Sunday, 20 January 2013

Sweet Life atau sekadar Sweet 17?

Bismillahirrahmairrahim, wassolatuwassalam ala Rasulillah. Assalamualaikum semua, sihat?.

Andai sekarang kita diuji dengan masalah kesihatan, masalah hati atau banyak masalah lagi, Anggaplah itu "Hospital Ilahi", Tiada satu pun masalah tiada penyelesaiannya jika kita kembalikan segala urusan kepada Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengasihani.

Menjadi pemuda tidaklah mudah. Apa lagi bila psikologi seorang remaja ingin melakukan apa yang orang dewasa boleh lakukan. Orang dewasa banyak ruang untuk bersuara. Orang dewasa berduit dan boleh berbelanja. Orang dewasa tiada kawalan untuk bertindak. Orang dewasa bebas membuat keputusan. Orang dewasa sangat dipandang sebagai orang yang diperlukan. Tetapi "kita" mungkin tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, semua yang orang dewasa ada itu melalui sebuah kepayahan.


Begitulah psikologi "kita" anak muda. Sebab apa kita berfikiran begitu? Sebab "kita" menuju alam dewasa. Jadi kita perlu belajar dalam jangka waktu yang sekejap ini.

Kadang-kadang, kita terleka dengan dunia, sedangkan remaja ada tanggungjawabnya. Kadang-kadang, kita  berhibur 24 jam, dengan alasan, remaja hanya sekali...apa salah kita hidup dengan slogan "Sweet 17".

Haaa! inilah point utama...

Memang kita hidup usia remaja ini hanya sekali, tetapi 
kawan-kawan, adakah kita mahu hidup bahagia hanya sekali?

Allah bagi peluang kita memilih. Sama ada mahu menjadi seperti Ashabul Kahfi atau seperti anak nabi Nuh yang ditenggelamkan ke dalam laut kemurkaan Allah?

Apa perbezaan mereka???

Ashabul Kahfi memilih untuk menempuh hidup yang susah, mereka memperjuangkan kebenaran, matlamat mereka adalah Redha Tuhan, mereka dipuji oleh Allah dalam Al-Quran zaman berzaman, mereka merasai kemanisan dalam keperitan, dan mereka  sekarang?...hidup bahagia di syurga Tuhan. Bergantung kepada iman...=)

Anak Nabi Nuh pula, memilih untuk hidup senang, mahu bebas daripada hidup berperaturan, matlamatnya memenuhi keinginan, jalan hidupnya tiada peta dan impian, Dia sendiri kebingungan dalam kehidupan, akhirnya dia ditenggelamkan Tuhan kerana angkuh dalam kesesatan. Nafsunya berasa bahagia di dunia, tetapi sekarang?...dia di mana??.

Mereka berdua adalah pemuda,
ada yang memilih atas pengetahuan,
ada yang memilih atas keinginan,
Individulah yang menentukan.

Pelukah kita bahagia hanya sekali? Wahai Remaja, tanyalah hati...

Sekian,
Yang baik dari Allah,
Yang lemah daripada kelemahan sendiri
Jazakumullahukhairan kaseera,

Wassalam alaikum.






Monday, 14 January 2013

Menjadi anak soleh itu kebahgiaan

Bismillah, assalamualaikum semua. semoga sentiasa dalam rahmat Allah.

Allah S.W.T, berfirman dalam surah al-Ahqaf ayat 15:
وَوَصَّينَا الإِنسٰنَ بِوٰلِدَيهِ إِحسٰنًا ۖ حَمَلَتهُ أُمُّهُ كُرهًا وَوَضَعَتهُ كُرهًا ۖ وَحَملُهُ وَفِصٰلُهُ ثَلٰثونَ شَهرًا ۚ حَتّىٰ إِذا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَربَعينَ سَنَةً قالَ رَبِّ أَوزِعنى أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَّتى أَنعَمتَ عَلَىَّ وَعَلىٰ وٰلِدَىَّ وَأَن أَعمَلَ صٰلِحًا تَرضىٰهُ وَأَصلِح لى فى ذُرِّيَّتى ۖ إِنّى تُبتُ إِلَيكَ وَإِنّى مِنَ المُسلِمينَ ﴿١٥﴾أُولٰئِكَ الَّذينَ نَتَقَبَّلُ عَنهُم أَحسَنَ ما عَمِلوا وَنَتَجاوَزُ عَن سَيِّـٔاتِهِم فى أَصحٰبِ الجَنَّةِ ۖ وَعدَ الصِّدقِ الَّذى كانوا يوعَدونَ ﴿١٦﴾

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).(15)

Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji seperti itu) ialah orang-orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli Syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka. (16)



Menerusi kalam Allah ini, Allah mengatakan hukum wajib dengan sebab

Allah menjadikan kata wajib berbuat baik tidak bergantung kepada siapa ibu bapa kita,

wajib atas nilai kemanusiaan iaitu kasih sayang,

wajib sebagai manusia yang hidup bergelar manusia,

Wajibnya berbuat baik kepada ibu bapa kerana pengorbanan mereka ketika membesarkan kita,

Allah menyuruh kita mengenang perit pengorbanan mereka untuk kita, agar kita senang dan tenang berbuat baik kepada mereka.

Allah menekankan agar kita menjadi insan yang "kenang jasa" dan "menghargai" Allah dan Ibu Bapa agar kita rendah hati dan tak lupa diri mengenal asal-usul kita,

Allah mengajar kita menghargai sesama manusia, 

dan memberitahu bahawa mendoakan sesama manusia dan menghargai mereka adalah anugerah daripada Allah yang Maha Penyayang,

Allah menjadikan Islam itu sentiasa dalam win-win situation, saling memberi tanpa banyak mengharap, keharmonian itu kunci kebahgiaan.

Allah juga mengajar menerusi ayat ini, setiap pengorbanan dan amal soleh ada pembelaan dan ganjaran dari Allah,

Allah mengajar bahawa bila kita memberi untuk kebaikan, kita mendapat kebaikan,

Jadi, marilah kita menjadi anak yang mensyukuri nikmat Allah,

Iaitu nikmat Ibu dan Ayah,

dengan cara kita menghargai mereka,

Dan saling mendoakan untuk  mendapatkan zuriat yang soleh,

Supaya kita dapat menjadi hamba yang bertaubat dan berserah diri kepada Allah.

Supaya kita diberi pengampunan dan dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Kerana Allah tak pernah menyalahi apa yang telah Dia tetapkan...




Wassalam








Saturday, 29 December 2012

Cukuplah Allah.


Cukuplah Allah,
Sebagai sebab untukku gembira,
Biarpun kekurangan dan terseksa,
Asalkan dapat mencapai Redha disisiNya,
Perkara lain tak dapat mengundang duka,
Ketika imanku sudah bahgia.




Cukuplah Allah,
Sebagai sebab untukku menangis,
Menangis meratapi dosa dan khilaf terhadapNya,
Menangis kerana selalu melupakanNya,
Menangis kerana menzalimi amanahNya.
Biar tangisan berharga kerana sesal,
Dengan itu jualah hati ini dipujuk kembali,
Bermujahadah di jalan Ilahi.

Cukuplah Allah,
Sebagai sebab untuk diri ini terus istiqamah,
Sebagai sebab untuk diri meneruskan perjalanan,
Bangkit semula selepas kegagalan,
Tanpa kecewa dengan cercaan dan keperitan,
Tidak endah walau dikecam kezaliman,
Kerana sedar yang paling baik ada di sisi Allah,
Kerana sedar ujian yang dihadapkan terbaik dariNya,
Perjuangan dijalanNya tidak pernah sia-sia...



Perlukah bahagia dinisbahkan dengan dunia?
Perlukah ketenangan diri diukur dengan redha manusia?
Perlukah kecewa ketika pintu Allah sentiasa terbuka?







Thursday, 20 December 2012

Refreshment Taqwa kita


Bismillah, Assalamualaikum semua, sihat?

Hari ni, ana nak refresh balik sesuatu yang sangat penting dalam memburu tempat di laman kasih Allah.

Taqwa!...
apakah maksudnya?

Taqwa berasal daripada kalimah arab:

1) Waqa' : berhati-hati
2) Wiqayah : pencegahan


Umar al-Khattab pernah bertanya maksud taqwa kpd sahabat Ubai bin Ka’ab. Ubai berkata ”Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yg dipenuhi onak dan duri?” Jawab Umar, ”Ya, pernah.” Ubai bertanya lagi, ”Apa yg kamu lakukan ketika itu?” Umar berkata, ”Aku berhati-hati dan bersungguh-sungguh”. Berkata Ubai, ”Itulah taqwa"


Dari segi istilah pula, taqwa adalah perasaan takut kepada Allah yang membuatkan kita meninggalkan laranganNya dan melakukan suruhanNya dengan merendah hati sebagai  seorang hamba.

Apa yang Allah suruh, pasti ada kebaikan untuk kita.
Apa yang Allah larang, mesti untuk selamatkan kita.

Jadi hidup ni tak boleh main redah je, ada yang perlu dicegah, ada yang perlu berhati-hati.

Tapi kalau maskud Taqwa itu adalah "perasaan takut", biasanya kalau takut kita makin lari kan? Tapi kalau orang yang bertaqwa dia makin dekat dengan Allah, kenapa?

Sebab Taqwa adalah satu bentuk kasih-sayang Allah pada kita. Cara Allah selamatkan kita dari bahaya dan afat dunia. Disebabkan pada Taqwa itu ada kasih-sayang Allah, kita jadi makin dekat, bukan makin jauh :)

TAK BERBEZA

Rasulullah s.a.w bersabda dalam khutbah perpisahan baginda:

Wahai manusia, dengarlah bersungguh- sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali 
dalam  taqwa dan beramal soleh. 

ptts: Kalau sahabat-sahabat nak tahu, ulamak telah menggariskan bahawa taqwa yang paling asas (benchmark nilaian peribadi) adalah melakukan perkara-perkara fardhu ain iaitu yang telah ana gariskan pada hadis di atas. Ini kerana, melakukan perkara2 fardhu sudah cukup membuktikan kita kisah dengan Allah. Tahu KeagunganNya lantas kita berasa "perlu" melakukan suruhanNya. 

Sebab tu kadang-kadang, pelajar-pelajar yang pergi temuduga untuk belajar luar negara ditanya "adakah kamu solat". Kerana apa ditanya sedemikian?, jawapannya ada di bawah.

TAQWA DI MANA?

Rasulullah saw bersabda:
"Taqwa itu (letaknya) di sini. Taqwa itu (letaknya) di sini”, seraya baginda menunjuk ke dadanya. Cukuplah bagi seorang Muslim itu kejahatan (dosa) menghina suadaranya yang mukmin, haram bagi seseorang Muslim itu (menceroboh) darah (nyawa), nama baik dan harta seseorang Muslim yang lain

 (Hadith riwayat Malik, Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Al-Tirdmizi)

Berbalik kepada soalan tadi, apa kaitan soalan "adakah kamu solat?" dengan kelulusan menuntut di luar negara?. Kaitannya adalah, orang yang tidak solat adalah orang yang tidak ada ketaqwaan, sedang taqwa itu di hati. Bila hati menjadi keruh, perbuatan, pemikiran dan tindakan juga menjadi negatif. Lantas, apakah gunanya berpelajaran tinggi kalau hati kotor?

Berdasarkan hadis di atas, kita tahu Taqwa letaknya di hati, jadi sahabat-sahabat sekalian, untuk muhasabah level ketaqwaan kita, tanyakan pada hati kita, apakah hati kita ikhlas beribadah kepada Allah?  Masih punya kecintaan terhadap hari akhirat?, Adakah hati kita sibuk mengingati Allah atau lebih sibuk mencari mencari dunia?

Tapi jangan dilupa, semua soalan itu hanya sekadar muhasabah diri, bukan untuk merasakan diri bertaqwa.

 "Orang yang merasakan dirinya bertaqwa bukanlah orang bertaqwa"

Soalan2 di atas hanyalah alat untuk kita sedar apakah kita dalam usaha mencapai taqwa, jika belum, "Mulalah sekarang!"

Walaupun begitu, kita perlu sedar dan yakin tiada siapa yang dapat menilai taqwa di hati manusia, walaupun empunya diri. Tetapi Allah sahaja yang Maha Tahu ketaqwaan hamba-hambaNya. Ibrahnya, janganlah kita melabel diri kita atau orang lain bertaqwa atau tidak, kerana urusan itu adalah milik Allah. Urusan kita hanyalah sentiasa berusaha mencapai ketaqwaan.


GANJARAN 

Allah berfirman dalam surah at-Talaq:

ayat 2 dan 3: ... Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya

ayat 4: ...Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya.

ayat 5: ...dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipat gandakan pahala baginya.

PAKAIAN TAQWA

Firman Allah dalam surah-A'raf ayat 26 yang bermaksud:
"....Dan pakaian Taqwa itulah yang paling baik"
Kenapa Allah umpamakan Taqwa dengan kalimah pakaian?
Kerana memang tak ada siapa nak pakai pakaian tak sempurna dan compang-camping kan?

SEBAIK-BAIK BEKAL 

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud:

"...Dan berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah Taqwa."



Sekian, 
Yang benar dan baik daripada Allah,
Yang lemah dan silap daripada ana sendiri
Mohon maaf atas silap dan salah.
Assalamualaikum.

Monday, 3 December 2012

Jom Menuju Bahagia!

Bismillah. assalamualaikum semua! semoga masih dalam kasih sayang Allah hendaknya.

Semua orang berhak bahagia. Tetapi ramai masih belum bertemunya. Hihi =), hari ini ana nak kongsi sedikit tip untuk menjadi bahagia :

1) Sedar kebahagiaan adalah milik Allah:
     
    Jadi, mintalah bahagia hanya daripada Allah. Bersyukurlah bila diuji, kerana Allah masih peduli, Besyukurlah diberi nikmat, kerana Allah memberi kemampuan kita beribadat dan terus bermanfaat.

2) Sedar setiap yang Allah suruh itu ada kebahgiaan.:

    Jadi, buatlah apa yang Allah suruh dan tinggalkan segala larangan. Allah tidak suruh sesuatu dengan sia2, begitu juga pada larangan. Suruhan dan larangan dalam Islam adalah cara hidup mukmin yang membawa kepada Islam yang bermaksud aman dan bahagia.

3) Sedar kebahgiaan datang daripada hati yang bersih seperti pesan Rasulullah:

    Jadi, mari bersihkan hati daripada fahsya dan mungkar. Selagi tak bersih dari titik-titik hitam, selagi itulah kita tak bahagia, kerana titik2 hitam itu adalah dosa dan dosa adalah perkara yang meresahkan jiwa.

4) Sentiasa memulakan hari dengan niat untuk membahagiakan orang lain kerana Allah:

      Ini kerana niat membantu tindakan dan tenaga positif yang keluar  dari badan. Allah melihat hati dan amalan. Matlamat dan cara matlamat itu dijalankan. Mulakan hari dangan matlamat yang membahagiakan semoga bertemu kebahgiaan.

5) Ikhlas kerana Allah dalam mencari kebahgiaan:

     Mencari kebahgiaan semata-mata kerana Allah adalah kebahgiaan itu sendiri. Bukan untuk lari daripada kesulitan dan mahu bebas daripada ujian. Bahkan meredah segala ketetapan Allah buat diri sepenuh pengabdian tanpa mengharap dunia dan balasan. Nescaya usaha itu membuah kebahgiaan.

Wallahu a'lam,
Yang baik Allah yang punya, kelamahan datang dari diri saya,
sekian, assalamualaikum

Wednesday, 7 November 2012

Hikmah Kematian

                               


arwah atuk (4/11/2012) al-fatihah...

Kematian adalah sebuah transit,
Bagi sang musafir menuju kampung halaman,
Kematian juga adalah pintu,
Yang selama ini menghijab pertemuan.

Kematian hamba yang baik diringi tangisan,
sedangkan si zalim diiringi senyuman,
kitalah yang membuat pilihan...
mahu berakhir disaat menabur budi,
atau berakhir berkelakuan keji?

arwah Ammar zulkifli, al-fatihah...
Kematian meninggalkan belang jenazah yang kaku,
Walaupun telah pergi ingatan tetap di qalbu,
Mengingatkan insan lain kita juga bakal kembali,
berkumpul bersama di pengadilan Ilahi.

kampung halaman

Kematian itu sebuah galakan,
agar manusia segera melakukan kebaikan,
sebagai bekal perjalanan yang panjang,
dimana ramai manusia terkandas di pertengahan,
akibat sering berlengah dan kelalaian.

Kematian adalah sebuah ancaman,
bagi yang khilaf dan salah agar terus bertaubat,
mensucikan tabiat-tabiat yang dimurkaiNya,
kerana disana ada balasan tersedia.


Al-Quran jadikan sahabat di dunia,
dialah teman, dialah cahaya,
berusaha meraih Redha Allah walau kepayahan,
Asal dapat merasai kemanisan iman,
ditarik nyawa sebaik-baik pengakhiran,
Kuburan itu taman syurga seluas-luas lautan


Ingat!! perjalanan disana panjang,

berpenat dahulu itu pendapatan,
bersenang kemudian itu kejayaan,
Pada saat yang masih berbaki,
Marilah perbaiki iman,
mensucikan hati dari kegelapan,
Setiap langkah kaki sebarkan kasih sayang,


Sesaat masa jangan dibiar kosong,
apatah lagi dalam kesesatan,
Biarlah masa diisi dengan pengabdian,
Jangan berkira lagi dengan Tuhan,
tanamkan baja kebajikan di manapun berada,                   
biar penat tak mengapa,
biar tak sempat hasil dituai di dunia,
asal di akhirat sana gembira,
asal di akhirat sana hasilnya ada.

Beribadahlah seakan-akan mati esok hari,
berkerjalah bagai hidup selamanya.

Allahua'lam
assalamualaikum.




















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...