Friday, 24 March 2017

Belajarlah seperti air.

Bismillah.

Ujian vize saya dua minggu lagi. Namun minggu-minggu yang lepas hampir sahaja dipenuhi dengan segala kerja-kerja dan urusan-urusan penting, kecuali mengulangkaji pelajaran.

Senyum seperti kerang busuk.

Ini bukan pertama kali saya merasakannya. Perasaan risau, seriau untuk mendekati hari-hari peperiksaan kerana menyedari diri belum bersedia. Ada juga rasa sesal yang tak dapat disembunyikan. Rasa sesal kerana tidak menguruskan masa mengikut keutamaan.

Waktu-waktu ini, saya mencari talian hayat.

Ya, minta doa mak ayah, guru-guru serta rakan-rakan.

Saya hantar mesej kepada seorang kakak Turki yang saya hormati;

"Doakan saya supaya saya boleh belajar."

"Semoga Allah membantu kamu."

"Belajarlah seperti air."

Itulah nasihat ringkasnya kepada saya.

Belajarlah seperti air, ada banyak maksud.

Pertama, berterusan seperti air mengalir. Itu namanya istiqamah.

Kedua, menjadi sumber hidup buat yang lain. Itu namanya manfaat.

Ketiga, biarlah jernih agar membawa kebaikan. Itu namanya benar dan ikhlas.

Pada waktu sebegini juga, masih banyak program-program yang menggiurkan di luar sana. Program-program fenomenal yang cuba meyakinkan saya kerja belajar itu kerja biasa-biasa. Sedangkan belajar itu kerjanya seperti kerja air. Kerja mulia dan lebih utama. Saya perlu menilai keutamaan saya semula.

Melihat jam yang waktunya tidak pernah menunggu diri ini, dan kebetulan saya demam dan selsema secara tiba-tiba, saya yakin akal tumpuan bukan lagi untuk perkara sampingan. Saya perlu mula belajar laju-laju. Lajunya seperti air. Moga sampai pada tujuan akhir.









No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...