Wednesday 2 April 2014

Muslimkah MUSLIM itu?

Bismillah permulaan bagi segala kebaikan.

Pena kali ini dihunus jua melalui jari jemari yang menekan papan kekunci.

Entah berapa kali diri ini cuba menulis artikel, tapi selalu rasa tak bersedia. Tak cukup idea.

Tapi hari ini saya redah juga walau apapun perasaan yang menghalangnya.


"Cermin diri" adalah frasa mudah untuk meminta kita intropkesi diri. 
 Samakah kita dengan diri di cermin itu?

***

MUSLIM...apakah hari ini kita muslim sebenarnya?

Andai kata MUSLIM itu dikira pada ruangan di atas kad pengenalan atau borang-borang kemasukan, pasti ramai orang yang mengatakan dirinya muslim.

Tapi hidup ini tidak sedangkal itu.

Mana mungkin seseorang menggelarkan dirinya pelajar, kalau dirinya tak pernah belajar.
Mana mungkin seseorang menggelarkan dirinya pemimpin, tapi tak mampu memimpin.
Mana mungkin seseorang menggelarkan dirinya polis dan tentera, tapi tak punya kelayakan tak punya senjata.

Mana mungkin diri seseorang itu dinisbahkan kepada MUSLIM jika dia tidak hidup dengan ISLAM.

ISLAM adalah addin (cara hidup) yang berasaskan Syahadatain (dua kalimah syahadah).
Aku bersaksi bahawa tiada ILAH (yang berhak disembah, dicintai, ditaati) melainkan ALLAH, Dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad itu utusan Allah.

Sifirnya mudah, jika seseorang itu mahu menggelarkannya MUSLIM, haruslah keseluruhan kehidupannya tertegak atas asas ISLAM ini yakni dua kalimah SYAHADAH.

Jika kehidupannya bercampur aduk dengan jahiliyyah atau yang bertentangan dengan asas hidup muslim, bagaimanakah dia mampu menisbahkan ISLAM itu pada dirinya? Bagaimana dia mahu menggelarkan dirinya MUSLIM?

Kerana kekurangan itu dunia hari ini memperlihatkan berjuta ummat di dunia salah faham tentang ISLAM kerana penganutnya yang menggelarkan diri mereka MUSLIM tidak mengambil ISLAM sebagai satu prinsip yang mencerminkan ISLAM itu apa kepada dunia. Tanpa disedari, ketika masalah ummat menjadi-jadi kerana manusia meninggalkan agama, individu dalam ummat itu sendiri sebenarnya bermasalah.

Inilah perkara yang diketengahkah oleh Sayyid Qutub dalam satu penulisannya berjudul "Sistem Hidup".

Kebanyakan penganut Addinul-Islam pada hari ini tidak memahami secara mendalam apa yang ada di balik dua kalimah SYAHADAH.

Kebanyakan kita menjadikan SYAHADAH sebagai syarat selesa untuk jaminan ke syurga. Namun tanpa disedari mereka tak memahami apa yang ada pada syaratnya.

Apabila kita bersaksi bahawa ALLAH sahajalah yang layak disembah, dicintai, ditaati secara mutlak, maka haruslah sudah terbina dalam diri yang mengucapkannya MENGAPA ALLAH itu yang layak untuk segala pengabdian sehebat itu?

Mereka sewajarnya sudah mengenal ALLAH secara mendalam sehingga mereka meyakini dengan kukuh akan Kasih sayang Allah, KebesaranNya, KemuliaanNya yang menjadikan hidup si MUSLIM itu hanya terpaut pada ALLAH dalam kehidupannya. Tiada lain melainkan ALLAH.

Apabila kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad pembawa risalahNya, maka tidak ada yang dapat menghalang kita daripada mencintai utusan ALLAH itu dan tak ada alasan dan halangan lagi untuk tidak membenarkan dan tidak mengikuti apa yang dibawa oleh baginda Nabi.

Kerana kita tidak ada satu pun yang terbit dari bibir baginda dan tindak tanduk baginda melainkan wahyu daripada ALLAH melalui RahmatNya, KasihNya, KebijaksanaaNya, KepemurahanNya yang mengetahui kelemahan kita jika ketiadaan pemimpin daripada kalangan manusia sebagai petunjuk.

Setelah ini semua menjadi pendorong dua kalimah syahadah itu diucapkan, maka apakah akan kita temui anak muda yang selalu culas dalam solat? Dua tiga minggu tak membaca al-Quran? Apakah nanti tidak ada dorongan untuk memahami al-Quran? atau dorongan untuk mencontohi sunnah?

Pokok tak goyang andai tiada yang menolaknya.

***

Mana mungkin sesuatu keyakinan dipilih untuk dipercayai tanpa ianya difahami?

Masalah utama kita adalah kebanyakan kita menjadi MUSLIM dalam keadaaan WARISAN, bukannya PILIHAN.

Jika kita memilih sesuatu barang untuk dibeli, pasti kita pilih yang elok, yang baik kualitinya, yang mampu kita miliki, yang mampu kita pakai dan gunakan.

Begitu juga dengan ISLAM, apabila kita MEMILIHNYA, kita pasti MEMAHAMINYA dengan jelas terlebih dahulu. Dan setelah ISLAM menjadi PILIHAN muktamad, pasti sahaja pilihan itu DIAMALKAN. Maka, layaklah dengannya si penganut yang memilih ISLAM itu menggelarkan dirinya MUSLIM.

Lihat sahaja pada bahasa arab,

Kalimah Majlis yang berasal daripada kata kerja JALASA (duduk) bermaksud tempat orang ramai duduk berhimpun.

Kalimah Masjid berasal daripada kalimah SUJUD bermaksud tempat orang ramai sujud mendirikan solatnya.

Kalimah Madrasah berasal daripada kalimah DURUS (pelajaran) bermaksud tempat orang ramai belajar.

Maka apabila MUSLIM itu berasal daripada kalimah ISLAM, mana mungkin MUSLIM itu tidak dapat mencerminkan apa itu ISLAM. Sedangkan kalimah itu sendiri menisbahkan diri kepadanya.

Apakah hari ini kita MUSLIM secara benar?

Tanyakanlah...apakah ISLAM sudah DIFAHAMI dan DIPILIH sebaiknya?

Fikiran kita, Jiwa perasaan kita, Akhlak kita, Tindakan kita, Jadual kita, Muamalah kita, Ibadah kita, Hiburan kita, Keluarga kita, Kebersihan kita, dan semuanya telah berjaya melayakkan kita bergelar MUSLIM? Apakah cahaya ISLAM sudah menyinari melaluinya?

Jika input seringkas itupun (dua kalimah syahadah) tidak difahami secara sempurna, maka apa jadi pada prosesnya, apa pula yang terbit pada outputnya?

Semak semula, kerana jika kita tidak memahami ISLAM, siapa lagi yang lebih dituntut untuk memahaminya? Siapa pula akan dikira sebagai pengamalnya? Siapakah yang mampu mebuktikan kebenarannya kalau bukan MUSLIM itu sendiri.

Apakah kita sudah muslim secara benar?

peringatan untuk diri sendiri dan semua.
Doakan saya.

Sekian,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya.
Assalamualaikum.










No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...