Friday, 19 September 2014

Al-Kisah Kaki Terseliuh.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Telefon pintar di sebelah bantal mula menyanyi lagi. Ini sudah masuk kali ketiga jam loceng pagi berbunyi. Tangan Hasanah mencapai telefon pintarnya. Deringan nasyid "Bismillah" nyanyian kumpulan Raihan dihentikan. Hasanah menuju ke bilik mandi, berus gigi, mengangkat air wudhuk dan solat.

Pagi itu sangat sejuk, walaupun semua tingkap rumah telah ditutup. Awan mendung dan hujan renyai mula turun. Maklumlah, sudah masuk musim luruh. Hasanah dan rakan-rakan serumah yang baru tiga bulan tiba di negara dua benua itu masih sukar menyesuaikan diri.

Tepat jam 7.30 pagi, setelah sarapan dan bersiap, sekumpulan pelajar Malaysia itu keluar dari rumah menuju ke kelas. Mujur bas awam tidak penuh sesak. Semua tidak mahu menanggung risiko diraba orang dan bau yang tidak menyenangkan.

7.50 pagi bas bernombor 28 yang dinaiki mereka tiba di perhentian Tophane dan menurunkan pelajar-pelajar itu. Berlari melintas jalan kerana waktu lampu hijau menyala untuk pejalan kaki sangat sekejap. Langkah kaki dicepatkan kerana nak mengejar lift yang hanya boleh dinaiki tidak lebih dari empat orang.

Hasanah dan tiga lagi rakan menuju ke kelas. Lift yang hanya berhenti di tingkat tujuh menjadikan mereka terpaksa menuruni anak tangga ke tingkat enam.  Hasanah menapak sambil fikirannya melayang. Entah apa yang difikirkannya. Langkah kakinya semakin laju sewaktu menuruni tangga terakhir.

Tiba-tiba..... "Aaaaaaaaah...Aduh, Aduh...Adudududu...Ergh!" Hasanah meraung dan mengerang kesakitan. Dia terjatuh kerana tidak sedar ada lagi dua anak tangga penghabisan. "Tolong papah saya..." Suara Hasanah menahan sakit.

"Mana sakit Hasanah?" Tanya rakan-rakan.
"Izzah dengar kot kaki Hasanah berbunyi...ouchh, sakit kan?". Kata Izzah.

"Hasanah takut kaki patah je, tapi ni tak adalah sakit sangat. Cuma tadi rasalah tulang bergerak." Jawab Hasanah sewaktu didudukkan di kerusinya.

Pelajar lelaki dilarang masuk sebentar, sebab Hasanah hendak menyapu minyak panas di bahagian kaki yang terseliuh tadi. Hasanah cuba berjalan, boleh pula berjalan seperti kaki pendek sebelah.

Sepanjang kelas, Hasanah memusingkan kakinya selalu agar urat yang terkehel tu tidak mengeras. Setiap kali namanya dipanggil untuk sesi menulis jawapan di papan putih, pasti dia berjalan lambat. Sehingga guru bahasa Turki menyuruh pelajar lain untuk tuliskan jawapannya kerana kasihankan dia.

"Aduh, bikin segan saja..." Hasanah bermonolog.

Kali kedua giliran dia menulis jawapan, dia bangun dan berjalan sendiri.
"Hasanah, neden yürüyorsun? tanya gurunya (mengapa kamu berjalan?)

"istiyorum...(saya mahu berjalan)" jawab Hasanah sambil tersenyum kelat. Hasanah memang tidak suka meminta tolong orang. Selagi dia boleh lakukan sendiri, akan diusahakannya walaupun perit.

Sejurus sahaja waktu kelas tamat, kondisi kaki Hasanah semakin memburuk. Bengkaknya mula naik.

"Hasanah, bagi bag awak, saya bawakkan. Berat tu." Aqilah mahu membantu.
"Tak apa, saya boleh bawak. Ringan je ni." Hasanah  membalas.

Sewaktu hendak turun dari bas, Hasanah mengerang kesakitan...turun tangga adalah pergerakan yang paling menyakitkan bagi kaki yang terseliuh.

Tiba di rumah, dia diminta berehat. Bengkaknya semakin menjadi-jadi. Rupa kakinya nyata menunjukkan ada yang tak kena. Hasanah sukar bergerak walaupun sikit. Pasti air mata menahan sakit menitis setiap kali kakinya hendak digerakkan.

Wafa mula risau. Dia menyapu yoko-yoko di kaki Hasanah. Khuatir akan ada ligamen yang pecah di mana-mana. Wafa adalah pelajar tahun dua perubatan. Dia membuka bekas ubatnya, tapi ubat yang dicari sudah habis.

"Tunggu ya Hasanah, saya pergi belikan ubat." kata Wafa.
"Kena makan ubat? Saya puasa hari ini." Hasanah bersuara.

"Tak payahlah puasa, nanti awak kena makan ubat cepat untuk surutkan bengkak tu." Kata Wafa.

Aqilah juga risau. Hana sikit-sikit menjerit apabila Hasanah bercerita tentang kesakitannya. Berkongsi rasa agaknya.

"Hehehe, bukannya sakit sangat pun." Hasanah menyembunyikan perasaanya.

Semakin lama kaki Hasanah semakin sakit. Sampaikan dahinya panas. Dia menghubungi kakaknya di Malaysia. Kakaknya menasihati agar dia membalut kaki ataupun rendam dalam ais batu. Hasanah diminta cepat pergi ke klinik dan rehat seminggu.

Aqilah membantu Hasanah membalut kakinya.
"Arhhhhh!!!" Hasanah menjerit kesakitan dan air matanya mengalir deras. Aqilah tersalah pusing kakinya menyebabkan Hasanah menutup muka menyorokkan tangisannya.

"Sorry, sorry...sakit sangat." Kata Hasanah.
"Tak mengapalah... bukan senang nak tengok Hasanah nangis..." usik Aqilah.

Wafa pulang, sebelum makan ubat Hasanah diminta makan Makaroni bakar yang Wafa masak tengahari tadi.

"Wah...terima kasih ya." Jawab Hasanah agak terharu.

"Nah, ni ubat. Makan satu biji setiap empat jam. Kita tengok macam mana nanti. Kalau makin teruk kita pergi hospital."Kata Wafa..

Hasanah sukar bergerak. Kaki kirinya tak boleh menapak ke lantai. Dia perlu dipapah atau bergantung pada objek untuk berjalan. Hendak pergi ke tandas adalah perkara yang paling sukar. Kerana jamban di rumahnya adalah jamban cangkung!! Itupun. Hasanah masih berdegil tidak mahu dipapah, dia mahu berjalan sendiri.

"Wahai...besarnya nikmat ada kaki sihat". Hasanah bercakap dalam hati.

"Kalaulah masa sihat, aku boleh buat banyak kebaikan... Oh kaki, bilalah awak nak sihat." Hasanah menyuarakan sesalannya sambil merenung kakinya. Hasanah teringatkan keinginannya untuk solat malam yang sering dia lalaikan.

Air mata jernih mengalir dari hujung matanya. Cepat-cepat Hasanah menghapus air mata itu, tak mahu orang lain melihatnya. Hasanah tak suka dilihat lemah dan mengaku kalah.

Keesokan harinya Hasanah dilarang ke sekolah. Terbuka saja matanya dari lena, nasi goreng sosej masakan Soulha rakan biliknya, dihantar ke lututnya.

"Allah Allah, terima kasih banyak." Hasanah kehabisan kalam untuk berterima kasih. Dia tersentuh.

Hasanah keras sikit orangnya. Dia mudah bersimpati, tapi empatinya kurang. Jadi dia seakan takjub bila melihat orang berbuat baik kepada dirinya semacam itu... Bagi Hasanah, bukan senang untuk berkorban untuk orang.

Hasanah dilarang masak. Dia masih berdegil. Ke hulu kehilir dia berjalan. Sebelum ini, Hasanah bukan begitu orangnya. Biasanya dia duduk satu tempat sahaja, sama ada membaca, main telefon ataupun berborak. Bila saja kakinya mampu berjalan sikit, habis semua tempat dia pergi, habis semua kerja dia mahu buat. Sehingga rakan-rakannya pelik.

"Bosanlah...." itu saja helah mudah Hasanah.

Esok petangnya sewaktu Hasanah mahu menyiapkan kerja sekolah, Soulha sekali lagi datang mengantar sup cendawan panas padanya. Hasanah membesarkan mata. Dia terkejut. Tak pernah ada orang yang bukan keluarga melayan dia sebaik ini.

"Terima kasih banyak...Soulha dah makan ke? Ini untuk Hasanah ke?" Hasanah sedikit bingung. Sukar menghadam emosinya sendiri.

"Ada...Tak apa, Hasanah kan sakit." Jelas Soulha.

Hasanah menghirup sup cendawan panas itu.

"Aii, sedap jugak kan kalau ada roti makan dengan sup ni..." Hasanah bermonolog.
"Ish...tak apalah, hamba bersyukur ya Allah atas nikmat ni." Hasanah menyambung.

Kurang lima minit, Soulha datang lagi keada Hasanah. Kali ini membawa dua keping roti.
"Nah, ambiklah." Kata Soulha.

Hasanah betul-betul tergamam. Dia mengangkat kening sebelah.
"Erk....Terima kasih."

Hasanah benar-benar merasai sebuah didikan. Didikan yang mengajar Hasanah bagaimana hidup bersaudara. Bagaimana cara seorang mukmin melayan saudaranya. Bagaimana kewanitaan menjadi bekal kepahlawanan dalam kasih sayang. Jujur, Hasanah baru mula belajar.
"Ya Allah, akan ku lakukan seperti apa yang telah mereka lakukan padaku. Kerana Dikau telah mengajarkanku melalui mereka. Ya Allah, penuhilah permintaan mereka sepertimana mereka memenuhi permintaan hamba. Bantulah mereka sepertimana mereka membantu hamba. Ya Allah, rahmatilah sahabat-sahabat hamba, juga ibu bapa hamba kerana mereka telah menjaga hamba ketika hamba lemah lagi memerlukan. Terima kasih Ya Allah, atas didikan ini...."

Hasanah mengaminkan doa dalam hati....



















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...