Bersyukur sangat sampai hajat melihat pemadangan sawah bukit yang menghijau. Sungguh menenangkan.




Ada banyak lagi tempat-tempat menarik Joga seperti jalan Malioboro (Tempat shopping baju batik Indonesia), Gereja Ayam, Istana Taman Sari, masjid bawah tanah dan Istana Keraton. Hanya tak sempat untuk saya ceritakan satu-satunya di sini. Semuanya cantik dan berbaloi untuk diziarahi.




Yang sangat saya hargai di Jogja adalah ketenangannya di samping orang-orangnnya yang sangat berbudi, sopan santun dan keras kerja. Tak dilupa makanan seperti nasi kucing di Angkringan, Bakpia  25 dan Wingko yang sedap! 






Semoga bermanfaat.












Thursday, 16 August 2018

5 perkara menarik di Jakarta

Bismillah.

Dua hari lepas, saya baru usai menjelajah bumi Indonesia. Antara tempat yang paling lama diziarahi adalah Jakarta. Penat berjalan, biarlah bermanfaat ya dak? Jadi mari kita kongsi lima perkara menarik yang saya temui di Jakarta. Semoga bermanfaat!

1) Grab dan Gojek motorsikal.

Kalau di Malaysia kita biasa dengan Grab kereta, di Indonesia mereka ada Grab motorsikal. Paling jelas kelihatan di Jakarta. Pemandu Grab memakai uniform tertulis tulisan Grab. Kata Supir yang menjemput kami di Lapangan Terbang Soeharto-Hatta hari pertama, ada juga Grab pemandu wanita. Hanya sedikit sukar didapati.


Gojek pula lebih kurang fungsinya dengan Grab. Hanya Gojek ada fungsi-fungsinya yang lain seperti memesan makanan, mencuci rumah, mengurut dan lain-lain. Kata rakan kami Gojek membawa maksud 'membawa penumpang'. Gojek juga seperti Grab uniformnya. Hanya lebih hijau. Kami juga pernah menggunakan khidmat Gojek untuk memesan mie Acheh ketika di Ancol, Jakarta. Waktu itu sudah malam. Kami pula sudah kepenatan dan hotel jauh dari tempat makan. Khidmat Gojek sangat praktikal dan boleh dimanfaatkan oleh wisatawan seperti kita

                            



2) Transjakarta; Pengurang Macet Jakarta.

Jakarta adalah negeri yang padat penduduknya. Ikutkan kesesakan lalu lintas di bandar seperti Jakarta, dinasihatkan supaya memilih airport di bandar lain selain Jakarta untuk terbang ke Indonesia atau pulang ke Malaysia. Jika mahu memilih Jakarta juga, sediakanlah masa dalam 5 jam untuk perjalanan ke lapangan terbang sahaja agar anda tak menghadapi masalah terlepas flight atau terlambat ke tempat destinasi.

Antara pengaman macet di Jakarta adalah pengangkutan awam seperti Transjakarta. Bas awam ini hanya mengenakan cas 3500 Rp untuk jalan sehala ke mana-mana destinasi pun. Lebih menarik, di dalam bas ini ada attendance bas yang dipanggil 'kenek'. Tugasnya tempat rujukan penumpang untuk bertanya destinasi, memastikan ada tempat duduk untuk golongan yang memerlukan dan mengamankan suasana bas untuk kelancaran perjalanan. Bagus kan?

                               

                                                      
                                   
                                 

Transjakarta memiliki laluan bas yang khusus untuk mengelak macet di bandar. Jadi menaiki bas boleh membawa anda lebih laju jika kena masanya. Naiklah bas Transjakarta, kurangkan Macet :)

3) Parkir bercas.

Di mana-mana saja anda parkir di Indonesia, tidak kiralah Jakarta atau selainnya, semuanya dikenakan cas bermula dengan 2000Rp. Cas akan bertambah mengikut masa. Walaupun tempat parkir seperti tidak rasmi. Tapi pasti ada orang ynag ditugaskan untuk mengutip bayarannya. Kata Mas Piyan yang membawa kami di Jogja; 'Jika tidak dibayar, tidak enak."

Jika anda pengguna setia Grab atau apa jua kenderaan, pastikan duit kecil untuk parkir anda sediakan awal.

4) Gramedia; Syurga buku.

Penggemar buku pasti tak akan melepaskan peluang ke Gramedia. Satu toko buku di Jakarta yang menghimpunkan buku-buku lokal dan internasional yang terkenal. Harganya hampir separuh dari harga pasaran Malaysia. Di sini selain buku, ada cafe dan jualan barang-barang lain seperti hadiah, pakaian dan lain-lain. Jika datang ke Jakarta, masukkan tempat ini dalam senarai destinasi anda.



5) Nasi Padang.

                           

Berdekatan dengan Gramedia, ada restoran Masakan Padang yang sangat unik. Di kedai ini lauk-lauk akan dihidangkan di hadapan kita. Tinggal kita memilih lauk-lauk yang kita ingini. Lauk-lauk asli Padang ini rasanya memuaskan. Harganya juga lebih tinggi berbanding makan di gerai-gerai biasa. Sesuai dengan keunikan kedai ini.

Sekian, bertemu di post seterusnya insyaAllah.












Wednesday, 1 August 2018

Percaya saya atau Keldai saya.

Bismillah.



Suatu hari jiran kepada Nasrettin Hoca datang ke rumahnya. Niatnya mahu meminjam keldai milik Hoca. Dia mahu ke pasar.

"Tok, tok, tokk" Bunyi ketukan jelas kedengaran di rumah Nasrettin Hoca.

Pintu dibuka. Nasrettin Hoca memanjangkan kepalanya sambil membetulkan serban.

"Ya, ada apa datang pagi-pagi ni?" Tanya Hoca kepada jirannya.

"Saya datang untuk pinjam keldai tuan. Macam biasalah, saya perlu ke pasar beli barang-barangan dapur hari ini."

"Oh, keldai saya tak ada di rumah. Maaf ya." Jawab Nasrettin Hoca ringkas.

"Tak apalah kalau begitu. Saya minta diri dulu." Jiran itu pun mula melangkah pulang. Sedikit kehampaan.

Ketika jiran tadi melalui kawasan kandang Nasrettin Hoca, tiba-tiba kedengaran bunyi keldai Hoca meringkik dengan kuat sekali. 

"Hee-haw, hee-haw."

"Aik, tadi kata keldai tak ada." lelaki itu bermonolog.

Dia cepat-cepat kembali ke rumah Nasrettin Hoca. Kebetulan Nasrettin Hoca baru hendak keluar. Jiran Hoca berkata;

"Tuan, tadi tuan kata keldai tuan tak ada dirumah. Tapi saya dengar bunyi keldai Tuan. Bermaksud dia ada di belakang." Terangnya seperti mendesak Nasrettin Hoca menerangkan perkara sebenar.

Tak lama Nasrettin Hoca berfikir lantas dia menjawab;

"Eh kamu ni, kita dah berjiran lebih 30 tahun. Sekarang yang mana lagi awak percaya, kata saya atau kata keldai saya?"

Lelaki tadi mengangkat kening. Dia terkelu mendengar jawapan Hoca.

Nasrettin Hoca tersengih. Beliau berlalu dari situ.

***
Kisah di atas hanya selingan. Saya gemar merehatkan minda dengan kisah-kisah lucu sebegini. Lagi-lagi ketika orang sibuk mengerutkan dahi membaca berita-berita hangat di media sosial. Saling bergaduh, sibuk mempertahankan "kudusnya" pendapat masing-masing.

Meminjam sedikit sindiran kisah ini, ia mengingatkan kita jika seseorang itu tidak mahu membuat sesuatu ataupun berdegil dengan prinsipnya, dia akan berbuat apa sahaja untuk membenarkan keinginannya. Walaupun dengan bertanya soalan yang jelas tak kena logiknya seperti; "Percaya saya atau keldai saya?" Di luar sana ramai orang melakukan perkara yang sama untuk mempertahankan pendapat peribadi, walau bukti jelas menunjukkan sebaliknya.

Ya, kadang saya pun terkelu seperti jiran Hoca tadi!



Selamat mengambil pengajaran :)

1804
Shah Alam

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...