Monday 28 April 2014

Saling meratah...Enakkah?

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Kredit: nadirkeval.tumblr.com

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad s.a.w yang menyebut tentang penyakit yang ada disebalik 'komunikasi'

Antaranya adalah Mengumpat... orang kata mengumpat sinonim dengan orang perempuan. Tapi aktiviti busuk ini tidak mengenal jantina, ia hanya mengenal hati.

Jika hati buruk, yang lain buruklah juga. Jika baik, yang lain akan turut serta. (mafhum hadis)

***
Lemas jiwa ini bila bergelumang di tengah kumpulan yang rancak mengumpat. Antara ghairah dan rasa berasalah.

Mengumpat (ghibah) adalah satu keadaan bila kita mengatakan tentang seseorang yang tidak suka didengar oleh orang yang diumpat tersebut. Jika kita mengatakan perkara yang tidak digemari itu adalah sesuatu yang memang benar, ia adalah mengumpat. Jika tidak, ia adalah fitnah. (mafhum hadis)

Namun, ada perbahasan para ulamak tentang pengecualian daripada larangan mengumpat pada masa-masa tertentu seperti bertanyakan hukum, membela kezaliman, dan menegakkan kebenaran di tempat pengadilan.

MUSNAH AKHLAK

Mengumpat sudah menjadi trend masyarakat dan sangat berpotensi menjadi punca musnahnya akhlak dalam masyarakat.

Bermula daripada mengumpat dikalangan adik-beradik, ipar-duai, suami isteri, jiran tetangga, rakan kenalan, dan ia menular ke media cetak dan siaran televisyen tanpa pernah terlintas pun untuk berasa bersalah terhadapnya.

Hilang perasaan malu,
Hilang rasional,
Hilang adab,
Hilang rasa takut pada Allah.

Bila yang mengumpat adalah ibu, bagaimana rupa didikan akhlak buat si anak?
Bila yang mengumpat adalah ketua, bagaimana nak dibetulkan salah pengikut?
Bila yang mengumpat adalah orang agama, bagaimana nak diajak orang kembali pada agama?

Bencana mengumpat...menghalang akhlak diwariskan dan diteladani.

PENGKHIANAT KASIH SAYANG

Jika mahkota yang menyambung silaturrahim sesama manusia adalah kasih sayang, tidakkah kita sedar bahawa mengumpat adalah pengkhianat yang akan melucutkan mahkota yang mulia itu?

Berapa banyak keluarga yang porak peranda hasil daripada keringanan mulut isteri mencela suaminya dan suami mencela isterinya dihadapan anak dan rakan lainnya? Berapa ramai orang yang tidak bertegur sapa asbab terhiris hati kerana dijadikan bahan mengata?

TAMBAH PARAH PADA BARAH

Jika kita mengumpat kekejian yang benar tapi tiada faedah, sama saja seperti mempromosikan jenayah tanpa tujuan.

Mungkin kita rasa teruja mendengar dan bercerita keburukan orang kerana sensasi, bahkan ada juga yang menjadikan luahan perasaan sebagai alasan. Rasanya puas, tapi adakah ianya satu kepuasan pada ketenangan jiwa dan kejernihan fikiran apabila kita menjatuhkan air muka orang lain, merosakkan kemuliaan akhlak, membunuh sensitiviti taqwa, mencucuk jarum permusuhan, meniup angin dengki dan kebencian, menjadi pembantu ke arah kehinaan kepada orang lain? Apakah ada habuan yang baik pada kepuasan 'dalaman' itu yang akhirnya berakhir dengan bencana besar dalam kehidupan?

Mengumpat menjadikan kita sukar memegang prinsip yang adil dan jelas. Berdolak dalih dalam menegakkan kebaikan dan kebenaran. Ia menjadikan kita tidak aman kerana melihat dunia dengan pandangan keburukan kerana kita memilih untuk mencari dan mengumpulnya lebih awal.

Fikiran kita menjadi cacat, emosi turut terencat.

Jika hari ini kita mengata keburukan orang pada sekumpulan manusia, maka perkataan-perkataan itu akan menjadi rumah kita berteduh. Apabila rumah itu menemui kebinasaannya, maka kita yang berteduh didalamnya akan turut binasa. Ia menjadi pengalaman perit dalam mencari jalan pulang. Jika mengumpatnya kita mencipta masalah yang menyusahkan diri, ia akan menjadi sindiran dan ejekan pada hari kita tersepit dalam masalah yang kita sendiri menciptanya.

Ia akan menjadi pemberat pada sebuah keberatan.

NASIHAT ALAM

Akal dan hati ini diciptakan dengan fitrahnya. Seperti makhluk-makhluk lain juga.
Jika air jernih bercampur lumpur setitik sudah keruh, inikan fitrah manusia?

Jika tanah kekontangan air, tak ada pokok mampu tumbuh padanya.
Jika hati kita kekontangan rahmat Allah, tak ada kebaikan subur dengannya.

Air kotor tidak menyucikan malah mematikan,
Maka lidah yang menyampaikan perkara yang kotor juga boleh membunuh kehidupan.

Alam hanya berbicara menurut fitrahnya, dan kita berlumba-lumba menyalahi fitrah? Kita akan kalah juga akhirnya.

KITA TAK MAHU SALING MERATAH


Kredit: imamudaasyraf.com

Adakah saling meratah itu enak?
Meratah akhlak, kasih sayang dan ketaqwaan yang mematikan kehidupan ibarat meratah jasad yang mematikan nyawa.

Mukmin itu ibarat binaan, saling meneguhkan. 
Mukmin itu bersaudara, maka perbaikilah hubungan sesama saudara.

Sekian,
yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
yang lemah maafkan saya hendaknya,
assalamualaikum.










No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...