Selamat Hari Raya semua!! Semoga Eidul Fitri ini adalah satu kemenangan buat kita dalam menundukkan nafsu dan kebiasaan-kebiasaaan yang perlu kita tinggalkan.
Pautan video di bawah sangat menyentap pemahaman saya terhadap pengertian Eidul Fitri.
Benarlah, apabila kita berjaya berlatih berlapar dan berbuka mentaati aturan Yang Esa kerana membesarkanNya, maka kesedaran yang sama mesti diteruskan pada waktu kita bertakbir membesarkanNya di pagi raya dan pada masa-masa seterusnya.
Kita tahu mengapa kita berpuasa,
Kita diwajibkan berniat setiap hari untuk apa kita berpuasa.
Secara automatik, kita sedari hidup ini sebenarnya bukan untuk kita,
Bukan ikut suka kita,
Tapi ada tujuannya,
Ada penguasanya,
Dan kita mentaatinya kerana kita sedar peranan kita,
Hamba.
***
Ini kali pertama saya beraya di perantauan. Di bumi Uthmaniyyah.
Cabaran Ramadhannya tak kurang hebat.
Hampir 17 Jam kami berpuasa di sini.
Isyaknya lewat, 10.45 malam baru masuk waktu.
Terawih boleh habis dalam pukul 12.00 malam.
Subuhnya awal, 3.45 pagi berkumandanglah azan.
Dan menjadikan saya sukar untuk berjaga selepas subuh.
Kata orang tidur lepas subuh tak bagus. Lagipun, waktu tu elok benar kalau diguna untuk menelaah kitab dan menghafal Al-Quran. Doakanlah kami agar boleh mujahadah untuknya.
Di sini, kesan didikan sekular (memisahkan agama daripada kehidupan) masih berakar umbi di dalam gaya hidup masyarakat. Ramai juga yang tidak berpuasa. Walaupun majoriti di sini muslim.
Agama telah cuba dikhianati sebanyak dua kali di bumi Turki. Sekali di zaman kejatuhan Empayar Uthmaniyyah dan kali kedua pada era 1990'an.
Jangan hairan jika waktu Ramadhan, ada muslim kelihatan makan secara terang-terangan, dan merokok dengan selamba di tepi jalan. Tapi, itu tidak bermaksud hati mereka tidak baik. Mereka sangat mesra dan sangat baik. Cuma mungkin mereka masih mencari-cari satu daya tolak yang mengukuhkan prinsip beragama dalam hidup mereka. Disinilah, peranan mereka yang memahami addin Islam dan berhikmah mengajarkannya sangat diperlukan.
Lucu mendengar pengalaman Kakak kami di Beyazit tempoh hari yang lebih kurang sebegini dialognya.
"Saya tak berpuasa. Di sini tidak puasa normal" Kata seorang Pakcik dalam umur 70'an.
"Kenapa tak puasa?" Tanya Kakak kami.
"Ben hastayım. Burada hava çok sıcak." (Saya sakit. Disini cuaca sangat panas) Kata Pakcik tersebut sambil mengurut dadanya tanda dia sakit.
"Di Malaysia cuaca lagi panas, tapi semua orang berpuasa."
"Di sini suhu 32 darjah celsius." Kata Pakcik itu.
"Di Malaysia suhu 37 darjah celcius."
"Astaghfirullah....Biasa yang tidak berpuasa orang tua yang sakit. Lihat di sana. Yang itu juga." Balasnya sedikit sesal sambil menunjuk ke arah orang-orang tua yang tak berpuasa semacam cuba meyakinkan.
"Tapi orang muda pun tidak berpuasa, cuba Amca tengok orang itu, dan orang itu." Balas Kakak mencari jawapan.
"Astaghfirullah... anak-anak muda itu saya tidak tahu mengapa mereka tak berpuasa." Jelasnya.
"Saya tak larat berpuasa, haus. Allah tahu niat kita." Pakcik itu memberikan alasan terakhir.
Perbincangan tentang "tidak puasa" pun berakhir di situ.
Cabaran kedua adalah menyediakan sahur dan kejut orang rumah bangun. Semua orang penat, bahkan bunyi deringan loceng tahap maksima pun gagal mengejutkan kami. Yang pasti sahur sangat penting!
Apabila semua orang memilih melayan enaknya tidur, jawabnya tidak bersahur.
Apabila ramai yang memilih untuk bersedap tidur kerana ada orang kejut, lelahlah tukang mengejut.
Maklumlah, di rumah biasa Mak yang buatkan sahur. Mujur Qudwah Hasanah Mak dapat menjadi teladan diri. Sabar, Kasih dan tidak pentingkan diri seorang ibu sangat-sangat menginsafkan.
Benarlah, wanita memang wujud sebagai pahlawan kasih sayang!
Seterusnya adalah kisah tidur.
Wahai, membazirnya masa sepanjang bulan Ramadhan jika asyik tidur sahaja kerjanya. Walaupun kata orang tidur di bulan Ramadhan itu ibadat!
Tiba sahaja dirumah selepas habis kelas, saya solat zuhur dan tidur. Terlajak sampai 2 hingga 3 jam sekali lentok. Bila sudah sampai ke pengakhiran Ramadhan, barulah mundar-mandir mengharap Ramadhan lebih panjang.
Daripada kisah di atas, semuanya berkait dengan keikhlasan. Ikhlas semacam pelincir yang memudahkan urusan. Insaf, bila kita sukar mengikhlaskan diri pada sebuah kebenaran, kita menanggung berat perasaan. Dan kisah di bawah antara satu hal yang menguji nilai terpenting itu.
Di sini ramai pelarian Syria yang mendapat naungan kerajaan Turki. Dasar kemanusiaan yang merupakan prinsip Daulah Uthmaniyyah dihidupkan semula hari ini.
Cumanya, dalam menegakkan satu kebaikan, pasti ada risiko dan ada pula kesan sampingan yang tak dapat dielakkan. Kesediaan Erdoğan dalam membantu saudara Islam Syria berjaya menjadi manifestasi dasar pemerintahan İslam dan wajar menjadı rujukan barat sebelum melabel yang bukan-bukan terhadap Islam.
Ada di antara mereka ibu-ibu tuggal dan anak-anak yatim piatu yang meminta-minta. Satu pemandangan yang boleh menjengkelkan hati pelancong jika melawat Istanbul. Itulah yang menguji penduduk Istanbul.
Adakalanya keikhlasan teruji untuk membantu, duit bukannya banyak. Tapi bila nak berbelanja mewah-mewah boleh pula. Rasa bersalah menyelubungi. Meletakkan hak di tempatnya adalah penyelesaian terbaik.
Sudah banyak kali kami sesat di Turki, alhamdulillah kami ditemukan dengan orang Turki yang membantu kami sampai ke rumah! Malah, ada yang ajak berbuka di rumahnya. MasyaAllah, keikhlasan apakah yang ada pada mereka?
Keikhlasan bukan dicari untuk menyeri amalan,
Keikhlasan adalah survival kehidupan,
Jika tidak kita terkorban dalam bencana keduniaan.
***
Apabila Ramadhan di hari-hari terakhirnya, tidak menemui kesan tarbiyyah Ramadhan pada diri amatlah merunsingkan.
Menyesal sahaja tidak dapat mengembalikan masa.
Tetapi insaf wajib membawa kita ke arah yang lebih baik,
Bukan terus futur dan selesa dalam keinsafan.
Di aidilfitri ku mengharapkan yang gelap menjadi cerah,
Yang jauh kembali kepada fitrah,
Dosa bukan bahan untuk diacah-acah,
Kelalaian bertamu dengan akhlak...berpalinglah,
Niat yang benar dibentengi mujahadah,
Amal yang benar dipelihara istiqamah,
Bekalan taqwa biarlah bertambah,
Membesarkan Allah dalam setiap langkah.
Sekian,
Salam Lebaran,
Maafkan saya zahir dan batin.
Allah yubarik fikum.
No comments:
Post a Comment