Baru-baru ini kita dikhabarkan tentang saudara-saudara kita di Madaya dikepung tentera Assad dan Hizbullah sejak 7 bulan yang lepas. Aku mendapat berita ini lebih awal daripada berita yang sampai dari Malaysia, mungkin kerana Turki lebih dekat dengan Syria dan saluran berita lebih cepat sampai kepada badan-badan kemanusiaan yang kebanyakannya berpusat di sini.
Data yang kami terima adalah, setiap hari 3 hingga 5 orang muslim di sana mati kelaparan. Tiada bantuan boleh dibawa masuk, dan tidak pula mampu untuk mereka keluar lari menyelamatkan diri, kerana sekeliling bandar ditanam periuk api bagi menghalang sebarang hubungan keluar masuk darinya.
Sekarang Badan-badan kemanusiaan berusaha membela dan bertindak di bawah kuasa undang-undang. Kelihatannya tidak ada cara lain melainkan menviralkan kesedaran ini sehingga ke pihak berkuasa dan pemimpin-pemimpin dunia.
Penulisan kali ini adalah sebahagian daripada tujuan itu. Semoga jika ada yang membaca turut sama membantu.
Kita rasa useless dan helpless kerana kita rasa betul-betul tak mampu membantu. Kerana halangan-halangan yang terlampau banyak menghimpit ummat pada hari ini. Halangan material, mahupun tenaga. Apatah lagi kuasa. Kenapa kita begini?
Aku petik surah Taghabuun, yakni surah Madaniyyah (diturunkan di selepas hijrah) yang dalamnya ada dua bahagian; 1. mesej kepada kaum kafir kurays, 2.Mesej kepada kaum muhajirin dan ansar.
Mari kita lihat bahagian kedua iaitu mesej kepada kaum muslimin selepas hijrah. Firman Allah S.W.T;
Ayat ini diturunkan sebagai motivasi kepada kaum mukmin pada waktu itu yang terpaksa meninggalkan Mekkah, kampung halaman, keluarga dan harta benda untuk berhijrah. Dan dalam motivasi Allah s.w.t memberi kunci kehidupan kepada orang mukmin iaitu meyakini Allah, mentaatiNya dan RasulNya, hanya menyembah Dia, dan bertawakkal kepadanya dalam sebarang urusan.Tidak ada tertimpa sesuatu musibah kecuali dengan izin Allah, barangsiapa beriman kepada Allah adan dibimbing hatinya, dan Allah terhadap segala sesuatu adalah al-Alim.Dan taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, maka jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan rasul kami hanylah menyampaikan dengan terang.Allah tiada tuhan melainkan dia, dan kepadanyalah orang-orang mukmin bertawakkal.
Pendek kata, ayat ini mengingatkan kembali kaum muslimin membersihkan kepercayaan mereka kepada Allah, supaya meyakini perancangan Allah tidak pernah salah, kekuasaan Allah tidak pernah kalah, pada ketaatan ada pintu kejayaan dan kemaksiatan mengundang rasa resah dan kelemahan, Mengingatkan kembali muslimin agar mengikhlaskan hati mereka kepada Allah dalam apa juga perkara, dan bersandar pada KeagunganNya setelah berusaha.
Apa yang berlaku di Syria adalah sangat menyedihkan, mungkin lebih menyedihkan daripada pengorbanan hijrah. Dan usaha-usaha serta kerisauan kita yang dirasakan sangat lemah ini juga menyedihkan, sepatutnya lebih merisaukan dari hati-hati muhajirin pada waktu itu.
Ada masanya, tidak semua benda boleh diselesaikan dengan bantuan kemanusiaan, ataupun kuasa undang-undang... pada saat itu kita boleh jadi mati akal sampailah kita mengaku... Allah sajalah dapat bantu mereka, kita mula yakin kita ini serba lemah, dan mula meyakini kuasa ikhlas dan tawakkal.
Ada masanya masyarakat dunia tidak menghiraukan, tidak kisah penderitaan saudara yang tinggal di bumi yang sama... pada saat itu, kita rindukan kepimpinan Rasulullah, yang berjaya membina akhlak persaudaraan muhajirin dan ansar.
Sayangnya... kita masih kehilangan senjata-senjata penting itu.
Iman kita belum betul-betul benar dihadapan Allah, kita masih ragu-ragu dengan bantuan dan aturanNya.
Ibadah kita masih belum sepenuhnya untuk Allah, masih terikat dengan kepentingan-kepentingan dunia.
Ketaatan kita masih ditepian, masih longgar dan kelompongan.
Sunnah Nabi jauh dari amalan, bahkan sampai ramai tak tahu kerana tidak diajarkan.
La ilaha illallah kita masih goyah. Dalam kehidupan seharian pun ada benda yang lebih kita cintai dari Allah, kita campurkan hak dan batil, kerana manjakan nafsu, manjakan kepentingan diri.
Tawakkal kita masih tak bererti... kepercaayan kita pada Alla tidak disertakan bukti. Kalau kita yakin tenaga, akal, rezeki, ilmu, kemampuan, dan banyak lagi itu semuanya daripada izin Allah, mengapa solat kita masih di akhir waktu, khusyuk apatah lagi, hiburan kita masih melalaikan, akhlak kita tidak dikemaskan,.. kita belum betul-betul merasainya... apatah lagi mahu menjadi hamba bersyukur.
Tanpa semua ini... bagaimana kita mengharapkan bantuan Allah bersama kita? Bagaimana kita harapkan kesedaran kaum manusia? Bagaimana kita mahu mengharapkan penederitaan di Maday dan Syria berakhir segera?
Seperti yang selalu diulang seorang murabbi, mungkin Allah melambatkan kemenangan ini kerana sifat-sifat dalam diri kita belum cukup untuk menyambut kedatangannya.
Ya Allah, maafkan kami dan dekatkanlah kemenangan dariMu.
No comments:
Post a Comment