Sunday, 6 April 2014

Mencari Pemahaman pengisian Seminar Lepasan SPM Semalam

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.


Semalam, berkesempatan ikut kawan-kawan pergi Seminar yang diadakan oleh MURSHID untuk pelajar lepasan SPM dan STPM 2013. InsyaAllah, penulisan kali ni bertujuan untuk menyimpulkan apa yang difahami semalam supaya saya tidak hanya mendapat ilmu dalam keadaan tidak memahaminya.


Slot bersama Ustaz Zamri tak sempat kami ikuti kerana sampai lewat. Silap jugak tak timing elok-elok, sedangkan tahu berapa lama perjalanan naik komuter. Takpe, belajar daripada kesilapan adalah satu faedah juga kan?

                                       

Untuk slot Ustaz Zaharuddin, saya rasa seperti dinasihati oleh seorang ayah. Ustaz banyak bawa kami untuk bersikap "aware" atas setiap pilihan dan tindakan yang diputuskan khususnya dalam perjalanan lepas SPM ini.



Untuk slot Ustaz Hasrizal dan Xifu Naseer pulak, perbincangannya banyak membantu kami menyedari tujuan kehidupan dan cabaran-cabaran yang ada dalam liku hidup seorang pelajar. Semua itu memerlukan kita menyiapkan bekal diri dan menjadi orang yang kuat, berilmu agar tidak bodoh dan mudah diperbodohkan.

Antara perkara di kongsikan kepada kami adalah:

1) Mengenali sesuatu sebelum apa-apa tindakan.

Sebelum kita makan, biasanya kita tahu dulu apa yang kita akan makan kan?

Begitu juga bagi pelajar, sebelum memilih kursus, menadah ilmu dengan guru dan sebelum meletakkan apa-apa perancangan dalam urusan sambung belajar, sangat penting untuk meneliti apa yang ada disebalik setiap keadaan itu. 

Jadi, rajin-rajinkan diri buat kajian sendiri tentang siapa guru kita, apa yang kursus itu sediakan, cabarannya, skop pekerjaannya, keperluannya di era ini dan banyak lagi. Belilah dan rujuklah bahan-bahan yang dipercayai. Supaya kita dapat gambaran awal dan peta agar tak mudah tersesat dan disesatkan dalam perjalanan.

2) Berprinsip walaupun dalam mempertahankan kebenaran:

Dalam menimba ilmu, ada masanya kita bertemu dengan keadaan apabila sistem atau penetapan peraturan bercanggah dengan kebenaran berlaku di depan mata. Pada waktu itu, seseorang yang menghargai kebenaran pasti kedepan untuk mempertahankannya. 

Tapi cabarannya adalah, ada yang menolak dan ada yang menerima baik. Tapi semua itu tidak penting, kerana natijahnya bukan urusan kita. Yang penting adalah adakah kita telah melaksanakannya dengan betul dan dengan niat yang betul pula? 

Justeru, jangan takut dibenci, ditolak, dipulau atau matlamat tidak tercapai. Pastikan diri berakhlak dalam mempertahankan kebenaran walaupun penyelewengan kebenaran biasanya dilakukan oleh yang tidak berakhlak. Gunakan akal dan ilmu jangan mudah beremosi dan menurut ego. Kerana kita bangkit pada tempatnya dan harus dilaksanakan pada caranya. Bangkit mempertahankan kebenaran adalah prinsip, melaksanakannya juga perlu berprinsip.

3) Kena kuat, jangan jadi lembik.


"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, 
sedangkan kamu adalah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu mukminin 
(orang yang sentiasa beriman)."

Firman Allah ini mensyaratkan 'keimanan' sebagai sebab untuk tidak menjadi lemah dan tidak bersedih hati.

Namun, pada pemerhatian kasar kebanyakan anak-anak melayu muslim di Malaysia sangat penakut dan fobia kepada persekitaran. Tak boleh usik sikit dah mengaku kalah.

"Saya rasa kamu ni tak layak la untuk jawatan ni, betul ke?" tanya interviewer.

"Ya...ya,ya. saya pun rasa macam tu." Balas longlai anak muda dan terus dibuang dari senarai.

"Weyh, aku rasa kursus ni susah kot, dahlah susah nak dapat kerja nanti. aku minat tapi...taknaklah." Luahan tipikal pelajar....

Keadaan ini lebih parah bila melibatkan hal negara malah hal akidah sekalipun.

"Eh, kau mana boleh guna kalimah Allah dalam kitab Kristian tu, nanti kami orang muslim keliru." Kata sesetengah masyarakat.

Aduhai, sampai begitu sekali kelemahan kita dalam menghadapai ujian di bumi yang memang merupakan tempat ujian ini. Sejauh mana iman kita untuk merealisasikan ayat di atas? Sejauh mana kepewiraan kita yang meyakini pertolongan dan bimbingan Allah dalam kehidupan jika kita benar mahu belajar?

Kita terlalu takut sehingga membiarkan kita diancam dari depan, belakang, atas dan bawah. Kita bahkan takut berhujjah untuk agama sendiri sedangkan kita mampu pula berasa mulia kerana dijamin syurga. Dahulu para sahabat seperti Zaid bin Thabit boleh menguasai bahasa yahudi hanya dalam beberapa minggu, tapi kini kesungguhan itu seakan berubah tempat, ramai pula orang yang tidak beragama Islam berkejar-kejar mempelajari bahasa arab dan boleh membaca akhbar arab tanpa baris hanya dalam masa enam bulan! 

Banyak kualiti orang mukmin yang disebut dalam al-Quran dan hadis, antaranya berbuat kerja dengan itqan, berakhlak mulia, menuntut ilmu dan banyak lagi kayu ukur seorang bergelar mukmin. Tapi dimanakah ia hilang dalam diri kita sebagai pelajar? Apakah agama yang dipelajari dalam buku teks hanya mengehadkan kayu ukur keimanan pada hafalan hadis dan rukun-rukun ibadah? Dimanakah asas yang pernah membangkitkan keberanian dan kekuatan ummat ini dahulu?


4) Jaga perkara prioriti dan asas.

Yang dahulu didahulukan. Mungkin kita tidak minat sesuatu kursus, tapi disebabkan adanya demand masyarakat, kita paksakan juga dan insyaAllah minat akan datang secara sendirinya. Dahulukan keperluan sebelum kehendak...benda mudah yang tak ramai orang endahkan.

Perkara asas seperti niat, persiapan mental dan emosi, matlamat, prinsip hidup, role model, rancangan jangka panjang dan pendek, pegangan agama, penguasaan bahasa, pengurusan kewangan dan masa, serta komitmen lain (berpesatuan dll) adalah antara perkara asas yang seorang pelajar perlu menguruskannya sebelum melangkah kaki ke alam pengajian yang lebih tinggi. 

Supaya tidaklah ada yang terkapai-kapai, senang terpengaruh, tak pandai mengurus masalah sediri dan mudah lemah semangat nanti. Ikutilah sunnatullah, kejayaan biasanya datang dengan perancangan yang rapi dan strategi yang mantap. Dengan izin Allah jua.

5) Cari cara untuk Mendorong diri Bersungguh-sungguh dalam Belajar.

Di zaman banyaknya distraction yang menghantui pelajar khusunya laman sosial, internet, couple (tolong tinggalkan), hang out dengan kawan-kawan serta kemudahan yang terlampau banyak, adakalanya menjadikan kita hanyut dibuai keselesaan ini. Pendek kata, comfort zone biasanya menjadikan manusia semakin lembab kerana tiadanya daya saing. Semua mudah belaka.

Jadi pelajar perlu kepada survival kit yang kebanyakannya bukanlah sesuatu yang menyenangkan, antaranya:
  • Disiplin: bermaksud sabar dengan benda yang kita tak suka untuk mendapat apa yang kita suka. Contoh;jaga masa, tidur awal supaya cukup tidur, ikut peraturan universiti, asrama etc
  • Cabar diri: keluar dari zon selesa. Contoh jika nak fasihkan bahasa arab kena pergi campak diri sorang-sorang dekat tengah-tengah masyarakat arab supaya kita dapat fasih cepat. Buat pilihan yang tak berapa popular tapi sangat berguna adalah salah satu cabaran juga.
  • Berani berdiskusi dengan pensyarah: Kalau tak tahu atau rasa ragu-ragu jangan malu bertanya atau berdebat. Sebab kalau dalam kelas pun tak tahu, belajar sendiri di akhir waktu tidak membantu. Berani berdiskusi adalah soft skill yang membantu pelajar evaluate pendapat yang nak disampaikan. Soft skill ini yang 'mahal' bila nak apply bekerja nanti.
  • Mesti fokus at least 85% dalam kelas.
  • Libatkan diri dalam aktiviti akademik dan kokurikulum. Sibuk tak apa asal dapat banyak ilmu dan kemahiran.
6) Fahamilah tujuan kita dihidupkan untuk bekerja atas muka bumi ini.

Bak kata Prof HAMKA:
Kalau hidup sekadar hidup, babi pun hidup.
Kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja.


Jadi tak mungkin kita hidup di atas muka bumi ini hanya untuk berkerja, makan minum dan akhirnya mati. Adakah penciptaan manusia yang lengkap dan mengkagumkan hanya untuk hilang setakat di kuburan? Tidak. Pastinya Allah Yang Maha Bijaksana tidak menjadikan kita secara kebetulan dan sia-sia. 


Ustaz Hasrizal bercerita, pada hari-hari pertama di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Ipoh di tingkatan 1, Guru di sekolah itu memberi ucapan awal dan memulakannya dengan soalan:

"Siapa kamu?"

Kebetulan Ustaz Hasrizal duduk di depan dan soalan tertuju kepadanya...lantas ustaz dengan spontan menjawab : "Saya Hasrizal"

Guru itupun memberitahu jawapan sebenarnya:
"Kamu adalah Abdullah! (Hamba Allah)"

Sejak hari itu, ia seakan-akan turning point bagi ustaz Hasrizal mengenal dirinya, peranannya dan terinspirasi sehinggalah terbitnya sebuah prinsip yang dipegang dalam diri ustaz:
"Aku tak boleh bayangkan aku membesar dalam keadaan muslim yang tak tahu Islam. Aku tak boleh bayangkan aku membesar dalam keadaan aku tak pandai bahasa arab"
Lantas, semangat itu yang mempengaruhi keputusan ustaz dalam perjalanan sebagai seorang pelajar.

Jadi kawan-kawan, kenalilah diri agar kita kenal siapa Tuhan kita. Dengan itu kita kenal apa tujuan hidup dan move forward untuk mencapainya. Tujuan hidup itu yang akan meneman kita dalam medan belajar ini, memberi semangat ketika tiada orang nak motivate kita, dan sebagai pendirian dalam apa jua persimpangan yang kita temui.


"Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu"
(Surah Az-Dzariyar:56)

Bila Allah berfirman tujuan hidup ini adalah Ibadah, bukan hanya bermaksud solat, puasa dan zakat. Semua perkara yang dilakukan dengan niat mendapat keredhaan Allah adalah ibadah. Ia perlu dilakukan dalam keadaan terbaik. Belajar juga boleh menjadi ibadah, maka lakukanlah dengan terbaik

Kredit

Kredit

Ketahuilah tujuan hidup supaya masa tengah syok nak belajar ni tak sia-sia.

***

Mungkin banyak lagi kot pengisian dia, tapi setakat ni je yang saya boleh kongsikan. 
Akhirnya, saya faham jugalah apa yang saya dengar walaupun tak sempurna.
(tu yang kena tulis balik tu, refresh minda bawah sedar)

Resolusinya... 
Segalanya bermula dengan anda!!
Sekian, semoga berjaya rakan-rakan seperjuangan semua.
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan dan berilah tunjuk ajar hendaknya,
Assalamualaikum.
























No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...