"Kullu nafsin zaaiqatul mawt, tsumma ilaina turja'uun..."
Setiap kali Allah bercerita tentang perpisahan dalam al-Quran, pasti di belakangnya diikuti ayat yang memberitahu tentang pertemuan dengan Allah.
Seakan-akan syarat untuk betul-betul bersama Allah adalah perpisahan dengan yang lain.
Ah... perpisahan. Hati ini membengkak setiap kali menyebut kalimah itu.
Kebetulan waktu ini, mood perpisahan sedang mengelilingi aku. 7 orang rakan Turki yang sudah 3 bulan di madrasah ini akan pergi ke rumah masing-masing dan kemungkinan tidak akan kembali lagi. Orang Turki ni dia punya speciality adalah (perempuan) sangat ekspresif bab2 emosi. Terutama dalam mengucap sayang. Kadang-kadang orang melayu yang kayu macam aku ni pun berani cakap sayang tanpa segan silu selepas duduk lama bersama mereka.
Malam ini adalah yang menangis,
Yang termenung panjang,
Yang pasang lagu sedih,
Yang sebak tak kenal tempat... haha
Bila tanya kenapa... "Esok kan kita tak jumpa dah...." jawab mereka.
Kebetulan cuti ni aku berkesempatan baca buku "Reclaim Your Heart" karya Yasmin Mogahed. Aku galakkan sangat (harap sangat) semua muslim dapat baca buku tu. Sebab buku itu menerangkan tentang punca masalah kita apabila hati kita terikat dengan benda-benda di dunia dengan cara yang ringkas, dan tepat pada hati.
Mereka menangis, dan ini buat hatiku turut sebak. Tapi aku belum boleh menangis... haha (tak mahu teran). Aku ceritakan pada mereka bahawa aku dulu kuat menangis disebabkan perpisahan. Perpisahan dengan orang aku sayang, dengan benda yang aku suka, dengan kebiasaan yang aku senangi, dengan sifat yang aku cintai... perpisahan-perpisahan itu semua mengakhirkan aku dengan kesan negatif pada diri aku sendiri. Penglihatan aku mula nampak seperti rabun. Lepas check dengan doktor, Doktor kata muscle yang pegang retina aku dah lemah, seperti mata orang umur 35 tahun disebabkan menangis terlalu banyak! Waktu tu umur aku baru 16. Mana taknya... selalunya kalau menangis mesti sampai bengkak mata, sampai esoknya tak boleh bukak. Lama-lama aku perlu ajar diri aku, tak boleh menangis di atas perpisahan.
Aku kagum dengan mak... dia susah menangis sebab perpisahan. Bila hantar aku kat airport pun ayah yang menangis. Mak steady je. Mak kehilangan ibu kesayangannya dalam umurnya lebih kurang 30 tahun. Malah ketika mengaji di England, arwah nenek sakit dan mak sukar berhubung dengannya. Apatah lagi bila Mak berkahwin dan dikurniakan anak pada tahun-tahun berikut. Masa Mak dengan arwah nenek tak banyak. Mak anak perempuan kesayangan sebab adik-adik perempuannya lahir lewat. Mak cucu cicit perempuan pertama dalam keluarga. Mak dimanjakan, Mak selalu didahulukan oleh arwah nenek. Aku dah masuk umur 20... kalau Allah ambik mak aku harini, aku yakin aku tak dapat menerimanya dengan baik. Tapi mak kata masa ibunya meninggal mak tak menangis. Sebab mak tahu orang yang pergi tu balik pada rahmat Tuhan. Perpisahan hanya pada fizikal, hati tetap ingat dalam doa yang diangkat.
Mak adalah motivasi aku untuk tidak menangis lagi. (Walaupun masih menangis setiap kali webcam dengan dia.. haha)
Aku kongsi apa aku baca dari buku itu (Reclaim Your Heart) pada mereka rakan-rakan turki itu...
"Kalian tahu mengapa kita menangis setiap kali perpisahan?"
"Kenapa?"
"Kerana fitrah manusia sukakan benda abadi. Kita diciptakan untuk benda yang abadi (akhirat). Bila hati kita terikat dengan benda yang sementara, hati kita tersakiti. (Kerana bertentangan dengan fitrah kita) Setiap kali kesedihan menimpa kerana perpisahan adalah teguran untuk kita kembali kepada Allah. Yang Maha Kekal... yang tak akan tinggalkan kita."
Kadang aku tersenyum dan bersyukur atas kemanisan yang telah perpisahan tinggalkan.
Jangan ucap selamat tinggal,
Ucaplah jumpa lagi,
Kalau tidak di bumi,
InsyaAllah di syurga nanti :')
No comments:
Post a Comment