Thursday, 17 October 2013

Memberi apa yang kita Cinta...

Assalamualaikum :)

Best Raya? Jumpa saudara-mara, dengar khutbah raya, solat raya sama-sama, sapaan mesra dan jenaka dan yang paling penting....Minum air kelapa fresh sambil karih-karih isinnya. Hep?

Bukan, yang penting adalah apa yang kita faham tentang Aidil Adha kali ini. Atau lebih tepat apa yang kita hayati dalam menunaikan Ibadah Korban padanya?

Jom Korban!
Korban atau "Tadhiyyah" telah dilakukan sejak zaman Nabi Adam lagi. Ketika anak Nabi Adam Habil dan Qabil diminta meletakkan korban mereka di puncak bukit agar dapat dinilai mana satu yang diterima di sisi Allah. Disini, korban Habil iaitu binatang ternakan yang sihat-sihat diterima Allah sementara korban Qabil iaitu hasil tanaman yang kurang baik tidak diterima Allah kerana nilai pengorbanan yang sebenar belum sampai pada maknanya. Dan....apa maknanya?

Kisah Nabi Ibrahim pula yang berkorban penuh tragis sangat menguji mereka yang mendengar khabar beritanya. Lebih mendebarkan daripada cerita "Mr Bean Holiday". Satu demi satu perkara yang dicintai oleh Nabi Ibrahim terpaksa ditinggalkan hanya kerana Allah S.W.T. Nabi Ibrahim sejak kecil berkorban kasih terhadap si ayah pengukir behala hanya kerana Allah yang Maha Esa. Baginda berkorban nyawa hanya untuk menegakkan mesej Tauhid apabila dihumban ke dalam api amarah Raja Najasyi. Nabi Ibrahim berkorban cinta meninggalkan isteri Siti Hajar bersama anaknya di tengah padang kering kontang tidak dilalui manusia. Baginda telah tua dan mengharapkan seorang anak sekian lamanya. Setelah mendapat zuriat yang dinanti-nanti, datang pula perintah korban ketika anak itu belum lagi mampu membalas jasa ayahnya. 

Segalanya berlegar pada satu tema yang sama... "mengorbankan apa yang kita cinta"

Sahabat-sahabat ana terutama yang remaja,

Kita sukakan masa main futsal, tidur, main facebook, dan macam-macam lagi. Tapi kita paksa diri korbankan semua itu seketika untuk solat dan membaca al-Quran sambil mentadabbur isinya.
Kita sukakan filem hindi, drama korea, sinetron penuh emosi dan mungkin juga ada daripada kita yang sukakan filem-filem "pornografi" yang melayan syahwat. Tapi kita menahan diri daripada semua itu semata-mata dalam rangka menjaga "iman di jiwa".
Kita sukakan makanan dan minuman sedap-sedap, tapi ada masa kita sanggup berpuasa sebulan dan adakalanya kita cuba menelan makanan sihat hanya untuk mengikut sunnah yang mulia.
Kita sukakan hiburan bersama rakan-rakan, melepak dan masa "peribadi" untuk melakukan hobi sendiri. Tapi ada waktunya, kita korbankan diri meluangkan masa bersama keluarga dan cuba membahagiakan mereka. 
Kita sukakan wang dan harta, tapi ada masanya kita tutup sebelah mata memberinya untuk mereka yang lebih memerlukan.
Kita sukakan hidup senang, tapi ada saat kita rela susahkan diri untuk kesenangan orang lain.
Kita sukakan nyawa dan hayat yang panjang serta masa yang lapang, tapi sampai masanya kita bersedia mengorbankannya untuk menegakkan kebenaran dan mesej Addin ini.

Ya, kita mengorbankan semua yang kita suka kononnya untuk kebaikan. Susah, sangat susah. Kerana yang dikorbankan itu adalah apa yang "kita suka". Sehingga ada diantara kita yang cuba bermain dengan kata-kata untuk memujuk diri agar kuat berkorban pada jalan ini;

"Kalau kita taat, mesti ada kebaikan untuk hidup kita. Lagipun semua yang Allah larang pasti ada kesan buruknya. Jadi tak sia-sia kalau kita berkorban....untuk kebaikan kita sendiri jugak kan?"
"Susah-susah kita cuba buat baik ni kan Allah dah janji nak bagi syurga. Siap ada bidadari lagi. So...sabarlah sikit".

Kalau begitu....kita beribadat kerana apa? Adakah kerana kepentingan dunia?
Bergelar "muslim" kepada siapa? Adakah kepada syurga?

Soalan ini bukanlah untuk menafikan atau memperlekehkan kepentingan keduanya. Namun dalam jiwa seorang hamba yang sangat-sangat cinta akan Rabbnya, segala pengorbanan tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepada Allah kerana cinta kita padaNya. Kerana mencari RedhaNya dalam hidup kita dan takut jika diri dimurkaiNya. Kepentingan dunia dan syurga bukanlah matlamat utama.

Justeru jelas, seorang hamba itu sewajarnya tidak berasa keberatan untuk berkorban apa saja yang dicintainya hanya kerana cinta kepada Allah yang Esa yang lebih Agung dari segalanya.

Kerana rahsia itu, kita berasa kagum dengan pengorbanan Nabi Ibrahim. Kita teruja mendengar kisah infaq harta Abdurrahman bin Auf dan Talhah bin Ubaidillah. Kita hairan dengan kesetiaan Abu Bakar al-Siddiq terhadap Addin ini. Kita heboh bila melihat ramai yang rela mati untuk menegakkan kebenaran yang Allah perintahkan. Kita pelik melihat orang sanggup meninggalkan jahiliyyah yang penuh keasyikan hanya untuk menikmati Addin yang nampak macam ketinggalan. Kita bingung melihat para Da'ie yang sanggup mengorbankan masa, harta dan nyawa mereka untuk menyebarkan nilai Islam ke seluruh pelosok bumi. Semua kelihatan aneh belaka.

Kerana mereka.....

Memberi apa yang mereka cinta, ketika nafsu dan naluri mereka menginginkannya.
Hanya untuk memastikan diri diredhai oleh Yang Maha Esa.
Kerana itulah puncak keyakinan dalam iman mereka.
Cinta teratas dan kelazatan nurani mereka.
Dan itulah yang dinamakan kebaikan yang sebenar-benarnya.

Lantas, mereka tidak ralat. Tidak pula ragu-ragu. Tidak pula kecewa dan malu. Untuk memberi apa yang mereka cinta. Untuk cinta yang lebih tinggi darjatnya.

Korban: menyembelih cinta dunia.

Benarlah kata-kata Allah;


"Sekali-kali, kamu tidak akan mencapai (hakikat) kebaikan sehinggalah
kamu memberi apa yang kamu suka, dan apa jua yang kamu berikan maka
Allah Maha Mengetahuinya". [Surah Al-Imran:92]

Sekian, mari teruskan berkorban.
Doakan ana,
Assalamaualaikum.









Friday, 11 October 2013

"Sleepover" ada nilainya tersendiri.

Assalamualaikum,

Nak kongsi cerita best dengan kawan-kawan.

Dah seminggu sejak bermulanya PMR, kami pelajar-pelajar form 5 2013 dicutikan. Memang bosan tahap kartun duduk terperap dalam rumah. Ibu dan Ayah kerja. Jadi kesepian seorang. Nak kata tension, kita kan ada Allah. Cuma.... mungkin yang namanya remaja, tak boleh nak duduk diam dengan satu benda. Ubah angin biar ada "ventilation" sikit emosi ni.

Jadi fikir punya fikir, terfikirlah nak ajak kawan-kawan datang rumah beriadah time petang-petang nan indah. Ibu ana pun izinkan buah cadangan itu. Jadi, cepat2 Watsapp sorang kawan ni;

"Assalamualaikum Mira, Free tak petang esok?"

"Kenapa?"

"Nak ajak rempit motor, baling-baling racket badminton, borak-borak pasal study sambil minum air teh panas. Nak join tak?"

Hehe, motor tu pun sebenarnya bukan motor racing atau motor kapcai 70an, hanya motor elektirk yang lajunya paling maksimum pun boleh pergi 30km/jam.

Tapi sahabat yang satu ni, tak dapat datang. Pendek cerita, last2 ada dua orang sahaja yang boleh datang petang tu daripada lapan orang yang dijemput. Yang ketiga datang lambat sikit sebab ada hal.

Dengan terujanya, ana pun membonceng dua sahabat ini round satu taman perumahan, naik bukit dan turun bukit tanpa enjin. Angin tiup mulanya bersepoi-sepoi, tapi dah laju tu macam kapal terbang nak berlepas rasanya. Cuma kebawah la....

Kebetulan nenek ana (baca;Wan) ada di rumah. Sahabat-sahabat pun minum petang dengan Wan. Sahabat yang sorang ni kata, "Nenek awak buat kita teringatkan nenek kitalah". Rupanya, nenek sahabatku seorang ni sudah meninggal dunia. Masa sahabat-sahabat ni dah balik, Wan bagi tahu ana, sahabat ana kasi RM 5 kat Wan. Walaupun bunyinya pelik, yang muda kasi duit pada yang tua, tapi Wan tetao kagum dengan akhlak itu.

Lepas minum petang, kerjakan motor tu lagi sampailah senja pun tiba. Riang tengok mereka juga gembira. Sehinggalah kami rasa agak kepenatan dan berhenti, ana pun bertanya;

"Ayah korang nak ambik pukul berapa ni? Dah bagi tahu mak ayah belum?"

"Entah, tak cakap pun"

Err, hari makin gelap, jadi ana ajak mereka masuk, solat maghrib di rumah. Bincang punya bincang, terbitlah idea untuk ajak bermalam di rumah, tapi masalahnya esok sekolah. Ana minta mereka call mak ayah masing-masing, mintak izin dan tolong hantarkan pakaian.

Alhamdulillah, sahabat-sahabat dapatlah bermalam di rumah yang sederhana tu. Mereka sempat berkenalan dengan ibu, ayah dan keluarga ana setibanya ibu dan ayah pulang dari tempat kerja. Masak makan malam bersama, tengok cara sahabat basuh pinggan sambil borak-borak.

Sempat pulak sahabat ni buat analisis "sifat peribadi" ana. Katanya; "dah macam mak orang". Disoal jawab, dikritik pun sempat jugak tu macam buat "Dokumentari kehidupanku" di Dikaberi Cenel. Ya, malam itu riuh...tapi ada yang bermakna.

Ayah dan Mak layan sahabat-sahabat malam tu macam VIP. Istimewa. Sambal ayam pulak katanya pedas. "Boleh tahan bergetar bibir." kata sahabat ana. Kesian, dah macam naga kehausan tengok mereka.

Lepas makan, solat Isya' dan......yes, main motor letrik tu lagi. Mak ayah izinkan sebab kawan perumahan tu kecil dan ada guard ronda. Jadi kami pun main lumba-luma, motor dan basikal. Kadang-kdang terperasan, ana tergelak kuat. Haih, syok macam mana pun jangan tinggal adab ya.

Alhamdulillah, segalanya ok. Tak ada kemalangan, tak ada gaduh-gaduh. Cuma esok pagi kaki kejang....yelah, kejar motor punya pasal :P

Esok pagi, lepas solat subuh dan sarapan bersama family ana, kami pun bertolak ke sekolah bersama. Begitulah akhir kisahnya. Syok betul! Tak tipu.

***

Ya, baru ana sedar. Sleepover [Baca; Mabit] adalah sebahagian daripada modus operandi Tarbiyyah. Kerana itu dalam Usrah ada aktiviti Mabit. Awalnya, dirasakan apalah baiknya bermalam ditempat orang. Malu, segan, sepi, control baik.....semua prasangka itu ada.

Tapi....

Setelah malam itu baru ana sedar,
Mabit ada nilainya tersediri.....

Kita boleh kenal sifat kawan kita,
Kita boleh memesrai keluarga sahabat kita,
Tambah rangkaian silaturrahim sampai ke tua.

Kita boleh tahu kebaikan sahabat kita,
Kita juga boleh tahu kelemahan dirinya,
Bukan untuk diaibkan...tapi untuk dipulihkan.

Kita juga boleh intropeksi diri,
Sejauh mana adab kita?
Sejauh mana kejujuran kita?
Baik kita adakah hanya hipokrisi?
Atau memang sifat kukuh di hati?

Mabit mengajar kita untuk belajar. Sepertimana bersahabatnya Nabi Musa dan Nabi Khidir.

Mabit menguatkan tali ukhuwwah, apabila adanya "Tafahhum" yang semakin mendalam.

Mabit mengingatkan kita agar memperbaiki niat;
"Bersahabatnya aku dengan si fulanah hanya untuk mencari Redha Allah!"

Mabit adalah perkara yang dilazimi sahabat Rasulullah s.aw. Ketika Umar r.a mahu mengenal "diri" si ahli syurga. Ketika susah dan senang para sahabat sentiasa bersama.

Mabit juga menekankan pentingnya "Qudwah" dalam komunikasi harian. Kerana dalam bersahabat, sama ada kita menurut, atau diturut. Mempengaruhi atau dipengaruhi.

Itulah dia signifikannya "Sleepover". Lebih indah jika ianya diisi dengan sentuhan tarbiyyah Rabbani yang membentuk hati-hati manusia. Jangan biarkan ianya hanya berlegar pada nilai "hiburan" yang tidak kekal lama. Yang sia-sia amalinya. Yang disesali pengisiannya.

Jadikan Sleepover sebagai masanya untuk menilai diri, sahabat dan pengabdian kita pada Ilahi.

Umar al-Khattab menyatakan;
"Nikmat yang paling besar setelah nikmat Iman dan Islam adalah nikmat memiliki sahabat yang baik"

Semoga persahabatan ini kekal hingga ke syurga,
Terima kasih buat segalanya,
Uhibbukum Fillah,
Assalamualaikum.






Friday, 13 September 2013

Denai Si Penuntut Ilmu

Bismillah,

"Ilmu itu pintu segala adab"

Lirik lagu "Knowledge seeker" nyanyian Ahmad Bukhatir menjadi peransang setiap kali rasa macam lemah dalam perjalanan ilmu ini. 

Meredah lautan ilmu, tiada pantai buat berlabuh. Maka, sesiapa yang mahu meneroka gedung ilmu tidak boleh ada kalimah "kecewa" atau "malas" dalam dadanya. Ayat pertama daripada Kitab Al-Quran menyuruh manusia untuk mencari ilmu. Ini menandakan betapa mustahaknya yang dinamakan ilmu itu sehinggakan terpilih menjadi wahyu pertama yang mengisi dada Rasulullah s.a.w.

Pendek kata langkah awal segala yang bernilai itu adalah ilmu. Tinggal manusia untuk menghargai nilai tersendiri yang ada padanya. Aristotle mangatakan, langkah awal itu adalah separuh daripada segala urusan. Ya, ilmu adalah separuh daripada segala urusan.

Beribadah tanpa ilmu, mudah ditipu nafsu, mudah diselewengkan tanpa sedar, tiada penghayatan maka tiada kesan yang boleh ditinggalkan.

Hidup tanpa ilmu, masalah tidak dapat diselesaikan, berdebat pun berdasarkan emosi dan kebiadapan, rahsia-rahsia alam tidak dapat dicungkil, pertanyaan tidak dapat dijawab, kebenaran tidak dapat ditemukan.

Awal agama adalah mengenal Allah, dan mengenal Allah tidak lain memerlukan ilmu jua. Sekali lagi keadaan ini perlu menyedarkan kita, ilmu sangat penting. Berkait rapat sesamanya, panjang sejarahnya, luas cabangnya, dan sukar untuk mendapatkannya.

Kerana menuntut ilmu itu sangat rumit dan serius, hanya mereka yang berhati-hati mampu menjalaninya tanpa putus asa. Bukan mudah untuk memastikan kesahihan ilmu yang diperoleh. Bukan mudah untuk menjaga rukun-rukunnya, bukan mudah untuk menjada disiplin-disiplinya. Maka semua itu memerlukan kepada adab, dan tidak dapat ditemukan adab kecuali pada fitrah, dan sekali lagi, fitrah hanya dapat ditemui pada sandaran Agama itu sendiri.

Maka wahai penuntut ilmu, fahamilah cabaran ini. Persiapkanlah segala yang ada untuk menempuh jalan ini dengan ilkhlas dan rendah hati. Pastikan ianya dibina atas pasak keimanan, kerana asalnya Ilmu itu daripada Tuhan. Janganlah dengan ilmu hanya bertemu kerosakan.

#Menulis hanya untuk memahamkan diri. Semoga kita semua kuat mengharung jalan ini.

~Doakan ana...SPM tak lama lagi.

Saturday, 24 August 2013

Ingat-Ingatan

Bismillah, Assalamualaikum.

Sedikit nota yang ingin ditinggalkan dalam baki waktu yang ada, sekadar perkongsian dan ingatan.

Saudaraku,
Sesungguhnya Kamu datang daripada Allah, dan kepada Allah jualah kamu kembali.
Maka matlamat hidup kamu hanyalah mencari Redha Allah yang Esa.
Carilah Redha Allah melalui panduan-panduan Al-Quran dan Sunnah.
Sesungguhnya Redha Allah tidak akan memberikan apa-apa melainkan ketenteraman pada hati dan kebaikan dalam hidup.
Redha Allah hanya ada pada kebaikan-kebaikab dan Fitrah.
Kemurkaan Allah hanya ada pada keburukan-keburukan yang merosakkan makna kehidupan.
Maka berbahagialah wahai pencari Redha Allah! Berbahagialah!
Kerana di situ ada bahagia di hati, dan di situ jua ada Syurga!.
Berjuanglah pada jalan ini dengan yakin tanpa ragu-ragu.
Agar setiap derap langkahmu diiringi kekuatan dan keberkatan.
Sesungguhnya Redha Allah ada pada Redha ibu bapa, Menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak Makhluk seluruhnya.
Dengannya hidup terpimpin, terurus dan Benar tanpa ada pengkhianatan.
Hatta pada hak asasi kemanusiaan sekalipun, ianya dapat ditegakkan.
Peliharalah Redha Allah, Kerana atas dasar itulah kamu hidup, dan pada dasar itu jualah kita mengimpikan kematian.

#Ingat-ingatan.

Thursday, 15 August 2013

Warna-Warni AidilFitri

Ziarah AidilFitri Kali ni sangat istimewa,
Usykur Allah..aku masih bernyawa,
Insaf, lucu, sedih dan gembira,
Pasti ada Hikmah dariNya.

Insaf,


Hari pertama Raya,
Khutbah Raya mengusik di jiwa,
Kemenangan bukan hanya bebas pada belenggu manusia,
Tapi bebas pada pemikiran dan jiwa,
Sehingga kita bebas menyatakan kebenaran,
Tanpa takut pada bayangan lama,
Mahupun Hasutan yang sudah terbiasa.


Solat Raya hari itu,
Ditakdirkan dihadapanku adalah kuburan,
Tempat tertanamnya jenazah-jenazah insan,
Mengingatkan kembali,
Hidupnya manusia mendekati mati,
Tiada terlepas pada catatan,
Melainkan semuanya pasti ada balasan.

Gembira


Bergambar ceria dengan keluarga,
Macam-macam gaya dan ragam Pesennya,
Tapi adakah sebab itu aku gembira?
Di saat dunia penuh tipu daya,
Pertumpahan darah dan kezaliman bencana,
Apakah yang menyebabkan terukir senyuman gembira?
Gilakah? Merengkah?.
Cukuplah gembira hari itu melambangkan Syukur,
Dikurniakan Ramadhan dek masih ada umur,
Di sisi masih punya keluarga dan nikmat tak terkira,
Masih punya masa untuk Mencuci noda semalam,
Masih punya cara untuk menggilap hari esok.


Sedih

Hati yang terguris namun Air mata yang mengalir,
Sedih mengenangkan kehilangan,
Sedih mengenangkan Rapuhnya Perhubungan,
Kepincangan dan lemahnya Iman,
Sedih mengenangkan itu semua,
Namun ada kesedaran yang menyedarkan jiwa.

Hari itu tersedar jua,
Nilai sebenar di balik tabir silaturrahim,
Apa makna menghargai sebuah pertemuan,
Apa makna menjaga hati dan hak setiap insan,
Apa yang tersingkap disebalik tali perhubungan,
Pada Ibu dan Ayah terletaknya Redha Tuhan,
Pada Ahli Keluarga terletaknya Sebuah kemanisan,
Pada anak-anak kecil terletaknya Pendidikan,
Semuanya nikmat sebagai ujian,
Jika disyukuri semakin bertambah subur keindahannya,
Jika dibiarkan keperitan bakal melanda.


Lucu,

Jenaka Ayah Ngah mengundang tawa,
Warna gigi apakah yang paling popular selepas Gigi Putih dan Kuning? soalnya,
Teka punya teka...Gigi Biru jawapannya,
Oh...BlueTooth rupanya.


Saudara kecilku menarik-narik jubah ayahnya,
Main mercun tak boleh..nanti meletup katanya,
Itu hanya pengenalan untuk memujuk si Ayah,
Tiba-tiba dia mendesak mahu main Api...cukup mengundang resah,
Aku hairan dengan rengek anak kecil ini,
Main mercun tak boleh...main api mahu,
Lantas Dia bercerita,
"Nabi Ibrahim main api, tapi sejuk sebab baca doa"
Oh...Itukah sebabnya, terkoyak bibir tersenyum akhirnya,
"Nabi Ibrahim masuk dalam api, bukan main api" 
Jawab ringkas Ayah Chik kepada anak bongsunya,
Ahh, anak kecil mudah berkembang pemikirannya,
Salah cakap sikit...bahaya jugak kesannya.


Itu hanya sedikit warna-warni hari Raya,
Masih punya keluarga,
Masih aman suasana,
Masih mampu bersua muka,
Banyak juadah sempat merasa
Licin sahaja semuanya,
Banyak lagi nikmat di dunia.


Jika rasa kekurangan, kiralah nikmat yang ada,
Nescaya segalanya tak terkira,



Syukurlah...agar lapang dada.

#Raya 2013.



Saturday, 3 August 2013

Pemergian yang Menghidupkan!!

Dengan izin Allah segalanya mampu bermula. Apa khabar semua?

Hari ini sudah genap 26 hari kita berpuasa. Ramai yang beria-ria ucap Selamat Hari Raya. Ya, tak salah kalau gembira menunggu hari kemenangan. Tapi mengenangkan bulan yang penuh Rahmat yang pasti akan pergi, siapa yang tak tersentuh hati??

Mengenang balik segala perbuatan dan amal sepanjang bulan tarbiah ini, malu sendiri. Tak banyak, malah berapa percent sahaja yang berkualiti?

Hari pertama puasa, semangat bukan main lagi. Ibarat kena renjatan elektrik apabila rutin harian hampir berubah 90%. Kalau dulu bangun subuh pukul 6.00 pagi, tapi kini rasa segar pula solat subuh lebih awal, malah mampu pergi ke masjid lagi!

Namun, sebagai manusia biasa, kita jadi leka atas nikmat ini. Mula-mula terasa luarbiasa, tapi lama-lama rasa biasa-biasa. Asbab yang namanya leka. Kita tenggelam dalam skop adat dan budaya sehingga kita lupa refresh niat kita. Lupa akan nilai sebenar ibadah puasa.

Sehinggalah Ramadhan hampir pergi. Kita jadi tersentak dan gelisah. Banyak lagi tak terbuat, malah banyak pula yang ditinggalkan.

Lantas kita tersedar jua, apabila pemergian jelas dihadapan mata. Benarlah kata-kata orang:

Pemergian itu adakalanya menghidupkan!

Baru kelmarin, teman satu sekolah adik ana meninggal dunia (al-fatihah buat adik Nabila), baru 13 tahun umurnya. Setelah adik itu pergi, barulah semua orang sibuk mencari si arwah, mencari gambarnya, mahu mengenalnya dan kalau boleh mahu bermesra dengannya. Seakan-akan arwah masih ada. Sedangkan selama hidupnya adik ini, mula kelahirannya dianggap luarbiasa, lama-lama menjadi biasa-biasa. Apabila sudah pergi baru semua orang sedar betapa berharganya masa bersamanya.

Ya, begitulah hidup ini. Jika sesuatu yang luarbiasa menjadi biasa-biasa, maka tanggungjawab diri kita untuk menyuburkan nilai istimewa itu semula. Betulkan cara pandang, ambil iktibar, dan manfaatkan masa yang masih tersisa sebak-baiknya. Berusahalah kerana Allah, kerana usaha itu membuahka taqwa. 

Hidup ini perlukan bekal, sebaik-baik bekal adalah Taqwa.

Sebelum menunggu pemergian sebagai terguran, banyak-banyakkanlah peringatkan diri kita, agar tak rugi di akhir nanti. Firan Allah dalam surah ad-Dzariyyat ayat 55:

Dan tetap teguhlah kamu dalam memberi peringatan,
 kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat pada orang-orang beriman.

Sampai di sini, Mohon ampun dan maaf atas segala salah silap zahir mahupun yang tersingkap di balik tirai hati. Semoga Ramadhan kali ini adalah batu loncatan buat kita semua, dan semoga masih ada Ramadhan untuk tahun-tahun yang mendatang. Ingatlah,  Ramadhan itu bukan hanya megajar, bahkan juga mendidik!!

~Salam Eidul Fitri buat semua, maaf...terawal pulak ucapan ni. hehe, takut tak sempat.

Sekian kawan-kawan, Assalamualaikum.

Sunday, 28 July 2013

Buatmu Saudara-saudaraku.

Mata hanya mampu melihat,
Telinga hanya mampu mendengar,
Hati ini hanya mampu sayu dan pilu,
Apakan daya ini wahai saudaraku,
Kita dipisahkan oleh sempadan dan undang-undang manusia,
Hanya berbekalkan iman yang tipis ini...ku hulurkan doa buat sekian kalinya,
Buat dirimu semua yang masih berjuang di sana.

Pemudamu benteng negara,
Pemudimu harapan bangsa,
Ibu-ibumu adalah pasak-pasak jati diri,
Bapa-bapamu adalah payung yang melindungi,
Perjuanganmu menegakkan yang benar,
Menggegarkan bumi sehingga gempar,
Niat yang tidak kan tersasar,
Demi Allah!
Yang Haq akan Menang!,
Yang Batil akan menjadi lemah dan terungkur ke bumi.

Wahai Palestina!, Wahai Syam!, Wahai Mesir!, Wahai Burma dan Arakan!
Anak-anakmu adalah anak-anak kami,
Akidah kamu adalah akidah kami,
Perjuanganmu adalah perjuangan kami,
Peritmu adalah keperitan kami,
Sakitmu adalah sakit kami,
Bahagiamu adalah kebahgiaan kami,
Kemenanganmu adalah kemenangan kami,
Kita adalah bangunan,
Yang hakikatnya saling menguatkan.

Di kejauhan mata,
Jangan pernah kau kecewa di atas segala derita,
Allah melayakkanmu untuk menghadapinya,
Sebagai kayu ukur keimanan,
Justeru itu kami cemburu,
Tidak dapat menyaingimu dalam jalan yang penuh liku,
Maafkan kami tidak berada di sampingmu,
Ketika jalan kemenangan seakan-akan buntu,
Maafkan kami leka akan kesejahteraan dirimu,
Maafkan kami tidak dapat menceriakan anak-anak kecilmu,
Maafkan kami kerana lalai terhadap perjuanganmu,
Ingatlah bahawa musuhmu memang merancang,
Allah juga sedang merancang,
Dan Allah jualah sebaik-baik perancang.

Suratan takdir yang bermula, pasti akan berakhir,
Berusahalah saudaraku di medan sana,
Perkasakan iman dan kekuatan pertahananmu,
Doa kami sentiasa bersamamu.

~Catatan sejarah rampasan demokrasi Mesir, Pembunuhan rakyat Syria, dan Sekatan bantuan ke Palestina yang berlaku pada tahuan 2013. Sejarah ini akan dikenang, yang benar pasti akan menang....Bi iznillah.



Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...